Big Boss, I Need You!- Bab 7
"KE... kenapa Latifah jadi begitu?" Tan Sri
Syed Borhanudin menekan dada. Terkejut mendengar khabar
tentang adiknya yang keluar daripada mulut cucu saudaranya
itu.
"Kata arwah atuk, lepas mereka berkahwin, nenek
mula suka bersendirian. Menangis sepanjang waktu. Selepas
bersalinkan ibu, atuk kata nenek meroyan. Sakit jiwa.
Mungkin nenek alami depression yang amat sangat. Merata
arwah atuk dan ibu bawa nenek berubat. Tapi nenek tetap
begitu. Kemuncaknya bila atuk pergi menghadap Ilahi dan
arwah ibu meninggal kemalangan 5 tahun lepas. Keadaan
nenek makin teruk. Nenek cuba mencederakan diri sendiri.
Sebab itu nenek terpaksa ditahan di hospital." Awaanis
bercerita dalam sendu. Mengenang kembali apa yang dilalui
mereka sekeluarga buat hatinya pedih terhiris.
Adriy menghulur sapu tangannya kepada Awaanis.
Simpati dia menggunung buat gadis itu. Siapa sangka gadis
selincah itu menanggung beban sebegitu besar.
"Awaanis... izinkan atuk menebus kekhilafan
dan dosa atuk sekeluarga. Apalah yang ada pada pangkat,
keturunan dan harta menggunung, kalau persaudaraan dan
silaturahim terputus." Tan Sri Syed Borhanudin bangun lalu
menepuk perlahan bahu Awaanis.
"Tan Sri... saya percaya nenek mahupun atuk dah
lama maafkan Tan Sri dan keluarga. Arwah atuk dan ibu tak
pernah salahkan keluarga nenek. Cuma... arwah atuk tak
pernah bercerita tentang keluarga sebelah nenek. Kami fikir
nenek sebatang kara." Awaanis mendongak memandang Tan
Sri Syed Borhanudin.
Ya. Arwah atuknya selalu berpesan yang hidup kena
selalu memaafkan dan jangan pernah berdendam. Kita hanya
hamba Allah. Tiap manusia punya kekurangan dan kekhilafan.
"Tapi... hati atuk tak tenang selagi atuk tak tebus
dosa pada kamu semua..." lirih saja suara Tan Sri Syed
Borhanudin sebelum kembali melabuh duduk. Tongkatnya
dicengkam kuat menahan rasa.
Awaanis hanya memandang sayu wajah tua itu. Jujur
hatinya turut merasa sebak.
"Atuk berhasrat sangat kamu terima Adriy. Kahwin
dengan Adriy. Atuk percaya Adriy akan jaga kamu dengan
baik. Atuk mahu hidup kamu terjamin."
Awaanis terpempan dengan permintaan tidak
terjangka itu. Spontan dia mengalih pandang ke arah Adriy.
Lelaki itu beriak bersahaja. Tidak terkejut seperti dia. Awaanis
mula mencerna kejadian 2 minggu lepas. Patutlah lelaki di
sebelahnya ini muncul tiba-tiba dan mengajak dia berkahwin.
"Insya-Allah saya akan jaga Awaanis dengan baik,
atuk." Belum sempat si gadis buka mulut, Adriy memintas
dahulu bersama senyuman nipis kepada atuknya.
Awaanis terlongo. Matanya mencerlung Adriy tajam.
Hatinya menahan amarah.
'Aku tak nak kahwin dengan kaulah!' jerit hatinya.
Entah kenapa Awaanis tidak betah dengan Adriy. Dia
merasakan lelaki itu punya ego melangit. Miang pula tu.
Serta-merta adegan di lokar terbayang di mata.
Tanpa sedar Awaanis menggeleng menghapuskan
ingatan babak itu.
"Awaanis tak setuju? Atuk berharap sangat... Atuk
harap kamu fikirkan hasrat orang tua macam atuk ni. Yang
entah berapa lama lagi hidup di muka bumi ini."
Awaanis tersentak daripada khayalan apabila Tan Sri
Syed Borhanudin bersuara sayu. Itulah yang melemahkan
dia. Hatinya tidak kuat dirayu begitu.
"Bukan... bukan macam tu, Tan Sri. Err... nanti saya
fikirkan." Dia menggaru kepala yang berlapik dengan tudung.
Sungguh dia serba salah. Mahu ditolak mentah-mentah,
wajah lelaki tua di hadapannya itu mengundang simpati.
"Baiklah. Kamu fikirkanlah... tapi atuk berharap
sangat-sangat kamu setuju. Sekurang-kurangnya beban di
hati atuk ni berkurangan. Lagi satu, janganlah berTan Sri
dengan atuk. Panggil atuk saja."
Segaris senyuman terbit pada wajah Tan Sri Syed
Borhanudin. Cantik dan manis cucu Latifah ini. Alis mata
yang berbulu lebat dan hidung mancung gadis itu mirip
dengan Latifah, adiknya.
SENYUMAN DIMANISKAN hingga figura Tan Sri Syed
Borhanudin menghilang di balik pintu. Sepantas kilat selepas
itu Awaanis mengekori langkah Adriy yang sudah kembali ke
mejanya.
"Tuan Adriy tak bersungguh-sungguh, kan? Tuan
Adriy akan tolak cadangan tu, kan?" soal Awaanis bertubi-tubi.
Tangan menekan meja Adriy. Sungguh-sungguh dia bertanya
lelaki itu.
Adriy yang baru melabuh duduk mendongak
memandang wajah cuak itu.
"Nope. I'm serious." Badan disandarkan santai ke
kerusi. Tangan disilangkan ke dada.
Berubah riak Awaanis.
"Tak. Tuan kena tolak cadangan tu!" tegas Awaanis.
Matanya garang mencerlung ke wajah tampan di hadapannya.
Adriy ketawa sinis. Tubuh didekatkan ke meja.
Kemudian wajahnya didekatkan dengan wajah Awaanis.
"Kalau saya tak nak?" bisiknya garau.
Pantas Awaanis menjarakkan kedudukan.
Menegakkan diri kembali.
"Please, Tuan Adriy. Kita tak sepadan," keluh
Awaanis. Bagaimana dia mahu hidup dengan lelaki yang
jelas jurangnya terlalu ketara. Lelaki itu bos besarnya dan
dia hanya seorang minah kilang. Pasti jalan mereka tak akan
seiringan.
"Yes, we are not." Adriy mengangguk kecil. Tidak
disangkal kata-kata itu. Badan kembali disandarkan ke kerusi.
"Jadi, kenapa..."
"Enough. Awak dah dengar permintaan atuk. Awak
juga dah dengar jawapan saya. Then, be my wife. Easy. So,
please... saya ada banyak kerja lagi nak buat." Adriy bangun
daripada duduk dan melangkah ke pintu, lalu dikuak luas.
Awaanis mengetap bibir menahan geram
mengenangkan sikap sambil lewa lelaki itu.
"Saya takkan setuju dengan cadangan itu." Sempat
lagi Awaanis utarakan pendiriannya sebelum melangkah
keluar.
Adriy senyum senget.
"Tak. Awak akan..." balas Adriy sebelum menutup
pintu.
Awaanis hentakkan kaki. Penumbuk dikepal
menahan rasa hati.
'Aku takkan terima!' pekik hatinya. Lelaki seperti
tiada perasaan itu mahu menjadi suaminya? No way!
"HAI, MUNCUNG je. Kenapa?" soal Rubi saat Awaanis sedang
sibuk membantu salah seorang operator menguruskan mesin.
"Tak ada apa," balas Awaanis mendatar. Sungguh
kepalanya pusing dengan khabar yang baru diterimanya.
Bagaimana mungkin dia adalah cucu saudara kepada salah
seorang lelaki terkaya di Malaysia? Sungguh tidak masuk
akal!
"Eh, tadi kau kena panggil big boss kenapa? Kecoh
juga budak-budak QC bercerita."
Awaanis mengeluh kasar apabila mendengar
pertanyaan Rubi. Serabut lagi fikirannya saat teringatkan
permintaan Tan Sri Syed Borhanudin.
Rubi yang mendengar keluhan kasar Awaanis
mengerutkan dahi. Jarang sahabatnya itu mengeluh sebegitu.
Awaanis mengatur langkah ke mejanya untuk
memasukkan data yang diambil dari laporan yang diberi salah
seorang operator ke dalam sistem komputer.
Punggung dilabuhkan perlahan ke kerusi. Rubi
yang masih tidak berpuas hati jawapannya tidak berjawab
mengambil duduk di sebelah Awaanis. Dia tersenyum kepada
beberapa orang jurutera yang berada berhampiran meja
Awaanis.
"Kau kenapa, Anis? Ada masalah besar ke? Monyok
semacam," soal Rubi lagi dalam nada berbisik.
Awaanis berpaling menghadap Rubi. Nafas dihela
perlahan. Patutkah dia ceritakan kepada Rubi? Akan
percayakah sahabatnya itu dengannya? Ah... siapa akan
percaya perkara mustahil sebegitu. Hal sebegini hanya terjadi
dalam drama atau novel cinta.
"Aku okey. Tak ada apa," balas Awaanis ringkas.
"Pasal big boss tu... pasal kerja je. Dahlah, kau tak
ada kerja ke ni?" Sengaja dia alihkan tajuk. Tidak mahu
dipanjangkan persoalan Rubi.
"Aku saja mengular ni sementara abang garang kau
tak ada." Terkekek Rubi dengan kata-katanya sendiri. Siapa
lagi kalau bukan Azril yang dimaksudkannya itu.
"Siapa abang garang?" Tiba-tiba satu suara lelaki
menyergah mereka dari belakang. Kerusi yang diduduki
Awaanis dan Rubi ditekan kuat oleh kedua tangan empunya
suara. Lelaki itu menunduk dan menatap wajah mereka
bersilih ganti dengan pandangan tajam.
Awaanis dan Rubi menelan liur.
"Err... tak ada siapa, Encik Azril. Err... Anis, aku baru
ingat aku ada kerja. Aku pergi dulu. Encik Azril, maafkan
saya. Saya pergi dulu." Perlahan Rubi bangun daripada
duduk. Belum sempat Awaanis menghalang, dia terlebih dulu
membuka langkah laju.
Azril mengambil alih duduk di kerusi yang diduduki
Rubi tadi dengan tangan masih memegang belakang kerusi
Awaanis.
"Jadi, ini kerja awak. Mengumpat sana sini?" Tajam
mata Azril memanah anak mata Awaanis yang jelas gelisah.
Pantas Awaanis menunduk. Tangannya cepat
mencapai tetikus. Berpura-pura sibuk.
"Saya... tak cakap apa pun," balas Awaanis serba
tak kena tingkahnya. Kedudukan mereka yang dekat begitu
mengundang rasa tidak selesa buatnya.
"Pandang saya, Awaanis. Saya nak tahu kenapa awak
dipanggil bos besar?" tanya Azril keras.
Awaanis mula gelisah. Jawapan apakah yang harus
dia berikan?
Ini semua lelaki itu punya pasal! Kenapa harus
memanggilnya ketika waktu bekerja? Sekarang, dia yang
harus menghadap pertanyaan orang sekeliling!
Belum sempat Awaanis menjawab, seorang operator
datang menghampiri mereka.
"Encik Azril, ada masalah di bahagian line test 2.
Sorry ganggu..." beritahu Suzy yang juga operator dengan
nada lenggok manja sebelum menjeling tajam kepada
Awaanis.
Awaanis menarik nafas lega. Biarpun dia tidak berapa
berkenan dengan sikap Suzy yang kadangkala melebih-lebih,
namun saat ini dia memang lega Suzy muncul di situ.
Azril merenung wajah Awaanis sebelum dia bangun.
"Okey, di mana masalahnya?" Lembut suara Azril
menjawab.
Huh! Meluat pula Awaanis mendengarnya. Tadi
bukan main serius bercakap dengannya.
"Saya belum sudah dengan awak ya," ujarnya dingin
kepada Awaanis. Senyuman sinis diukir.
Awaanis menunduk merenung kertas laporan di
tangan. Tiada hasrat mahu membalas. Entah kenapa Azril
bersikap dingin dengannya sebegitu. Kadangkala terdetik
juga rasa rindu akan kemesraan mereka dahulu. Di mana
mereka boleh bergurau senda. Tapi sekarang Azril seolah-olah
membina benteng kebencian buat dirinya.
Sudahlah Awaanis. Buat kerja sekarang! Malas dia
mahu fikirkan tentang penyelianya itu. Bukannya mereka
ada hubungan pun. Bukannya dia punya perasaan buat lelaki
itu pun. Soal bos besarnya saja sudah menyesakkan otak. Tak
mahu dia menambahkan lagi kekusutannya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top