Big Boss, I Need You!- Bab 6
AWAANIS menapak laju ke bangunan pentadbiran
yang terletak di bahagian hadapan sekali. Kesemua bangunan
ada tiga dan bangunan production paling belakang sekali.
Boleh dikatakan agak jauh jugalah.
Telapak tangan diusap kedua-duanya memikirkan
atas sebab apa dia dipanggil ke pejabat CEOnya itu. Adakah
sebab dia bermain pada waktu kerja? Atau adakah kerana dia
menyimbah air kepada lelaki itu?
Dahi ditepuk berkali-kali mengutuk kesalahan
diri sendiri. Inilah padahnya apabila terlalu bersuka-suka
ketika waktu kerja. Mungkin surat amaran akan terlayar
di hadapannya nanti. Lagi satu mulutnya pun tak bertapis.
Boleh pula menggelar lelaki itu gila. Mahunya big boss tak
puas hati.
Langkah Awaanis terhenti di meja penyambut
tetamu di ruang hadapan bahagian pentadbiran itu.
"Assalamualaikum, kak. Bilik big boss mana ya?"
Awaanis tersenyum manis bertanya kepada penyambut
tetamu itu. Ini kali pertama dia ke pejabat pentadbiran itu.
Jarang pekerja bawahan sepertinya naik ke bilik ketua paling
teratas. Atau mungkin tidak pernah ada kes sebegitu.
Wanita berambut perang di hadapannya yang sedang
mengecat kuku itu mendongak.
"Nak buat apa jumpa big boss? Ada buat
appointment?" Wanita itu bangun lalu memerhati Awaanis
atas bawah. "Dari production?" soalnya lagi. Mungkin meneka
apabila melihat penampilan Awaanis.
"Ya. Tadi saya dapat tahu big boss nak jumpa saya,"
beritahu Awaanis jujur dengan anggukan kecil.
"Ya ke?" Ada nada jengkel yang meluncur daripada
bibir wanita itu.
Satu keluhan terbit di bibir Awaanis. Dia yang
dipanggil, tapi dia pula yang mendapat pandangan jelik
wanita di hadapannya itu. Kenapa? Tidak layakkah seorang
operator menemui CEO syarikat sendiri?
"Ya, kak. Tak percaya tanya big boss sendiri," balas
Awaanis. Bengang juga dilayan acuh tak acuh sebegitu.
Macam dia yang teringin sangat mahu berjumpa big boss.
Dia pun tak rajinlah hendak menapak jauh-jauh kalau tidak
dipanggil.
"Wait." Wanita itu membuat muka sebelum
mengangkat gagang telefon. Mungkin mahu menanya big
bossnya itu.
"Siapa nama?" soalnya kepada Awaanis dengan
tangan masih memegang gagang.
"Awaanis." Pendek Awaanis menjawab.
"Pergilah masuk. Bos dah lama tunggu. Entah
kesalahan apa you buat sampai kena panggil big boss ya?"
Sempat lagi wanita itu memerli Awaanis.
Awaanis hanya jongket bahu. Manalah dia tahu.
Sebaik mengucapkan terima kasih dia terus melangkah ke
arah bilik yang ditunjuk wanita itu.
Sebaik sampai di pintu yang tertera nama Tuan Syed
Adriy Eilman, Awaanis menarik nafas dalam. Pintu diketuk
dan salam diberi. Terdengar sahutan dari dalam. Pintu dikuak
perlahan. Lambat kakinya melangkah masuk.
Liur ditelan kesat apabila melihat big bossnya
itu sedang fokus pada komputer riba di meja. Takut-takut
Awaanis melangkah ke hadapan meja lelaki itu.
Beberapa ketika dia berdeham apabila agak lama
lelaki itu tidak mengendahkannya.
Adriy panggung kepala. Meregangkan lehernya.
Kemudian jam di tangan dilihat sekilas.
"Tunggu sekejap. Nanti dia datang." Mata kembali
fokus pada komputer riba.
Dia? Siapa pula yang ditunggu Adriy? Awaanis
masih terpacak berdiri. Berkerut dahi memandang lelaki
itu. Kemudian nafas dihela perlahan. Tangan naik memeluk
tubuh. Kut ya pun tak mahu jemput dia dudukkah?
Awaanis mula gelisah. Besar sangatkah
kesalahannya? Atau sebab masalah yang dimaksudkan Azril
tadi? Tapi Hamidah kata semuanya sudah selesai. Bukan
masalah besar pun.
"Pergi duduk dekat sofa sana," arah Adriy tanpa
memandang Awaanis.
Awaanis yang sedang mengitari ruang bilik kerja
lelaki itu mengalih pandang ke arah lelaki itu.
"Ya? Apa ya bos?" Telinga seperti menangkap lelaki
itu berkata sesuatu kepadanya tapi tak jelas pula. Awaanis
melihat Adriy khusyuk saja menatap skrin komputer riba itu.
Atau dia yang salah dengar?
Adriy angkat muka.
"Pergi duduk di sofa sana. Tak faham?" Adriy ulang
sekali lagi arahannya. Mata dilirik ke sofa. Memberitahu di
mana harus gadis itu duduk.
Awaanis ikut berpaling ke arah lirikan mata Adriy.
Oh, suruh duduk rupanya. Ingat tadi mahu suruh berdiri saja.
"Baik." Awaanis ukir senyum. Langsung bergerak
ke arah sofa. Punggung dilabuh ke sofa empuk itu. Tiba-tiba
saja dia diserang gemuruh. Memikirkan entah siapa yang
ditunggu bosnya.
Matanya kembali memaku kepada Adriy yang sibuk
dengan kerjanya. Jelas karakter seorang pemimpin syarikat
yang berwibawa. Begitu fokus. Langsung tidak peduli pada
dia yang sedang memerhati itu.
Sekali lagi Awaanis mengitari ruang pejabat itu.
Kemas dengan tema moden. Macam dalam drama. Lawa
sungguh dekorasinya. Awaanis lihat bingkai gambar Adriy
yang tersergam di tepi dinding itu. Amboi... segaknya! Macam
model majalah. Tersungging senyum di bibir.
Bunyi pintu diketuk dan dibuka dari luar
membuatkan Awaanis tersentak. Pantas pandangannya
menghala ke pintu. Muncul seorang lelaki tua bertongkat.
Namun masih kelihatan sihat dengan sut hitamnya. Bingkas
Awaanis bangkit berdiri.
Eh, bukankah itu Tan Sri Syed Borhanudin?
Terkerdip-kerdip mata Awaanis tidak percaya.
Adriy turut bangun lalu mendekat lelaki tua itu.
Kemudian menunduk menyalami dan mencium tangan lelaki
tua itu yang juga datuknya.
Tan Sri Syed Borhanudin mendekati Awaanis dengan
Adriy yang membuntuti dari belakang. Dan juga seorang
lelaki berpakaian kemas yang mungkin pembantu Tan Sri
Syed Borhanudin.
"Atuk... ini Awaanis. Gadis yang atuk suruh cari tu."
Adriy memperkenalkan Awaanis. Matanya melirik kepada
Awaanis yang kelihatan tercengang itu. Membuat isyarat
supaya meramahi datuknya.
Kening Awaanis sudah hampir bercantum. Semakin
pelik dengan apa yang dia dengar. Apakah yang berlaku
hingga Tan Sri Syed Borhanudin mencarinya? Makin berdebar
jantung Awaanis. Berjumpa antara orang terkaya di Malaysia
yang juga pemilik kilang tempatnya bekerja itu, memang
bagai mimpi!
"Ehem!" Adriy berdeham perlahan. Makin tajam
cerlungannya kepada Awaanis. Eh, budak ni boleh khayal
pula!
"A... apa khabar Tan Sri?" Cepat Awaanis bertanya
khabar. Mata menjeling Adriy sekilas. Tak sabar-sabar! Bosnya
itu tak tahu ke yang dia gugup berjumpa pihak atasan seperti
ini.
"Khabar baik. Duduk, duduk." Tan Sri Syed
Borhanudin melorek senyum. Punggung dilabuh di sofa satu.
Awaanis tersenyum kekok. Namun dilabuhkan juga
duduk. Adriy mengambil duduk di sebelahnya. Cepat Awaanis
mengengsot sedikit hingga ke hujung sofa.
"Awaanis ini cucu Latifah?" Tan Sri Syed Borhanudin
menghela nafas panjang. Mata tuanya menatap wajah Awaanis.
Soalan Tan Sri Syed Borhanudin buat Awaanis
terpinga. Kenapa pula nama neneknya disebut Tan Sri Syed
Borhanudin?
"Tan Sri kenal nenek saya?" soal Awaanis kembali.
Duduknya mula gelisah. Matanya melirik ke arah Adriy
memohon pengertian. Lelaki itu hanya mengerdip mata.
Menyuruhnya mendengar bakal butir bicara Tan Sri Syed
Borhanudin.
"Awaanis... Sebenarnya Latifah itu adik atuk. Kami
terpisah selepas Latifah berkahwin dengan atuk kamu. Latifah
dibuang keluarga kerana memilih atuk kamu yang dari
golongan biasa dan miskin. Dulu... atuk tak mempertahankan
dia. Malah atuk juga turut sama menghalau dan mencerca
mereka berdua. Masa tu atuk darah muda. Disogok pula
dengan kata-kata ahli keluarga yang lain. Sekarang atuk
menyesal. Latifahlah satu-satunya adik atuk. Dah lama atuk
cari dia. Atuk rindu adik atuk tu."
Bergenang air mata Tan Sri Syed Borhanudin. Dia
terlalu merindui satu-satu adiknya itu. Adik yang manja
dengannya.
Air mata Awaanis mengalir apabila mendengar kisah
neneknya. Tak disangka kisah nenek begitu derita. Dahsyatnya
cinta nenek kepada datuk. Kalaulah Tan Sri Syed Borhanudin
tahu di mana neneknya sekarang, tentu lelaki tua itu makin
kecewa dan sedih.
Tetapi Awaanis tidak sampai hati menghampakan
hati seorang lelaki tua yang merindui adiknya.
"Tan Sri, nenek ada lagi. Nenek sekarang di hospital
sakit jiwa. Di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta. Maafkan saya,
Tan Sri. Selepas arwah ibu meninggal, keadaan nenek
bertambah teruk. Ayah dan saya tak mampu nak jaga
nenek..." Kata-katanya tidak dapat diteruskan. Tangisannya
lebih dahulu berlagu. Ditekup muka dengan telapak tangan.
Sungguh Awaanis merindui nenek. Biarpun nenek
mengalami tekanan jiwa, sewaktu kecil dia suka bermain
dengan nenek. Neneklah kawan yang dia ada. Kerana
neneknya jualah dia bekerja keras sekarang ini.
Tergamam Tan Sri Syed Borhanudin dengan khabar
yang baru diterimanya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top