Big Boss, I Need You!- Bab 5

ADRIY mengukir senyum senget. Anak matanya

mengekori langkah Awaanis. Dia percaya mesti gadis itu baru

mengetahui siapa dia sebenarnya. Tengok gaya 3 gadis itu saja

dia sudah boleh agak apa yang mereka gosipkan. Perempuan

dan gosip berpisah tiada!

"Excuse me. Aku nak ke tandas sekejap." Punggung

diangkat dari kerusi.

"Ray, Nadeem... nanti ke bilik aku. Ada banyak

lagi perkara yang perlu kita kena bincang." Adriy pandang

sepupu-sepupunya itu. Syed Rayzan dan Syed Nadeem

mengangguk kecil.

Seterusnya Adriy mengorak langkah menuju

ke tangga belakang, di mana gadis genit yang menarik

perhatiannya itu berlalu.

AWAANIS PEGANG kuat selusur tangga. Sebelah tangan

lagi mengurut dada yang berdentam-dentum. Panahan mata

lelaki itu betul-betul menggetarkan hati wanitanya. Entah

sebab apa dia sendiri tidak tahu.

Mengapakah mereka bertemu kembali di sini?

Awaanis cuba mencerna tindakan lelaki itu melamarnya

tanpa sebab 2 minggu lepas. Rasa tak masuk akal.

Ah, malas fikir! Pantas Awaanis menuruni tangga

dan berlalu ke tandas yang tersembunyi di tepi kaki tangga.

Usai selesai urusan perutnya, Awaanis menatap

wajahnya di cermin. Aksi dia menyimbah air oren kepada

lelaki itu terbayang di mata. Ditambah aksi sergahannya...

dan juga keadaan mereka di lokar tadi.

Air yang mengalir disapu ke muka. Mahu membuang

debar dan malunya. Jam di tangan kirinya dikerling. Alamak!

Sudah hendak habis waktu makan.

Buru-buru dia membuka pintu tandas. Langkah

Awaanis terhenti apabila dia terdengar bunyi dehaman

menyapa pendengarannya. Pantas dia menoleh ke arah suara

itu.

Membulat mata Awaanis saat melihat bos besarnya

itu sedang bersandar sambil berpeluk tubuh di antara pintu

tandas lelaki dan juga tandas perempuan. Kaget.

Adriy tahan senyum. Mahu tergelak pun ada melihat

wajah terkejut gadis itu. Comel!

Dia mendekat dan berdiri di hadapan gadis itu.

Tangan dimasukkan ke dalam poket dengan gaya bersahaja.

Awaanis lihat penampilan lelaki itu. Kemeja lengan

panjang biru navy yang dilipat separa siku. Seluar slek hitam

yang terletak kemas. Lelaki ini tidak kelihatan seperti big

boss tapi persis seorang model lelaki. Tampan!

Fikir Awaanis lelaki seperti itu hanya wujud dalam

bayangan novel-novel cinta. Tapi sekarang lelaki seperti itu

benar-benar sedang berdiri di hadapannya.

"Dah puas ke tengok saya?"

Soalan lelaki itu menyentak lamunan Awaanis.

Langsung dia teringatkan kesalahannya.

"Bos! Saya minta maaf sebab main-main tadi. Janji tak

buat lagi." Awaanis angkat tangan kanan seolah-olah berikrar.

Matanya yang bulat dan berbulu mata lentik itu dikerdipkan

berkali-kali. Tak apalah dia mengaku kesalahannya. Asalkan

tidak dikenakan tindakan tatatertib.

Adriy kalih pandang ke sisi. 'Damn! She's so cute.'

"Err... bos... Tuan Adriy," panggil Awaanis halus.

Kenapa wajah lelaki itu merah? Marahkah lelaki itu? Awaanis

tertanya sendiri.

Adriy kembali mengalih pandang ke arah Awaanis.

Berdeham perlahan seterusnya riak wajahnya diseriuskan.

"Itu saja?" Adriy angkat kening sebelah.

Terpinga Awaanis menatap wajah bos besarnya.

Seketika dia terpanar apabila pandangan mereka saling

berpautan. Cantik betul mata lelaki itu. Seperti mata mat

salih. Biru kehijauan. Berdarah kacukankah lelaki ini?

Adriy angkat kening lagi.

Cepat Awaanis mengalih pandang ke sisi. Sedar dia

terlebih menilik lelaki itu pula. Hujung jari telunjuknya

digigit. Keras otaknya bekerja memikirkan apa lagi kesalahan

yang dia lakukan selain bermain sorok-sorok di waktu kerja.

Perlahan Awaanis tatap semula wajah Adriy.

"Err... saya juga nak minta maaf pasal simbah air

pada Tuan Adriy hari tu. Tapi bukan salah saya sepenuhnya.

Bos yang pancing amarah saya. Tak baik bos buat macam tu.

Mana boleh suka-suka bos je ajak orang kahwin. Gila namanya

tu, bos." Jari telunjuk Awaanis naikkan di hadapan muka

Adriy dan digoyangkan ke kiri dan kanan tanda menunjukkan

tindakan Adriy sebelum ini adalah salah.

Awaanis sudah ingat apa lagi kesalahannya. Tapi

itu bukan seratus peratus salahnya. Salah Adriy juga yang

memprovokasinya. Ajak kahwin macam ajak beli barang.

Manalah dia tak naik angin.

"Awak kata saya gila?" Garang mata Adriy mencerlung

gadis itu.

"Opps! Sorry boss..." Awaanis tayang sengih kekok.

Aduhailah mulut. Kenapalah lancang sangat!

Adriy senyum senget.

"Hurm... baik. Saya akan maafkan awak kalau..."

Adriy menepis telunjuk jari Awaanis yang masih tegak di

mukanya dengan jari telunjuknya. Kemudian, setapak dia

mendekat.

Entah kenapa nada lelaki itu kedengaran romantis.

Terkelip-kelip mata Awaanis. Dia tidak bermimpi, kan?

Tak! Dia tidak bermimpi! Lemah kakinya mengundur

apabila Adriy semakin dekat dengannya.

"If you agree to marry me," bisik Adriy di telinga

Awaanis. Menunduk dekat di tepi wajah gadis itu.

Awaanis tergamam. Berdiri terpaku mendengar

kata-kata itu dengan mulut yang masih ditekup dengan

tangan. Hampir putus nafas dibuatnya.

Adriy tegakkan badan semula. Mahu pengsan juga

budak ni dengan kelakuannya itu.

"Sudah. Cepat masuk kerja! Sudahlah main-main

waktu kerja, masuk lambat lagi. Jangan sampai saya

potong gaji awak!" Suaranya kembali ditegaskan sekali gus

menyedarkan gadis itu.

Zup!

Awaanis terasa bernyawa semula. Pantas dia

mengerling jam di tangan. Apa? Pukul 3 lebih dah? Habislah

Azril mengamuk nanti.

"Maafkan saya. Saya minta diri dulu." Dengan pantas

Awaanis mencicit berlari anak ke arah lokar.

"Jangan lari!" Sempat lagi Adriy menegur ala

bapa-bapa menegur anaknya. Seketika kemudian, kepalanya

digeleng kecil dengan senyuman.

Dengan gadis keanak-anakan itukah dia bakal

digandingkan? Hatinya tertanya sendiri. Namun, jauh di

sudut lain, dia memang agak tertarik dengan gadis bergelar

minah kilang itu.

Ya, sangat tertarik walaupun si gadis dengannya

ibarat enggang dengan pipit.

AWAANIS MENELAN liur apabila melihat Azril menantinya

di tepi mesin dengan muka bengis. Siap bercekak pinggang.

"Sekarang jam berapa?" sergah Azril sebaik Awaanis

sampai di hadapannya. Jam di tangan disua ke muka pekerja

bawahannya itu.

"Sorry, Encik Azril. Saya ada hal tadi." Awaanis gigit

bibir bawah. Menunduk memandang lantai. Azril memang

begitu. Entah apa salahnya terhadap lelaki itu. Ada saja yang

tidak kena pada mata penyelianya itu.

"Hal apa? Awak tahu tak kita ada masalah di QC?

Macam mana awak ajar operator awak buat kerja? Awak

sendiri tahu bahagian kita ni tak boleh ada kesilapan."

Bertubi-tubi Azril menyerang Awaanis.

Awaanis angkat muka laju.

"Masalah apa, Encik Azril?" soalnya mula cemas. Ada

masalah apa hingga Azril marah sebegini?

"Awak pergi tengok sendiri!" tempik Azril.

"Baik, Encik Azril. Saya pergi dulu." Terus Awaanis

berlari ke arah bahagian quality control. Sebelum cip-cip

mikro melepasi bahagian QC dan dipasangkan ke dalam

telefon pintar, cip-cip tersebut perlu diuji di bahagian Awanis.

Seterusnya, ia akan pergi ke bahagian QC untuk langkah

terakhir sebelum dibungkus dan dihantar kepada pengilang

lain.

"Kak Midah, betul ke ada problem lot Anis? Yang

mana kak?" soal Awaanis cemas saat tiba di kawasan QC.

Hamidah yang sedang meneliti produk menggunakan

mikroskop tersentak. Lalu wajah Awaanis dicari.

"Lot apa? Oh... yang tadi. Settle dah. Hal kecil je."

Hamidah tersenyum manis.

"Fuh! Risau Anis. Encik Azril punya marah tadi

macam kes besar. Kecut perut Anis." Awaanis hela nafas lega.

Kerusi di sebelah Hamidah ditarik lalu dilabuhkan duduk.

Hamidah ketawa kecil.

"Encik Azril tu nak tarik perhatian Anis je. Anis kan

jual mahal dengan dia," usik Hamidah.

Awaanis putarkan anak mata ke atas.

"Jangan merepeklah Kak Midah. Bukan akak tak

tahu Encik Azril tu tak suka Anis. Asyik nak cari salah Anis

je," cebik Awaanis.

Merepek saja telahan Hamidah itu. Bukan yang

lain semua tak tahu yang Azril kadangkala buat dia macam

musuh. Ada saja yang tidak kena pada mata penyelianya itu.

"Dia bukan tak suka. Ego dia tercalar sebab Anis

tolak dia mentah-mentah dulu."

Mata Awaanis mengecil mendengar kata Hamidah.

Mengingat kembali hal dahulu. Apabila difikirkan balik,

memang Azril pernah berbaik dengannya. Dulu layanan

penyelianya itu mesra terhadapnya. Awaanis langsung tiada

perasaan kepada Azril. Dia cuma menganggap sekadar

hubungan antara ketua dan pekerja. Malah mereka berdua

juga pernah digosipkan.

Cuma sejak Suzy muncul dan rapat dengan Azril,

Awaanis ambil jalan menjarakkan diri apabila Suzy tidak

habis-habis menyerangnya dan mengadu domba tentang

dirinya.

Lagipun Awaanis tak suka bergaduh disebabkan

lelaki. Lebih baik dia undur diri. Tapi lain pula jadinya apabila

sejak itu Azril asyik mencari salahnya. Penat Awaanis mahu

menghadap layanan Azril kepadanya. Kalau tak difikirkan

yang dia hanya ingin mencari rezeki di situ, mungkin sudah

lama dia angkat kaki.

"Eh, menung pula dia," tegur Hamidah lagi.

"Kak Midah cakap apa tadi?" Tersengih Awaanis

dengan teguran wanita itu.

"Akak cakap, ego Encik Azril tu tercalar sebab Anis

tolak cinta dia," ulang Hamidah. Semua orang pun nampak

hubungan Awaanis dan Azril sebelum ini. Cuma lepas

kemunculan Suzy, hubungan mereka berdua itu jadi dingin.

"Isy, pandai je akak tu! Encik Azril tak pernah

mengaku cinta pada Anis tau. Macam mana timbul Anis tolak

pula? Lagipun, bukan masanya Anis nak layan cinta-cinta ni."

Panjang lebar bebelan Awaanis. Terjuih bibirnya menafikan

perkara itu.

Hamidah ketawa suka.

"Habis, takkan Anis tak mahu kahwin? Ke Anis

memilih? Cuba beritahu akak ciri-ciri idaman Anis," giat

Hamidah. Tangannya masih ligat mengelola cip-cip mikro

yang tersusun di dalam bekas berupa tray itu. Lalu diletakkan

di bawah mikroskop.

Awaanis gelengkan kepala. Tangannya mencapai

kertas laporan di situ lalu diselak satu per satu tanpa tujuan.

"Tak ada ciri apa, kak. Anis terima siapa saja jodoh

Anis selagi dia bertanggungjawab," jujur jawapan Awaanis.

Memang dia langsung tidak menetapkan ciri-ciri lelaki

idaman. Malahan dia tidak terfikir pun untuk mencari

pasangan.

"Hah, kat sini awak melepak rupanya. Baguslah. Saya

suruh awak tanya problem, awak melekat kat sini terus. Awak

jangan ingat saya nak lepaskan awak pada Zaidah ya!" Suara

Azril bergema di situ. Bercekak pinggang di muka pintu bilik

quality control.

Zaidah, penyelia bahagian QC berura-ura ingin

mengambil Awaanis di bawah seliaannya sementelah Azril

asyik mencari pasal dengan Awaanis.

Serentak itu Awaanis dan Hamidah berpandangan

sesama sendiri. Masing-masing menelan liur. Tak kurang

juga dua tiga orang operator yang berada di situ menoleh ke

arah mereka.

Awaanis cepat-cepat bangkit berdiri. Lebih baik dia

melarikan diri sebelum amarah Azril meletus.

"Awak nak ke mana? Awak buat kesalahan apa

sampai big boss nak jumpa awak?" Tahan Azril sebelum

Awaanis mula melangkah. Berdiri sambil bercekak pinggang

di hadapan Awaanis.

Awaanis tersentak. Pantas dia mendongak

memandang Azril dengan kening berkerut.

"Big boss? Saya tak buat salah apa pun." Geleng

Awaanis. Dadanya serta-merta berdebar.

"Big boss nak jumpa saya ke Encik Azril?" soal

Awaanis memastikan perkara itu. Lelaki itu mahu berjumpa

untuk apa lagi? Jangan-jangan mahu beri surat amaran sebab

bermain di tempat kerja.

'Habislah aku...' Dahi Awaanis sudah berpeluh

dingin.

"Ya. Awak jangan macam-macam. Jangan nak

busukkan nama department saya." Azril memberi amaran.

Matanya mencerlung tajam kepada Awaanis.

"Saya..."

"Sudah. Tak payah saya-saya lagi. Pergi cepat. Dia

nak jumpa awak sekarang di pejabatnya," pintas Azril garang.

Tak mahu mendengar alasan Awaanis lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top