Big Boss, I Need You!- Bab 3

"ALHAMDULILLAH... Ada lagi ikan keli

berlada aku." Awaanis tersengih lebar apabila melihat bekas

lauk berisi ikan keli berlada itu. Pantas dia mencedok masuk

ke dalam pinggannya.

"Mak Jah memang tinggalkan untuk Anis yang

manis ni pun."

Makin lebar senyuman Awaanis apabila Mak Jah,

pemilik gerai itu memberitahunya begitu.

"Terima kasih, Mak Jah. Ni yang buat Anis sayang

kat Mak Jah ni." Awaanis kenyit mata kepada Mak Jah. Bekas

berisi ulam-ulaman pula dijengahnya. Kecur liurnya saat

melihat ada ulam pegaga di samping sambal belacan sedap

air tangan Mak Jah itu.

"Hai, takkan tinggal ini je lauknya? Hurm... apalah

nasib kita." Adriy menggumam di sebelah gadis itu. Asyik

benar gadis itu memilih lauk.

Awaanis buat tak peduli dengan suara entah lelaki

mana yang tiba-tiba menggumam di sebelahnya itu. Siapa

suruh lambat. Siapa cepat dia dapatlah. Mujur Mak Jah suka

dia. Siap tolong simpankan lagi untuknya.

Awaanis kulum senyum sendiri. Ini untungnya

apabila selalu bermanis muka dengan orang. Semua orang

sayang tau!

"Lah... maaflah encik. Lauk cepat pula habis hari

ni. Biasalah encik, hujung bulan selalu macam ni. Memang

masing-masing nak habiskan kredit kad makanan. Itu sebab

mereka pulun beli." Mak Jah menjawab omelan lelaki itu.

Awaanis angguk kecil. Betullah tu. Syarikat tempat

dia bekerja ini menyediakan kad makanan kepada para

pekerja. Kad makanan itu seperti kad prabayar disertakan

dengan jumlah isian tertentu. Jadi, mudah untuk para

pekerja membeli makanan. Habis saja isian dalam kad itu,

para pekerja perlu isi dengan wang mereka sendiri pula.

Maklum sajalah apabila sudah hujung bulan begini,

kebanyakan pekerja akan cuba habiskan baki isian kad

masing-masing kerana baki tidak boleh dibawa ke bulan

seterusnya.

"Hai, cik. Yang awak terangguk-angguk ni kenapa?"

Sapaan suara lelaki di sebelah langsung buat Awaanis

tersentak dari lamunan. Spontan dia terteleng ke sisi kirinya.

Zup!

Berderau darahnya naik ke muka. Lelaki gila tadi!

Adriy sembunyi senyum. Mahu ketawa pun ada

melihat riak terkejut gadis itu.

"Sibuk jelah! Mak Jah, tolong kira cepat Mak Jah.

Anis lapar ni." Awaanis menjeling lelaki gila itu sebelum

tersenyum manis kepada Mak Jah. Malas mahu bergaduh

dengan lelaki itu. Dengan pantas Awaanis hulurkan kad

makanannya kepada Mak Jah.

"Eh, nanti-nanti. Awak punya ikan keli tu kenapa

sampai dua? Takkan badan kecik macam awak ni selera

macam gajah?" Tahan lelaki itu.

Awaanis tarik nafas. Dah kenapa mamat ni? Suka

hati dialah nak makan banyak mana. Kecil besar saja dia

nampak lelaki itu.

"Awak ni kenapa? Tak sudah-sudah menyibuk hal

saya. Suka hatilah saya nak makan banyak mana pun. Bukan

saya minta duit awak!" bidas Awaanis menahan amarah. Tidak

jadi dia mahu bayar. Sudahlah gatal, penyibuk pula!

Wajah Awaanis sekarang betul-betul tegang.

Marahnya dia kepada lelaki itu pasal peristiwa 2 minggu lepas

belum habis lagi. Sudahlah ajak orang kahwin tiba-tiba. Dan

sekarang tiba-tiba pula muncul di sini, tempat kerjanya.

Adriy buat muka selamba sebelum mendekati gadis

itu. Awaanis undur sedikit sebelum matanya terbuntang luas.

"Yang ni..." Adriy mengangkat seekor ikan keli

berlada yang berada di dalam pinggan si gadis dengan sudu

lalu diletakkan ke dalam pinggan makannya. "Saya punya.

Dah, awak boleh pergi. Waktu makan dah nak habis, kan? Hari

ni saya belanja awak." Adriy gawang tangannya menghalau si

gadis pergi dari situ.

Apa? Jatuh rahang Awaanis. Rasa macam tidak

percaya dengan tindakan lelaki itu

Urgh! Sakitnya hati Awaanis tidak terkata. Dia baru

berhajat mahu tapau saja kalau tidak habis makan nanti.

Tapi memang tidak tercapailah hajatnya itu. Terpaksalah dia

makan apa yang ada di rumah nanti.

"Awak cakap awak nak bayar ya. Terima kasih!"

Awaanis tuding jari kepada lelaki itu sebelum melangkah kaki

pergi ke ruang terletaknya air minuman pula. Air minuman

di situ memang disediakan percuma untuk para pekerja.

Gelas plastik diambil lalu dihulurkan di pili bekas air

itu. Menderu air anggur keluar dari muncung pili.

"Eh, cik. Jumpa lagi kita kat sini."

Hampir tersedak liur Awaanis apabila lelaki tadi

muncul lagi di sebelahnya. Adriy tayang senyum manis. Tidak

sudah-sudah mahu menduga gadis itu.

"Hesy, mana-mana pun mengekor!" gumam Awaanis

keras. Kakinya laju mengatur langkah meninggalkan lelaki

itu. Malas mahu peduli.

Adriy melihat gelas berisi air yang ditinggal gadis itu

lalu diambil. Meleret senyumannya sendiri.

"Helo, cik. Air awak ni tak nak ke?" laung Ardiy agak

kuat sambil tangan menjulang gelas sir tersebut.

Serta-merta kaki Awaanis terhenti langkah. Badan

dipaling kembali menghadap lelaki itu. Segera dia menapak

kembali ke arah lelaki itu. Gelas di tangan si lelaki disambar

kasar. Seketika, jemari mereka bersentuhan.

"Terima kasih." Kasar Awaanis berterima kasih

kepada lelaki itu.

"Garang! I like!"

Sempat lagi Awaanis menangkap gumaman lelaki

itu. Cis! Nak suka kenapa? Ingat dia suka lelaki itu? Tolonglah!

Adriy senyum senget. Kenapa matanya nampak gadis

itu comel sangat?

Awaanis ketap bibir menahan geram. Langkah

dibawa menghampiri Rubi yang sudah menanti di meja

hujung di tepi tingkap seperti selalu. Kerusi ditarik lalu

punggung dilabuh kasar.

"Kau dah kenapa?" tanya Rubi saat melihat wajah

cemberut Awaanis.

"Tak ada apalah," balas Awaanis mendatar.

Rubi jongket bahu sebelum kembali menatap skrin

telefon sambil menyuap makanan.

Awaanis tergeleng kecil. Adat orang bercinta begitu

gamaknya. Telefon pintar itu tak lekang di tangan. Dia

termenung sendiri. Dalam erti kata sebenar, dia tidak pernah

bercinta. Tapi, jika teman tapi mesra itu adalah. Namun itu

dulu.

Teringat pula kes ajakan lelaki gila 2 minggu lepas.

Awaanis pandang Rubi semula.

"Bie, apa perasaan kau kalau orang yang kau tak

kenal tiba-tiba ajak kau kahwin? Kau rasa logik tak?"

Rubi angkat muka. Biar betul soalan Awaanis ni.

"Lain macam aje soalan kau ni. Ada orang ajak kau

kahwin ke?" tanya Rubi curiga.

"Aku tanya jelah. Logik ke tidak..." Awaanis senyum

gugup. Gila dia mahu mengaku ada orang ajak dia berkahwin

macam itu saja. Mahu Rubi ketawakan dia.

"Zaman sekarang ni logik je. Yang tak logiknya

bercinta bertahun-tahun tapi tak ajak-ajak kahwin. Bila

ditanya mengelak. Macam pakwe aku ni ha!" Rubi hala

telefon pintarnya di depan muka Awaanis. Tersentak Awaanis

dibuatnya.

"Aku bercinta dengan dia dari tingkatan 1 tau. Ni

aku baru tanya bila nak masuk meminang. Asyik mengelak

saja dia. Dia siap bluetick aku! Berani betul!" sambung Rubi

dengan marah yang meluap kepada kekasihnya. Telefon

bimbitnya ditarik semula. Untuk apa bercinta kalau hanya

untuk membuang masa. Tapi salah dia juga yang gatal mahu

bercinta dulu.

"Dia belum sedia kut Bie," pujuk Awaanis. Cuba

meredakan rasa sakit hati Rubi. Lazimlah bagi seorang

perempuan inginkan hubungan cinta diakhiri dengan

perkahwinan. Namun, lain pula bagi lelaki. Mereka perlukan

waktu untuk mereka bersedia menjadi pembimbing sebenar

bagi melindungi wanita kesayangan mereka. Begitulah fikir

Awaanis.

"Hurm... malas aku nak fikir. Kalau ada yang

masuk meminang aku, aku terima je. Baru dia tahu apa erti

menghargai!" rengus Rubi dengan cemberut. Tengoklah

nanti. Memang itu yang dia akan buat kalau kekasihnya itu

masih mahu mengelak.

"Sudahlah tu... makan cepat. Dia tengah bincang

dengan famili dialah tu kut," pujuk Awaanis lagi. Kemudian

kembali tunduk menguis tulang ikan dengan cermat. Baik

dia isi perut dulu.

Rubi hela nafas. Lebih baik dia pun makan juga. Dari

duk berfikir tentang kekasih yang acuh tak acuh itu.

"Weh, weh... Kau orang tahu tak, tadi big boss baru

datang ronda department kita. Dengar cerita dia menyamar

jadi engineer. Gila kau... matilah kalau dia tahu perangai

kita." Tiba-tiba saja Sabrina muncul sambil meletakkan

pinggan makannya di atas meja.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top