Big Boss, I Need You!- Bab 1
GAMBAR yang terpapar di skrin itu menarik
minatnya. Terjongket senyum di bibir tanpa sedar.
"Cantik?" tanya lelaki tua di hadapannya.
Si dia mengangguk.
"Not bad."
"Kamu mahu bernikah dengan dia?"
"Maksudnya?" Terangkat kening si dia apabila
mendengar pertanyaan itu.
"Begini. Kamu ingat tentang adik atuk yang dah
lama hilang dulu? Atuk dah jumpa cucu dia. Atuk mahu kamu
berkahwin dengan cucu perempuan adik atuk tu. Atuk mahu
tebus salah keluarga atuk pada mereka. Kehidupan mereka
susah selama ini."
Sayu suara datuknya itu di pendengarannya. Nafas
dihela. Diletak tab itu ke atas meja. Berat apa yang diminta
datuknya itu. Perlukah sampai bernikah dengan gadis itu?
Lagipun tiada yang istimewa tentang gadis itu. Cuma
sekadar cantik di matanya. Malah gadis itu masih terlalu
muda untuknya pula.
Wajah tua datuknya dipandang lagi. Jasa datuk
terlalu besar. Hanya lelaki tua itu yang menyokong dia selama
ini hingga dia berada ke tahap ini. Mempercayainya sebagai
waris lelaki itu.
"Baiklah. Anything for you, atuk." Senyum merekah
di bibirnya. Tidak perlu memikir lama. Demi datuknya, si dia
sanggup lakukan apa saja permintaan lelaki tua itu.
"Kamu memang cucu yang baik. Kamu tengok
maklumat yang orang atuk cari tu. Kamu cari dia. Ajak dia
kahwin." Lebar senyuman datuk.
Terangkat lagi kening si dia. Hailah atuk! Macam
mudah saja mengajak orang bernikah. Buatnya si gadis
menolak, tak ke haru?
Dagu digaru. Tetapi gadis zaman sekarang bukankah
mudah dibeli dengan wang ringgit?
Sinis senyuman terukir selepas itu. Yakin. Gadis ini
mungkin sama saja seperti gadis yang dia kenali.
"MARRY ME," ajak si lelaki tanpa perasaan. Reaksi gadis di
hadapannya tercengang.
"Sekejap! Ulang lagi encik?" Telapak tangan
diangkat tinggi. Rasa seperti dia tersalah dengar. Awaanis
harus pastikan apa yang dia dengari itu betul. Bukan hanya
halusinasi semata-mata. Mungkin dek kepenatan maka
fikirannya berfikir yang bukan-bukan.
Si lelaki tersenyum senget. Angkuh benar riak
wajahnya. Seolah-olah apa yang dituturkannya itu bukan
sesuatu yang pelik.
"Yes, girl. Awak tak silap dengar. Saya ajak awak
kahwin." Kali ini tangannya disilangkan ke dada. Menyatakan
apa yang dia sebutkan sebentar tadi perkara yang betul. Wajah
gadis itu ditelanjang. Bijak gadis sekarang bermain watak.
Pura-pura terkejut pula!
Okey, sekejap! Awaanis tarik nafas. Beri dia peluang
untuk mencerna apa yang sedang berlaku.
Tadi, penyelianya beritahu ada pelanggan ingin
berjumpa dengannya. Awaanis fikir mungkin dia ada buat
salah. Dia masuk ke ruangan bilik VIP ini. Ada seorang lelaki
kacak sedang menunggu dengan sila panggung ala-ala hero
drama. Kemudian dia disuruh duduk.
Tiba-tiba... lelaki itu ajak dia berkahwin? Prank ke
apa ni? Ada orang nak kenakan dia ke? Tapi siapa? Rubi?
Sabrina? Suzy?
"Sekejap! Ini prank je kan?" Awaanis kecilkan mata
memandang lelaki itu.
Lelaki itu senyum sinis dengan gelengan kecil.
"Look. I don't have time to play around, girl. Just
say yes and we'll get it done. I'll pay you. Berapa awak mahu
untuk jadi isteri saya?" Terus terang si lelaki bertanya. Malas
mahu bermain-main lagi. Lagi cepat mereka berkahwin lagi
bagus. Dia tidak suka buang masa.
Terangkat kening Awaanis. Okey, nampak gaya situasi
ini serius. Tapi siapakah lelaki ini? Datang dari manakah dia?
"Saya rasa encik ni silap orang. Saya tak mahu jadi
isteri sesiapa." Mungkin jugalah lelaki ini silap orang. Dia
bukan sesiapa sehingga diajak berkahwin. Lelaki itu siap
menawarkan wang ringgit kepada dia lagi.
Hujung bibir si lelaki terjongket lagi. Sekeping cek
kosong di atas meja ditolak ke arah si gadis sebagai umpan.
Benda seperti itulah yang para gadis berlagak mahukan.
"Tulis saja berapa awak mahu. Jangan buang masa
saya dan juga masa awak."
Melihat reaksi lelaki itu sambil mengangkat kening,
serta-merta hati, kepala, telinga Awaanis terasa panas.
Tunggu mahu meletus saja lahar yang ada. Dari riak lelaki
itu seolah-olah mengatakan dia hanya perempuan yang boleh
dibeli bila-bila masa saja. Tajam mata Awaanis memandang
wajah berlagak lelaki itu. Kecil besar saja nampak di
pandangannya.
"Encik ni tak faham bahasa ke? Saya kata encik salah
orang. Saya tak ada masa nak cari suami! Ingat saya ni apa?"
Melengking suara Awaanis. Haa... mulalah dia nak berkurang
ajar dengan pelanggan gila macam lelaki ini.
Si lelaki mula bosan mahu bermain tarik tali dengan
si gadis. Senyum ditarik sinis. Badan ditegakkan. Menyilang
tangan ke dada.
"Hey, look here. Jangan nak berpura-pura.
Saya kenal sangat gadis muda macam awak. Mula-mula
berpura-pura jual mahal. Kemudian bila ditabur duit... terus
masuk umpan!" sinis dia tuturkan pendapatnya itu.
Itu daripada pemerhatian dan pengalamannya
selama ini. Bukan daripada pengalamannya tapi pengalaman
sahabatnya, Hazriq.
Dia? Hei, dia tak punya masa untuk dibuang pada
perkara yang melibatkan perempuan. Dia bukan Hazriq yang
berlagak bebas ketika mereka masih remaja dahulu.
Pandangan Awaanis semakin mengecil. 'Wah... ni
sudah lebih! Kau sekejap ya. Hina orang bukan main lagi.'
Mata melirik pada air oren yang berada di atas meja.
Tersungging senyum sinis di bibir Awaanis.
'Helo, Mr. Kurang Ajar!' Segelas jus oren sudah
selamat mendarat ke atas kepala lelaki itu.
"Opps! Saya minta maaf encik. Saya tertumpahkan
jus atas kepala encik. Sejuk tak encik? Sejuk, kan? Tapi kan..."
Awaanis tarik senyum pura-pura. Kaki diayun mendekat.
Berdiri berhadapan tubuh gagah yang sedang melekit itu.
Dipandang lelaki itu dengan pandangan membunuh.
"Tapi hati saya panas dengan encik ni. Untuk
pengetahuan encik... ya, saya memang mahal! Tak hadap pun
umpan awak tu! Pergi cari perempuan lainlah encik. Ingat
sini restoran cari jodoh ke? Gila!"
Huh, puas hati! Ingat dia ini seperti gadis lain?
Nampak lelaki kacak dan kaya saja terus masuk umpan?
Tolong sikit ya. Tak hadap!
Kaki mula melangkah mahu keluar dari bilik itu.
Lagi berlama bukan jus saja Awaanis simbah. Mungkin air
dalam akuarium tepi dinding itu pun akan diayun kepada
lelaki gila itu.
"Girl..." seru si lelaki.
Kaki berhenti melangkah. Tegak saja Awaanis
pandang pintu berkonsepkan restoran Jepun itu. Tak ingin
wajah lelaki itu dipandang.
Bunyi tapak kasut lelaki itu menghampirinya.
"One fine day, your answer will be a yes. Be prepared,
girl," bisik si lelaki dekat di telinga gadis itu saat melintasi
dengan gaya konon-kononnya macho walaupun pakaian dia
bersimbah oren dan melekit.
'Euwww! No way!' jerit hati Awaanis.
Adriy tersenyum senget tanpa menoleh ke belakang.
Well. I like her!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top