BAB 6


USAI mandi, Aliya menyiapkan sarapan untuk walid tercinta. Oleh kerana dia sedang dalam minggu 'cuti special', jadi dia tidak perlu menghadirkan diri ke masjid. Tapi hari ni, walid ada cerita sebelum dia beredar ke masjid, topik kuliah subuh macam best aje. Kelebihan bercinta selepas kahwin. Isy, rugi pulak rasanya sebab tak dapat dengar.

Sebut pasal kahwin, seram dibuatnya! Dah dua hari walid tak buka topik pasal kahwin sejak dari hari tu. Erm, jadi ke tak? Harap-harap taklah.

Setelah tiga puluh minit berperang di ruang dapur kecil teratak Haji Mahfuz, akhirnya siap sudah bihun goreng special. Aliya menghidangkan bihun goreng bersama dua cawan air kopi di atas meja makan. Apabila sudah berpuas hati, dia menutup semua yang telah dihidang dengan menggunakan tudung saji dan mula menapak ke arah ruang tamu.

Aliya menghempaskan punggungnya di atas kusyen. Remote TV diambil dan punat on ditekan. Hmmm, awal lagi... tak ada cerita apa pun.

Belum sempat Aliya menekan butang off, matanya tertumpu di kaca TV. Iklan ni... mamat hari tu. Drama apa yang dia berlakon ni? Muka suci je... baik pulak tu. Tapi perangai sebenar, hampeh! Kutuk Aliya di dalam hatinya. Dengan segera dia menekan butang off. Menyampah.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam..." jawab Aliya seraya menapak menghampiri pintu. Walid dah pulang. Bibirnya mengukir senyuman.

Tatkala daun pintu ditolak, Aliya terkedu apabila memandang dua pasang mata yang tidak dikenali di hadapannya.

"Maaf dik, ini rumah Haji Mahfuz ke?" soal seorang lelaki separuh umur sambil tersenyum. Pakaiannya kemas sekali.

Aliya mengangguk perlahan.

"Ayah ada dekat rumah?" soal wanita di sebelahnya pula.

Mak aih! Jelita sungguh mak cik ni dengan jubah Muslimahnya yang berwarna ungu muda... terpegun aku dibuatnya. Mesti mahal baju ni. Sempat lagi Aliya memuji.

"Walid ke masjid, tak balik lagi. Erm, mak cik dengan pak cik masuklah dulu..." jemput Aliya dengan sopan.

Aliya membawa mempelawa tetamunya duduk di ruang tamu.

Mereka melabuhkan punggung bersama senyuman manis yang masih dikekalkan.

Aliya pula duduk bertentangan dengan mereka.

"Oh, panggil walid ye? Cantiklah anak ni... nama apa?" tanya mak cik itu lagi.

Aliya tersenyum simpul. Dia puji aku cantik... argh, kembang aku macam ni. Desis hatinya.

"Ye, saya guna walid, tak guna ayah. Tak cantik pun, biasa-biasa je. Nama saya Aliya Marissa..." Aliya membetulkan tudungnya. Fuh, mak cik dengan pak cik ni kenapa pandang aku semacam je?

"Mak cik, pak cik... duduk dulu ye? Aliya nak ke dapur kejap." Aliya bangun, seraya menapak menghampiri dapur.

"Bang... sejuk mata Lia pandan budak tu. Lia suka. Kita pinang terus lah... nak?" cadang Datin Dahlia teruja apabila kelibat Aliya hilang dari pandangan matanya.

"Abang pun suka tengok budak tu. Sopan aje. Eh, cincin awak bawak tak?" soal Datuk Arman pula.

Datin Dahlia mengangguk. Bibirnya mengukir senyum manis.

Aliya muncul sambil mendulang dua cawan berisi air kopi.

"Jemput minum, pak cik... mak cik," pelawa Aliya dengan senyuman di bibirnya. Dia meletakkan cawan sesopan mungkin di atas meja kaca di hadapan mereka sehinggakan tidak mengeluarkan sebarang bunyi kaca berlaga.

Datuk Arman dan Datin Dahlia terpegun. Perfect!

"Maaf, boleh Aliya tau... pak cik dan mak cik ni kawan walid ke?" soal Aliya memulakan bicara.

"Ye Aliya, janganlah panggil pak cik... panggil papa. Ini isteri papa..." pinta Datuk Arman dengan lembut.

"Panggil mama ye sayang..." celah Datih Dahlia pula beserta senyuman manisnya.

Aliya terkedu. Isy, takkanlah nak panggil papa? Mama? Dah la aku tak ada kaitan dengan pak cik dan mak cik ni.

"Assalamualaikum Aliya, walid dah balik ni..."

"Waalaikumussalam walid." Aliya bangun... "Kejap ye" Aliya diam. Tudung diperbetulkan. "Err... papa, mama...."

Dia berlari mendapatkan Haji Mahfuz di muka pintu.

"Walid, kita ada tetamu..." bisik Aliya perlahan.

Haji Mahfuz mengangguk. Dia melangkah menuju ke ruang tamu dan bersalam dengan Datuk Arman, dan menghadiahkan senyuman kepada Datin Dahlia.

Aliya menuju ke meja makan, air kopi yang dibancuh untuk walid diambil dan dibawa dengan berhati-hati menghampiri mereka yang berada di ruang tamu.

"Minum... walid," tutur Aliya dengan sopan. Setelah meletakkan cawan, dia terus meminta diri untuk ke dapur. Nasiblah bihun goreng dimasak lebih, bolehlah dia menghidangkan kepada tetamu.

"Mahfuz, aku kagum dengan kau. Anak kau... sempurna sangat. Malu pulak aku rasa bila aku nak gandingkan dengan anak aku..." ujar Datuk Arman perlahan.

"Insya-Allah... aku yakin, mereka memang ada berjodoh." Haji Mahfuz tersenyum nipis.

"Saya pun berkenan dengan Aliya. Sopan budaknya. Kalau boleh..." Datin Dahlia diam, wajah suaminya dipandang.

Datuk Arman mengangguk.

"Kalau boleh, saya dan Abang Arman nak nikahkan mereka cepat-cepat. Boleh?" tanya Datin Dahlia perlahan.

"Betul tu. Lebih cepat, lebih baik. Kalau boleh sebelum kita berpuasa lagi elok..." ucap Datuk Arman pula.

Haji Mahfuz mengangguk.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top