Bab 2

Matahari sudah mula meninggi. Irfan masih belum sedar dari pengsannya.

Izz dan Haji Mahfuz berada di hadapan rumah bersama seorang mekanik yang telah dicari oleh Haji Mahfuz pagi tadi.

Aliya pula terjenguk-jenguk di sebalik pintu, memerhati susuk tubuh yang sedang terbaring di atas katil di bilik tetamu rumah kayu itu. Dulang di tangan dipegang kejap. "Nak masuk ke tidak? Hmm... masuk ajelah."

Aliya terus melangkah masuk dan membuka pintu seluas mungkin. Dulang yang berisi semangkuk bubur dan segelas air masak diletakkan di atas meja kayu di tepi katil. Aliya membongkokkan badannya. Wajah pemuda di hadapannya direnung tanpa berkelip. Betullah! Muka mamat ni, aku kenal! Macam muka pelakon tu aje? Tapi, takkanlah! Mungkin pelanduk dua serupa kut. Isy, Aliya! Jaga mata kau tu.

Aliya berdiri seraya membetulkan tudung bawal berwarna kelabu, sedondon dengan warna baju kurungnya. Nafas dihembus kuat. Lantak kaulah! Nanti kau bangun pandai-pandai la makan makanan tu.

Dia bangun dan melangkah perlahan keluar dari bilik. Langkahnya terhenti apabila mendengar pemuda itu menggumam sesuatu. Aliya berundur sedikit ke belakang. Cuba mendengar apa yang dikatakan oleh pemuda itu.

"Jangan kacau aku, jangan ikut aku... jangan!" Irfan menggeleng ke kiri dan ke kanan berkali-kali. Peluh mula merenik di dahinya.

Berkerut dahi Aliya dibuatnya. Apa yang kau merepek ni?

"Argh!" Irfan bingkas bangun dari pembaringan.

Bahu Aliya terenjut akibat terkejut dengan jeritan lelaki itu.

Mata Irfan meliar memandang sekeliling. Setiap sudut bilik itu ditatap dengan pandangan yang jelik. Dia memandang selimut lusuh yang sedang membaluti separuh badannya. Pandangannya terhenti apabila melihat susuk tubuh gadis yang sedang berdiri tegak di sebelahnya.

"Rumah kau?" Soal Irfan bernada serius.

Soalan dijawab dengan anggukan.

"Buruknya rumah ni!"

Aliya mengetap bibir! Eiii... biadapnya! Dia kutuk rumah aku buruk? Dah orang tolong tu bersyukur ajelah!

"Kau ni siapa hah?" Soal Irfan lagi dengan nada yang kuat.

"Orang..." jawab Aliya seraya memeluk tubuhnya. Menyampah! Harap muka aje handsome, perangai macam 'nates'!

"Memanglah orang, takkan monyet pakai tudung pulak!" Sindir Irfan dengan jelingan tajam.

"Agak kasar bahasa kau ni! Aku dah tolong kau, tak reti ucap terima kasih ke hah? Buruk punya perangai..." bidas Aliya. Aku bubuh jugak racun tikus dalam makanan mamat ni! Baru padan dengan muka!

Macam aku kenal aje suara ni. Mata Irfan terbuka luas. Bibirnya diketap. "Kau, kan semalam?"

"Haah! Aku. Apesal? Kau ingat kau sorang aje pandai buat mata bulat? Aku pun bolehlah!" Aliya bercekak pinggang sambil membesarkan matanya.

"Wei, pasal kaulah aku jadi macam ni!" Bentak Irfan. Mati-mati dia ingat 'makhluk' tu semalam.

"Apehal pulak aku? Kau tu yang penakut. Lari macam lipas kudung. Nama aje jantan tapi, hati berbunga-bunga, menjerit mengalahkan perempuan. Dasar jantan lembut! Biadap pulak tu!" Bidas Aliya lagi. Tembok kesabarannya sudah mula runtuh.

"Kau ni yang biadap sebenarnya. Berapa umur kau ni hah? Aku lagi tua daripada kau, hormat aku sikit!" Tengking Irfan.

"Aku akan hormat orang yang reti hormat orang lain. Tapi dengan kau ni, aku rasa macam tak layak aje aku nak hormat... buang masa aku!"

"Eh, kau nikan!" Irfan terus berdiri. Kini tubuhnya hanya beberapa jengkal sahaja daripada Aliya. Pandangannya tajam memandang gadis itu. Entah kenapa hatinya berdebar-debar tatkala merenung sepasang mata bundar milik gadis di hadapannya itu.

Isy, kenapa aku rasa macam ni? Rasa macam... suka. Syuhhh... wahai rasa 'suka' pergi jauh-jauhlah. Ngomel Irfan di dalam hatinya.

Berbeza pula dengan Aliya, dia mencerlung memandang pemuda itu. Kau ingat aku takut ke? Tengok kaki ar kalau nak bergaduh dengan aku. Aku ni Aliya Marissa la! Aku akan hormat orang kalau dia hormat pada aku. Tapi, kalau orang tu biadap... memang aku balas biadap jugak la.

"Huh, menyampah! Layan orang yang tak tahu berterima kasih ni, memang menyakitkan hati. Tepilah! Aku nak keluar. Makanan tu, makan. Kalau aku tengok ada sisa walaupun sikit, siap kau! Aku tak suka orang tinggalkan sisa makanan, faham?" Aliya melangkah keluar dari bilik dengan perasaan yang sebal.

Irfan terus memandang makanan di atas meja kayu. Perutnya yang berbunyi sejak dari tadi dipegang. Dari semalam dia tak makan. Lapar! Dia segera 'melahap' makanan di hadapan.

"Muka tu dah gred A tapi, perangai macam hantu! Tengok TV lagi bagus." Ngomel Aliya sambil menghenyakkan punggungnya di atas kusyen berhadapan TV. Punat on pada alat kawalan jauh ditekan sambil mulutnya terkumat-kamit membebelkan mamat itu. Alat kawalan jauh ditekan-tekan untuk mencari siaran yang berkenan di hati.

Tiba-tiba dia menghentikan perbuatannya. Matanya membulat apabila memandang skrin TV. Hah!  Dia memandang skrin TV dan bilik yang dihuni pemuda itu silih berganti. Betullah! Memang sama. Entah-entah... Aliya menekup mulutnya. Dia ni betul-betul pelakon ke?

*****

Aliya memandang wajah pemuda di hadapannya tanpa berkelip. Uish, tak sangka! Ada pelakon dalam rumah aku! Patutlah berlagak semacam aje. Argh... nak minyak autograf tapi, aku dah marah dia tadi. Menyesal pula rasa.

"Aliya, kenapa tak makan? Dah sejuk dah nasi tu..." tegur Haji Mahfuz bila melihat anaknya perempuannya memandang pemuda itu tidak berkelip. Nak kena budak ni, tak jaga mata betul.

"Aliya makan la ni walid." Jawab Aliya seraya menyuap nasi ke dalam mulutnya. 'Sengihan kambing' dihadiahkan kepada ayahnya.

"Terima kasih pak cik sebab sudi tolong carikan mekanik," kata Izz dengan sopan.  Dia menyiku Irfan yang sedang kusyuk menikmati makanan. Tak ada adab betul mamat sekor ni!

Tersedak Irfan dibuatnya. Dia menoleh ke arah Izz yang sedang merenungnya tajam.

"Dan terima kasih pak cik sebab tak hebohkan pasal saya. Kalau tak, susah jugak nak handle..." Irfan bersuara lembut. Senyuman manis terukir di bibirnya.

Aliya mencebik. Ceh, memang dasar pelakon betul! Depan walid aku reti pulak kau cakap sopan. Depan aku? Biadap nauzubillah!

"Pak cik tolong apa yang termampu aje." Balas Haji Mahfuz.

"Kami berdua takkan lupakan jasa pak cik sebab bersusah payah tolong kami." Irfan bersuara lagi.

Izz memandang Irfan tanpa berkelip. Tak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Reti jugak kau ni bersopan.

"Itu tugas pak cik. Anak makanlah nasi tu. Maaflah sebab lauk biasa aje..." ujar Haji Mahfuz, merendah diri.

"Tak apa pak cik. Ini pun dah cukup," balas Izz. Bibirnya mengukir senyuman manis.

"Bila nak balik?" Soal Aliya spontan. Matanya tajam memandang pemuda yang makan tak ingat dunia itu.

"Aliya Marissa!"

Aliya menundukkan mukanya. "Maaf walid."

Irfan tersenyum sinis. Padan muka kau. Mulut macam puaka. Puas hati aku.

Aliya menggigit bibir apabila terpandang senyuman manusia di hadapannya. Dia ni memang nak makan pinggan aku ke? Meluatnya! Daripada minat kau, terus reject! Hampeh. Perangai tak semenggah. Muka suci la konon depan orang lain. Hipokrit.

"Pak cik mintak maaf bagi pihak anak pak cik ya?" Ucap Haji Mahfuz sambil menjeling tajam ke arah Aliya.

"Tak apa pak cik. InshaAllah, lepas solat zuhur kami baliklah." Balas Izz.

Aliya merenung ke arah pemuda yang baru bersuara tadi. Dia ni lebih sopan. Kacak pula orangnya. Macam ni la calon suami yang dia idam-idamkan.

"Berapa umur anak pak cik ni?" Dengan selambanya Irfan menyoal sehingga menyebabkan Aliya tersedak.

Izz memandang Irfan. Hai, jarang-jarang kau tanya pasal gadis. Tengok anak pak imam ni terus kat terpikat ke?

"Umur anak pak cik ni dua puluh dua tahun. Belajar di Universiti Malaysia Terengganu. Sekarang ni dia cuti." Jawab Haji Mahfuz.

"Oh..." Irfan tersenyum nipis. Muda lagi, tapi perangai gila!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top