BAB 10




            

DATIN Dahlia menarik lengan Irfan menuju ke dalam butik pengantin milik rakannya, Datin Khatijah atau lebih dikenali dengan Datin Kat. Semakin dekat dengan tarikh pernikahan Irfan, dia menjadi semakin teruja. Busana untuknya dan jugak suaminya sudah dibeli semalam. Pada hari ini, fokusnya hanya pada bakal menantu dan jugak anak terunanya.

Irfan Danish hanya menurut. Dia sudah tidak berdaya untuk membantah. Baginya, semakin dekat tarikh pernikahannya, semakin berserabut otaknya. Eh, kejap... lagi berapa hari? Hah, lima hari! Argh...tiba-tiba rasa macam nak tumbang.

"Welcome Datin Dahlia... muah muah..." ujar Datin Kat manja sambil melaga-lagakan pipinya dengan Datin Dahlia.

Irfan segera memegang pipinya. Ish, harap-harap janganlah buat dekat aku macam tu. Boleh goosebumbs seminggu!

"I nak cari baju untuk bakal menantu I dan jugak anak teruna I...I nak suruh anak I yang pilih sendiri, sebab tu I bawak dia..." ujar Datin Dahlia dengan riang.

Irfan pula sudah menayangkan wajah kelat. Ma, baju untuk Irfan... Irfan boleh pilih sendiri. Tapi baju untuk bakal isteri Irfan, mana la Irfan tahu nak pilih. Dahlah banyak gila baju dalam butik ni... rambang mata dibuatnya. Pekerja dalam ni pun, asyik pandang-pandang je... ish, tolonglah jangan call wartawan cakap aku ada dekat sini. Kalau tidak, hangit aku nak kena melayan. Mamat ni pun satu, kenapa tak datang lagi? Izz, cepatlah datang!

"Wah, memang handsome anak you. Patutlah jadi pelakon. Dulu I selalu tengok wajah anak you dekat TV je, tak sangka bila tengok live...lagi kacak," puji Datin Kat sambil meneliti wajah Irfan.

Irfan mula tersengih seperti kerang busuk. Belakang tengkuknya dipegang. Apasal mak datin ni tenung aku macam ni? Tak selesa betul.

"Anak I, kan... haa, mana baju yang you cakap baru sampai tu? I tak sabar nak tengok..." soal Datin Dahlia teruja.

"Ada dekat dalam ofis I, I simpan untuk you. Bakal menantu you mesti cantik kan?"

"Cantik... muka putih bersih. Pertama kali I lihat wajah dia, terus terpikat. Dia memang sesuai dengan anak I," ujar Datin Dahlia seraya memegang bahu Irfan.

Irfan hanya mampu mempamerkan senyuman plastik. Tapi dalam hati, cantik sangat ke? Puji melangit. Bebel Irfan di dalam hati.

"Tapi kenapa buat majlis tertutup? Kalau tidak, mesti pernikahan anak you akan jadi wedding of the year!" Datin Kat berkata kuat.

"Ini permintaan bakal menantu I, dia nak majlis yang simple je..." jawab Datin Dahlia seraya mengukir senyuman manis.

Mata Irfan tertancap pada mamanya. Bakal isteri aku pun nak majlis yang simple je? Pelik...

"Okey, jom... masuk dalam ofis I." ajak Datin Kat.

Datin Dahlia mengangguk. Lengan Irfan ditarik.

"Mama masuklah... Irfan nak tengok-tengok dulu baju dekat luar ni."

"Ha... tak apa, biar dia duduk sini... you masuk dulu dengan I," celah Datin Kat.

Irfan menghantar kelibat mereka dengan pandangan matanya. Keluhan kecil dilepaskan. Rambut diraut ke belakang. Serabut aku dibuatnya! iPhone dikeluarkan lantas melabuhkan punggung di atas kerusi kayu jati berukiran cantik yang tersusun elok di sudut kanan butik itu.  Nombor Izz didail.

"Kau kat mana ni? Nanti kalau wartawan datang, tanya aku macam-macam, masak aku..." bebel Irfan setelah talian bersambung.

"Kau jawab ajelah apa yang patut... aku on the way ni..."

Mamat ni kan... membebel mengalahkan perempuan! Desis hati Izz.

"Masalahnya aku tak tau nak jawab apa," sahut Irfan sambil  memandang sekeliling, "Kalau diorang tanya aku kenapa tiba-tiba aku nak kahwin... macam mana?" Dia berbisik perlahan. Bahaya jugak kalau pekerja di butik ni dengar.

"Yelah, sabar kejap... aku dah nak sampai ni." Talian segera dimatikan.

Isy, tak sempat aku nak buat pesanan penaja dia dah letak? Huh! Irfan memandang sekeliling. Dulu, aku pakai baju pengantin sebab berlakon. Sekarang, aku pakai baju pengantin sebab nak kahwin.  Irfan tertunduk lantas memegang belakang tengkuknya. Peningnya bila aku fikir pasal ni!

"Hai..." tegur satu suara.

Irfan mengangkat kepalanya. Eh, apa dia buat di sini?

"You buat apa dekat sini..."

Irfan bangun. Dahinya dikerutkan. Ni butik pengantin, dia buat apa di sini? Takkanlah nak kahwin kut?

"I ikut you. I ingat you bawa bakal wife you datang sinitapi, you tak bawak. I nak tengok jugak siapa wanita yang dah berjaya curi hati you sebab dalam paper ada tulis yang you dah jatuh cinta dengan perempuan tu." ujar Elisa panjang lebar.

Dia betul-betul terkejut ketika membaca akhbar tempoh hari. Punah segala harapannya untuk memikat Irfan. Dulu dia pernah cuba untuk mendekati Irfan ketika mereka bersama-sama bergandingan dalam sebuah drama. Namun Irfan tidak melayannya.  Tidak layakkah dia untuk bergandingan dengan Irfan? Dia pun selebriti jugak, sama macam Irfan. Cantik pulak tu.

Irfan mengetap bibir. Mama, kenapalah mama cakap yang Irfan jatuh cinta pulak?

"Macam mana career you sekarang? Okey?" soal Irfan sekadar ingin menukar topik.

"So far so good. Banyak tawaran berlakon yang I dapat. Kadang-kadang I terpaksa tolak sebab jadual I dah penuh..."

Bibir Irfan mengukir senyuman nipis sehingga menampakkan kedua-dua belah lesung pipitnya.

Elisa tergamam. Indah. Kenapalah dia tak terpikat pada aku?!

"Rezeki you..." tutur Irfan perlahan.

"Apa nama bakal wife you?" Hati Elisa sudah dicuit perasaan cemburu. Cemburukan bakal isteri Irfan kerana berjaya memiliki lelaki ini!

Erk! Irfan menggaru kepalanya. Nama bakal isteri aku apa ye? Hari tu mama ada cakap. Erm... hmm... haa! Aliya.

"Namanya Aliya Marissa."

Belum sempat Irfan menjawab, terdengar satu suara menjawab soalan Elisa.

Elisa berpaling memandang Datin Dahlia, begitu juga dengan Irfan.

Namun Irfan memandang memandang mamanya tanpa berkelip. Otaknya mula menghadam nama yang baru disebut mamanya. Aliya Marissa? Macam pernah dengar aje nama ni. Tapi aku dengar dekat mana?

"Apa khabar aunty?" tegur Elisa lembut.

"Alhamdulillah sihat." Datin Dahlia mengukir senyuman nipis, "Irfan, mama dah tengok baju tu... cantik! Kamu kena tengok... jom!" ajak Datin Dahlia seraya menarik lengan anaknya. Kalau ikut hatinya, ingin saja dia memarahi Irfan. Kalau orang lain nampak, pasti timbul gosip. Siapalah tak kenal dengan pelakon bernama Elisa. Dah banyak gosip pasal dia terbit di dada akhbar, Irfan pun dah pernah digosipkan dengannya dulu.

Irfan hanya menurut. Baik dia ikut mamanya daripada berborak dengan Elisa. Bahaya.

Mereka masuk ke dalam ofis Datin Kat.

Irfan ternganga. Banyaknya baju!

"Irfan sayang, ini bajunya. Cantik tak?" soal Datin Dahlia sambil menunjuk sepasang jubah muslimah yang pada pendapatnya sangat cantik, mempersonakan.

Mata Irfan tidak berkelip memandang jubah berwarna putih itu. Manik-manik berkilauan keliling leher baju dan pergelangan tangan. Simple, tapi sangat cantik. Mungkin kerana corak daripada manik-manik berbentuk bunga membuatkan jubah ini nampak mempersonakan. Menurut mama, bakal isteri aku cantik. Kalau dia pakai jubah ni, mesti lagi cantik.

"Irfan..."

"Haa? Apa ma?" soal Irfan terpinga-pinga.

"Apa kamu ni? Mengelamun pulak. Kamu setuju tak kalau pilih baju ni?" soal Datin Dahlia ingin tahu.

"Setuju, cantik baju ni..." puji Irfan.

"See, I dah cakap... anak you ni ada taste, mesti dia suka dengan baju ni..." ujar Datin Kat pula.

Datin Dahlia tersenyum. Mama akan pastikan Aliya tawan hati kamu bila dia pakai baju ni. Kamu pasti terpegun.

"Err, mama... Irfan keluar dulu... Irfan tunggu di depan."

Selepas mendapat anggukan dari Datin Dahlia, Irfan terus mengangkat kaki dari ofis itu dan menuju ruang hadapan butik. Kelihatan Izz Raiyan sudah berada di butik dan sedang bercakap di talian.

Irfan berdiri sambil cuba mendengar perbualan Izz. Belum sempat dia memasang telinga, talian dimatikan. Izz pusingkan badannya ke belakang dan sedikt terkejut apabila memandang Irfan berdiri tegak di belakangnya.

"Siapa call?" soal Irfan ingin tahu.

"Lagi mau tanya? Wartawanlah..." jawab Izz kuat.

"Haa, kali ni kenapa pulak?"

"Kau jumpa Elisa tadi di sini kan? Ada orang report dekat wartawan. Sekarang dah timbul spekulasi yang kau sebenarnya nak kahwin dengan Elisa... siap cari baju pengantin bersama-sama lagi..."  jawab Izz panjang lebar.

"What?! Ish, cepatnya berita tersebar. Wei, even Elisa tu perempuan terakhir yang ada dekat dunia ni, aku takkan pilih dialah untuk kahwin dengan aku!" jerit Irfan kuat.

"Weh! Cakap tu slow-slow boleh tak? Kau tau tak kau sekarang di tempat awam?" marah Izz.

Irfan meraup mukanya. Lupa! Yang dia berada di tempat awam. Matanya liar memandang sekeliling. Terdapat beberapa gadis mencuri memandangnya dari luar butik. Begitu juga dengan pekerja di dalam butik ini. Hope diaorang tak dengar lah apa yang aku cakap tadi.

"Aku..." kata-kata Irfan terkunci apabila seorang gadis datang kepadanya.

"Abang, mintak maaf sebab ganggu abang, saya nak autograph boleh?" ujar gadis itu sambil menghulurkan sebuah buku nota dan pen. Senyuman manis terukir pada wajahnya.

Serta-merta Irfan mempersembahkan senyuman manis. Dia sesekali tidak akan menghampakan peminatnya.

"Boleh... boleh. Adik nama apa?" soal Irfan lembut.

"Aisyah"

"Okey Aisyah. Nah... abang dah sain..." Irfan menghulurkan buku nota dan pen milik gadis itu.

"Terima kasih abang... dan, tahniah sebab abang nak kahwin..." ujar gadis itu sebelum keluar daripada butik.

Tiba-tiba Irfan seperti tersedar sesuatu.

"Wei Izz... kau pernah dengar nama Aliya Marissa tak?" Irfan memandang tajam wajah pembantu peribadinya.

Izz mengerutkan dahi. Nama tu... hmm, macam pernah dengar... nama siapa ek? Beberapa saat kemudian, Izz memetik jarinya berkali-kali.

"Bukan ke tu nama anak pak iman yang kita tumpang rumah dia hari tu?" jawab Izz selamba.

"Hah!" mata Irfan membulat.

"Kau dah kenapa?"

"Rumah bakal isteri aku di Kedah dan nama dia Aliya Marissa!"

Izz memandang Irfan tanpa berkelip. Kemudian sengihan  nakal mula menghiasi wajahnya.

"Wei, entah-entah, kau kahwin dengan anak pak iman tu!"

"Mengarut!"

Irfan mengetap bibir. Arghh! Kenapa aku rasa macam tak sedap hati aje ni? Kenapa sama pulak ni?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top