BAB 1
SEDAR tidak sedar, dua bulan sudah berlalu. Kini, aku bangkit untuk meneruskan hidup. Aku sudah penat bermain dengan air mata. Aku sudah lelah berteman dengan kesedihan. Lalu hari ini, aku tekad untuk bangun. Kisah lama akan kulupakan. Selagi aku mampu meniupkan kekuatan dalam diriku, selagi itulah aku akan terus bangun dari jiwa yang suram.
Langkahku dibawa penuh karisma masuk ke dalam bangunan gergasi ini. Sebaik sahaja kakiku memijak lantai, berpuluh pasang mata memandang empunya diri ini tanpa kerlipan. Barangkali mereka dilanda keanehan melihat aku di sini.
Benar! Aku sudah sedia maklum bahawa semua kakitangan di syarikat ini sudah tahu tentang kesulitanku menganggung sakit selama dua bulan. Aku telah mengalami kemurungan. Oleh sebab itulah mata mereka terpahat lama pada diriku.
Tetapi, aku malas melayan puluhan stigma aneh tersebut. Aku hanya buat tidak endah sahaja. Senyuman penuh keyakinan aku tayangkan pada mereka sebelum aku atur langkah panjang menuju ke arah lif yang dikhaskan buat VVIP.
Tatkala batang tubuhku sepenuhnya terisi di dalam lif, terus tangan ini aku gerakkan sepantas kilat menekan punat nombor 20. Aku menanti sahaja di dalam lif itu sehinggalah ia berhenti di tingkat 20 atas arahan lif. Nafasku ditarik dan dihembuskan perlahan. Lalu, aku melangkah keluar dari elevator canggih ini.
Saat kaki berjalan melintasi meja pekerja satu demi satu, dapat aku lihat semua pekerja berdiri menyambut kehadiranku. Seperti tadi, aku hanya tersenyum sebagai balasan. Senyuman penuh yakin.
Melangkah, melangkah dan melangkah.
Tiba di satu tempat, otakku memberi arahan drastik untuk berhenti berjalan. Kini, aku berdiri betul-betul di hadapan sebuah bilik berdinding kaca. Serta-merta batinku terusik sesuatu. Ini pejabat arwah Dato' Ezad. Pejabat sama yang selalu aku dan arwah Datin Aliya makan tengah hari menemani arwah daddy jika aku pulang ke Malaysia. Beribu kenangan kami hidupkan di dalam bilik ini.
"Kau perlu bangkit." Aku bermonolog sendiri apabila merasakan benteng kekuatan yang aku bina ini hampir runtuh. Lantas, tanganku naik ingin menolak daun pintu. Namun, saat aku mahu masuk ke dalam bilik pejabat, aku dengar namaku diseru dari belakang.
"Intan..."
Kuntuman nipis mula terbentuk pada ulas bibirku. Garis yang digelar senyum, mula terukir saat mendengar suara lunak itu menegur. Sepantas kilat, aku menukar tapak memusingkan badanku ke arah si empunya suara.
"Hai, kak Linda," seruku bersama senyuman yang masih tidak lekang dari bibir.
Itu Linda, kakak sepupuku. Dia anak yatim piatu. Aku sangat rapat dengannya. Sewaktu aku mengalami kemurungan, dialah yang membantu aku menguruskan syarikat peninggalan keluarga. Dan Linda juga merupakan pemegang saham kedua terbesar di Pearls Global selepas aku. Linda antara orang yang sangat aku percaya. Jadi, menyerahkan tanggungjawab sebesar ini kepadanya, langsung aku tidak risau walau sekelumit pun.
"Intan datang?" Linda menyoal. Wajahnya jelas terkejut.
"Intan tak boleh lemah," balasku lembut.
Semerta, ingatanku berputar bagaikan compact disk. Ia melayangkan memoriku ke arah peristiwa malam dua bulan lepas. Malam aku bertemu dengan seorang jejaka misteri. Mengingatkan itu membuatkan telingaku tembus dengan nasihatnya bahawa aku tidak boleh lemah. Ia masih terngiang-ngiang di halwa pendengaranku sehingga ke hari ini. Aku bangkit kerana itu. Seperti kata si dia, aku tidak boleh lemah.
"Sorry kak. Intan banyak susahkan akak. Sepatutnya Intan tak boleh lepas tangan macam tu je," sambungku dengan pintaan berbaur ampun.
Linda tersenyum halus. Izhar, aku dapat lihat dari sorotan matanya bahawa dia gembira melihatku kembali.
"Tak apa. Akak faham. Benda berlaku depan mata Intan. Kalau akak jadi Intan, akak pun akan ambil masa untuk tenangkan diri." Linda membalas lembut. Begitu tenang aku mendengar suaranya. Sememangnya Linda merupakan sepupu yang baik. Yang memahami aku hanya dia, Linda.
"Intan masuk dulu ya, kak," pamitku.
Lantas itu, aku memusingkan badanku kembali. Daun pintu aku tolak sedikit. Terus sahaja retina mataku menangkap ruang pejabat peninggalan arwah daddy. Hatiku sekali lagi ditandang rasa sebak.
Serentak itu, aku cuba menggapai semangat dan aku tanamkan azam bangkit di dalam diri. Menghalang rasa sebak itu dari terus menghimpit belahan jiwa, wahana sanubari.
"Intan, sekejap." Linda memanggil kembali.
Aku yang ketika itu baru sahaja mahu mengatur langkah, terpaksa berhenti. Segera aku tolehkan wajah memandang Linda. Alis keningku terangkat sebelah. Memberi tanda bahawa aku menanti bicara lanjut dari Linda.
"Er... sebenarnya akak..." Linda terjeda di situ. Bibir bawahnya digigit lama.
Aku masih menanti seperti tadi. Ekspresi wajah Linda tampak serba salah walhal jelas ketara bahawa dia seakan mahu memberitahuku sesuatu.
"Tak ada apa. Intan masuklah pejabat. Mesti Intan banyak kerja, kan?"
Dahiku berkerut aneh. Aku tahu, Linda mahu mengatakan sesuatu. Masakan tidak jika dirinya kelihatan bak cacing kepanasan. Barangkali ada hal penting yang mahu dia maklum tetapi dia bimbang aku melatah. Hanya itu telahan yang bisa aku teka.
Akan tetapi, aku tidak boleh hanya meneka di dalam hati. Sebagai majikan merangkap sepupu Linda, aku harus mencari tahu juga kendati apa pun yang terjadi.
"Akak, cakap," pintaku bersama nada separa tegas.
"Tak apa, mungkin lain kali."
"Sekarang, Kak Linda," gesaku lagi. Keras!
Linda kelihatan teragak-agak untuk bersuara. Dia memandangku dengan beribu perasaan.
"Akak cuma nak ucapkan tahniah." Itu jawab Linda.
Keningku spontan terangkat sendiri. Aku tak rasa kata bangga itu yang dia ingin zahirkan. Aku yakin dia sengaja mengalih kata. Linda tidak boleh menipu aku kerana angin bersiru, aku tahu.
"Tahniah sebab Intan kuat dan ada usaha untuk sambung perniagaan uncle Ezad," kata Linda lagi.
Semakin lebar bibirku menguntum senyuman. Sah! Linda ada sorokkan sesuatu daripada aku. Kalau tidak, dia takkan bercakap sambung-sambung seperti itu.
"Bukan tu yang akak nak cakap, kan?"
Linda mengeluh perlahan. Dia merenung mataku. Dalam benar tembusan retina matanya pada mata aku.
"Akak tak nak fikiran Intan kacau. Intan masih trauma,"
Memang! Sudah aku agak memang itu balasannya. Pasti ada sesuatu yang berat berlaku. Lihat sahaja dari memek mukanya, dia tidak sampai hati untuk memberitahu aku.
Huh, Biarlah! Aku malas banyak soal lagi. Juga tidak mahu menambahkan serba salah di hati Linda. Biarlah dia beritahu aku apa yang terpendam di dalam benak fikirannya itu sewaktu dia sudah bersedia.
"Tak apa la kak Linda. Kalau akak masih tak yakin nak bagitahu Intan... sokay. Mungkin sekarang bukan waktunya lagi. Lain kali ya, kak? Intan tak paksa." Tenang dan halus nada suaraku. Aku tak mahu menghukumnya tanpa alasan.
Mendengarkan itu, wajah Linda berubah tenang. Kornea mataku menjadi saksi, gegendang telingaku membuka bunyi; Linda menghembuskan nafas lega. Biarlah. Linda sudah banyak tolong aku. Jika muncul waktu yang elok nanti, tentu dia akan berkongsi kekusutannya itu baik masa atau waktu, cepat atau lambat.
***
I see what is invisible but I was unconsciously blind
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top