Sudut Pandang 1 (Pov 1)
Nota dari TUN INDAH.
Ia juga membawa maksud sudut pandang orang pertama.
Biasanya menggunakan kata ganti diri "aku" atau "saya" atau juga "kami" (jamak).
Watak utama biasanya menjadi pandu arah bagi penulis yang menggunakan teknik ini.
Sudut Pandang 1 ada 2 cara.
Sudut Pandang Orang Pertama (Watak Utama)
Sesuai dengan gelaran Watak Utama. Penulis biasanya akan menulis cerita dari sudut pandang watak utama. Untuk teknik ini, penulis harus memahami luar dan dalam watak utamanya.
Segala hal yang berkaitan dengan watak utama seperti cara pemikiran, perasaan, tingkah laku, atau kejadian yang berlaku ke atas "aku" akan digambarkan pada cerita tersebut. Cerita itu akan fokus kepada watak "aku" yang menjadi pemandu arah untuk cerita itu.
Contoh sudut pandang 1 Watak utama:
Aku semakin buntu untuk mencari keluar dari sini. Semua jalan keluar dikawal rapi, bagaimana mungkin untuk aku keluar dari sini tanpa dikesan oleh sesiapa? Apa harus aku lakukan? Demi Tuhan aku perlu keluar dari sini bagi mencari bukti dan pembunuh sebenar. Aku perlu buktikan, bukan aku yang bunuh dia!
Sudut Pandang Orang Pertama (Watak Sampingan)
Untuk teknik ini, watak "aku" hadir bukan sebagai watak utama. Ia tidak lain untuk menguatkan lagi jalan cerita dan peranan watak utama di dalam cerita tersebut.
Selain itu, kehadirannya juga berfungsi untuk memberikan penjelasan lebih jelas tentang cerita kepada pembaca.
Beza dengan watak utama yang hanya menceritakan tentang dirinya sendiri dengan lengkap dan dinamik. Manakala watak sampingan pula dijadikan sebagai saksi atau penjelas kepada peristiwa yang terjadi kepada watak utama yang tak mampu untuk watak utama rungkaikan.
Contoh sudut pandang 1 watak sampingan:
Brak!!! Aku berpaling ke arah pintu itu. Herman cuba lari dari kawalan pihak berkuasa. Tidak tahukah dia yang tindakkan itu hanya akan menambah curiga polis terhadapnya. Aku tahu Herman bukan pembunuhnya kerana semasa kejadian itu dia ada bersama aku. Lagi pula, semua orang tahu Herman fobia terhadap darah. Masakan orang sepertinya boleh menjadi pembunuh? Tak logik!
Kelebihan sudut pandang 1 ini adalah pembaca merasa lebih dekat dengan jalan cerita. Malah mereka merasakan seperti merekalah watak utama dalam cerita itu. Dan cerita menjadi lebih menarik untuk dibaca.
Kelemahan pula adalah sudut pandang ini adalah terbatas kerana ia hanya berkisar cerita watak utama sahaja. Jadi banyak peristiwa dan watak lain tidak dapat ditonjolkan dengan lebih terperinci.
Penulis yang memilih untuk menggunakan teknik ini harus punya daya kreativiti yang tinggi. Olahan perlulah pelbagai supaya jalan cerita tidak membosankan.
Saya secara peribadi kagum dengan mereka yang mampu menulis cerita dengan menggunakan sudut pandang 1. Saya sendiri tidak lepas menggunakan teknik ini untuk menulis sebuah cerita. Kalau cerpen itu biasa. Jujurnya, tak mudah.
Jadi, sampai sini sahaja nota saya. Jika ada kekurangan boleh ditambah. Jika ada kemusykilan boleh tanya di ruang komen.
Semoga ia bermanfaat untuk semua.
#senangnyamenulis
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top