BAB 5
AIR MATA Hawa masih mengalir di pipi. Sudah empat hari Tok Zin meninggalkan dia. Hati Hawa remuk. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Kenapa Tok Zin yang pergi dulu? Kenapa bukan nyawanya saja yang diambil? Tanpa Tok Zin, bagaimana dia mahu meneruskan hidup? Dengan siapa dia mahu bersandar?
Pintu bilik Hawa diketuk dari luar.
"Mak Inah masuk ya?"
Sapaan Mak Inah membuatkan Hawa segera menyeka air mata di pipi. Mendengarkan pintu bilik dikuak, Hawa menoleh ke arah itu.
"Hawa, sekejap lagi tok imam datang. Tetamu pun dah ramai yang datang. Hari ni lebih ramai yang datang untuk tahlil arwah. Hawa bersiap-siaplah dulu."
Hawa mengangguk lemah.
Setelah Mak Inah menutup daun pintu, Hawa cuba bangun dari katil. Hampir-hampir sahaja dia rebah apabila kakinya tidak mampu menampung berat badannya. Siang tadi dia menolak ajakan Mak Inah untuk makan tengah hari. Kerana itu tubuhnya jadi kurang bermaya.
Perlahan-lahan, Hawa mencari tuala di penyangkut tuala. Dia menuju ke bilik air. Apabila pintu bilik air dibuka, baru dia perasan yang air paip belum ditutup. Walaupun tidak deras, air yang mengalir melimpah sehingga membasahi lantai.
Ketika Hawa mahu menutup paip, entah bagaimana kakinya tersandung sehingga dia jatuh tertiarap di atas lantai. Dagunya terhentak dan dada Hawa terasa senak.
"Allah.... Mak Inah...." Bibir Hawa merintih. Seruan Hawa seakan tersekat di kerongkongnya.
Hawa cuba untuk berdiri tetapi kepalanya tiba-tiba pening dan tubuhnya hilang imbangan serta-merta.
Dia tidak tahu berapa lama dia terbaring di lantai itu sebelum mendengar sayup-sayup suara Mak Inah mengucap panjang. Hawa dengar Mak Inah menjerit meminta pertolongan. Dia terasa tubuhnya diangkat seseorang.
MAK INAH mengesat air mata agar tidak jatuh ke pipi. Tisu di tangan sudah lembab dengan air hingus. Sayu hati Mak Inah melihat Hawa diduga sebegini rupa. Wajah pucat Hawa benar-benar kelihatan tidak bermaya. Silapnya juga tidak memaksa Hawa mengambil sarapan dan makan tengah hari. Doktor kata gula dalam badan Hawa sangat rendah dan menjadi punca Hawa pitam di dalam bilik air.
Banyak perkara yang bermain dalam kepala Mak Inah. Bagaimana dengan Hawa selepas ini? Hawa tidak mungkin dapat menguruskan empayar perniagaan Tan Sri Nazin dengan kekurangannya. Malah Mak Inah dapat membayangkan ramai orang akan mengambil kesempatan terhadap Hawa. Tapi dia sendiri tidak punya kudrat untuk membantu Hawa. Mak Inah tahu mengemas rumah saja, bukan menguruskan sebuah perusahaan besar. Orang-orang penting Tan Sri Nazin pun belum tentu ikhlas berkhidmat untuk Hawa.
Mungkin Hawa patut menjual perniagaan Tan Sri Nazin dan menyimpan duit di dalam bank agar lebih selamat dari manipulasi orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mak Inah rasa itu saja cara yang paling bernas buat masa sekarang. Pun begitu, dia tidak akan menyuarakan pendapatnya pada Hawa. Terpulanglah kepada Hawa untuk menguruskan segala peninggalan Tan Sri Nazin untuk gadis itu. Yang penting sekarang, Hawa perlu menjaga kesihatan.
"Mak Inah..."
Mak Inah bergerak mendekati Hawa ketika mendengar Hawa menggumam namanya.
"Ya, Hawa. Mak Inah ada kat sini."
Hawa mencelikkan mata perlahan-lahan. Seperti payah betul Hawa nak menggagahkan diri untuk sedar semula.
"Hawa kat mana ni?"
"Kat wad, Hawa."
"Oh... mana Tok Zin?" soal Hawa lemah.
Mak Inah beku. Pasti Hawa lupa datuknya telah tiada di dunia ini. Semakin sebak perasaan Mak Inah dengan keadaan Hawa.
"Hawa, tok Hawa dah tak ada." Tidak semena-mena, Mak Inah mengongoi gagal menahan sebak. Hatinya meratapi perkara yang terjadi. Tapi siapa dia untuk melawan takdir?
"Tok tak ada..." Hawa terus bangun dari perbaringannya. Dia mula teringat beberapa hari yang lepas, dia telah kehilangan satu-satunya keluarga yang dia masih ada.
"Hawa sabar ya, insya-Allah kita doakan tok Hawa ditempatkan dalam kalangan orang beriman." Mak Inah memeluk tubuh kurus Hawa. Diusapnya belakang tubuh Hawa berkali-kali, mahu berkongsi segala rasa yang dirasakan oleh gadis itu.
"Tok..." Air mata Hawa jatuh lagi ke pipi. Dia meratap. Hatinya mula digigit rasa sepi.
"Mak Inah, Hawa nak ikut tok. Hawa tak nak tinggal sendiri..."
Mak Inah memejamkan mata rapat-rapat. Dia teresak-esak mendengar kata-kata Hawa yang mencengkam naluri keibuannya.
"Allah sayangkan tok Hawa, dah sampai masa tok Hawa untuk kembali kepada-Nya. Allah sayangkan Hawa, insya-Allah nanti Allah hadirkan orang-orang yang menyayangi Hawa seperti mana tok Hawa sayangkan Hawa. Jangan macam ni... Hawa kena kuat. Hidup perlu diteruskan. Mak Inah kan ada? Mak Inah akan selalu ada dengan Hawa."
Kata-kata Mak Inah tidak sedikit pun berbekas di hati Hawa. Selama ini hidupnya malap. Dan hari ini walau segaris cahaya pun langsung tidak kelihatan. Hidupnya terasa gelap-gelita. Seperti gelitanya pandangan matanya saat ini.
"Tok janji akan selalu ada dengan Hawa... Hawa nak ikut Tok Zin...."
"Hawa... mengucap, nak. Ingat Allah. Tiada satu pun makhluk yang diberi ujian itu dizalimi. Melainkan Allah nak kita kembali ke jalan-Nya. Dengan mengingati Allah, hati kita tenang dan lapang. Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya."
Tapi pujukan Mak Inah hanya sia-sia. Hawa tidak berhenti menangis sehingga gadis itu tertidur kepenatan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top