BAB 2
"TOK ZIN baru balik?" Hawa bertanya apabila mendengar bunyi tapak kaki datuknya.
Tok Zin tidak jadi mahu melangkah naik ke tingkat atas apabila ditegur oleh Hawa. Sebenarnya dia tidak mahu mengganggu fokus Hawa mendengar rancangan bual bicara di televisyen. Hobi Hawa petang-petang begini adalah mendengar ceramah-ceramah yang ditayangkan di kaca televisyen.
"Ya, baru habis program kat maahad tadi. Bonda Mia ada tanya pasal Hawa tadi. Tok Zin beritahu Hawa tak sedap badan, sebab tu tak ikut serta."
Hawa mengangguk. Perlahan saja. Memang dia tidak sedap badan sejak pagi tadi gara-gara hari pertama datang haid. Rasa bersalah juga kerana tidak ikut serta sedangkan dia yang beria-ia mahu ke Maahad Iman sejak minggu lepas. Dia seronok ke maahad itu kerana tempat itu menempatkan anak-anak yatim kurang upaya, yang senasib dengan dirinya. Cuma Hawa bernasib baik kerana dilahirkan dalam keluarga yang kaya.
Tok Zin adalah sponsorship utama Maahad Iman. Sejak dia dijaga oleh Tok Zin, datuknya itu selalu membawa Hawa ke Maahad Iman untuk bergaul dengan kanak-kanak di sana. Sejujurnya, kerana Maahad Iman juga Hawa sering beringat bahawa dia terlalu bertuah kerana mempunyai Tok Zin. Walaupun dia buta, Tok Zin tidak membuang dirinya dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
Tok Zin selalu berpesan kepada Hawa, kekurangan Hawa sekarang ni tidak seharusnya dijadikan alasan untuk Hawa rasa kurang berbanding orang lain. Allah dah aturkan takdir setiap makhluk-Nya. Dan tiada satu makhluk pun yang tersalah takdir. Maka, dia sebagai hamba perlu beriman dengan takdir Allah. Cuma kadang kala, Hawa tidak dapat lari daripada perasaan bersalah kerana menyusahkan orang-orang di sekelilingnya.
"Ada cikgu baru masuk mengajar kat Maahad Iman hari ni." Tok Zin duduk di sofa bersebelahan dengan cucunya.
"Ya ke? Ganti Ustazah Naimah yang berpindah tu ya, tok?"
"Tapi katanya sekejap aje. Dalam setahun aje kontraknya. Kata cikgu tu nak sambung belajar lagi tahun depan," jawab Tok Zin bersahaja.
"Oh... syukurlah dah ada yang ganti tempat Ustazah Naimah. Sempatlah Bonda Mia cari pengganti yang baru dalam tempoh setahun ni." Hawa mengukir senyuman senang.
Bukan mudah untuk mencari cikgu sekarang ni. Lebih-lebih lagi guru yang sanggup berkhidmat untuk kanak-kanak kurang upaya. Ada yang buta, ada yang bisu, ada yang cacat anggota tubuh badan.
"Cikgu Asyraf namanya. Sebaya dengan Hawa rasanya. Tok jumpa sekejap aje dengan dia. Tok tengok baik budi budaknya. Suka senyum dan pandai layan budak-budak."
Hawa seronok mendengar cerita Tok Zin. "Ya ke? Teringin pula Hawa nak jumpa dia," luah Hawa.
Tok Zin senyum. "Hawa nak jumpa dia ke? Minggu depan kita pergi sana, nak? Tok nak belanja budak-budak makan masa cuti maal hijrah nanti."
"Seganlah Hawa." Hawa menolak. Bimbang Tok Zin salah anggap dengan niatnya pula.
"Nak segan apa? Ke Hawa dah jatuh suka dengan Cikgu Asyraf?"
Hawa terhibur mendengar kata-kata Tok Zin. "Takkan boleh nak jatuh suka, tok... jumpa pun tak pernah."
"Tok nak cakap aje... Cikgu Asyraf tu kacak orangnya..." ucap Tok Zin sengaja mengusik.
Hawa yang mendengar, tersipu-sipu malu. "Ada-ada ajelah tok ni. Tok pergilah berehat dulu. Tak lama lagi nak maghrib."
Tok Zin bangun dari duduk. Dipandangnya wajah Hawa dengan senyuman lebar. Ada perancangan yang mula terpeta di dalam kepalanya. Jika Hawa mahu, dia tidak teragak-agak untuk bertanyakan status Cikgu Asyraf. Sudah tiba masanya Hawa menjadi isteri orang. Selain daripada kekurangan pancaindera mata, Hawa sebenarnya sangat sempurna. Putih, manis, lemah lembut, memiliki sifat yang tenang dan berhemah dalam setiap tindakan. Lagipun pembedahan mata Hawa dijadualkan dalam setahun atau dua tahun ini. Jika berjaya, mata Hawa akan kembali boleh melihat.
Tidak sabar Tok Zin mahu melihat Hawa hidup seperti orang lain. Hatinya sayu kerana Hawa tidak membesar seperti orang lain. Sudah 15 tahun Hawa hidup tanpa penglihatan yang sempurna. Ini bermakna 15 tahun juga dia kehilangan anak perempuannya. Mujurlah Hawa masih dipinjamkan oleh Allah. Jika Hawa juga pergi bersama anak dan menantunya, Tok Zin tak sanggup!
"Tok naik dulu. Hawa pun pergilah mandi. Nanti kita solat jemaah kat bilik solat." Tok Zin melangkah meninggalkan Hawa.
"Baik tok," balas Hawa.
Tangannya digerakkan ke atas meja tamu. Diraba-raba permukaan meja tamu itu sehingga jari-jemarinya menyentuh remote control televisyen.
Dia perlu segera membersihkan diri kerana tidak mahu Tok Zin tertunggu-tunggu dirinya nanti.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top