BAB 10
RONUWELL GALILEO ROMERNEO. Lelaki berdarah Cina-Iban itu menjadi perhatian beberapa mata. Tinggi. Berkulit cerah. Wajahnya kelihatan maskulin dan bersih. Tiada cacat di mana-mana. Cuma mata yang sepet itu saja yang memberikan sensasi perasaan sinis. Masing-masing tidak berkutik apabila dia muncul dalam mesyuarat lembaga pengarah, mewakili RG Trading.
Dalam mesyuarat tadi, suaranya yang paling lantang menyatakan pendapat dan hala tuju perusahaan Zin Corporate. Malah Leo tidak segan silu mahu Zin Corporate memberikan tender pembekalan bahan bidaan kepada RG Trading.
Hawa terpempan.
Dari awal mesyuarat sehingga penutup, sepatah kata tidak keluar daripada bibirnya. Dia terasa aura lelaki itu. Dia kenal suara Leo. Cuma dia tidak pasti kenapa orang menggelarkan Asyraf sebagai Tuan Leo.
Usai mesyuarat, Hawa segera kembali ke pejabatnya. Dia cuma mahu mengatur semula cerita yang sudah berselirat dalam kepala.
"Cik nak apa-apa tak?" tanya Farish selepas majikannya itu duduk di kerusi.
Dia memandang wajah Hawa yang masih terpeta rasa terkejut. Dia sendiri terkejut, apatah lagi Hawa. Pasti sukar untuk Hawa menerima keadaan itu. Cik puannya itu langsung tidak tahu apa-apa tentang Leo. Di dalam kepala Hawa, Leo itu hanya seorang guru madrasah. Dan tiba-tiba Leo muncul sebagai salah seorang pemilik syer dalam Zin Corporate.
"Pasal Encik Asyraf Leo tadi..." Suara Hawa hampir tenggelam.
"Betulkan nama dia Asyraf Leo?" sambung Hawa ingin tahu.
"Ya, Asyraf Galileo." Farish membetulkan sebutan Hawa.
"Dia bukan Melayu ke?" tanya Hawa lagi.
Farish tertelan air liur. "Bukan. Dia mualaf."
Baru dua hari mualaf. Itu yang Farouk ceritakan dalam mesej semalam. Dan nama mualaf Leo diambil sempena nama Asyraf. Agar lelaki itu senang dan mudah mendapat tempat di hati Hawa. Sejauh mana keislaman Leo, hanya Allah yang tahu. Hanya Allah yang berhak menghakimi, walau seluruh perasaan Farish langsung meneka keislaman itu hanya pada kertas sahaja.
"Oh... sejak bila dia ada syer dalam Zin Corporate?" Hawa bertanya lagi. Jantungnya berdebar-debar menunggu jawapan Farish.
"Err, tak silap dari tahun lepas." Itu saja jawapan paling selamat Farish boleh lontarkan. Hawa benar-benar percayakan dirinya. Untuk berbohong lebih lagi, Farish tidak punya kekuatan.
"Kenapa saya tak tahu?"
Sebab dia lintah. Getus hati Farish separa sedar.
"Saya pun kurang pasti. Mungkin ada hubungannya dengan arwah tan sri." Farish berharap Hawa percaya dengan kata-katanya dan tidak bertanya lagi.
Wajah tegang Hawa tadi beransur tenang. Jika benar ada kaitan dengan arwah Tok Zin, dia boleh faham kenapa Asyraf ada di sini. Arwah Tok Zin mahu dia bernikah dengan Asyraf. Dan ada kemungkinan arwah Tok Zin sengaja memasukkan Asyraf dalam ahli lembaga pengarah kerana mahu melatih lelaki itu menjadi pewarisnya. Tapi kenapa baru sekarang Asyraf muncul dalam mesyuarat lembaga pengarah? Kenapa tidak dari awal saja? Atau mungkin kerana Asyraf sibuk dengan RG Trading? Arwah Tok Zin berpandangan jauh. Ada kemungkinan Asyraf dilatih dengan bisnes sendiri dahulu sebelum masuk ke dalam Zin Corporate.
"Tak apalah. Maaf bertanya soalan yang bukan-bukan. Encik Farish boleh keluar," kata Hawa kemudiannya.
Farish menundukkan kepala dan berlalu keluar dari bilik Hawa. Sekilas dipandangnya wajah kosong Hawa ketika keluar dari bilik itu.
Buat kesekian kali, hati Farish berbisik. Kasihan!
✨️
Dear reader, seperti yang sedia maklum karya ni dah ada dalam bentuk buku. Entri ni entri last terima kasih banyak sudi layan Hawa dan Asyraf aka Leo di wattpad. 💕
Cute jeee 😊
Ig @rinsyachasiani
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top