BAB 1 PART 1

SAMPAI ke rumah, aku cepat-cepat turun dari bas. Hari ini sekolah sampai pukul lima petang sebab ada GERKO. Penat sangat rasanya. Dah lah lepas ni kena siapkan banyak homework. Tak siap karang ada yang kena suruh menyalin lapan set teks yang sama. Aku dah serik sangat dengan Cikgu Mus, guru Kimia yang paling terkenal dengan sistem dendaannya. Kalau tak siap lapan set, dia akan naikkan jadi 16. Jadi lebih baik siapkan aje sebelum denda menyalin set tu digandakan dan nama akan naik dalam sistem demerit.


"Ara..."


Aku menoleh apabila namaku dipanggil. Melihat Zahari yang tinggi lampai macam galah tu dah buat dahi aku berkerut tipis.


"Kau berhenti kat sini ke? Rumah kau kan jauh lagi?" Aku bertanya dengan rasa keliru.


Setahu aku, rumah dia dalam 5 km dari sini. Takkan dia nak joging 5 km kot?


"Aku nak pinjam buku rujukan Biologi kau boleh? Buku aku tertinggal kat sekolah." Dia tersengih-sengih.


"Aku pun tak bawa." Ada dekat loker di bilik kelas. Lagi pun buat apa nak bawa buku Biologi? Kan esok tak ada waktu Biologi?


"Oh... ya ke?" Dia garu kepalanya.


"Pukul 6 ni. Kau baliklah. Nanti lewat sampai rumah mak kau marah pula." Aku tergesa-gesa menyambung langkah.


"Buku Add. Maths ada tak?" Gigih dia menyaingi langkahku.


Pelik betul Zahari ni. Dia nak ulang kaji malam ni tapi tak bawa buku. Habis tu dia isi apa dalam beg dia?


"Aku ada bawa Kimia dan Fizik tapi aku nak siapkan malam ni. Homework aku tak siap lagi." Aku pandang Zahari sekilas.


Dia ni ketua kelas kita orang. Selalunya dia tak buat perangai macam ni. Sebab yelah... dia kan budak pandai harapan nusa bangsa kat sekolah kami. Dia jenis yang teliti dan skema. Tak pernah lagi dia turun dari bas semata-mata nak pinjam buku rujukan dari aku. Punyalah ramai orang dalam bas sekolah tu, pinjamlah kat orang lain.


"Kenapa kau ikut aku ni?" Soal aku sambil mengerutkan dahi. Tak pasal-pasal hari ni dahi aku duk berkerut memanjang.


Sampai ke simpang rumah aku pun dia masih berjalan kat sebelah aku. Aku panjangkan langkah, dia panjangkan langkah. Aku laju, dia laju. Hah, sudah. Tak kan nak bermalam kat rumah aku kot?


"Ara, kau dah ada boyfriend?" Tiba-tiba dia tanya.


Aku matikan langkah sekejap sebelum menyambung perjalanan. Mau tak terkejut dengan soalannya. Tau dek kawan-kawan aku yang lain, masaklah aku kena bambu. Dia ni bajet hot stuff dalam kelas. 'Jejaka milik ramai' gitu.


"Apasal kau tanya?" Aku melirik ke arah dia.


Eh eh. Dia tengah senyum-senyum seorang diri.


"Tak adalah... Kalau kau tak ada boyfriend, kau couple dengan aku nak?" Soalnya.


Aku macam nak lari pulang ke rumah lepas dengar dia cakap macam tu. Nervous kot! Tak pernah lagi lelaki ajak aku couple. Aku pun memang tak nak couple walau aku pernah minat dengan abang-abang senior. Tu zaman aku hingusan Form 1, Form 2 lah. Sekarang ni tak dan nak minat senior. Aku berpegang dengan falsafah 'bercinta lepas zaman belajar.'


"Nantilah aku fikir. Aku nak habiskan SPM baru fikir couple tak couple. Sekarang ni mak aku suruh belajar, tak boleh bercinta." Sayang juga nak lepaskan peluang jadi girlfriend si Zahari ni. Jadi untuk mengelakkan diri dari rasa terkilan in case dia ada makwe lain lepas aku reject, baik aku buat ayat untuk sedapkan hati sendiri. Kalau dia nak couple dengan orang lain lepas ni, tak adalah aku rasa terkilan sangat.


"Lepas SPM? Lama lagi tu..."


Aku pandang ke arah Zahari. Dah sampai rumah aku pun. "Aku tak nak leka bercinta masa ni. Takut nanti pelajaran entah ke mana. Risaulah! Kau tak apalah, budak pandai. Tak payah belajar pun boleh score. Okay, thank you hantar aku balik rumah." Aku anggap dia hantar aku ajelah sebab dia pun berhenti kat depan rumah aku.


Aku naik anak tangga dan berhenti kat beranda. Apabila tengok dia masih tercegat kat depan rumah, aku buat-buat biasa aje. Padahal jantung aku pun sebenarnya dah berdebar-debar. Ni kalau aku cerita kat kawan-kawan, mau kecoh satu sekolah.


Aku ambil kunci dari beg dan buka pintu. Pagi tadi mak pesan dia orang lewat balik sebab ada kenduri doa selamat kat rumah mak ngah selepas maghrib.


Apabila aku buka pintu, lampu rumah dah terpasang. Aku melingas sebab rasa sesuatu yang tak kena. Tapi melihat lelaki yang berdiri di tepi tingkap tu membuatkan aku menarik nafas lega. Ingatkan siapa dalam rumah ni. Abang aku pun dah balik ke universiti dia. Rupanya Abang Malek, abang dua pupu aku. Mak ayah dia dah lama meninggal. Dari kecil dia diasuh oleh mak ngah. Pelik pula aku bila dia datang ke sini walhal rumah dia ada kenduri doa selamat. Ke dia malas nak tolong, sebab tu lari ke rumah aku?


Tak pelik pun dia kat rumah aku. Sebab dia memang suka melepak dengan abang aku. Tapi bila abang aku tak ada, memang tak pernah dia ke sini. Lagi pun mak dan abah aku tak berapa suka dengan Abang Malek. Mak dan abah tak pernahlah berterus-terang yang mereka tak sukakan Abang Malek. Tapi boleh nampak...


Abang Malek tu memang degil orangnya. Mak dan abah pun banyak kali cakap-cakap pasal Abang Malek. Kata mak abah, murah rezeki mak ngah sebab pelihara dengan sabar budak macam Abang Malek. Yang aku tahulah, dia pergi jual tanah mendiang bapa dia untuk beli motor besar. Walhal tanah tu memang mak ngah pakai untuk bercucuk tanam. Abang aku pun pernah kena marah oleh mak dan abah sebab agak rapat dengan Abang Malek.


"Kenapa abang kat sini?" Soalku sambil membuka stoking.


"Siapa tu? Pakwe ke?" Dia tanya aku balik.


Aku rasa dia maksudkan si Zahari tu. Abang Malek nampaklah kot aku dan Zahari jalan berdua-duaan sampai kat depan rumah.


"Bukan. Kawan sekolah." Aku jawab tanpa berfikir panjang. Aku ingat nak buka tudung tapi teringat pesanan mak, depan sepupu pun aku kena jaga aurat.


"Abang buat apa kat sini?" Aku soal balik soalan tadi. Ingat nak halau dia aje kalau tak ada hal penting.


Mata Abang Malek terus menikam ke arahku. Lain macam aje renungan dia. Aku pelik bila dia ada kat sini. Dan firasat aku pun dah mula bersangka yang tidak-tidak.


"Hantar makanan untuk kau. Tu atas meja."


Oh...


Lega sikit hati aku lepas mendengar alasan Abang Malek. Apalah aku ni. Mentang-mentang orang lain berburuk sangka dan anggap Abang Malek budak bermasalah, tak kan aku nak terpengaruh dengan tanggapan orang ramai terhadap dia juga? Abang aku kata, Abang Malek tu sebenarnya baik. Tapi degil. Dia ada cara pemikirannya sendiri. Aku tak patut fikir yang bukan-bukan pasal dia!


"Abang baru sampai ke?" Soalku sambil meletakkan beg di atas sofa. Aku duduk dan kemudian membuka bekas tapau yang dibawakan oleh Abang Malek.


"Lama dah."


Keningku terangkat sedikit apabila dia duduk di depanku. Dia tenung aku macam ada sesuatu aje.


"Kenapa tengok orang macam tu?" Aku tanya manalah tahu kut-kut dia nak cakap sesuatu ke.


"Makanlah." Dia cakap sepatah.


Aku hela nafas. Suspen betul. Aku pandang Abang Malek sambil mencapai sudu plastik.


Dari segi penampilan, Abang Malek ni macam orang keluar dari penjara. Sedih betul tengok rambut dia dah panjang ke leher. Sudahlah jambang dia pun macam semak samun. Nak dijadikan cerita, pak ngah tu keturunan orang putih. Kahwin dengan mak ngah, kakak mak aku. Lepas tu pak ngah ada adik. Adik dia ni pun orang putih. Kahwin dengan perempuan Cina. Masa umur Abang Malek tujuh tahun, mak dan ayah dia meninggal dalam kemalangan. Jadi pak ngah ambillah Abang Malek untuk dijaga. Abang Malek pun convert masuk Islam. Muka dia susah nak describe. Kadang macam orang putih tapi tak macam orang putih. Ada rupa Asia juga. Tapi nak kata orang Asia, badan dia tegap tinggi, macam orang putih. Muka dia aku rasa sebenarnya kacak. Tapi tu lah, semak samun. Macam orang tak berduit aje. Aku pernah tengok mat saleh macam ni masa bercuti kat Langkawi dulu. Dengan selipar jepun, rambut panjang, baju pun entah apa-apa, beg besar kat belakang badan... Aku ingatkan pelarian mana entah. Jahat betul aku duk mengata Abang Malek dalam hati.


"Kenapa abang tak balik lagi?" Soalku. Sengaja nak menghalau dia dari rumah.


"Ramai orang kat rumah aku."


Aku dah agak dah. Dia ni anti-sosial. Dia paling tak suka aktiviti-aktiviti keramaian.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top