Episod 250 - 5 Disember, 1998

Faridah bertemu dengan Adilah di Restoran D’Tandoor seperti yang dijanjikan.

“Aik, ingatkan dulu dah halau saya dari rumah, tiba-tiba panggil saya ni dah kenapa?” tanya Adilah sambil bukak cermin mata hitamnya.

“Aku cakap jujurlah, Dila. Kau dengan aku, keturunan kita bergaduh. Tapi buat masa sekarang ni, kita ada matlamat yang sama.”
“Aik, macam mana Toh Puan Faridah tau apa matlamat saya pulak ni? Toh Puan Faridah ada teknologi hack pemikiran saya ke?”
“Tengku Norman nak kita jatuhkan Al Gore. Dan aku iktiraf kehebatan kau masa tahun 1992 dulu bila kau bantu Clinton jatuhkan Bush.”

Adilah naik kening. Hidungnya kembang kuncup apabila akhirnya menerima pengiktirafan dari Toh Puan Faridah.

“Baguslah Toh Puan Faridah iktiraf kerja saya, bukan macam Alan yang janji macam-macam, tapi dia tipu saya. Okay…apa yang Toh Puan Faridah nak saya tolong?”
"Kita akan jumpa Ali di Pulau Zanzibar. Dia ada di situ. Kita akan deal bertiga."
"Deal," kata Adilah sambil bersalaman dengan Faridah.

Selepas itu, Faridah kembali ke dalam keretanya, dan mengambil wet tissue dalam beg tangannya.

"Jijiknya aku bersalam dengan keluarga Wan Demang ni, mahu lepas ni aku kena samak dengan air tanah," kata Faridah dalam hati. Mukanya betul-betul jijik melihat muka Adilah tadi. Tapi terpaksa, kerana menjatuhkan Al Gore adalah satu langkah untuk memberi amaran kepada establishment Amerika Syarikat apa yang mampu Gelanggayu lakukan sekiranya mereka tidak menghormati negara ini.

--

Ali

Esoknya bila aku bangun pagi, aku dapat panggilan telefon dari Aunty Idah.

“Naik feri pergi Stone Wall, Zanzibar. Aku dengan Pak Engku nak bawak kau jumpa VVIP.”
“Pukul berapa?”
“12 tengah hari. Pakai kasut, baju kolar. Ada majlis makan-makan orang-orang kaya. Sampai pelabuhan, call aku.”

Siapa pulak yang Aunty nak aku jumpa ni?

Aku naik feri dari Dar Es Salaam jam 9:30 pagi. Aku sengaja sarapan ringan macam roti je, sebab Aunty cakap ada majlis makan-makan orang kaya kat Zanzibar. Kat Zanzibar ni ramai Arab kaya beli rumah kat sini. Orang Arab ni kalau makan, masya-Allah, dia punya mewah lain macam.

Kat sini tempat orang-orang kaya UAE, Saudi, Oman, Qatar simpan gundik, sebab Pulau Zanzibar ni pulau pelancongan yang popular di Tanzania.

Freddie Mercury lahir kat sini, korang tau tak? Rumah dia betul-betul tepi pantai, dan pantai tu cantik macam kat Phuket.

Aku tiba di jeti Zanzibar jam 11:30 pagi. Aku nampak Merlina melambai-lambai ke arah aku.

Ada van warna hitam, tinted. Aku masuk je Aunty Idah, Merlina dengan seorang bekas menteri kewangan zaman Tun Iskandar, iaitu Tun Zaim.

Tun Zaim ni sejak berhenti dari politik, dia duduk oversea, kat Cayman Islands. Kerja dia cuci duit ahli politik di peringkat antarabangsa.

Hari ini Tun Zaim, Merlina bersama-sama Aunty Idah dan VVIP ni bertemu dengan CEO United Bank of Africa Tanzania Limited, untuk membeli bank di sana.

Mereka bawa aku ke sebuah rumah vila yang berada di Malawi Road. Dan aku terkejut sebab aku nampak Tengku Norman dan Adilah turut berada kat sini. Laki Adilah, Hafiz pun ada kat sini.

Macam pelik sebab macam mana Aunty Idah dan Adilah boleh join satu kapal pulak ni? Dah berubah sangat ke landskap politik kat Gelanggayu sampai dua orang ni dalam satu geng?

Lepas tu ada seorang lelaki mat salleh yang merupakan anak kepada Presiden George Bush, iaitu John Ellis Bush. Dorang panggil "Jeb", jadi aku pun panggil dia Jeb je lah.

Yang aku jadi semakin tidak faham, tiba-tiba datang helikopter mendarat, dan si tua tu, dengan tongkatnya, turut hadir sama. Ada CIA, Secret Service, Sayap Kuning. Semua ada.

Lain macam punya konspirasi ni. Macam mana Tengku Norman, Pengetua, Aunty Idah dan Adilah boleh berada dalam satu kem yang sama?

Rupanya mereka ada satu rancangan yang besar. Mereka nak jatuhkan Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang dijangka akan bertanding untuk menyambung legasi Bill Clinton.

Asalnya Faridah mahu menyokong Al Gore kerana agenda teknologi, agenda tenaga hijau yang mahu disokongnya, tetapi selepas membuat kenyataan celupar dalam persidangan APEC, Faridah menyatukan Tengku Norman dan Jeneral Yahya dalam menyokong Gabenor Texas, George W. Bush Jr. sebagai calon Presiden.

Eh lain macam je move Aunty ni. Apasal Aunty tiba-tiba nak buat langkah macam ni?

--

Tengku Norman berjumpa dengan Jeneral Yahya selepas mesyuarat.

"Aku nak kau tau yang Azlan dan Tengku Aminah dah kahwin, dan dua keluarga ni dah berdamai. Jadi kalau kau nak teruskan juga perang antara keluarga kita sejak ratusan tahun tu, kau tak mewakili Tengku Ishak. Kami mengiktiraf Azlan sebagai wakil yang sah. Bukan kau, bukan Tok Aki," kata Tengku Norman.

"Kalau kau rasa aku berjuang atas nama Tengku Ishak, kau silap. Kalau kau rasa Tok Aku berjuang atas nama Tengku Ishak pun kau silap. Kau kena pilih, kau nak hapuskan aku dulu, atau kau nak hapuskan Tok Aki dulu," kata Jeneral Yahya.

"Tok Aki, sebab lawan dengan kau dalam perang yang terakhir yang lebih best. Final boss," kata Tengku Norman.

"Kalau macam tu, kita adakan perjanjian. Deal kita, naikkan George Bush Jr, musnahkan networking Tok Aki dan gerakan dia. And then, kita akan sambung berlawan balik. Ingat, aku belum menyerah lagi," kata Jeneral Yahya.

"Okay, deal. Tapi kau tak boleh masuk Gelanggayu. Kau duduk di Temasik, jangan jejak lagi kaki kau di Gelanggayu..."
"Aku akan jejak ke Gelanggayu satu hari nanti, Norman."
"Langkah mayat aku dulu."
"Ya, aku akan langkah mayat kau, Norman. Dan aku akan tubuhkan 'kerajaan rakyat' macam apa yang dikatakan oleh Sayyid Muluk. Republik Gelanggayu. Anak-anak kau dah boleh bersedia untuk dengar perkataan ini. Kau mungkin dapat tumpaskan aku pada tahun ini, but that's going to be the beginning of the end of al-Daulah dynasty, Norman. Aku akan pastikan kau Sultan Gelanggayu yang terakhir."
"Sembang berapi pun tak guna, Yahya."
"Aku akan buktikan, Norman."
"We'll see. Sementara tu, kita pakat jatuhkan Al Gore, dan hancurkan gerakan Tok Aki."
"Yes, it's a done deal."

Dua-dua walaupun bersalam untuk berdamai sementara waktu, kerana mahu menghancurkan musuh utama mereka, iaitu Tok Aki dan Al Gore.

--

Situasi politik di Majapahit semakin lemah, dan Presiden BJ Habibie cuba untuk mengemudi keadaan selepas kejatuhan Sudarto.

Di Kalimantan, yang bersempadan dengan Kenidiri di Gelanggayu, kumpulan dari suku kaum Dayak bertempur dengan suku kaum Madura. Di Timor Timur, Jeneral Wiranto mengarahkan 13,000 tentera di bawahnya untuk melakukan operasi mempertahankan kekuasaan Betawi di pulau itu.

Dalam situasi itu, Tok Aki dan gerakan Republik Islam Melaut (RIM) dan jaringan Daulah Islamiyyah Nusantara (DIN) mengangkat senjata dan melawan kerajaan di Sumatera.

Peperangan di antara kerajaan Sumatera dengan DIN yang dipimpin Tok Aki semakin sengit. Tok Aki sudah mula menguasai beberapa kawasan yang penduduknya majoriti Islam seperti di sebelah Sumatera Barat ini.

Selepas menakluk Bukittinggi, Batusangkar dan Sawah Lunto, tentera DIN mempersiapkan diri untuk menakluk Padang untuk akses laut.

Tentera Sumatera yang mengharapkan bantuan tentera Majapahit dan Gelanggayu, tidak kunjung tiba. Ini kerana Majapahit sedang mengalami konflik ekonomi dan politik selepas krisis kejatuhan Sudarto, sementara Gelanggayu pula sedang fokus untuk menganjurkan Sukan Komanwel.

Waktu untuk membuat serangan ini tepat sebab dua kerajaan yang selama ini mendukung kerajaan Sumatera ini sedang berdepan dengan pelbagai isu.

“Bijak betul ayah, nampaknya taktik ayah dah berjaya,” kata Fauzan kepada Tok Aki.
“Aku tunggu Yahya jatuh tergolek dulu lepas ni. Dia terlalu yakin yang Rahizan tu boleh pimpin negara yang dia idamkan tu. Aku yakin, kalau tak berjaya Revolusi Nasional di Gelanggayu, dia takkan lari jauh. Dia akan lari ke Temasik dan duduk menyorok kat rumah Jacob Chong, banker dia tu.”
“Kita kena serang Temasik ke lepas ni? Dah tentu kat situ ada pengkalan tentera Amerika?”
“Sabar, anakku Fauzan. Sekarang ni kita fokus takluk Sumatera dulu. Nanti kita tunggu apa Osama akan buat, barulah kita buat kerja kita.”

--

Sebagai orang kanan Ali, Joni telah ditugaskan membekalkan senjata serta merekrut mereka untuk menyertai kumpulan Ayam Hitam.

Mereka kemudiannya ramai yang dikumpul di Kuala Melaut, dan bekerja di pelabuhan Kuala Melaut dalam usaha untuk mengeksport bekalan rempah dari Pentas Sunda ke Eropah, seperti yang telah Ali rancangkan bersama Patel ketika di England dulu.

Disebabkan Ali diberi hak eksklusif untuk menguasai ekonomi di Melaut oleh Tok Aki, sebenarnya serupa sahaja apabila pelaburan dari Faridah dan Merlina masih masuk ke dalam, cuma diberikan kepada kroni-kroni yang pro Pak Osman dan Pak Jamal yang menyokong Azlan.

Projek pembinaan lebuhraya Kuala Melaut dan Air Putih yang akan banyak membantu Temasik dalam eksport dan import dijangka akan dapat meningkatkan ekonomi sebelah barat Gelanggayu, tetapi hanya sekiranya Tok Aki dan kumpulannya dapat ditewaskan.

Situasi di Majapahit dan Sumatera yang bergolak pada ketika ini menyebabkan lebih ramai menyeberang ke arah Gelanggayu dan Temasik untuk mencari pekerjaan.

Dalam masa sama, Merlina mula melabur untuk membangunkan kawasan di sebelah barat Gelanggayu, dengan tiga negeri ini iaitu Melaut, Air Putih dan Seri Kencanapura akan mula dibangunkan.

--

"You pergi mana balik lewat malam ni? You ingat rumah ni hotel ke?" tanya Tengku Aminah mencekak pinggang bila Azlan baru pulang ke rumah.

Azlan baru tanggal kasut dan stokin, pandang tepat ke isterinya. Dia terus pakai semula stokin dan pakai kasut.

"Nak pergi mana tu?"
"Check out."
"Alan!"

Azlan terus masuk kembali ke dalam keretanya, dan terus meninggalkan Jalan Cendana.

--

Azlan

Kau bayangkan, kau dah seharian bekerja, tiba-tiba bila balik rumah, kena bebel dengan isteri? Okay, aku ceritakan apa yang berlaku sepanjang hari ini.

Hari ni ada perbentangan Belanjawan Negeri Wijayapura, kemudiannya aku nak kena berulang-alik untuk uruskan hal kerajaan Persekutuan nak berpindah ibu negara ke Kota Warisan.

Mulai 1 Januari, 1999 - Kota Warisan akan jadi ibu negara baru Gelanggayu. Memandangkan Ali berada di Afrika, aku dengan Kecik kena bantu uruskan semua perkara. Habis selesai urusan tu, dah hampir maghrib. Maghrib aku solat di masjid Kota Warisan, lepas tu ada traffic jam kat highway.

Lepas tu sampai-sampai je rumah, aku kena leter. Kau ingat aku tak fed up?

Kalau setiap hari macam ni, lunyai aku ni. Aku boleh berdepan dengan beribu-ribu jenis orang, tapi bila aku balik rumah, bila bini macam ni, aku fed up. Aku dah penat, aku nak berehat, tiba-tiba kena bebel.

Jadi aku pun mengambil masa untuk melepak di rumah Fazrul. Fazrul tengah menonton wrestling sambil makan kacang. Turut ada sama ialah Faiz dan Din yang tengah melepak.

"Aik, bro? Kuyup semacam je?" tanya Fazrul sambil kunyah kacang.
"Dah kalau bini garang macam Stephanie McMahon, siapa tak stress?" kata Faiz.

Faiz ni aku geram betul dengan dia ni. Dia punya pemerhatian memang tepat.

"Apa susah, bro. Dalam Islam, Allah izinkan lelaki kahwin empat. Bro kahwin je lah lagi satu," kata Fazrul.
"Lagi tension aku karang. Dari ada satu masalah, terus ada dua masalah," kata aku sambil longgarkan tali leher aku.
"Alaaaahhh, kalau dua-dua merajuk, ente kahwinlah tiga!" kata Din.

Geram je aku tengok perangai kawan-kawan aku ni.

"Korang semua belum kahwin lagi, korang tak tahu lagi. Cakap senang la," kata aku sambil seluk botol maruku entah raya tahun bila punya.

"Apa kata bro kahwin je dengan Nat tu? Luq tu bukannya boleh pakai pun," kata Fazrul.
"Entah, sekali pandang pun dah tau Nat tak ada hati dengan dia," kata Faiz.
"Tak boleh. Nat nak ambik balik syarikat ayah dia. Datuk Mat Nor kata kalau nak balik syarikat ayah dia, dia kena kahwin dengan Luqman dulu," kata aku, menerangkan keadaan.
"Bro, apa kata bro beli je syarikat bapak dia tu. Settle," kata Fazrul.
"Kalau Datuk Mat Nor nak jual. Kalau tak nak? Negara ni ada undang-undang, kalau kau nak jual beli syer, kena ada persetujuan."
"Macam mana syarikat ayah Nat boleh kena take over dengan Datuk Mohd Nor? Bak sini fail kes tu. Mana tau, saya boleh tanya Marina," kata Fazrul.
"Datuk Abdullah ni ada banyak hutang, dah nak bankrap dah sebab projek gagal Teluk Chendana tu. Itu pun sejak Teknojaya dibangunkan, barulah okay balik. Tapi dah terlambat, Datuk Mat Nor dah pegang syarikat tu," kata aku.
"Kalau macam tu tak boleh buat apa la," kata Faiz.
"Ya la, macam tu," aku terus light rokok Lucky Strike.

Telefon bimbit aku berbunyi. Bini aku call. Malas aku nak layan.

"Hmmm, mem besar call ke?" tanya Fazrul.
"Kau tolong jawab, Faz," aku hulurkan telefon pada Fazrul. Fazrul pun tadah je lah telinga.

"You better balik sekarang, Alan! I tau you merenyam kat rumah betina tu! You ingat I tak tahu ke? Hah? I tau la, you memang nak get back dengan dia kan? Baik you balik sekarang sebelum I meletup!"

Semua orang pandang ke arah aku.

"Tengku Mina, Alan kat rumah saya ni. Saya Fazrul."
"Dia buat apa kat rumah you?"
"Tengok wrestling," kata Fazrul.
"Kat rumah ada TV, apasal sibuk nak tengok kat rumah you?"
"Entah. Tengku nak cakap dengan dia ke?"

Aku tolak-tolak telefon tu.

"Faz, I nak tanya. Faz kerja kat office Gabenor tu kan?"
"Ya, saya kerja kat situ. Kenapa?"
"Faz selalu nampak Alan dengan Nat ke?"
"Kalau dengan Nat tu selalunya masa meeting je lah. Nat tu asyik berkepit dengan Gabenor Luqman je."
"Ye ke? Betul Faz tak bohong?"
"Nak bohong apanya, malam ni malam Jumaat."
"I risau lah, sejak dia kerja kat office Gabenor ni, dia selalu balik lambat."
"Memang la, kerja kat office ni banyak. Kena pulak dapat Gabenor macam Luqman tu."
"Betul, Faz tak nampak Alan dengan Nat berdua-dua ke, dating ke?"
"Ish Tengku ni, saya takat kat office je lah. Saya mana tau apa-apa. Tapi Alan memang busy. Sejak kerajaan pusat nak pindah ke Kota Warisan ni, banyak urusan kena buat."
"Ye ke? Kira I salah tuduh Alan ke?"
"Tengku bawak la bincang, janganlah main terjah je."
"Masalahnya Alan tu, pandai sangat menipu. Dia tu kan ahli politik."
"Entahlah Tengku Mina. Nanti dia balik, Tengku borak je lah dengan dia. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum."

Fazrul terus letak telefon.

"Dia ingat bro lepak rumah Nat."
"Kejadahnya!"
"Dia kata bro selalu dating dengan Nat."

Memang la, tapi aku jumpa pun kat sekitar kawasan kerja je. Kalau 'dating' tu sekadar jadi teman berborak je. Nat tension dengan Luq, aku tension dengan Mina. Bukannya ada apa-apa pun.

"Susahlah kalau dah jadi Bill Azlan dengan Natasha Lewinsky nanti," kata Faiz, merujuk kepada kes Bill Clinton dengan Monica Lewinsky.

"Apa kata bro balik je dulu. Malam ni malam Jumaat. Kasi 'taruk' dua tiga round dulu, lepas tu slow talk," kata Fazrul.
"Ye lah. Aku balik la dulu. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."

--

Aku pulang ke Jalan Cendana, dan nampak ayah mertua aku sedang menunggu aku di kerusi rotan di tepi kolam renang.

"Alan, ayah nak cakap sikit pada kamu."
"Sure," kata aku.

Aku terus duduk di kerusi rotan berdepan dengan ayah mertua.

"Kau gaduh lagi dengan Mina?"
"Ayah bayangkan, hari ni saya satu hari suntuk sibuk. Pagi ada perbentangan belanjawan. Petang pula saya uruskan perpindahan kakitangan awam ke ibu negara yang baru. Lepas tu balik rumah traffic jam. Balik rumah je, kena leter. Ayah rasa apa yang patut saya rasa?"
"Kalau ayah jadi kau pun, ayah jadi stress."
"Kerja saya ni kena berdepan dengan bermacam-macam jenis orang. Saya ni layankan je karenah orang, tapi kalau isteri saya hari-hari tuduh saya yang bukan-bukan, penatlah saya."
"Bukan apa, kan ex kau si Natasha tu kerja di pejabat Gabenor tu. Tu yang dia rasa insecure."
"Kalau nak harapkan si Luqman tu, ayah, dah lama Wijayapura tu hancur terbakar, jadi padang jarak padang tekukur. Profesional la sikit bila buat kerja tu."
"Kau kerja dengan Natasha tu, kau tak ada mengimbau kenangan lama masa dulu ke? Itu yang Mina risaukan."
"Nak mengimbau kenangan masa silam apanya? Saya beritahu sikit apa jadual kerja saya. Pagi kalau saya tak kena datang pejabat Gabenor, saya kena pergi jumpa semua Ahli Majlis. Lepas tu kena pergi Parlimen. Nanti kena pergi Geri, jumpa dengan ADUN sana. Lepas tu saya nak kena shooting kat studio. Mana ada masa nak mengimbau kenangan ni semua?"
"Ye lah, ayah faham je. Cuma, Mina risau tiap kali kalau kau ada kerja di Pejabat Gabenor..."
"Habis tu, nak biarkan sahaja Wijayapura ni hancur dan tak terurus? Kalau Gabenor Luqman tu boleh pakai, takpelah. Bolehlah saya biarkan dengan aman."
"Macam tu, kalau Nat kerja kat tempat lain, boleh? Sebab ayah pun serabut tengok kamu berdua berterusan macam ni. Patutnya lepas kahwin tu makin mesra lah. Ini sorang ke selatan, sorang ke utara."
"Cuba jangan campuradukkan hal peribadi dengan hal kerja. Kalau macam tu susahlah negara. Siapa yang nak melabur kalau ada kerabat ni tak suka orang itu dalam jabatan ni, ditukarnya ke tempat lain. Kita kena jaga professionalisme, barulah orang nak datang ke Wijayapura dan melabur. Senang cerita, keluarga ni jangan campur tangan sangat urusan pentadbiran awam. Uruskan Wijaya TV, uruskan Petrogayu, uruskan syarikat-syarikat yang masih dipegang kerabat. Jangan ganggu pentadbiran negara. Kalau buatnya tukar orang baru, dirombaknya sistem baru, dah bermasalah."
"Ye lah, betul lah tu. Cuma Mina kena kawal perasaan lah."
"Ayah cakaplah pada dia. Naik jenuh saya dibuatnya. Saya nak mandi, lepas tu nak, solat Isyak. Saya dah lewat sangat dah ni. Esok nak sambung lagi kerja, lepas tu, lepas solat Jumaat, ada pertemuan dengan imam-imam masjid Wijayapura, ada mesyuarat. Mana la saya ada masa nak ada skandal-skandal ni?"
"Yelah, ayah faham. Nanti ayah cakap dengan Mina tu. Alan, ayah minta maaf kalau Mina tu perangainya macam tu. Biasalah, anak tunggal. Apa yang dia nak semuanya dia dapat. Nak kahwin dengan jejaka paling tampan kat Wijayapura ni pun dapat, tapi tak dapat tumpuan dari kau. Sebab tu dia mengamuk macam tu."
"Saya masuk rumah dulu, ayah. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."

--

Lepas solat Isyak, Mina panggil aku.

"Alan...I minta maaf sebab tuduh you yang bukan-bukan."
"Takpe,dah biasa dah pun orang tuduh I macam-macam. Dah tak heran dah."
"Alan, as your wife, I risau bila one of your ex kerja satu office dengan you. I tak tenteram kat tempat kerja I asyik fikirkan pasal you."
"Mina, professional la sikit."
"You expect I nak bersangka baik ke? Lepas apa yang berlaku antara you dengan Dila dulu?"

Baru je minta maaf, dia dah cari pasal balik. Aku dah la sensitif topik ni. Bukan aku yang nak la benda tu jadi pada aku! Kau ingat aku suka ke benda macam tu, sampai aku hilang takhta dan kuasa aku di Melaut?

Aku terus capai bantal dan selimut, kemudian aku terus keluar dari bilik.

"Alan, you nak pergi mana?"
"I tidur kat library. Macam biasa."
"Alan..."
"Susah nak communicate dengan you ni, Mina."
"Kenapa you nak tidur kat library?"
"Lagi selesa daripada tidur kat sebelah orang yang suka tuduh I bukan-bukan."

Beginilah hidup aku sehari-hari lepas aku kahwin. Ikutkan hati aku, aku nak je duduk kat rumah lain, buat tenang dan tak payah hadap dengan semua ni. Tapi bila aku cakap macam tu, ibu marah, dan suruh aku kenangkan jasa Tengku Ariffin.

Habis tu, kebahagiaan aku, macam mana? Takkan asyik aku nak bahagiakan orang lain, diri sendiri tak bahagia?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top