Episod 226 - 4 Mac, 1994

Azlan menjadi murung selepas kehilangan takhta Melaut dan Tok Aki merampas kuasa daripadanya. Dia rasa menyesal kerana mempercayai Adilah walaupun sudah bertahun-tahun mengelaknya.

Buat masa ini, Azlan menyembunyikan dirinya di Geri, dengan dibantu oleh Shahrizal dan Faiz.

Sejak kejadian itu, Azlan meletakkan jawatan ke atas semua yang dipegangnya, kecuali Presiden Parti Kongmegayu di mana semua ahli majlis tertinggi menolak permintaan itu. Jawatan-jawatan yang dipegang oleh Azlan, kemudiannya Faridah susun dengan menyerahkan kepada orang-orang Datuk Khamis dan Datuk Mustafa sementara Azlan di dalam persembunyian.

Buat masa ini, Azlan perlu hilang dari radar. Dia perlu ghaib dari hiruk pikuk orang ramai.

Ali membantunya dengan membuka cawangan restoran tomyam di bangunan rumah kedai di Kuala Geri, di mana di tingkat atas merupakan pejabat ADUN Bukit Talam, di mana Shahrizal sedang merancang untuk menawan negeri Geri dalam pilihanraya yang dijangka akan berlangsung pada tahun depan.

Di situ, Azlan menyusun strategi untuk Shahrizal memenangi pemilihan parti nanti, dan di sebelah malam, Azlan mempelajari masakan Suvarnabhumi dari pekerja Ali.

Pada 13 Mac, hari raya Aidilfitri berlangsung, tetapi Azlan memilih untuk meminggirkan diri dan tidak menunjuk muka kepada sesiapa. Dia sedar yang kalau dia tunjuk muka kepada semua orang, orang akan bercakap tentang kes khalwatnya itu.

Azlan bersolat hari raya di masjid di Kuala Geri, dan tidak menonjolkan dirinya, dan selepas habis solat sunat, Azlan kembali ke pejabat DUN Bukit Talam dan menyusun strategi dalam pilihanraya ini.

Sedang dia menaip ideanya di komputer, dia dengar ada pintu diketuk.

Azlan nampak Shahrizal dan Faiz bawa dua batang lemang dan rendang yang dalam plastik. Din juga ada di belakang membawa sebotol rempeyek dan air botol Coca-Cola.

"Kami datang nak sambut raya dengan kau ni, Lan!" kata Shahrizal.

Azlan bentang suratkhabar dan sediakan pinggan dan gelas sambil Faiz dan Din hidangkan lemang dan rendang.

"Sedih betul aku bila terkenang orang Bosnia, Palestin, Sudan, Chechnya yang tengah berperang ni bila sambut hari raya ni. Raya macam ni pun dah okay dah ni," kata Azlan, tiba-tiba. Selama ni dia dah biasa sambut hari raya dengan makanan sedap-sedap di Jalan Cendana, kini dia terpaksa menyambut hari raya dalam keadaan pensembunyian.

"Aku boleh temankan kau kejap je ni, Alan. Kejap lagi aku kena beraya dengan keluarga aku," kata Shahrizal.
"Kejap pun tak apalah. Aku okay je kat sini," kata Azlan.

--

Hari raya ini, Tengku Aminah berkurung dalam biliknya seorang diri dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Sejak kejadian Azlan dan Adilah kena tangkap khalwat, Tengku Aminah merasa malu atas apa yang terjadi.

Tetapi dalam masa sama, Tengku Aminah dapat merasakan yang Azlan sebenarnya telah dianiaya oleh Adilah, sebab Tengku Aminah tahu perangai Adilah ini.

Dia cuma mahu Azlan pulang dan menceritakan apa yang telah berlaku. Padanya, Azlan telah dianiaya dan dia sedia memaafkan Azlan asalkan Azlan kembali.

Tengku Aminah termenung dan memandang gambar dia dan Azlan yang berada di atas meja.

Ketika sedang termenung itu, dia nampak Ali dan Faridah sedang berbual dengan ayahnya, dan sudah pasti dia dapat merasakan perbualan itu adalah berkenaan dengan Azlan. Dan dia perasan Ali ada membawa seorang kanak-kanak. Siapa pula kanak-kanak tu?

--

Ali dan Faridah datang beraya di rumah Tengku Ariffin dan membawa anak kepada pakcik Yasin, tauke char kuey teow di depan simpang universiti, tempat Azlan dan Adilah selalu makan.

"Nama adik siapa?" tanya Tengku Ariffin.
"Adli. Adli bin Yasin."
"Adik ni anak kepada tauke char kuey teow dekat depan universiti tu. Kebetulan pulak, ayah dia ni ambik supply barangan dari saya," kata Ali.

Tengku Ariffin bakar tembakau dalam paipnya.

"Jadi ceritakan apa yang adik nampak?" tanya Tengku Ariffin kepada Adli.

"Masa sebelum Bro Alan sampai, perempuan tu sampai dulu. Dia order makanan untuk Bro Alan. Dia order yong tau fu dengan teh o ais. Saya yang letakkan yong tau fu tu atas meja."
"Baik, lepas tu?"
"Saya nampak akak tu letak julap dalam makanan bro Alan."
"Kenapa kau tak tegur dia?"
"Masa tu ramai, Pak Engku. Orang tengah sibuk. Masa tu dah nak masuk waktu buka puasa," jawab Adli.
"Apa lagi yang kau nampak?" tanya Faridah pula.
"Saya nampak kereta Bro Alan datang lepas maghrib. Lepas dia makan tu, dia masuk kereta dia balik, bawak kereta masuk universiti. Saya rasa sebab dia nak terberak la kot. Lepas tu dia datang balik. Kemudiannya, Bro Alan melintas jalan, tiba-tiba dia rebah tengah jalan," kata Adli.
"Lepas tu, perempuan tu yang drive kereta dia?" tanya Faridah.
"Ya, perempuan tu yang bawak kereta dia."

Tengku Ariffin pandang Ali dan Faridah.

"Kita kena bersihkan nama Azlan. Dia tak bersalah dalam hal ni," kata Tengku Ariffin.
"Macam tu, kita semua kena pergi ke Geri hari ini," kata Faridah.
"Dia ada kat situ ke?" tanya Tengku Ariffin.
"Dia ada di pejabat Shahrizal di Kuala Geri. Kat bawah kedai Shah tu ada restoran tomyam saya. Dia kata pada saya, buat sementara waktu ni, dia nak sorok kat situ dulu," kata Ali.
"Kenapa?" tanya Tengku Ariffin.
"Dia belum bersedia nak berdepan dengan Pak Engku. Dia kata dia rasa bersalah pada Pak Engku, sebab dah janji nak kahwin dengan anak Pak Engku, tapi jadi macam ni pulak," Ali menokok tambah cerita. Azlan tak pernah kata begitu, tetapi nak sedapkan hati Tengku Ariffin sahaja.
"Sekarang ni, kita dah ada saksi. Aku dah tahu cerita. Kenapa aku nak marah lagi?" tanya Tengku Ariffin.
"Dia tak tahu yang Pak Engku dah tahu cerita sebenar."
"Eh, jom lah kita bawa dia balik. Panggil Mina sekali, kita pujuk Azlan balik. Kesian dia raya kat office Shahrizal tu sorang-sorang," kata Tengku Ariffin.
"Takpe, tak payah bawa Mina dulu. Karang jadi drama pulak. Kita bincang dulu macam mana," kata Faridah.

Mereka bertiga kemudiannya menghantar Adli pulang ke rumahnya, sebelum bergerak ke Kuala Geri untuk berjumpa dengan Azlan.

--

Mereka tiba di pejabat Shahrizal, dan nampak pejabat Shahrizal yang lampunya gelap. Tapi Ali terdengar bunyi kuali macam ada orang sedang memasak di dapur.

"Dia ada kat dapur la tu, masak," kata Ali.

Ali tarik shutter kedai. Dan nampak di dapur, Azlan sedang masak.

"Masak apa tu? Sedapnya bau!" kata Ali.
"Aku lapar. Masaklah," kata Azlan yang sedang masak paprik ayam.
"Ibu kau datang ni," kata Ali.

Faridah nampak Azlan sedang memasak, dan dia tersenyum melihat anaknya yang dah lama dia tak nampak sejak kejadian khalwat itu.

"Apa khabar, ibu?" tanya Azlan sambil mengelap tangannya dengan kain sebelum mencium tangan ibunya.
"Khabar baik. Uncle Ipin nak jumpa dengan kau," kata Faridah, yang kemudiannya melambai tangan ke arah kereta. Tengku Ariffin keluar dari kereta dan nampak Azlan berada dalam kedai.

Azlan berdiri sahaja depan Tengku Ariffin yang berjalan ke arahnya. Azlan terus cium tangan Tengku Ariffin.

"Kau tak perlu takut pada aku, Alan. Aku dah tahu cerita yang sebenar," kata Tengku Ariffin.
"Keberadaan saya di sini bukanlah kerana takut, Uncle. Tapi saya di sini sedang merancang sesuatu dan perancangan ini memerlukan kerahsiaan. Jadi saya ada di sini sebelum saya akan kembali nanti."

Tengku Ariffin senyum.

"Kau ni memang tak ubah macam arwah ayah kau. Apa yang kau sedang rancangkan?" tanya Tengku Ariffin.
"Susun balik bidik catur politik, Uncle. Kemudian kaji balik apa silap saya, apa yang saya kena buat."
"Kau graduate degree bila, Alan?" tanya Tengku Ariffin.
"Bulan enam ni, Uncle."
"Aku akan bincang dengan Shah tentang kau ni. Sebab aku nak kau sambung belajar master, sementara waktu ni. Aku akan call Oxford dalam masa terdekat ni untuk kau ke sana. Kau sambung belajar, ya?" tanya Tengku Ariffin.
"Pasal rancangan kau dengan Shah tu, biar ibu sahaja yang tolong sambung," kata Faridah.
"Kalau macam tu, baiklah. Uncle, Mina macam mana?" tanya Azlan.
"Dia jadi murung. Dia langsung tak keluar bilik lepas dapat tahu pasal tu."
"Katakan pada dia, saya minta maaf. Saya lalai," kata Azlan.
"Kau tak perlu minta maaf, Alan. Mina akan sentiasa maafkan kau. Aku yakin tentang tu. Lepas kau graduate nanti, kau sambung master di UK, okay?" kata Tengku Ariffin.
"Baiklah, terima kasih, Uncle Ipin."

--

"Hafiz dah benci pada kau, Alan. Takkan kau nak tolong dia lagi?" tanya Faiz.
"Nak tak nak kita kena tolong dia juga. FizzyTech tu aku yang uruskan pinjamannya. Kalau FizzyTech flop, bank ibu aku juga rugi. Kita kena bantu juga syarikat tu sampai berjaya. Nanti kau kena jumpa Izham. Dia menteri telekomunikasi. Dia yang akan uruskan hal-hal internet ni," Azlan.
"Jadi kau nak suruh aku tolong juga FizzyTech tu?"
"Tolonglah Hafiz tu, Faiz. Kalau dia jatuh, yang susah kawan-kawan kita juga," kata Azlan.
"Kerja dengan Shah, macam mana?" tanya Faiz.
"Yang tu bagi Fazrul buat. Kau dengan Din tolong Hafiz handle FizzyTech tu ya?"
"Baiklah. Titah tuanku, patik junjung," kata Faiz.

Rancangan Azlan ialah memperluaskan rangkaian internet seperti yang telah dirancang oleh semua geng Hackers masa di universiti dulu. Enam tahun lepas semasa mereka berkenalan dahulu, mereka sudah merancang untuk menggunakan internet sebagai medium penyebaran utama maklumat.

Walaupun internet di negara ini sudah mula dipasang sejak tahun lalu, tetapi Kementerian Telekomunikasi pimpinan Izham masih lagi tidak dilihat serius dalam membina prasarana projek ini.

Faiz dan Din datang ke pejabat FizzyTech  dan datang melawat Hafiz. Bila mereka sampai, Faiz nampak kereta Ferrari Tengku Ahmad ada di tempat letak kereta.

"Ah, sudah. Hafiz dah berpakat dengan Tengku Ahmad pulak!" kata Faiz sambil meletakkan kedua tangannya ke kepala.

--

"Apa tujuan Tengku datang ke sini?" tanya Hafiz.
"Saja lah, nak berkenalan. Tak payah panggil Tengku, panggil saja nama panggilan saya, Jimmy."
"Ohhh, macam mana dari Tengku Ahmad pergi ke Jimmy pulak?"
"Arwah ayah yang bagi nama saya tu. Ahmad tu nama Melayu saya lah. Tapi masa kat England dulu, orang panggil saya Jimmy. Hafiz suka tengok lumba motor?"
"Saya minat, tapi tu lah. Buat masa ni tengok kat TV je lah. Nak tengok kat litar lumba tu, tak ada kesempatan."
"Hafiz minat siapa?"
"Ohh, kalau 500cc, Luca Cadalora la. Kalau 250cc, Max Biaggi."
"Minat Itali la ni?"
"Haha! Macam tu lah."
"Saya pulak minat Mick Doohan. Wayne Rainey pun alright juga. Nanti saya akan susunkan pertemuan Hafiz dengan mereka ni semua bila mereka berlumba nanti kat litar Batu Empat."
"Eh, ye ke? Boleh ke?"
"Ini Jimmy la, bukan macam kawan awak tu."
"Kawan saya? Siapa?"
"Alan la."
"Huh! Saya benci dia! Dia tu tikam saya dari belakang!"
"Kitorang dalam kerabat pun tahu perangai dia macam mana. Lagipun, kita tahu rekod jenayah dia tu banyak dilindungi oleh Jeneral Yahya dan Tengku Ariffin."
"Apa rekod jenayah dia?"
"Awak tak tahu pasal kebakaran stadium di Puncak Jaya lima tahun lepas? Tapi itulah, masa dia jadi Ahli Majlis, cepat-cepat dia runtuhkan stadium tu untuk bina stadium untuk Sukan Komanwel. Tak boleh la buat siasatan."
"Dia tu memang jahat! Saya tahu sebab masa dia balik bilik tu, badan dia bau minyak tanah."
"Tapi cakap banyak pun tak guna, Hafiz. Dia tu dilindungi ramai orang. Sekarang ni, awak dah kenal saya. Jadi saya akan tolong awak untuk naik ke atas."
"Terima kasih, Tengku Ahmad."
"Jimmy lah!"
"Maaf, Jimmy. Terima kasih sebab sudi nak berkawan dengan rakyat bawahan macam saya."
"Saya ni bukan jenis sombong. Bukan macam Azlan."

Hafiz bersalaman dengan Jimmy sebelum dia pulang.

"Ingat ya, nanti racing motor kat Batu Empat, awak dapat tiket grandstand VVIP ya? Kat sebelah nanti akan ada makwe-makwe cantik hidangkan makanan dan minuman untuk awak."
"Ye ke? Haha! Terima kasih kerana sudi datang, Jimmy."
"We are friends, Hafiz. Nanti kita lepak lagi!"

Rancangan Jimmy sebenarnya nak gunakan syarikat Hafiz untuk mengembangkan pengaruhnya dalam telekomunikasi. Jimmy juga mahu melawan Azlan dengan menggunakan Hafiz sebagai bidik caturnya.

--

Adilah tiba di Kuala Melaut dan berjumpa dengan Tok Aki. Tok Aki tersenyum saat Adilah tiba di rumah Datuk Patinggi di Teluk Tenang.

Adilah disambut oleh Fauzan, anak lelaki Tok Aki, yang kemudiannya membawa Adilah berjumpa di dalam rumah.

Kehadiran Adilah bagaimanapun tidak disenangi oleh sesetengah orang seperti Osman dan Jamal, yang merasakan Azlan dianiaya oleh Adilah.

Mereka tahu perangai Azlan macam mana, sebab mereka adalah pakcik Azlan yang dah lama perhatikan Azlan. Pada awalnya, mereka juga terkejut tentang apa yang berlaku, tetapi selepas mereka berjumpa dengan Ali di Wijayapura, serta Ali membawa Adli, anak Pakcik Yasin peniaga char kuey teow menceritakan apa yang berlaku, serta bertanya kepada peniaga-peniaga di depan simpang universiti itu, kemudiannya nampak Adilah datang ke Melaut dan berjumpa dengan Tok Aki, mereka dapat mengesahkan berlakunya konspirasi untuk menjatuhkan Azlan.

Sejak Azlan dijatuhkan, Osman dan Jamal, serta keluarga mereka berpindah ke Hatyai, untuk menyusun strategi melawan semula Tok Aki. Bagaimanapun, mereka merasakan rangkaian Tok Aki ini terlalu besar, maka mereka berdua memerlukan seseorang yang mempunyai rangkaian yang lebih besar.

Jeneral Yahya.

Tetapi Jamal dan Osman memerlukan Ali untuk susun dulu orang-orangnya di dalam tentera GMM yang kini dijadikan sebagai tentera Republik Islam Melaut (RIM).

Dalam mesyuarat bersama-sama dengan Adilah, Adilah berkata mahu membantu RIM untuk menawan semula Sumatera dan mendirikan semula Persatuan Kesatuan Melayu, yang didirikan semasa era Perang Dunia Kedua dulu, yang mana ia merupakan rancangan Kassim, Atan dan Soekarjo yang semasa itu dalam PETA.

Sebagai balasannya, Adilah mahu pengkalan Sayap Kuning dibina di Teluk Tenang sepertimana GMM dah ada pengkalannya di Bukit Seguntur, Sepetang.

--

"Ini sudah melampau!" jerit Osman apabila mendapat tahu bahawa Tok Aki membenarkan pengkalan Sayap Kuning dibina di Kuala Melaut.

"Kerja gila Aki ni, panggil Sayap Kuning pulak datang ke tempat kita," kata Jamal.
"Sebenarnya memang ini kerja jahat si Aki ni nak jatuhkan Azlan. Lepas tu dia boleh berpakat pulak dengan betina tu!" Osman jadi tidak berpuas hati dengan tindakan Tok Aki tadi.
"Kita kena jumpa Ali, Man. Dia boleh hantar orang untuk lawan Aki ni."
"Kita kena jumpa Yahya," kata Osman.
"Yahya? Lagi jangan, Man. Yahya ni lagilah orang Melaut benci."
"Hanya Yahya je yang boleh lawan Aki ni," tegas Osman.
"Kita jumpa Faridah dulu, Man. Dia tu ibu Azlan. Mungkin nak tahu apa pandangan dia juga."

Osman menghubungi Ali, dan berkata bahawa mereka berdua mahu berjumpa dengan Faridah. Ali pula berkata yang Faridah juga mahu ke Pattani untuk membincangkan keadaan semasa.

Pertemuan antara Faridah bersama Osman dan Jamal berlangsung di rumah Awe Bamrung, dengan Ali menguruskan pertemuan itu.

Di dalam perbincangan itu, Faridah maklum yang Tok Aki mempunyai jaringan rangkaian dengan golongan Mujahideen yang dibinanya dari era perang Soviet-Afghan, serta mempunyai jaringan dengan kumpulan pendukung revolusi Iran di Timur Tengah.

Melihat kepada situasi itu, Faridah memahami bahawa kedua-dua kumpulan ini adalah musuh kepada Arab Saudi.

Faridah juga maklum bahawa Adilah datang ke Melaut dan merancang untuk membina pengkalan Sayap Kuning di sana, maka sudah menjadi tanggungjawab Faridah untuk memberitahu perkara itu kepada Azlan.

Selepas mendengar perkara itu, Azlan berkenan memberikan keizinan kepada ibunya untuk mengatur langkah untuk mengekang kemaraan Sayap Kuning daripada bertapak di Melaut.

"Ibu pergi ke Riyadh, beritahu kepada Raja Fahd, minta sikit senjata dengan Clinton untuk kita hantarkan kepada kumpulan kita."
"Kau nak lancar perang saudara kat Melaut ke?"
"Bukan, kekuatan Tok Aki adalah di Sumatera. Dulu dia adalah jeneral di sana."
"Si tua tu pulak tengah kena strok pulak."
"Kena strok?"
"Ya, lepas dia lempang kau hari tu, sampai sekarang dia terlantar kat hospital. Itu lah, dulu masa kau kecik, Pengetua kau tu cuba nak sentuh pipi kau. Ayah kau tepis tangan dia, beri amaran, jangan sentuh kau. Kalau dia sentuh, memang kena sumpahan dari dia."
"Patutlah dia tak pernah nak bersalam dengan saya, ibu," kata Azlan.
"Walaupun dia berani tunjuk garang kepada dunia sebab dia pegang cincin Raja Gautama, tapi dia paling takut kepada kau. Sebab kalau kau tak berkenan dengan apa yang dia buat, dia yang akan kena tulah."

Azlan tersenyum. Dia dah lama tahu kelemahan Pengetua dari dulu lagi.

"Itu saya tahu, ibu. Tapi ibu pernah pesan, jangan gunakan sangat kuasa yang saya ada ni. Nanti saya akan jadi bongkak dan sombong, salahguna kuasa."
"Betul, ingat pun pesan aku tu. Takpe Alan, biar orang buat kau, kau jangan balas balik cara supernatural kau tu. Jangan tunjuk sangat kuasa yang kau ada."
"Ikutkan Tok Aki ni boleh je saya petirkan je, tapi tak apalah. Saya guna cara yang lebih halus daripada tu."

--

Adilah

Sejak peristiwa tu, aku tahu Azlan menyembunyikan diri di Geri. Lokasi dan alamatnya pun aku tahu. Agaknya malu dengan aku lah tu.

Aku tahu, dia marah kepada aku. Tapi aku buat macam ni sebab aku nak tolong dia untuk lawan Tok Aki. Aku kena berada dalam kumpulan dia untuk lawan dari dalam. Aku buat ni sebab aku memang cintakan dia.

Dalam banyak-banyak kali aku buat benda tu, dengan Azlan adalah paling indah sekali yang pernah aku alami. Sayang sekali, semua itu aku buat untuk perangkap.

Cuma sudah pasti dia akan benci kepada aku. Sebab dia trauma dengan perempuan terutamanya bab yang macam ni. Dan bertambah bencilah Toh Puan Faridah kepada aku.

Aku dapat tahu yang Toh Puan Faridah dah pergi ke Riyadh, nampaknya Arab Saudi dah keluarkan duit untuk bantu Rusia melawan tentera Chechnya yang mana aku dan Tok Aki sedang bekerjasama di sana.

Tiba-tiba pulak tentera Rusia yang dah nak hampir bankrap tu ada banyak senjata? Mana dapat duit beli besi dan senjata? Mesti dia nak suruh Rusia hapuskan orang-orang aku dan Tok Aki kat sana.

Nampaknya Toh Puan Faridah dah mulakan langkah catur geopolitik dalam melawan aku. Aku tak takut pada dia, tapi aku cintakan anak dia.

Nak tak nak aku kena undurkan penglibatan aku di Chechnya. Aku tak nak lawan Toh Puan Faridah, bukan sebab aku gentar pada dia, tapi aku sedang mengandung bakal cucunya.

Azlan, aku tahu yang aku dah menyusahkan kau. Tapi untuk jangka masa panjang, ini untuk kita juga, sayang. Kau kena keluar dari pengaruh semua orang-orang tua yang mengelilingi kau tu, termasuklah ibu kau.

Aku faham kau diajar agar menghormati orang tua, terutamanya ibu kau yang melahirkan kau. Tapi realitinya, kau takkan mungkin berjaya menjadi pemerintah yang hebat tanpa organisasi yang berskala besar seperti Sayap Kuning ni. Kau perlukan aku melebihi segalanya dalam geopolitik ni.

Aku sayangkan kau melebihi dari segala yang aku ada, Azlan. Demi kau, aku akan lakukan apa sahaja, walaupun aku sedar aku ni dibenci oleh ibu kau.

Azlan, aku tahu kau ada kat mana. Tapi aku tak nak datang ke sana sebab aku tahu yang buat masa ni, kau amat membenciku. Ibu kau pun benci aku. Begitu juga dengan semua saudara-mara kau. Aku tahu yang mereka juga sedang susun strategi untuk lawan Tok Aki.

Aku akan tolong kau jatuhkan Tok Aki. Aku janji, Azlan. Aku janji aku akan tolong kau sampai kau berjaya capai apa yang diramalkan oleh Sayyid Muluk.

Demi untuk kita bertiga. Kau, aku dan anak kita dalam kandungan ni. Demi kita bertiga, aku rela buat apa sahaja.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top