10.0 : Pemeriksaan

DIFAHAMKAN, seramai 965 orang sahaja yang berjaya melepasi cabaran 'Larian ke Orbit 2' dan lapan puluh peratus calon berjantina lelaki manakala selebihnya adalah wanita, termasuklah Nora Yuhanis. Sebelum bersurai, mereka diarahkan untuk berada di Hospital Cyberjaya pada pukul 2.00 petang tepat dan sebarang kelewatan akan menyebabkan kelayakan untuk meneruskan proses pemilihan yang seterusnya akan terbatal secara automatik.

Selepas mendengar arahan itu, sambil terhincut-hincut menahan kebas di kaki, Nora Yuhanis terus menghubungi ibunya yang berada tidak jauh daripada kedudukannya lantas berangkat pulang ke rumah.

"Ibu....ibu tidak boleh ikut Nora ke Hospital, nak?" soal Aunty Anne yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Nora Yuhanis.

"Ibu, ada baiknya ibu berehat sahaja di rumah. Nora pun tak pasti pukul berapa Nora akan balik. Lagipun terlalu ramai orang nanti. Takpe, nanti apa-apa ibu akan contact ibu terus," ujar Nora Yuhanis sambil fokus kepada pemanduannya.

"Okay lah. Tidak apalah kalau macam tu. Nanti ibu masak yang sedap-sedap kalau Nora pulang petang nanti. Ibu doakan semoga urusan Nora dipermudahkan. Amin," Aunty Anne sempat menadah tangan memohon agar segala urusan anaknya dipermudahkan.

"Amin ya-rabbal alamin."

Nora Yuhanis memandang wajah ibunya sambil tersenyum. Ada sedikit kegirangan yang jelas terpancar daripada wajah sayu terbabit. Kakinya dirasakan semakin pulih dan hanya terasa sengal-sengal ubi terutamanya di bahagian sendi & buku lali.

Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi dan Nora Yuhanis baru sahaja tiba di perkarangan rumahnya. Dia lantas mengambil segala barangan yang ada di dalam kereta dan kemudian bergegas masuk ke rumah untuk membersihkan dirinya. Tubuhnya yang genit itu jelas memberikan kelebihan kepadanya untuk bersiap dengan lebih pantas. Ibunya pula sempat memasakkan makanan tengah hari yang simple namun berkhasiat seperti ayam stim masak labu yang telah diperap semenjak pagi dan juga sayur broccoli campur. Selesai sahaja menjamah makanan tengah hari, Nora Yuhanis terus keluar untuk menuju ke Hospital Cyberjaya. Ini merupakan kali kedua dia menjejakkan kaki ke hospital ini setelah kali pertama beberapa tahun yang lalu apabila menghantar sampel darah pesakit semasa menjadi doktor pelatih dahulu.

Jarak perjalanan daripada rumahnya ke Hospital Cyberjaya mengambil masa selama 35 minit jika melalui Sistem Lingkaran Lebuhraya-SILK highway dan dia perlu berada di perkarangan hospital sekurang-kurangnya sejam lebih awak supaya keadaan menjadi tidak kelam-kabut apabila mencari kotak parkir ataupun terlambat ketika mencari lokasi taklimat. Nora Yuhanis bernasib baik apabila berjaya tiba awal ke hospital berkenaan walaupun kotak parkir hampir penuh. Keadaan waktu itu sudah semakin sesak dengan kehadiran peserta larian dan ahli keluarga masing-masing yang terus menuju ke Hospital berkenaan.

Terdapat enam buah khemah didirikan di perkarangan hospital dan sesi taklimat bagi calon angkasawan difahamkan akan dilangsungkan di dalam Dewan Utama yang berada di paras 2 bangunan hospital terbabit. Nora Yuhanis segera mencari surau yang berada di paras 1 bagi menunaikan solat zohor dan selepas selesai menunaikan solat fardu, dia bergegas ke Dewan Utama di paras 2 bagi mengikuti sesi taklimat. Keadaan surau agak sesak dengan kehadiran ahli keluarga calon-calon, seakan-akan berada di kawasan pusat membeli-belah.

Beberapa orang yang terlewat dikira tidak layak untuk menyertai program ini dan sesi taklimat ringkas telah dilakukan oleh ketua jawatankuasa pemilihan dan juga daripada wakil agensi angkasa Malaysia (MYSA). Daripada jumlah 965 orang calon yang lulus ujian pertama, 49 orang calon mempunyai latar belakang Ijazah Kedoktoran (Phd), 278 orang pula mempunyai ijazah Sarjana (master), 11 orang tidak layak secara automatik dan selebihnya adalah pemegang ijazah Sarjana Muda (graduate) dalam pelbagai bidang.

Selesai sahaja sesi taklimat yang berlangsung selama hampir 45 minit, calon-calon dibawa ke bahagian perkarangan hospital untuk menjalani pemeriksaan asas yang meliputi pemeriksaan darah, ujian air kencing, ujian penglihatan dan fizikal termasuklah ujian kardiovaskular dan sistem pernafasan termasuklah ujian swab dan ujian calitan oleh doktor-doktor pakar. Terdapat enam buah stesen pemeriksaan yang dibahagikan mengikut jantina lelaki dan perempuan, sepertimana stesen ujian swab untuk Covid-19 suatu masa dahulu, namun terdapat bilik kosong yang tertutup rapat bagi setiap stesen. Kesemua doktor-doktor pakar terbabit memakai face shield dan juga sut PPE dan hanya nama mereka akan ditulis bahagian luar sut PPE terbabit bagi proses pengenalan.

Agak memeranjatkan apabila setiap peserta akan diwajibkan untuk menanggalkan pakaian di dalam bilik tertutup tersebut dan hanya akan diperiksa oleh beberapa orang doktor pakar yang mempunyai sama jantina dengan jantina calon. Nora Yuhanis pada mulanya agak risau dan tidak selesa dengan modul pemeriksaan fizikal di dalam bilik tertutup berkenaan, namun, dia difahamkan kesemua doktor yang memeriksanya adalah doktor pakar berjantina wanita dan tiada apa yang perlu dibimbangkan, jadi dia kembali selesa dan meneruskan modul pemeriksaan terbabit demi mengapai cita-cita yang semakin cerah itu.

Lagipula, ianya adalah sebahagian daripada modul wajib yang telah ditetapkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk mencatatkan setiap perincian fizikal calon-calon yang bakal menjadi wakil negara untuk menjadi seorang angkasawan yang berkaliber dan sihat secara harfiahnya. Sungguh Nora Yuhanis tidak menyangka, jika selama ini dialah insan yang selalu memeriksa tubuh fizikal pesakit-pesakitnya, namun pada hari ini, lain pula ceritanya dengan situasi yang sedang dihadapinya kini. Namun, dia bersyukur apabila segalanya telah selesai dengan baik dan hanya menunggu apa-apa maklumat mahupun surat daripada pihak MYSA nanti.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top