Prolog
***
"Ada apa kau nak jumpa aku ni?"
Rasanya cukuplah mereka berbasa-basi sejak setengah jam tadi. Bukannya Harraz tak perasan sahabatnya itu tampak tak senang duduk sejak tadi, seperti ada sesuatu yang cuba disembunyi.
Fahim diam sejenak, wajah kawan karibnya itu direnung lama.
"Aku bagitahu kau ni, kau jangan marah tau."
Tergelak Harraz mendengar sebaris soalan dari Fahim itu.
"Kau ingat aku mak kau ke? Cakap sajalah apa dia. Kau ni." Balas Harraz dengan sengihan buatkan Fahim tersenyum halus, hambar.
"Aku dah terlanjur.."
Berderau darah Harraz tika mendengar sebaris pengakuan yang datangnya dari sahabat karibnya itu.
Dia cukup kenal Fahim, sejak mereka di bangku sekolah lagi. Tak mungkin..
Wajah Fahim direnung lama, mencari kepastian di wajah itu. Namun yang dilihatnya hanyalah sepasang mata yang berkaca.
***
"Astaghfirullahalazim, kenapa sampai macam ni sekali Fahim?" Perlahan Harraz bertanya usai meninggalkan jeda di antara mereka.
Fahim hanya diam, membiarkan tatapan penuh kecewa dari rakan karibnya itu menembus tepat sepasang matanya. Sungguh, dia malu berhadapan dengan sahabatnya itu sekarang namun pada masa yang sama, dia buntu.
"Dia dah mengandung.."
"Ya Allah, Fahim.." Harraz menghembus nafas berat.
Sungguh Harraz mengharapkan semua ini hanya gurauan dari kawannya itu namun melihat kekusutan di wajah sahabatnya itu, dia tahu perkara seperti ini tak seharusnya dibuat gurauan.
"Habis, apa kau nak buat sekarang?" Soal Harraz perlahan, cuba bertenang.
Tahu dengan menghukum tindakan sahabatnya itu tidak akan mengubah apa-apa.
"Aku nak bertanggungjawab. Aku nak jumpa ibu dengan ayah dia tapi aku tak tahu sama ada mereka boleh terima aku atau tak.. Sedangkan dia pun dah kena halau dari rumah.."
Harraz kehilangan kata-kata, sama-sama buntu.
"Habis sekarang, mana perempuan tu?" Soal Harraz ingin tahu.
"Dekat apartment aku. Sebab tu aku nak minta tumpang duduk rumah kau sampai hujung minggu ni."
Perlahan Harraz mengangguk.
Mana mungkin dia tak menghulurkan bantuan pada lelaki itu, sahabatnya yang sentiasa ada di tika susah senangnya.
***
Waktu sudah menginjak pukul 10.45 malam, barulah Harraz dapat melangkahkan kaki keluar dari wad. Sungguh dia kepenatan.
Belum dikira lagi perutnya yang berbunyi sejak tadi. Mana tidaknya kalau kali terakhir perutnya diisi pun adalah waktu makan tengah hari tadi.
Tapi dalam otaknya sekarang hanyalah tidur.
Masuk saja ke dalam lif, Harraz memejamkan mata seraya menyandarkan sisi tubunya pada dinding lif. Merehatkan diri sebentar.
Mengeluh perlahan dia tika merasakan telefon pintarnya bergetar perlahan di dalam poket seluarnya, menandakan adanya panggilan masuk.
Dengan tubuhnya masih tersandar lemah pada dinding lif, telefon pintarnya diseluk keluar dari poket.
Melihat saja nama Fahim tertera di skrin telefon pintarnya, lantas panggilan itu diangkat.
"Man, dah habis shift ke?"
"Assalamualaikum."
Tergelak Fahim mendengar salam dari Hilman itu. Gayanya nampak benar memerli tapi Fahim langsung tak ambil hati.
“Maaflah sebab kacau kau. Aku nak minta tolong sikit ni, boleh?"
"Ya, apa dia?" Soal Harraz seraya melangkah keluar dari lif usai pintu lif terbuka luas.
"Minyak motor aku habis tepi highway ni. Boleh tolong hantar minyak tak? Hehe."
"Ingat aku cairlah dengan hehe kau tu? Kau ni macam perempuanlah, tak reti check minyak sebelum keluar rumah ke? Ini tak, start motor terus jalan."
Itulah Harraz, sedia memberi bantuan tapi tadahlah telinga dengar dia membebel.
***
Usai membeli sebotol minyak di stesen minyak yang beroperasi selama 24 jam, terus Harraz menuju ke lokasi yang dikongsi oleh Fahim sebentar tadi.
Semakin lama motosikal Ninja Kawasaki milik Harraz semakin menghampiri lokasi di mana seharusnya menjadi tempat di mana Fahim berada namun apa yang Harraz lihat di hadapannya itu hanyalah lorong laluan motosikal yang kosong dan gelap.
Lambat-lambat Harraz menghentikan motosikalnya di bawah satu-satunya lampu jalan yang malap di lorong itu.
Sekali lagi nombor telefon Fahim dihubungi namun tidak diangkat. Baru saja dia hendak membuat panggilan semula, terdengar sayup-sayup kedengaran suara seseorang memanggil namanya.
"Man.. Firman.."
Suara itu.
Suara Fahim.
Lantas Harraz turun dari motosikalnya. Pantas motosikalnya ditongkat sebelum langkahnya diatur laju ke arah dari mana suara Fahim itu datang.
"Man, tolong aku.."
Sayup-sayup kedengaran suara itu dari semak berhampirannya.
"Fahim!"
"Ya Allah!" Hampir luruh jantung Harraz tika melihat rakannya itu sudah terbaring di dalam semak, berlumuran darah.
Darah menyembur keluar dari mulut rakannya itu. Bekas tikaman terlihat jelas pada bahagian dada rakannya itu, mencemarkan kemeja putih lelaki itu dengan merah darah yang masih mengalir tanpa henti.
"Firman, tolong aku.."
Teresak-esak rakannya itu menangis, menatapnya dengan sepasang mata yang mula terlihat kelam.
Tanpa berfikir panjang, pantas Harraz menghubungi talian kecemasan dan meminta bantuan segera sebelum dirasakan tangan Fahim yang mula dirasakan membeku, menarik perlahan tangannya.
"Tolong aku, Man.."
Ya Allah..
Tanpa sedar, Harraz turut sama mengalirkan air mata. Setiap rayuan dan esakan sahabatnya itu menghiris hatinya.
"Kau kena kuat, Im! Kau kena tahan! Kejap lagi ambulans datang!" Tangan Fahim yang menggenggam tangannya itu turut sama digenggam kuat.
"Aku minta maaf aku lambat, Im.." Rintih Harraz dengan tangisan yang tanpa sedar mula menguasainya.
Tika penglihatannya mula dikaburi dengan air mata, dapat Harraz lihat rakannya itu tersenyum halus.
Senyuman yang bagaikan mentertawakannya, gurauan terakhir sahabatnya itu buatnya kerana itulah kali pertama dia menangis di hadapan sahabatnya itu, bahkan kerana lelaki itu.
"Bukan salah kau.."
Perlahan suara Fahim memujuknya. Dapat Harraz rasakan tangan lelaki itu semakin membeku di dalam genggamannya.
"Fahim, aku merayu dekat kau, tolong bertahan dengan aku. Sekejap saja ni, kejap lagi ambulans sampai.. Aku janji.." Pinta Harraz separuh merayu namun sebak hatinya tika Fahim menggeleng perlahan.
"Tolong tengok-tengokan ibu, ayah dengan adik-adik aku untuk aku.. Beritahu mereka, aku minta maaf.."
"Kau pun,.. Maafkan aku ya?"
Lambat-lambat Harraz menggeleng. Tidak mampu merelakan hati untuk menerima apa yang bakal terjadi nanti.
"Tolong tengok-tengokan Ainin untuk aku.. Sampaikan maaf aku pada dia.."
"Im, tolonglah.."
Tiada lagi kata dari sahabatnya itu, hanya kedengaran aturan nafasnya yang berat dan sukar, sepasang mata itu juga sudah mula kehilangan sinarnya, buatkan Harraz tahu, sudah sampai masanya untuk sahabatnya itu pergi..
Lantas Harraz mendekatkan bibirnya ke telinga sahabatnya itu, membisikkan kalimah syahadah, berkali-kali. Setiap kali itu, air matanya tidak henti-henti mengalir.
Sehinggalah dapat dia dengar sendiri sahabatnya itu turut sama mengikutinya, mengucapkan dua kalimah syahadah. Cukup perlahan.
Tika sepasang mata itu tak lagi menatapnya, tahulah Harraz sahabatnya itu telah pergi.
Matanya dipejamkan rapat, menahan ngilunya hati cuba merelakan. Mengharapkan semua ini hanya mimpi ngeri namun tidak mungkin, semuanya terasa begitu nyata.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top