8
***
"Akak tak balik ke study week minggu depan?"
"Tak. Kenapa?" Soal Ainin. Pada masa yang sama tangannya lincah menulis di atas kertas.
"Aiman bukan apa, nenek ni."
Terus Ainin duduk tegak.
"Kenapa dengan Nenek?"
Aiman diam sejenak di talian sana, sepertinya serba salah hendak menjawab.
"Aiman, baik kau jujur dengan aku."
"Nenek tak sihat, mengah dia datang balik."
"Ha? Teruk ke? Habis tu Aiman tak bawa nenek pergi klinik?"
"Akak macam tak kenal nenek akak tu. Pantang nenek moyang nenek akak tu bila dengar perkataan klinik ke hospital ke, menggelegak darah pahlawan dia. Sebelum ni pun akak yang pujuk nenek pergi hospital baru jalan."
Ainin mengeluh perlahan. Pelipis kepalanya diurut-urut perlahan.
"Aiman cubalah pujuk nenek elok-elok."
"Nak pujuk macam mana lagi, kak? Nak Aiman cakap, Nek, kita pergi hospital jom, lepas tu Aiman janji Aiman bawa nenek makan durian. Macam tu?"
Kalau adik lelakinya itu ada di hadapan matanya sekarang, sudah lama didebiknya budak itu dengan siku.
"Yelah, yelah. Nanti akak tengok ada tak tiket bas untuk esok."
"Eh, tak payah. Aiman dengar Abang Firman nak balik kampung malam ni. Alang-alang tu tumpang jelah dia. Sekali jalan kan. Jimat duit."
Berkerut dahi Ainin. Aiman ni adik dia atau adik Harraz?
"Amboi. Tahu dari mana?"
"Akak apa tahu. Diam-diam Aiman dah kamceng tau dengan Abang Firman."
Ainin julingkan matanya ke atas tanda menyampah.
"Cubalah call Abang Firman. Aiman rasa dia tak gerak lagi tu. Dia kata nak gerak tengah malam."
"Tak payah. Benda boleh usaha sendiri buat apa nak susahkan orang lain?"
"Akak lupa ke minggu depan raya haji? Confirm tiket bas, kapal terbang, feri, kapal selam, kereta kebal semua dah habis. Tumpang jela Abang Firman, akak. Sumpah dia tak makan oranglah."
"Yang Aiman beria sangat ni kenapa?"
"Kesian nenek, kak."
Sekali lagi neneknya disebut buatkan Ainin mengalah.
"Yalah, tengoklah nanti macam mana."
"Tak payah tengok, confirm jadi."
Sebaik saja panggilan di antara dua beradik itu tamat, Aiman menoleh, melihat ke arah neneknya. Serentak mereka berdua mengukir senyum, senyuman penuh makna.
***
Serbuk kopi yang sudah dituang ke dalam thermos dikacau sebati. Sesekali Harraz menguap besar, mengantuk tapi apakan daya, demi mengelak jalan jammed, terpaksalah dia pulang ke kampung malam itu juga.
Drrt, drrt, drrt.
Lantas Harraz menoleh tika telefon pintarnya yang ditinggalkan di meja makan tadi berbunyi menandakan adanya panggilan masuk.
Thermos dibawa sekali bersamanya menuju ke meja makan. Telefon pintarnya yang masih berbunyi itu dicapai.
Ainin Sofea
Terus segar-bugar matanya tika sebaris nama itu muncul di skrin telefon pintarnya. Sebelum panggilan telefon itu tamat, cepat-cepat ikon hijau digeser.
"Assalamualaikum, Doktor."
Terkebil-kebil Harraz.
"Waalaikumussalam. Tak payahlah panggil saya doktor. Trauma saya, macam saya tengah dekat dalam wad pula."
Di talian sana, Ainin pula yang pelik bila Harraz tiba-tiba saja buang tebiat menggunakan kata ganti nama 'awak-saya' dengannya.
"Habis nak panggil apa?"
"Penat-penat ibu saya fikir nak bubuh nama apa dekat saya sampai tiga nama dia terus letak. Awak pilih jelah satu." Selamba Harraz menjawab.
"Okaylah macam tu. Sebelum tu saya nak minta maaf sebab ganggu Encik Muhammad malam-malam ni."
Tersedak Harraz yang baru sahaja meneguk sedikit kopi panas buatannya tadi. Tak pernah-pernah orang memanggilnya Muhammad.
"Adik saya bagitahu yang Encik Muhammad-"
"Janganlah panggil saya Encik Muhammad. Tersedak semua lelaki nama Muhammad dekat Malaysia ni bila awak dari tadi dok panggil saya Encik Muhammad, Encik Muhammad." Tegur Harraz sebelum dia terbatuk-batuk kecil.
"Habis tu?"
"Ikut suka awaklah?"
"Saya panggil Encik Muhammad awak tak bagi?"
"Boleh tapi tak perlulah Encik dekat depan tu."
"Baiklah Yang Berhormat YDP Muhammad."
Tak tahulah Harraz sama ada dia hendak gelak atau menangis.
"Panggil jelah saya Harraz."
"Tak nak, saya nak panggil Muhammad juga."
"Okay." Sebelum perbahasan antara mereka itu pergi lebih jauh, cepat-cepat Harraz bersetuju.
"Sebelum tu, saya nak minta maaf."
"Ya, awak dah minta maaf tadi, saya dah maafkan dah pun. Ada apa?" Lembut saja Harraz membalas.
"Awak dah balik kampung ke?"
"Belum. Kejap lagi. Kenapa?"
"Adik saya call saya tadi. Dia cakap nenek kami tak berapa sihat. Saya ingat nak balik tengok nenek."
"Tak sihat? Teruk ke?" Sedikit sebanyak Harraz turut sama bimbang.
"Aiman kata nenek mengah sikit tapi tak nak pergi hospital. Tu yang saya ingat nak balik ni, nak cuba pujuk."
"Okay. Awak siap-siaplah. Nanti saya datang ambil awak. Share location."
Tanpa sempat Ainin bertanya, Harraz sudah memberi persetujuan untuk dirinya menumpang.
"Awak okay je kan kita balik malam ni? Saya nak elak jammed."
"Okay je. Cuma, saya tak menyusahkan Harraz ke?"
"Taklah, sekali jalan. Share location, nanti saya datang."
"Okay. Terima kasih, Harraz."
Sebaik saja panggilan dimatikan, Harraz tersenyum sendiri.
***
Hampir lima belas minit Ainin sudah berada di dalam kereta Harraz. Tak dinafikan dia masih berasa canggung bila hanya berdua dengan lelaki itu.
Mujurlah Harraz sentiasa tampak santai bila berdua dengannya, tak adalah dia rasa makin janggal.
Sesekali dikerlingnya Harraz yang sedang fokus memandu di hadapan.
"Maaf sebab saya duduk belakang." Perlahan suara Ainin memohon maaf. Serba salah juga dia dibuatnya.
"Tak apa, saya faham." Itu saja balasan dari Harraz. Sempat lelaki itu mengerlingnya di cermin sisi hadapan kereta.
"Maaf juga sebab last minute minta tumpang kereta awak."
"No worries." Balas Harraz tanpa berpaling. Pada masa yang sama signal dipasang. Stereng kereta diputar perlahan untuk membuat pusingan di roundabout.
"Doktor balik kampung ni, cuti berapa lama?"
Malas hendak bergaduh, dibiarkan saja Ainin memanggilnya Doktor. Dah terbiasa barangkali.
"Dua hari je, itu pun dah bersyukur sangat bila dapat." Cerita Harraz buatkan Ainin tersenyum.
"Nenek awak sakit apa?"
"Tiga serangkai."
Harraz hanya mengangguk faham. Biasalah rata-rata masyarakat Malaysia bila sudah mencapai lewat usia, tak boleh lari dari penyakit tiga serangkai; diabetes, darah tinggi dan kolesterol.
"Kalau ngantuk, tidurlah. Nanti dah sampai saya kejut." Ujar Harraz seraya mengerling sekilas ke arah Ainin. Lagi pun Harraz tahu, Ainin masih segan hendak berbual panjang dengannya.
Ainin hanya mengangguk perlahan. Kepalanya dilentokkan pada tingkap kereta. Lama-kelamaan dirinya terbuai dibawa mimpi.
Harraz pula di depan gigih melawan ngantuk. Sesekali kopi diteguk.
Terangguk-angguk kepalanya mendengar lagu di radio yang dipasang dalam volume paling rendah, cukup untuk dirinya saja yang dengar, niatnya tak mahu mengganggu lena Ainin.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top