3
***
Perlahan-lahan Ainin mencelikkan mata tika merasakan pedih, mencucuk-cucuk halus tangan kanannya. Usai dia membuka mata, terlihat Harraz sedang melutut di sisi katilnya, memasukkan jarum branula di tangan kanannya.
Seolah-olah sudah menduga terjaganya Ainin, Harraz hanya mengerling wanita itu sekilas.
"Rehatlah." Perlahan Harraz bersuara usai branula sudah terpasang elok di tangan Ainin.
Tanpa mempedulikan kata-kata Harraz, sepasang mata Ainin masih memerhati setiap gerak-geri lelaki itu dan entah kenapa, sepasang matanya mula dirasakan panas dan membahang tika melihat lelaki itu.
Kini Ainin hanya memerhati tika Harraz menyuntik IV bolus pada aku.
"Gula dalam darah kau rendah—"
"Tak ada siapa yang tahu kan?" Soal Ainin perlahan dengan genangan air mata yang tak mampu ditahan.
Terlihat Harraz hanya diam. Usai selesai memasukkan IV bolus di tangan Ainin, barulah Harraz mengangkat kepala untuk bertentangan mata dengan wanita itu.
Untuk seketika panahan mata antara mereka bertaut lama.
Lapang dadanya, lega Ainin rasakan tika Harraz menggeleng perlahan.
"Tapi kau kenalah jaga diri. Kalau selalu jadi macam ni, lama-lama orang akan tahu juga, Ainin." Lembut Harraz memberi pesanan namun pada masa yang sama, tegas.
Ainin hanya diam, membiarkan sepasang mata lelaki itu merenung tepat ke dalam anak matanya. Mungkin sedar pautan mata antara mereka bertaut lama, Harraz terlebih dahulu mengalihkan pandangannya.
"Kau rehatlah." Pesan Harraz seraya mengatur langkah menjauhi Ainin.
Sebaik saja Harraz hilang dari pandangan mata, datang pula Syafinaz bersama kawan-kawan sekelas Ainin yang lain. Tahulah Ainin yang dia confirm tengah viral dalam WhatsApp group kelas mereka sekarang.
***
Selepas pergi ke PKU (Pusat Kesihatan Universiti) pagi tadi demi surat cuti dan ubat, Ainin terus berehat saja di dalam bilik hingga ke petang hari.
Tidak serik dengan apa yang sudah terjadi padanya sebelum ini, Ainin langsung tak mengisi perutnya hari itu sehinggalah Syaf pulang dari klinikal shift paginya, membawa bungkusan makanan untuknya.
"Kau okay tak ni? Ni mesti belum makan lagi kan? Apa nak jadi kau ni, Ainin?"
Masuk saja bilik, Syaf sudah membebel pada Ainin. Beg plastik berisi nasi putih dan beberapa jenis lauk-pauk diletakkan di atas meja lalu langkahnya diatur menghampiri Ainin yang masih terbaring di atas katil.
Dapat Ainin rasakan telapak tangan Syaf menyentuh lembut atas permukaan dahinya.
"Panas lagi ni. Dah makan ubat belum?"
Perlahan Ainin menggelengkan kepala buatkan mata Syaf membulat.
"Tak makan lagi?! Kau ni kenapa? Kau jangan sampai aku bagi ubat bontot dekat kau. Dah bangun, bangun. Makan nasi aku belikan tu lepas tu makan ubat."
Ainin hanya diam, matanya masih terpejam rapat.
"Ainin Sofea."
Bila Syaf dah keluarkan aura mak-mak dia, memang tak boleh lawan dah. Akhirnya Ainin gagahkan juga tubuhnya untuk bangun.
"Bagus anak mak." Syaf tersenyum menang. Rambut Ainin diusapnya lembut sebelum dia bangun dari terus duduk di atas katil Ainin.
"Kau cuti berapa hari ni?" Soal Syaf seraya mula membuka tudung.
"Hari ni je." Balas Ainin perlahan seraya menggosok mata.
"Hari ni je? Hari ni je?! Sehari?! Mana cukup!"
"Memang aku yang minta sehari je. Kan aku dah cakap, aku malas nak ganti klinikal waktu cuti sem nanti."
Terus Syaf kembali berdiri di hadapan Ainin, bercekak pinggang dengan sepasang matanya tajam merenung Ainin. Ha hendak membebel lagilah tu!
***
Keesokan harinya, Ainin kembali kepada rutin hariannya seperti biasa. Pergi ke hospital untuk tugasan klinikal.
Sudah hampir empat tahun bergelar pelajar kejururawatan, dia sudah cukup lali dengan rutin di dalam wad yang boleh dikatakan berulang-ulang setiap hari. Dalam diam, sebentar lagi dia akan masuk semester akhir pula.
Hari ini dia bertemu lagi dengan lelaki itu di dalam wad. Siapa lagi kalau bukan Harraz?
Namun masing-masing lebih memilih untuk berpura-pura tidak saling mengenali atau sebenarnya masing-masing sibuk dengan hal sendiri sampaikan tiada masa hendak bertegur sapa.
Sesekali terserempak di laluan yang sama pun mereka buat tidak endah antara satu sama lain. Sejujurnya Ainin masih merasa kekok dengan lelaki itu.
Sebelum waktu tengah hari, Ainin sudah sibuk menyediakan ubat untuk diberikan pada pesakit sebentar lagi. Antara ubat yang paling banyak dia perlu sediakan hari itu adalah ubat IV dan insulin.
Baru saja Ainin hendak memulangkan bekas insulin ke dalam peti sejuk, kebetulan pula Harraz melangkah masuk ke dalam bilik ubat itu namun lelaki itu langsung tak mengendahkannya, jadi Ainin turut melakukan hal yang sama, buat-buat tak nampak.
Sementara Harraz sibuk mencari sesuatu di dalam kabinet di atas meja kaunter bilik ubat itu, Ainin mengatur langkah ke peti sejuk.
Usai pintu peti sejuk dibuka, Ainin menunduk sedikit bagi meletakkan semula bekas insulin Actrapid itu ke tempat asalnya.
Dan baru saja Ainin hendak menegakkan tubuhnya, lantas Ainin kembali menunduk seraya menekan kuat perutnya tika merasakan nyerinya disitu, bagaikan ditarik-tarik hingga ke bahagian ari-arinya.
Lantas Ainin mengetap bibirnya tatkala mulutnya spontan mendesir sakit. Matanya dipejamkan menahan ngilu. Untuk seketika dia tak mampu berdiri tegak.
"Ainin?"
Terdengar suara garau milik Harraz memanggil perlahan nama Ainin, kebetulan lelaki itu nampak apa yang terjadi pada Ainin sebentar tadi.
Ainin masih diam, cuba menenangkan diri dengan harapan rasa nyeri yang mencucuk-cucuk bawah abdomennya tika itu akan mereda dengan sendirinya. Pada masa yang sama, tangannya menggenggam kuat hujung uniformnya.
"Kenapa?" Soal Harraz perlahan, pada masa yang sama langkahnya tanpa sedar sudah diatur menghampiri wanita itu.
Walaupun rasa nyeri masih terasa, Ainin cuba untuk meluruskan tubuhnya seraya mencelikkan mata. Di saat tubuhnya perlahan-lahan mula beradaptasi dengan rasa ngilu yang mencucuk-cucuk halus bawah abdomennya tika itu, barulah Ainin perlahan-lahan mengatur langkah ke meja kaunter berhampirannya itu.
Sampai saja di meja kaunter, tangannya berpaut pada hujung meja itu. Dapat dia rasakan peluh dingin membasahi dahinya, nafasnya juga dirasakan laju.
Harraz pula masih setia memerhati Ainin. Dalam diam dia pula yang risau melihat kerutan di dahi Ainin tika itu.
"You should be careful, Ainin. Jangan buat kerja terlalu berat." Perlahan Harraz memberi nasihat. Sepasang matanya masih tertumpu pada wajah Ainin.
"Saya tak buat apa punlah." Balas Ainin perlahan tanpa memandang lelaki di sebelahnya tika itu. Dalam hati ingin lelaki itu cepat-cepat pergi.
Tanpa menunggu lama, troli ubat yang sudah disediakan tadi ditolak keluar dari bilik itu, meninggalkan Harraz.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top