1
***
Sementara menunggu baju dikeringkan di dalam mesin pengering, Ainin menyibukkan diri dengan mengemas ruang tamu.
Segala debu hama dilapnya dengan kain lembap. Selesai menyapu, dia mengelap lantai pula.
Perlahan-lahan tangannya terhenti dari terus mengelap lantai tika terdengar loceng rumah itu berbunyi untuk beberapa kali.
Setahunya hanya seorang saja yang pernah berkunjung di apartment yang sudah seminggu menjadi tempatnya untuk menumpang itu.
Fahim.
Spontan pandangannya dikalihkan pada jam dinding yang terletak berhampiran dengannya.
Sembilan pagi.
Jarang-jarang lelaki itu datang pada waktu itu. Datang menjenguknya pun jarang. Hanya bertanya khabar dan berhubung jika perlu melalui telefon.
Datang ke apartment itu pun hanya sekali dua, itu pun sekadar menghantar barang keperluan buat Ainin.
Sekali lagi loceng berbunyi, menyedarkan Ainin yang masih tak habis fikir itu.
Terus Ainin meninggalkan mop di tangan ke dalam baldi berisi air sabun itu. Tudung sarung yang sengaja dia letakkan di atas sofa berhampirannya tika itu dicapai lalu disarungkan ke kepala. Langkahnya terus diatur ke pintu utama apartment itu.
Sebelum membuka pintu, sempat Ainin melihat dahulu keadaan di luar melalui security camera yang terhubung dengan intercom pintu masuk itu.
Terlihat seorang lelaki sedang menunggu di hadapan pintu apartment itu.
Ainin mula serba salah. Dia bukannya kenal siapa lelaki itu.
Lelaki itu pun, macam tahu-tahu saja Ainin sedang memerhatinya dari dalam, terlihat lelaki itu menunduk, menaip sesuatu di skrin telefon pintarnya.
Usai menaip di aplikasi nota pada telefon pintarnya, skrin telefon ditayang tepat di hadapan kamera.
Berkerut-kerut dahi Ainin cuba membacanya.
Aku Harraz, kawan Fahim.
'Harraz'
Nama itu disebut dalam hati.
Seingat Ainin, Fahim tak pernah menyebut nama lelaki itu di hadapannya sebelum ini. Namun ada satu nama yang sentiasa Fahim sebut sebagai sahabatnya, Firman.
Nak tak nak, dengan hati yang entah kenapa terasa berat, pintu rumah dibuka perlahan.
Untuk pertama kalinya mereka bertentang mata.
"Kau Ainin?"
Tanpa salam, Harraz bertanya. Ainin mengangguk perlahan.
"Sibuk ke sekarang?" Soal Harraz lagi. Sejujurnya lelaki itu masih tidak tahu bagaimana hendak memberitahu perempuan di hadapannya tika itu mengenai Fahim.
Soalan Harraz itu Ainin balas dengan gelengan kepala.
"Ikut aku."
Ainin diam sejenak.
"Nak pergi mana?" Soal Ainin buatkan Harraz terdiam. Wajah Ainin direnung lama, terasa sukar untuk memberikan jawapan buat wanita di hadapannya tika itu.
"Aku nak bawa kau jumpa Fahim.." Perlahan Harraz membalas.
***
Sepanjang perjalanan, tiada perbualan wujud di antara mereka di dalam kereta milik Harraz itu. Masing-masing lebih memilih untuk berdiam diri.
Sehinggalah kereta Harraz memasuki halaman rumah seseorang, tika itu barulah Ainin punya keberanian untuk menoleh dan melihat tepat ke arah lelaki itu.
Belum sempat Ainin membuka mulut untuk bertanya, sekali lagi matanya mengawasi sekeliling halaman rumah itu yang sudah dipenuhi dengan kereta.
Beberapa orang tetamu sedang mengatur langkah ke pintu utama rumah itu. Rata-rata berbaju kurung bagi yang perempuan dan bersongkok bagi kaum Adam.
"Ini rumah keluarga Fahim." Perlahan Harraz bersuara usai memarkir kereta, dalam diam menjawab soalan Ainin yang hanya mampu ditanya di dalam hati.
Lantas Ainin menoleh, merenung Harraz. Jantungnya mula dirasakan berdegup laju.
"Awak kata awak nak bawa saya jumpa Fahim.." Perlahan Ainin bersuara. Harraz mengangguk perlahan.
"Aku minta maaf, tapi kau perlu tahu yang Fahim,.. dia dah tak ada.." Terasa berat untuk diungkapkan namun perlahan kata-kata itu meniti di bibir Harraz. Demi tuhan, dia sendiri tak kuat..
Ainin terkedu. Wajah Harraz direnung tidak percaya. Dadanya mula dirasakan berat, menahan sebaknya di dada yang mengilukan hati.
Dengan hanya melihat betapa kelamnya sinar di sepasang mata itu yang kian memudar, dapat Harraz rasakan betapa hancurnya hati wanita di hadapannya tika itu.
"Tak sepatutnya aku biarkan kau tak tahu tentang ni, jadi sebelum jasad dia dibawa pergi, aku bawa kau ke sini untuk jumpa dia buat kali yang terakhir.."
***
Alunan suci Surah Yaasin bergema di ruang tamu keluarga itu. Masing-masing dengan kitab Yaasin di tangan, begitu juga Harraz yang setia duduk bersila berhampiran jasad sahabatnya itu, Muhammad Fahim.
Walaupun hatinya masih belum kuat untuk menerima pemergian satu-satunya sahabat karibnya itu namun detik-detik terakhir untuk menatap wajah sahabatnya itu digunakan sehabis mungkin.
Bersihnya wajah sahabatnya tika itu, bagaikan bercahaya dengan sebaris bibirnya bagaikan sedang menguntum senyuman halus.
Lantas Harraz menunduk tika hatinya mula diruntum rasa sebak tatkala menatap wajah sahabatnya itu. Air mata yang mula mengaburi penglihatannya tika itu cuba ditahan dari gugur.
Perlahan-lahan Harraz mengangkat kepalanya kembali namun kali ini, sepasang matanya tertumpu pada seorang wanita di bahagian tempat duduk kaum hawa berhadapan dengannya.
Seorang wanita yang sedang duduk bersimpuh sebaris dengannya, berhadapan dengannya.
Ainin Sofea.
Terlihat wanita itu tekun membaca Yaasin namun sepasang mata bundar itu tidak henti-henti dari terus mengalirkan air mata. Sesekali jari-jemarinya yang terlihat menggeletar perlahan, menyeka air matanya sendiri.
Tak sekali pun Ainin mengangkat kepala untuk melihat jasad Fahim di hadapannya tika itu. Demi tuhan, dia tak mampu..
Namun sejak tadi Ainin perasan ada sepasang mata ralit memerhatinya.
Bukan Harraz, namun lelaki yang kebetulan tika itu duduk di sebelah lelaki itu. Muhammad Faris.
Bukannya dia tak sedar akan kewujudan lelaki itu sejak dia menjejakkan kaki di rumah itu.
Bila Harraz memberitahunya yang mereka berada di rumah keluarga Fahim, Ainin sudah menduga yang dia dan lelaki itu pasti akan bertemu semula.
Namun demi Fahim, Ainin cuba untuk tidak mengendahkan kewujudan lelaki itu.
***
Sementara menunggu Harraz mengiringi jenazah Fahim ke tanah perkuburan bersama ahli keluarga Fahim dan tetamu yang lain, Ainin lebih memilih untuk menunggu di dalam kereta milik Harraz.
Tidak mahu Ainin kepanasan sementara menunggunya, sempat Harraz menghidupkan enjin dan pendingin hawa keretanya untuk Ainin walaupun puas wanita itu menegah. Nak tak nak, Ainin terpaksa mengalah.
Tanpa menghidupkan radio, Ainin termenung lama.
Sehinggalah dia tersedar dari lamunannya tika pintu kereta bahagian pemandu dibuka pantas dari luar sebelum seseorang laju saja memasuki kereta milik Harraz itu.
Terkedu Ainin tika lelaki di sisinya tika itu cukup tenang mengukirkan senyuman untuknya.
Faris.
"Jangan lupa kunci pintu."
Bodohnya dia kerana tidak mengendahkan pesanan Harraz tika itu untuk mengunci pintu kereta.
Baru saja Ainin hendak membuka pintu kereta dan keluar dari situ, Faris lebih pantas menarik tangan perempuan itu.
"Kau nak pergi mana? Kita dah lama tak jumpa, tak kan tak rindu?"
"Lepaskan akulah!" Herdik Ainin kuat seraya cuba melepaskan tangannya dari genggaman lelaki itu yang dirasakan mula mencengkam kuat hingga ke tulang.
"Tak malu kan kau tunjuk muka dekat sini? Lepas apa yang kau dah buat dengan abang aku. Kau ingat dengan kau bacakan Yaasin untuk dia tadi, dosa dia dengan kau akan terhapus macam tu saja? Kesian kan abang aku? Tak sempat taubat dah mati, mati awal pula tu."
Tanpa berfikir panjang, pipi lelaki di hadapannya tika itu ditampar kuat dengan tangan kirinya yang terlepas dari genggaman tangan lelaki itu.
Bagaikan hilang kewarasan diri, Faris tertawa sendiri.
Naik turun dada Ainin mengatur nafas. Jantungnya berdegup laju bagaikan menghentak-hentak dinding dadanya. Matanya mencerlung tajam pada lelaki itu yang masih tak habis-habis tertawa sendiri.
Sehinggalah tawa lelaki itu mereda sendiri, berganti dengan senyuman sinis.
"Rilekslah, aku cuma datang nak tanya khabar kau je. Kita kan kawan?" Soal Faris dengan senyuman sinis.
Di waktu yang sama, dengan hanya berjalan kaki memandangkan tanah perkuburan terletaknya tidak jauh dari rumah keluarga Fahim itu, Harraz sudah mengatur langkah memasuki halaman rumah itu.
Selesai saja urusan di tanah perkuburan, terus Harraz mengatur langkah kembali ke rumah keluarga Fahim, tak mahu Ainin menunggunya lama.
Langkahnya sudah diatur menghampiri kereta miliknya sebelum perlahan-lahan derapan langkahnya terhenti tika dia melihat sendiri kelibat seorang lelaki keluar dari kereta miliknya itu.
Dia cukup kenal lelaki itu. Faris, adik kepada Fahim.
***
"Kau okay?"
Perlahan Harraz bertanya, memecahkan kesunyian di antara mereka dalam perjalanan pulang dari rumah keluarga Fahim itu.
Soal dia melihat Faris keluar dari kereta miliknya tadi langsung tidak ditanyakan pada Ainin. Baginya itu bukan urusannya.
Namun melihat Ainin sekarang buatkan dia tertanya-tanya juga apa yang terjadi tadi. Dalam diam, dia peduli.
Tanpa memandang Harraz, Ainin mengangguk perlahan.
"Nak makan sebelum aku hantar kau balik?" Soal Harraz. Bukannya dia tak perasan perempuan itu langsung tidak menjamah apa-apa makanan sedari pagi.
Ainin hanya menggelengkan kepalanya perlahan.
"Aku bungkuskan makanan nak?"
"Tak lapar." Balas Ainin pendek buatkan Harraz akhirnya diam.
Sesekali Harraz menoleh, mencuri-curi lihat wanita di sisinya tika itu.
***
Keesokan harinya, dengan bekalan makanan buat Ainin, Harraz datang ke apartment milik Fahim. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu mengapa dia buat semua itu.
Suis loceng rumah itu ditekan untuk beberapa kali namun pintu rumah itu masih juga tidak dibuka.
'Tidur ke?'
"Harraz ya?"
Lantas Harraz menoleh tika datang seseorang menegurnya. Seorang wanita pertengahan usia.
"Ya, saya." Jawab Harraz dengan senyuman.
Dengar saja jawapan Harraz, wanita tua itu turut sama tersenyum.
"Rumah anak Makcik sebelah ni saja. Pagi tadi, ada perempuan muda datang rumah Makcik, katanya dia duduk menumpang di rumah ni. Dia minta Makcik serahkan kunci rumah ni pada kamu kalau kamu ada datang ke sini, Harraz katanya." Usai menerangkan, segugus kunci dihulurkan pada Harraz.
Terkedu Harraz tika mendengar penjelasan wanita yang mungkin sudah seusia ibunya itu sebelum lambat-lambat tangan Harraz mencapai kunci yang dihulurkan padanya itu.
"Gayanya macam nak pergi jauh saja budak tu, siap bawa bagasi." Sekali lagi Harraz tersentak. Entah kenapa hatinya mula resah tanpa sebab.
"Maaflah Makcik tak berapa kenal orang sini, Makcik cuma datang duduk rumah anak Makcik ni sekali-sekala." Cerita Makcik itu lagi tak kalah ramahnya.
Harraz hanya tersenyum seraya mengangguk faham namun di dalam hatinya, resah memikirkan keberadaan Ainin sekarang.
'Mana pula kau pergi ni, Ainin?'
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top