23 | AL
"KRING!" Bunyi loceng itu bagaikan alunan merdu kepada para pelajar. Dengar sahaja... apa lagi? Kemas beg teruslah, brader! Masa yang ditunggu - tunggu ini!
"Ha, Natasha. Cepatlah." Jianying setia menunggu Natasha yang sibuk mengemas begnya.
Natasha menggalas begnya setelah siap mengemas barangnya. "Ha, dah siap. Jomlah."
Idayu datang ke arah mereka berdua. Matanya memberi isyarat ke arah luar, seperti memberitahu ada seseorang sedang menunggu mereka di sana. Perlahan - lahan dia menuturkan kata. "Kuzaimie. Ikut dari belakang."
"Kuzaimie? Eh, kenapa?" Kuat juga suara Jianying bertanya.
Natasha menepuk bahu Jianying yang terpinga - pinga. Dia membisikan ke telinga Jianying. "Semalam, aku break dengan dia."
Jianying yang hampir terjerit kecil segera menutup mulutnya. Dia perlahan - lahan menurunkan tangannya. "Kenapa?"
"Aku nak beritahu, muka dia nampak marah sangat. Baik kau orang jangan peduli kalau dia panggil. Aku balik dulu," pesan Idayu sebelum melangkah pergi mengikut pintu belakang. Risau juga dengan dua orang rakan sekelasnya. Sudahlah tinggal mereka bertiga di koridor kelas itu.
"Nanti aku cerita. Jom balik." Natasha menggerakkan bola matanya ke pintu belakang. Jianying yang faham akan maksud itu, mengikuti langkah Natasha dari sisi.
Kuzaimie yang perasan kemunculan Natasha di muka pintu belakang, melaung nama Natasha. "Natasha! Tunggu!"
Natasha dan Jianying memekakkan telinga mereka. Biarkan sahaja Kuzaimie itu bercakap seorang diri. Peluh mula menitik di dahi mereka apabila Kuzaimie mula memanggil nama Natasha dengan nada marah.
"Natasha! Woi, tunggu kau!" jerit Kuzaimie. Nada suara pun macam mahu ajak bergaduh sahaja.
Mendengarkan bunyi tapak kaki Kuzaimie mendekati mereka, cukup membuatkan hati mereka resah. Aduh, macam filem seram pula! Rasa seperti dikejar hantu pula!
Jianying terketar - ketar menoleh sedikit ke belakang. "Natasha, Kuzaimie lari ke arah kitalah." Jianying memandang ke sebelahnya. Alangkah hampir mahu terjatuh jantungnya melihat Natasha lari terlebih dahulu. Nasib pakai seluar di bawah kain sekolah!
Jianying apa lagi? Tidak mungkin dia mahu menari inang selepas mengetahui Kuzaimie mengejar mereka dari belakang. Memang dia buka langkah, mengejar Natashalah jawabnya!
Beberapa saat mereka berlari, mereka berdua berhenti sekejap di koridor surau. Haih, rasa macam selepas berlari merentas desa sahaja.
Jianying yang hampir semput itu bertanya. "Ke... kenapa kau... lari tadi?"
"Aku paniklah." Penutup botol airnya dipulas. Natasha meneguk separuh air di dalam botol airnya itu. Macam iklan jenama air pula.
"Natasha." Suara yang paling amat dikenali menyapa mereka. Ah, sudahlah! Memang dia!
Kuzaimie merenung Natasha. "Kenapa kau nak break? Lepas itu, satu mesej aku pun kau tak balas! Siap lari daripada aku. Ingat aku ini hantu ke?"
Natasha menyimpan botol airnya ke dalam beg. Sudah kau kejar mereka dengan muka tegang kau, tidak mungkin mereka ingin buka gelanggang Maharaja Lawak pula! Mestilah mereka berdua elakkan diri!
"Ya." Natasha membalas renungan Kuzaimie walaupun sebenarnya dia agak takut juga. "Saya nak break dengan awak."
Air muka Kuzaimie menjadi tegang. "Kau curang dengan aku, kan? Kau pergi dekat Qayyum, kan? Apa lebihnya Qayyum dan apa kurangnya aku?"
Natasha menghela nafas, berat. "Saya nak break dengan awak... bukan sebab Qayyum. Saya couple dengan awak pun sebab terpaksa. Raisha paksa saya untuk couple dengan awak. Dan saya mahu break."
Hati Kuzaimie ketika itu retak seribu. Bergetar suara Kuzaimie menahan rasa marah dan sebak. "Kalau kau tak nak... kenapa kau terima? Kau ingat aku tiada perasaan ke? Kau perempuan mur..."
Natasha mencelah. "Saya bukan murah. Saya minta maaf sebab tak tolak dulu. Awak terlalu baik untuk saya. Saya harap awak boleh cari perempuan lain dekat luar sana."
"Tolonglah." Jianying terkedu melihat Kuzaimie sudah berlutut di hadapan mereka berdua. "Tolonglah couple dengan aku semula. Aku janji aku akan bahagiakan kau."
Natasha mengetap bibir. Dia sebenarnya rasa bersalah namun dia terpaksa keraskan hati. "Jangan jadi hina, Kuzaimie. Bangun. Sudahlah, Jianying. Jom balik." Natasha mengheret Jianying menjauhi Kuzaimie yang masih dalam posisi melutut.
Jianying mengetap bibir. "Kau rasa... kau tak kejam sangat ke?"
Natasha mengangguk. Air matanya yang sedikit terkeluar, disapu sedikit. Tipulah jika sepanjang bersama Kuzaimie, dia langsung tiada perasaan kepada Kuzaimie. Adalah juga walaupun sekecil zarah.
"Aku terpaksa, Jianying."
...
Pejam celik, pejam celik mata. Dua hari sudah berlalu. Berita hangat tentang dua orang pelajar popular pun masih lagi menjadi buah mulut murid - murid. Yalah, sekali dengan Afiq terkejut. Padahal baru beberapa hari dia bertemu dengan Kuzaimie. Tidak ada angin, tidak ada ribut. Tiba - tiba sahaja putus hubungan mereka.
Tetapi itulah, rasa kasihan dan gembira juga pada masa yang sama. Rasa kejam pula sebab gembira.
Sebelum masuk ke dalam kelas, mereka akan diberi perhimpunan pendek di tapak perhimpunan. Nasib mereka bukan bersekolah di sesi petang, kalau tidak pasti mengipas diri disebabkan terik matahari.
"Sebelum kamu semua naik ke kelas... saya akan memanggil nama para pelajar yang mendaftar nama, untuk pertandingan sempena Panitia Bulan Keislaman esok." Puan Ajilah mengeluarkan senarai nama sebelum membacanya satu persatu.
Afiq perasan yang Gopal tiba - tiba tidak senang duduk. Sekejap garu pinggul. Kemudian usap - usap tangan. Rizal di belakangnya pun sama. Jari itu memang gatal melukis - lukis di atas lantai tapak perhimpunan itu.
"Wan Fauzul Bin Wan Zuhairi, 5 Mumtaz. Afiq Nazreen Bin Raiz, 5 Cendekia. Che Saiful..."
Afiq korek telinga. Sekejap, dia tidak salah dengar, bukan? Rasanya semalam, dia sudah kurangkan tahi telinga dia. Kenapa cikgu sebut nama penuhnya pula. Jangan - jangan...
Suara Rizal menyapanya dari belakang. "Sorry, Afiq."
Jantung Afiq berdegup kencang. Perlahan dia menyoal. "Kenapa minta maaf?"
Gopal menyatukan kedua jari telunjuknya. "Kita orang... letak nama kau dalam pertandingan itu."
Afiq senyum penuh kepura - puraan. Sambil itu, dia cuba mengelakkan matanya dari bertentang dengan orang ramai. Huhuhu, wey! Dia tidak tahu mahu rasa apa! Siapa ada tisu? Mahu menangis sekejap.
Rizal menepuk belakang Afiq berulang kali, menyalurkan kekuatan kepada Afiq. Tetapi lain pula di fikiran Afiq. "Kenapa kau orang buat aku macam ini..."
"Afiq, jangan kata begitu. Aku rasa bersalah pula." Gopal menjadi risau melihat Afiq seperti dalam keadaan yang sangat tertekan. "Kita orang nak bantu kau sahaja."
"Ehem!" Salah seorang pengawas lelaki menegur. Yalah, cakap masa perhimpunan. Mana boleh.
"Ini juga salah satu cara untuk kau keluar daripada kebimbangan sosial itu. Tak apa, kita orang ada. Kita orang akan sokong kau." Rizal memberikan semangat kepada Afiq.
"Nama - nama yang disebut tadi, sila tunggu di sini. Jangan naik ke kelas dahulu." Lantang Puan Ajilah memberi arahan. Murid - murid zaman sekarang, otaknya semua geliga! Nanti ada yang curi - curi naik kelas pula.
Selesai sahaja Puan Ajilah berkata, pelajar - pelajar mula berdiri untuk bergerak ke kelas masing - masing mengikut arahan pengawas. Hanya Afiq, Gopal dan Rizal dan beberapa pelajar yang menyertai pertandingan itu masih duduk.
"Kita orang teman kau," tutur Rizal.
Afiq menggeleng. "Tak apa. Naiklah dahulu. Aku duduk sini."
Terkejut beruk Rizal dengan Gopal mendengarnya. Seriuslah ini Afiq? Gopal berhati - hati bertanya. "Seriuslah ini Afiq? Kau tak marah kita orang, kan?"
Afiq memutarkan bola matanya secara sembunyi - sembunyi. "Memanglah mula - mula rasa marah. Tetapi, kalau nak keluar daripada kebimbangan ini, mesti ada pengorbanan, bukan?"
Teragak - agak Rizal mahu bangun. "Kau pasti ke ni, Afiq?"
Afiq mengangguk, perlahan.
"Okaylah kalau macam itu." Rizal menggalas begnya. Rizal sempat menasihati Afiq seperti seorang bapa menasihati anaknya. "Kalau kau rasa tak selesa, terus naik, tau!"
Afiq menjatuhkan kepalanya lagi.
Gopal memandang Afiq. "Ingat!"
Sekali lagi, Afiq mengangguk. Haih, dua orang ini. Penat aku jatuhkan kepala. Nasib kawan.
"Woi, Gopal. Jalanlah!" Idzham bersuara lantang dari belakang. Mungkin bengang bila barisan kelas sebelah sudah bergerak, barisan kelasnya jem pula.
Gopal tersengih melihat di hadapannya sudah tiada orang. "Hehehe, sorry. Sorry." Gopal meneruskan langkah barisan itu diikuti rakan sekelasnya yang lain.
Afiq terdiam apabila begnya terasa disepak - sepak semasa rakan sekelasnya melalui lagi. Siapa lagi kalau bukan geng - geng Raisha itu? Haih, redha sahajalah menjadi barang disepak pagi itu.
Kurang rasa resah di hati Afiq apabila semua pelajar beransur - ansur naik ke kelas masing - masing. Perasan itu datang balik tatkala beberapa pelajar yang masih duduk memandangnya, seolah dia pernah buat salah kepada mereka.
"Murid - murid yang sertai pertandingan itu, sila datang ke hadapan!" laung Puan Saffiyah yang berada di anak tangga pentas.
Terketar - ketar kaki Afiq untuk menegak. Rasa menyesal mula timbul di dada. Kenapalah dia tidak menyuruh Rizal dan Gopal menemaninya tadi? Sekarang dia rasa takut sangat. Dia menggosok tangannya yang mulai sejuk.
Bahunya dicuit seseorang. "Hei, Afiq. Tak duduk depan ke?"
Afiq mendongak memandang ke belakang. Omar?
"Dah, jom ke hadapan." Lembut Omar mengajak Afiq ke hadapan. Perlahan - lahan Afiq bangun mengikut jejak Omar.
Semuanya akan menjadi baik - baik sahaja. Selagi Allah bersama kita, kita semua orang akan okay.
...
Hari yang tidak ditunggu - tunggu akhirnya tiba juga. Eleh, mestilah tiba. Baru semalam Cikgu Ajilah panggil, tidak mungkin lama pula!
Afiq berada di pintu masuk dewan ditemani Gopal dan Rizal. Nasib baik cikgu Nasful memahami keadaan itu, beri kebenaran untuk Gopal dan Rizal mengikuti Afiq. Afiq tercalon nama dalam peserta kategori melaung azan.
"Aku tak beranilah." Afiq meluah, perlahan. "Banyak sangat orang."
Rizal cuba menaikkan semangat Afiq. "Yakin pada diri sendiri. Rahsia untuk yakin pada diri sendiri bukan fikir apa yang dia orang dekat dalam itu fikir, tapi mula fikir apa yang kau fikir."
Afiq mengeluh. Langsung tidak membantu ayat itu. "Macam mana kalau aku gagal? Macam mana..."
"Macam mana kalau kau berjaya?" Gopal memintas ayat Afiq. "Macam mana kalau apa yang kau buat ini, semua kesusahan kau selama ini, membawa kau kepada apa yang kau nak? Macam mana kalau semua ini berjaya... walaupun nampak macam tak? Macam mana kalau kau yakin pada diri sendiri? Adakah semuanya akan berubah?"
Afiq tersentak mendengar ayat Gopal. Squishy di dalam poketnya dipicit sekali. "Aku..."
Gopal menepuk belakang Afiq membuatkan Afiq menjeling ke arahnya. "Yakin pada diri kau. Dan semuanya akan okay. Kau kena percaya pada diri sendiri untuk dapat apa yang kau mahukan."
Afiq menggosok belakangnya. Aduh, kalau mahu bagi kata - kata semangat sekalipun... belakang badan janganlah main - main!
"Kalau kau rasa nervous ke, kau ikutlah tip yang kita orang kasi semalam. Dah, masuk!" Rizal menolak Afiq ke hadapan.
Afiq hanya redha sahaja. Dia melangkah lalu duduk sebaris dengan barisan pesertanya. Sekarang ini, giliran peserta pidato menyinarkan bakatnya di hadapan cikgu - cikgu yang ditugaskan menjadi juri.
Seperti kebiasaan, Gopal dengan Rizal bermain osom. Kalau kalah itu, memang pipi menjadi merahlah jawabnya.
Semakin dia duduk di belakang barisan ini, kebimbangan sosial itu makin memuncak. Dia cuba mengawal nafasnya yang tidak teratur. Sampai berbunyi nafas daripada mulut! Walaupun tiada siapa memandangnya, dia masih lagi merasa resah.
Dia tiba - tiba teringatkan kata - kata yang dia lihat di Facebook semalam.
@momentaryhappiness
"One day, you will wake up and all of a sudden the weight of last few weeks, months or even years will be lifted off your shoulders. You can't control when the day comes, all you can do is stay strong and trust that day is coming."
"Allahu Akbar! Allahu Akbar! (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!)" Peserta pertama sudah melaung azan, membuatkan Afiq terasa makin berdebar.
Afiq mengeluar buku notanya dan sebatang pen. Baik dia buat terapi daripada biarkan dirinya pengsan secara tiba - tiba di sini.
5, 4, 3, 2, 1 TERAPI
1. Tuliskan tahap kebimbangan kau daripada tahap satu sehingga tahap sepuluh.
Tahap sepuluh.
2. Namakan lima perkara yang kau nampak di sekeliling kau.
Orang, kipas, mikrofon, meja juri, langsir pentas.
3. Namakan empat perkara yang kau dapat rasa.
Takut, cemas, tidak tenang, risau.
4. Namakan tiga perkara yang kau dapat dengar.
Bunyi kipas, laungan azan, bunyi orang bercakap.
5. Nama d̶u̶a̶ satu perkara yang kau dapat hidu.
Bau mi goreng dari kantin.
Afiq menghela nafas, perlahan. Dia rasa sedikit tenang setakat ini. Tiada suara - suara daripada dalam mindanya datang menyampuk.
6. Sekali lagi, tuliskan tahap kebimbangan kau dari tahap satu sampai sepuluh. Kalau masih tahap kelima, ulang kembali dari nombor dua sampai lima. Tambah sedikit soalan peribadi (Contoh; makanan kegemaran, warna kegemaran, lagu kegemaran.)
Tahap kedua.
"Wey." Pelajar di sebelahnya mencuit bahunya.
"Oh..." Afiq cepat - cepat bangun naik ke pentas apabila tiada orang lagi di hadapannya.
Dia mendekatkan bibirnya dengan mikrofon. Nak cium ke itu? Eh, kenapa macam miang pula ayat ini? Rasa gugup memenuhi jiwanya. Sempat dipandang ke arah Rizal dan Gopal yang mengangkat ibu jari ke arahnya.
"Kau adalah kau. Kau tak perlu kawal apa yang suara tu kata pada kau. Tapi kau boleh kawal apa yang kau hendak percaya. Sama ada diri kau... atau 'dia'."
"Baiklah. Boleh mula." Cikgu Ajilah memberikan kebenaran untuk Afiq mengeluarkan suaranya.
Afiq menarik nafas sebelum menghembuskannya perlahan - lahan. Dia mengetuk beberapa kali mikrofonnya untuk memastikan ianya berfungsi. Buat malu sahaja kalau cakap, orang tidak mendengarnya pula.
"Bismillah."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top