2 | AL
"BUK!"
Muka Afiq comot dengan nasi ayam. Rasanya ada sedikit nasi termasuk ke dalan hidungnya. Terketar - ketar kakinya bangun menahan rasa perit pada lututnya.
"Hahaha! Budak lembik!" Kedengaran tawa yang terletus di belakang Afiq. Perlahan - lahan dia menoleh ke belakang. Lah... Qayyum bersama konco - konco dia rupanya.
Gopal melihatkan perkara itu berdecit geram sebelum segera berlari menghampiri Afiq. "Kau okay tak Afiq? Hish, jahat betul budak empat ekor tu. Tak ada kerja rempuh orang."
Afiq hanya mengangkat bahu. Dia mencuit bahu Gopal, memberi isyarat supaya mereka pergi dari situ. Lagipun dia tidak selesa diperhatikan oleh mata - mata di kantin tersebut. Rasa seperti mereka mencaci - maki dirinya.
" Lambat benar kau orang ni," rungut Rizal. Sudahlah perutnya berkeriuk dari tadi. Kalau didengar lebih teliti pasti terdengar bunyi lagu rock dari perutnya.
"Ala..." Gopal menyumbatkan lima kentang sekaligus ke dalam mulutnya. Dia bercakap dengan mulut yang penuh. "Tadi ada si kayu dengan geng dia. Pergi buli si Afiq ni."
Afiq yang baru sahaja habis baca basmalah menjeling Gopal. Aiyo, Gopal ini. Semua benda mahu beritahu.
Rizal tidak jadi menyuap sandwich ke dalam mulutnya. "Kau kena buli? Ish, apa si Qayyum tu tak puas hati dengan kau en? 5 tahun kau sekolah sini, 5 tahun dia kacau kau. Eee, ni yang buat aku geram ni." Rizal kemudian laju menyuapkan sandwich ke dalam mulutnya. Berbunyi - bunyi kunyahan Rizal. Marah sangat ini!
Afiq tersenyum sekilas. "Biarlah. Aku pun malas nak layan sangat... nyum... nyum... dia orang tu."
Eh? Afiq cakap dengan nada biasa? Ya kerana tempat mereka berehat itu jauh dari pandangan orang. Mereka makan pada waktu rehat sama - sama di belakang blok sekolah tempat di mana jarang orang lalu demi keselesaan Afiq.
"Eh? Apa aku cakap fasal makan dengan penuh mulut? Kau pun sama tadi Gopal." Rizal menegur kelakukan Afiq.
Gopal menelan segala sisa makanan di dalam mulutnya. "Ala... kau ni sama macam amma akulah."
"Amma tak amma. Aku nasihat benda betul." Rizal berkata tegas seperti nada seorang emak menasihati anaknya.
"Eh, Afiq." Gopal menepuk bahu Afiq, kuat. Nasib tidak tersedak anak orang itu. "Aku baru teringatkan sesuatu. Ingat tak budak baru yang masuk kelas kita tu?"
"Natasha tu ke? Ingat. Kenapa?" soal Afiq.
"Tulah budak yang Rizal langgar pagi tadi," kata Gopal dengan penuh mulut. Afiq dan Rizal masing - masing mengelap air liur Gopal yang melekat pada wajah mereka.
"Hey, 'ter' okay? Ha, kau ni. Jangan makan dengan mulut penuh." Rizal membetulkan kesalahan Gopal. Hish... nasiblah kawan.
"Sorry." Gopal menunduk sebelum sambung makan semula.
"Oh... apa tujuan kau kenalkan aku dengan budak itu?" tanya Afiq. Tidak pernah pula si Gopal ini buka cerita fasal perempuan. Fasal permainan video dengan makanan banyaklah dia cakap.
"Saja." Gopal tersenyum miang. "Ala... Mana tahu nak buat calon isteri ke?"
"Heh... tak nak aku. Tunggu universiti sahajalah. Malas nak layan cinta zaman sekolah ini." Afiq memperlahankan suaranya pada ayat terakhir. "Nanti kena khianat, buat serik sahaja."
"Lagipun aku rasa Raisha tu mesti dah hasut budak baru itu jauhkan diri dari aku. Sebab tu aku tak ramai kawan. Heh..." Afiq mengeluh sinis. Terbit rasa sedih dengan kisah hidupnya sendiri.
"Ala, wey. Jangan sedih wey. Aku nak makan pun terbantut. Kita orang kan ada? Kalau Raisha buat kau, aku pergi belasah dia." Gopal cuba menaikkan semangat kawan baiknya.
"Ceh, mana ada aku sedih." Afiq menyembunyikan riak sedihnya. Dia kembali makan tanpa memandang wajah dua orang rakannya, risau mereka berdua dapat membaca raut mukanya.
Perasan akan riak wajah Afiq itu, Rizal cepat - cepat menukar topik. "Cepat makan. Tinggal 5 minit ini. Nanti Gopal lari, tidak memasal kita langgar orang pula."
...
"Huh..." Afiq mengeluh memandang setiap titis hujan yang jatuh ke tanah. Menyesal pula dia tidak menerima tawaran ayah Rizal untuk pulang bersama. Haih...
Dia melabuhkan punggungnya ke atas bangku pondok menunggu itu. Bagaimanalah dengan ayahnya di hospital? Sudah lima tahun ayahnya terbaring koma akibat kemalangan melibatkan pemandu mabuk. Mesti ibu sedang menunggu kepulangannya.
"AAA!" Bunyi guruh seiring dengan jeritan seorang perempuan menyedarkan Afiq dari termenungnya yang jauh. Sempat Afiq mengurut dada.
Afiq menoleh ke sebelahnya. Oh, budak baru itu rupanya yang menjerit nyaring tadi. Ingatkan dia seorang sahaja penghuni pondok menunggu ini. Dia mengalihkan pandangannya semula ke hadapan.
Sementara itu, Natasha asyik menjeling ke arah Afiq. Hanya dia dan Afiq sahaja yang menunggu di pondok menunggu ini. Entah mengapa dia agak tertarik untuk mendekati Afiq itu. Rasanya Raisha bercakap bohong... kot.
Natasha sengaja mengesot ke kanan, mendekati dengan Afiq. Afiq sedar akan hal itu, turut mengesot ke kanan. Natasha tidak berputus asa, dia terus bergerak menghampiri Afiq.
Berpeluh dahi Afiq. Sekali dengan punggung rasa basah. Dalam hati, dia berdetik. 'Apa hal dengan minah ni? Tiba - tiba datang dekat dengan aku?'
Afiq perlahan - lahan berpaling ke tepi untuk menghilangkan rasa deru di dalam hatinya. Dalam kalbunya, dia berdoa banyak - banyak supaya Natasha kena culik dengan makhluk asing atau tiba - tiba kena kejar lembu. Asalkan tidak dekat dengan dia!
Merasakan sedikit tenang, Afiq memalingkan wajahnya semula ke tepi. Alangkah terkejutnya hatinya melihat Natasha betul - betul bersebelahannya.
"ARGHHH!" Afiq terjatuh ke bawah.
Natasha tertawa kecil. "Maaf, saya tak bermaksud nak takutkan awak."
Afiq tidak membalas sebaliknya perlahan - lahan bangun dan duduk semula di atas bangku. Dia mengutuk Natasha dalam hati. 'Huh! Nak terkeluar jantung aku! Kurang asam betul. Nasib baik aku malas nak cakap dengan orang.'
Natasha tersenyum mesra sambil merenung mata Afiq. "Saya, Natasha. Awak, Afiq kan?" Mata Natasha bersinar apabila mendapat balasan anggukan dari Afiq.
Natasha terus bertanya. "Awak balik dengan siapa?"
Afiq menggeleng perlahan.
"Geleng? Maksudnya apa?" Bertalu - talu Natasha bertanya tanpa sedar, ianya membuatkan Afiq tidak selesa. Sekali lagi, Afiq menggeleng lagi tanpa dia sedar.
"Awak balik dengan mak atau ayah awak ke?" Afiq menggoyangkan kepalanya, perlahan.
"Van? Eh, tak mungkin." Natasha menggaru dagu sendiri. "Sebab kalau van mesti ramai orang dekat sini lagi."
Ketika itu, Afiq terasa ingin menangis dalam hati. Becok betullah mulut perempuan ini! Ah, ibu, tolonglah Afiq!
Entah dari mana keberaniannya datang, Afiq mengujarkan kata, perlahan. "Ja... jalan. Jalan... jalan kaki."
Natasha ternganga, sedikit. Sumpah, dia tidak faham langsung apa yang Afiq katakan. Perlahan sangat! "Sorry, tapi apa? Saya tak dengar."
Afiq terasa ingin menghantukkkan kepalanya ke dinding. Aduh, perlahan sangatkah dia kata? Dia mengulangi katanya dengan nada yang lebih kuat. "JALAN KAKI!"
Terperanjat Natasha dengan teriak Afiq itu. Sekali dengan Afiq tersentak. Afiq terketar - ketar meraup mukanya. Apa benda aku kata tadi?
"Pon pon pon!" Sebuah kereta Mercedes berhenti di hadapan pondok menunggu. Natasha perasan kedatangan kereta ayahnya, menunduk mengambil beg di sisi kakinya lalu menggalas beg tersebut.
Afiq menghantar kelibat Natasha masuk ke dalam kereta melalui ekor matanya. Afiq mengetap bibir. Mesti bertambah bilangan orang yang membencinya. Afiq memandang simen lantai dengan penuh rasa kesal.
"Nah."
Afiq terkedu mendengar suara Natasha. Dia mengangkat laju wajahnya memandang si gerangan. Lidahnya kelu melihat Natasha tersenyum mesra dengan payung di tangan.
Natasha tersengih kecil memandang payung di sebelahnya. "Awak kata, awak nak balik jalan kaki. Ayah saya kata awak boleh ambil payung ini pulang ke rumah. Nah, ambillah."
Afiq perlahan - lahan menyambut huluran itu. Dia menggenggam batang payung itu, erat. Serentak dengan itu, bunyi guruh kecil berdentum menyapa pendengaran telinga mereka.
"Okaylah, bye!" Natasha melambai tangannya ke arah Afiq. Dia segera berlari dengan melindungi tudungnya dengan tangan lalu masuk ke dalam kereta. Masuk sahaja dalam kereta, Natasha masih lagi melambai tangan ke arah Afiq sebelum berborak dengan ayahnya.
Afiq memerhati kereta itu pergi. Tanpa sedar, satu senyuman terlukis pada wajahnya. Jantungnya juga turut berdegup kencang. Perasaan apa ini?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top