15 | AL
"HIKS. Hiks. Hiks." Terhinjut - hinjut bahu Idayu kerana menangis. Rasa perit bila ramai orang bencikan dia. Pandang dia umpama syaitan. Sudahlah kawannya hanya seorang sahaja. Tapi kawannya itu juga turut melarikan diri darinya.
Idayu tersentak apabila bahunya dipegang. Segera dia melayangkan kakinya ke arah muka orang tersebut. Kakinya terhenti tatkala melihat gerangan seseorang itu. "Natasha?"
Idayu menjauhkan diri sehingga ke meja sinki. Tangannya menjadi sejuk kerana ketakutan. "A... apa kau buat dekat sini? Ka... Kau pun nak fitnah aku macam Raisha, kan?"
Idayu terdiam bercampur sebak apabila dirinya dipeluk Natasha. Belakang badannya ditepuk lembut. Air matanya bercucuran laju.
Natasha berbisik, cuba memujuk. "Aku minta maaf sebab Raisha buat macam tu kat kau. Perangai dia makin jahanam sekarang. Aku pun faham perasaan kau, dihina dan dibenci. Tapi jangan sedih sebab kau bukan keseorangan di dunia ini."
Masih segar di ingatan Natasha, di sekolah lamanya, dirinya dipulaukan disebabkan me pelajar sekolah itu ketahui bahawa dia 'anak haram'. Pandangan benci itu sudah biasa dia terima. Sehingga ada orang datang membelasah dia atas sebab yang dia tidak tahu mengapa. Kerana itulah dia ditukar sekolah.
Dan sebab itulah dia ikut sahaja Raisha bila Raisha suruh dia berpasangan dengan Kuzaimie. Raisha dan Jianying sahaja kawan baiknya ketika itu.
"Hiks. Aku sedih, Natasha. Aku sedih." Sayu sahaja nada suara Idayu. Idayu membalas pelukan Natasha.
Natasha menepuk belakang rakannya, cuba menenangkan Idayu. "Tak apa, ini bukan salah kau."
...
Bungkusan plastik itu dibuang ke dalam tong sampah. Sempat Afiq menggaru lehernya. Semasa rehat, pelajar tingkatan lima diberikan arahan untuk ke dewan selepas rehat. Entah apa urusannya.
"Kesian pula aku dengan Idayu itu," ujar Rizal. Sambil bercakap, kaki pun kena jalan juga. "Kena fitnah dengan perempuan tak guna itu."
Afiq turut berdecit geram. Dia menggumam perlahan, mengutuk Raisha. "Itulah fasal. Kalau boleh, nak sahaja aku sarungkan dia dengan tiara yang tertulis 'Ratu Fitnah Sezaman'."
"Amboi, Ratu Fitnah Sezaman? Teruk benar gelaran tu!" Gopal tertawa mendengar kutukan perlahan dari Afiq. Afiq kalau marah, memang orang yang dia marah, kena maki habis - habisanlah!
Hela nafas berat dilepaskan Rizal. "Biarkan sahaja, satu hari nanti, dia akan tahu apa yang dia buat itu salah."
Masuk sahaja ke dalam dewan, mereka bertiga meliar mencari barisan kelas 5 Cendekia. Afiq pula, masuk sahaja ke dalam dewan, terus memicit squishy untuk menghilangkan rasa gemuruhnya.
Dalam masa yang sama, Afiq mencuba menstabilkan pernafasannya. Ya, dia tidak perlu takut dengan mereka. Dia lebih kenal siapa diri dia.
Di muka pintu dewan, Raisha yang sedang menunggu kawan - kawannya sambil berpeluk tubuh. Haih, mana pula Jianying ini? Dia mendengus, geram. "Haih... Bukan nak celebrate dengan aku sebab berjaya fitnah si Idayu itu."
Kepalanya tiba - tiba terasa terkena sesuatu. Dia segera menoleh ke belakang. "Aduh, hey... Jianying. Lambat benar kau. Kau buat apa, ha?"
"Aku nak putus kawan dengan kau." Jianying bercakap tanpa menunjukkan riak muka. Dia menunjukkan rantai kunci di sebelah Raisha. "Ambil balik hadiah kau."
Raisha mengetap gigi. Kena rasukkah kawan dia ini? "Kau dah kenapa, Jianying? Buang tabiat ke? Tak payahlah nak prank aku macam dulu. Dah, meh kita duduk dalam barisan."
Jianying merenung tajam Raisha. "Aku tak bergurau, Raisha. Aku memang nak putus kawan dengan kau."
"Oh, napa pula?" Raisha menjengil ke arah Jianying. "Kau dah jumpa kawan baru ke sekarang. Eh, ingat sikit. Aku dulu yang belanja kau selama ini..."
"Tak apa, nanti aku bayar balik." Jianying berpaling ke belakang. Rasa sakit hati sekiranya terus memandang wajah Raisha. "Kau mungkir janji, Raisha. Kau kata kau tak akan fitnah sesiapa selepas Afiq."
Riak Raisha berubah kelat. Dia membalas dengan nada tegang. "Oh, sebab benda tu ke? Sekarang kau nak buat apa? Pergi berkawan dengan pelacur tu. Elok sangatlah. Kau kan 'banyak kawan'. Pergilah. Memang aku tak nak kawan dengan kau pun."
Jianying mengeluh berat. "Ubahlah perangai kau, Raisha. Tak elok membenci sesama kita. Kita ni manusia. Kalau kau terus berperangai macam ni, tak akan ada sesiapa yang berani dekat dengan kau lagi."
"Aku pergi masuk barisan dulu." Seusai berkata, Jianying meninggalkan Raisha yang panas hati di situ.
Gopal yang memerhati pertengkaran antara Raisha dan Jianying dari jauh, bertanya kepada rakan - rakannya. "Kenapa Jianying dengan Ratu Fitnah Sezaman tu? Dua - dua tarik muka."
Rizal menoleh ke arah muka pintu dewan. Dia sekadar menjungkit bahu. "Entahlah. Masalah perempuan. Adalah tu. Baik kita tak payah ambil tahu."
"Erm." Afiq berpaling ke arah tenggara. Serentak dengan itu, Jianying lalu di sebelahnya untuk masuk ke barisan perempuan 5 Cendekia. Afiq tersentak melihat air mata yang meluncuri laju di pipi Jianying. Apa yang Raisha cakapkan pada Jianying?
"Huh, rugi betul Jianying tinggalkan aku." Raisha menggumam sendirian. Baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam dewan, matanya menangkap kelibat Natasha dengan Idayu.
Raisha gigit bawah bibir. Kakinya diorakkan laju ke arah dua manusia itu. Sengaja ditarik bahu Natasha menjauhi Idayu. "Eh, Natasha. Apa yang kau buat dengan pelacur ini?"
"Raisha, kenapa dengan kau ni?" Natasha menjadi hairan dengan kelakuan Raisha.
"Dahlah, jom ikut aku pergi duduk dalam barisan." Tangan Natasha ditarik. Namun, Raisha terkejut apabila Natasha merentap tangannya.
Natasha menggeleng. "Tak apalah, aku pergi dengan Idayu. Kalau kau nak ikut kita orang, jomlah masuk barisan sama - sama."
Raisha tersenyum sumbing. "Kenapa aku nak ikut kau dengan pelacur ini pula?"
"Biarlah dia nak ikut aku ke tak. Mana Jianying kau? Ke dia dah tinggalkan kau?" bidas Idayu. Egonya tercabar mendengar Raisha mengutuknya. Dia mana boleh biarkan kepalanya dipijak begitu sahaja! "Kau kata aku pelacur. Macamlah kau suci sangat, kan?"
"Berani ka..." Belum sempat tangan Raisha melayang ke arah pipi Idayu, tangannya ditahan oleh Natasha. Pada masa yang sama, loceng rehat berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat.
Perlahan - lahan Natasha melepaskan tangan Raisha. "Sudahlah, Raisha. Kalau kau tak nak ikut. Aku pergi sahaja dengan Idayu."
Sebaik sahaja habis berkata, Idayu dan Natasha melangkah pergi ke dewan, meninggalkan Raisha yang terpinga - pinga sendirian.
Raisha menggenggam penumbuknya. "Bagus, semua tinggalkan aku! Huh, memang dia orang akan rugi sebab takkan jumpa kawan sekaya aku."
...
"Lamanya..." Afiq berbisik, sendiri. Dia menongkat dagunya supaya dapat menahan kepalanya dari tersengguk - sengguk. Boleh pula cikgu - cikgu bersembang di depan?
"Nak?" Rizal yang berada di belakang Afiq menghulur bungkusan keropok durian yang dibuka.
"Sniff..." Gopal yang terhidu sesuatu segera berpaling ke belakang. "Wah, keropok durian!" Belum sempat Afiq ambil, Gopal sudah ambil dulu. Siap ambil lima keping lagi!
Afiq menyeluk tangannya ke dalam bungkusan itu lalu ambil enam keping keropok durian. Kalau Gopal ambil lima, dia ambil enam. Hahahaha! Sempat lagi si Afiq ini mengintai kelibat Natasha yang jauh sedikit darinya.
"Amboi..." Rizal bersuara tegang. Entah diamboikan sebab ambil makanan dia terlalu banyak... atau diamboikan sebab Afiq memerhati Natasha.
Bunyi mikrofon diketuk mengejutkan semua pelajar tingkatan lima di dalam dewan itu. Serta - merta mereka menzipkan mulut mereka sambil menunggu kata - kata cikgu seterusnya.
"Assalamualaikum murid - murid." Cikgu Aqilah memberi salam sebelum dijawab oleh para pelajar beragama Islam yang lain. "...dan selamat sejahtera."
Murid - murid moral segera menyahut. "Selamat sejahtera, cikgu."
"Hari ini, cikgu ingin membuatkan pengumuman. Mulai Jumaat minggu depan, program Mentor dan Mentee akan dimulakan. Sila dengar baik - baik. Sekejap, ya," beritahu Cikgu Aqilah melalui mikrofon. Sedang beliau mengeluarkan kertas dari beg tangannya, mulut para pelajar mula bising seperti mulut murai.
"WOI! Diam!" Cikgu Muqri yang perasan akan kebisingan para pelajar, melaungkan suaranya dengan kuat. Terus senyap semua pelajar!
"Tujuan Program Mentor dan Mentee ini dilaksanakan adalah dengan harapan, dapat mewujudkan semangat kerjasama yang kukuh dan saling hormat - menghormati antara mentor dan Mentee." Puan Samsiah menerangkan objektif program yang akan dijalankan itu.
"Selain itu kami berharap program ini akan membina keyakinan dalam diri murid, dalam menghadapi masalah hasil daripada kerjasama antara kedua belah pihak."
Puan Samsiah memberikan mikrofon kembali kepada Cikgu Aqilah. Cikgu Aqilah melayangkan beberapa keping kertas ke atas. "Nampak kertas dekat tangan cikgu, ini?"
"Nampak!"
"Para guru sudah kelaskan nama pelajar dengan mentornya mengikut perbezaan kelas. Cikgu akan sebut nama satu - persatu. Yang cikgu panggil nama, sila berbaris di kiri cikgu." Cikgu Aqilah menunjukkan ke sebelah kirinya. Cikgu Aqilah berdehem seketika sebelum menyebut nama murid mengikut urutan.
"Adam Bin Azizi dari kelas 5 Progesif, menjadi mentor kepada Muhammad Qamar Bin Suhaidi dari kelas 5 Dinamik."
Ketika itu, Afiq sudah menggelabah teruk. Tangannya sudah terketar - ketar. Sekali dengan tubuh menggigil. Macam mana ini? Bagaimana kalau dia digandingkan dengan pelajar yang langsung dia tidak kenali?
"Eh, Afiq." Rizal menepuk bahu Afiq, perlahan. "Tenang, brader. Tak apa. Kau tarik nafas dalam - dalam. Lepas itu hembus. Tarik. Hembus."
Afiq mengikuti arahan yang diberikan Rizal. Namun, buat dia makin cemas adalah! Nafasnya menjadi tidak teratur.
Gopal memalingkan wajahnya ke belakang. "Eh, Afiq. Kau gelabah lagi ke? Kejap..." Gopal mengeluarkan gula - gula oren. "Nah, gula - gula. Makan jelah. Aku belanja."
Rizal menjongketkan keningnya. Wah, Gopal belanja orang!
Afiq mengambil dua bungkus kecil gula - gula itu. Satu gula - gula dimasukkan ke dalam mulutnya. Rasa masam itu sedikit sebanyak menenangkan dirinya.
"Ataupun kau alunkan zikir Nabi Yunus. Bolehlah rasa tenang sikit - sikit." Rizal memberikan tips tambahan. Afiq hanya mengangguk.
Afiq berzikir di dalam hati. 'Laa ilaaha illaa anta, subhaanaka innii, kuntu minazh zhaalimiin."
"Mukhlish Zainuddin Bin Qaffan dari kelas 5 Karisma, menjadi mentor kepada Gopal A/L Kumaran dari kelas 5 Cendekia."
"My time has comes." Sempat lagi Gopal membuang pandangannya ke tingkap dewan. Macam nak pergi berperang nampak gayanya.
"Okeylah. Aku pergi dulu." Gopal mara melangkah ke barisan hadapan.
"Rizal Bin Ismail dari kelas 5 Cendekia menjadi mentor kepada Syafi Mukkaram Bin Syahid dari kelas 5 Dedikasi."
"Aku pergi dulu, en." Rizal turut bangun menuju ke barisan hadapan.
"Seterusnya, Afiq Nazreen Bin Raiz dari kelas 5 Cendekia, menjadi mentor kepada Kuzaimie Bin Ridwan Abdullah dari kelas 5 Dinamik."
Afiq tergamam. Ha? Dia... dengan Kuzaimie? Dia dengan Kuzaimie? Dia DENGAN KUZAIMIE? Afiq sudah meraup mukanya. Bagaimana dia mahu mengajar Kuzaimie nanti? Habislah dia!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top