BAB 4
LISA berjalan sendirian dalam kepekatan malam. Dia sendiri tidak pasti dia sedang berada di mana. Yang pasti kawasan itu dipenuhi mawar putih. Dan kawasan itu dilitupi kabus putih yang tidak terlalu tebal. Lisa masih boleh melihat suasana di sekeliling.
Malam itu sungguh sunyi. Lisa yang agak ketakutan dan pelik mengapa dia boleh berada di situ, tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan.
Wuuuuushhh...
Tiba-tiba Lisa dikejutkan dengan deruan angin yang sederhana kuat datang menyapa ke wajahnya. Apakah ia? Lisa tidak keruan apabila menyedari tiada siapa di situ, melainkan dirinya sendiri.
Saat itu jantungnya berdegup kencang. Seakan tidak mahu berhenti.
Wuushhh!
Angin itu datang lagi menyapa belakang tubuh Lisa pula. Lisa tersentak dan terus memalingkan tubuhnya ke belakang. Untuk melihat apakah ia? Langkah Lisa terhenti apabila terasa seperti ada seseorang sedang berdiri tidak jauh darinya. Dengan takut-takut berani, Lisa menoleh dengan perlahan ke sisi sebelah kirinya.
Ya, di dalam kesamaran kelam malam itu, Lisa terlihat sesusuk tubuh seseorang sedang memerhatikannya dari jauh.
"Si... siapa tu?" soal Lisa ingin tahu.
Sepi. Tiada sahutan dari orang itu. Lisa tidak sedap hati. Dia cuba mendekati sesusuk di sebelah kirinya.
"Cik? Encik? Si... siapa tu? Ja... jawablah. Kalau kau manusia, jawablah aku. Supaya aku tak takut sendirian di sini." Tergagap-gagap Lisa hendak menyoalnya. Gugup semua ada.
Bulu romanya sudah mencacak naik. Meremang.
Lisa pelik tubuh itu masih tidak bergerak ke mana-mana. Lisa melangkah mendekatinya. Kerana perasaan ingin tahu lebih mengatasi perasaan takutnya.
Langkahnya semakin hampir dengan susuk yang seakan manusia di hadapannya. Degupan jantung berdetak semakin laju.
Kini, dia sudah pun berdiri hampir dengan sesusuk tubuh itu dengan jarak tiga langkah kakinya sahaja. Namun begitu, wajah itu tetap tidak dapat dilihat kerana dilindungi kegelapan malam.
Lisa cuba memberanikan diri untuk menegurnya.
"Ma... maaf, tuan puan? Boleh saya tanya di mana saya? Apa nama tempat ni? Dan siapa Encik? Cik? Tuan? Puan?" Nadanya masih tergagap seperti tadi kerana gementar dan risau jika orang di hadapannya itu adalah orang jahat dan berniat tidak baik dengannya.
Masih sepi. Tiada jawapan darinya membuat Lisa rasa gerun. Dan dia membuat keputusan untuk berpatah balik dan pergi dari situ.
Elok sahaja Lisa berpaling dan melangkah dua tapak, tiba-tiba sesusuk itu menegurnya dengan nada suara yang sungguh gemersik.
"Nanti!"
Ya, dia tak pernah mendengari di mana-mana suara gemersik seperti itu. Kalah penyanyi yang tersohor. Suara itu seakan suara lelaki. Siapakah dia? Langkah Lisa terhenti. Dan berpaling dengan perlahan. Terjatuh rahangnya apabila mendapati sesusuk itu sudah tiada di situ.
Zass!
Tiba-tiba Lisa terasa ada kelibat melintas di belakangnya. Terasa dingin tubuhnya. Dingin yang luar biasa. Seakan rasa mahu membeku dengan kedinginannya. Lisa mula menggigil. Dia menoleh ke kiri ke kanan. Tiada siapa. Lisa geram dan sakit hati apabila terasa dirinya seakan dipermain-mainkan oleh sesusuk tadi. Apakah dia manusia? Atau... Lisa meneguk air liur. Mulai merasakan sesuatu yang aneh. Namun, dia tidak berani menyebutnya. Waima di dalam hatinya.
"Siapa tu? Muncul lah! Bagitau aku apa kau nak? Kenapa kau bawak aku datang ke sini? Jangan takutkan aku. Aku nak balik!" Lisa berteriak geram dan marah. Namun dia juga turut berasa takut.
"Lisa..." Kedengaran pula suara seruan seseorang.
Lisa tergamam mendengarnya. Matanya membulat.
"Suara tu... suara yang sama seru nama aku tiap-tiap malam. Suara tu... ya, suara yang sama. Aku pasti." Lisa yakin suara yang sama menyeru namanya setiap malam.
Dia mula mengundur setapak demi setapak. Dalam waktu yang sama, Lisa terbau haruman mawar putih menyengat rongga hidungnya. Sungguh kuat. Hingga membuatkan dia hampir sesak nafas.
"Kenapa kuat sangat bau haruman mawar putih ni? Tadi, tak bau kuat macam ni pun. Walaupun, kawasan ni dipenuhi mawar putih. Oh, pening." Lisa terasa pusing kepala dengan tidak semena-mena.
Dalam keadaan pening kepala, Lisa meneruskan juga perjalanannya untuk mencari jalan pulang. Dia tak boleh terus menunggu di situ. Jika dia tidak bertindak pergi dari situ segera, entah apa-apa lagi yang akan mengganggu dirinya.
"Lisa..." Suara itu masih memanggil namanya.
Lisa tidak peduli dengan seruan namanya itu lagi. Dia tak boleh menunggu lagi dan terus berlari dari situ.
Herhhhh
Kedengaran suara dengusan kasar dan kuat seakan dekat dengan gegendang cuping telinga Lisa.
Selagi kau terus berlari
Selagi itu ku kan menghantui
Kerna engkau telah kumiliki
Mawar putih sebagai saksi
Cinta hakiki telah dipatri...
Kau kan sentiasa di sisi
Abadi denganku sampai mati
Itulah sumpah dan janji
Dari seorang lelaki yang kau benci
Tetapi dia juga yang kau sayangi
Dia membutakan mata hati
Demi mengejar cinta hakiki
Ibumu meminta hantaran yang tinggi
Demi berjanji setia sehidup semati
Sang serunai malam dia datangi
Merayu memohon sebuah pertolongan
Dan terciptalah sebuah perjanjian
Serunai malam telah diberikan
Demi mencapai apa dihajatkan
Itulah senandung kata yang dijanjikan
Hingga kini tidak ditunaikan
Sang serunai malam masih menantikan
Janji manusia itu ditunaikan
Penantian demi penantian...
Janji hanya tinggal janji
Hati ini tidak menahan lagi
Dan dirimulah sebagai ganti
Syair malam bersenandung indah. Penuh dengan maksud yang tersirat. Malangnya, Lisa hanya seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 12 tahun. Jadi, apa yang dia tahu tentang syair itu? Dia hanya tahu rasa takut. Dan seram dengan syair yang didendangkan. Waima, ianya cukup merdu untuk didengari.
"Dia buat lagi. Syair lagi. Lagi dan lagi!" Air mata Lisa sudah bertakung kerana terlampau takut.
Kakinya masih ligat berlari tanpa henti. Entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak tahu. Apa yang penting dalam fikirannya adalah selamatkan diri.
Kenapa kau lari?
Jangan lari!
Suara ghaib itu menahan Lisa dengan sergahan suara yang cukup kasar. Tidak segemersik selalu yang didengari. Kedengaran seperti makhluk itu benar-benar marah dengannya.
"Pergi! Jangan ganggu aku!" jerit Lisa.
Herhhhh!
Sekali lagi suara dengusan kasar mencucuk gegendang telinganya. Sungguh menyerikan membuatkan Lisa terkejut besar.
"Mama! Papa! Bawa Lisa keluar dari sini. Tolong! Tolong Lisa! Ada sesiapa tak? Tolong saya!" Jeritan dan tangisan Lisa langsung tiada guna kerana tiada siapa yang berada di situ melainkan hanya dia dan juga suara ghaib itu.
" Lisa... mari. Ikut aku..."
Lisa yang mendengar suara ghaib yang menyeru namanya lagi itu diterkup telinganya dengan kedua-dua telapak tangannya.
Dalam berlari, dia tertoleh-toleh ke belakang. Risau jika sesusuk tadi mengejar dirinya. Nasib baik tiada apa-apa yang mengejarnya. Dia kembali memandang ke hadapan.
Hargghhhh!
Suara sergahan yang teramat kuat hingga menggegarkan tanah itu benar-benar memeranjatkan Lisa. Tanpa sedar dia terjatuh pengsan. Tak sempat hendak menjerit meminta tolong. Apa sudah jadi? Oh tidak.
"Hah!" Lantas mata Lisa terbangun duduk dek kerana terasa sesak nafas. Matanya meliar ke seluruh segenap ruang di sekitarnya.
Akhirnya dia menghembus nafas lega. Ternyata, dia sekadar bermimpi. Lisa terus beristighfar banyak kali.
Jam di dinding di renungnya seketika. Baru menunjukkan ke angka 4:00 pagi. Lisa tertunduk sejenak memikirkan mimpi anehnya semalam. Terasa berpeluh pada tubuhnya.
"Boleh jadi gila aku kalau macam ni hari-hari." Teddy bear di sisinya diambil lalu di peluknya lama.
Kemudian, kembali berbaring di atas katil. Cuba memejamkan matanya. Dia cuba mengubah ingatannya dari mengingati mimpi aneh, kepada wajah Zain Khairin a.k.a Kai. Ia lebih menenangkan hatinya dan akhirnya dia terlelap kembali.
adilahzaini460
SyafiqahNurienna
Panda129_
anwafaa
darwinaaljamin_
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top