👑Bab 24
"Jangan lupa namaku." 🌹
-Andhika Sadewa-
"Bila awak nak jumpa dengan papa dan mama saya?"
Riyadh tercengang saat mendengar persoalan itu. Tubuh isterinya dilepaskan lalu kaki membawa langkah dan melabuhkan punggung di ruang tamu rumah.
"Awak..." Mata hazel milik Riyadh lantas memandang wajah sang isteri yang memanggil lembut itu, suara yang menggamit 1001 memori antara dirinya dan Amanda di dunia Langkasakti lebih setahun yang lalu. Tangannya naik menyentuh kepala Amanda yang tidak bertudung, rambutnya dibiarkan lepas. Amanda hanya merenung dengan pandangan merayu kepada suaminya. Tangan yang jauh lebih besar berbanding Amanda itu akhirnya kembali ke riba.
"Apa Bella masih tidak memahami akan status hubungan kita berdua?"
"Maksud awak, awak masih nak bercerai?" Amanda bersuara dalam nada lebih tinggi, emosinya bertukar ingin marah, dia cukup benci dengan perkataan itu.
"Awak boleh didik ribuan masyarakat tapi sayangnya awak abaikan isteri awak sendiri. Saya yakin bukan ini apa yang nabi ajarkan, nabi ajar sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik terhadap isteri dan keluarganya tapi awak?"
"Asyik abaikan saya, dera emosi saya, macam mana saya nak buat agar awak boleh terima saya sepenuhnya? Hidup secara terang-terangan sebagai suami saya? Jumpa dengan mama papa saya." Laju berpatah-patah kata meluncur daripada mulutnya tanpa ada jeda.
"Bella." Riyadh menegur apabila wanita itu sudah mengalihkan wajah membelakanginya.
"Kanda..." lama lelaki itu berjeda membuatkan Amanda lagi menahan amarah. Lantas gadis itu bangkit dan memakai tudung, memperkemaskan pakaian di tubuh dan mencapai beg sandangnya.
"Awak nak ke mana Bella?" situasi bertukar jadi kalut.
"Balik. Saya nak balik rumah."
"Tapi dah malam ni, bahaya. Kanda tidak izinkan."
"Saya tak kira, saya nak balik jugak, penat saya nak tunggu ketul emas keluar daripada mulut awak tu, lama dah saya sabar, awak asyik mengelak, mengelak dan mengelak je. Disebabkan saya taknak awak jauh daripada saya, saya pendam je selama berbulan-bulan tapi maaf malam ni saya dah tak boleh sabar, saya faham awak memang tak pernah pedulikan perasaan saya pun." Amanda meluahkan isi hatinya dengan deraian air mata.
"Bella Amanda."
"Cukup! Jangan panggil nama penuh saya." Air mata terus-terusan mengalir deras.
"Ada apa ini? Apa yang kanda tidak tahu yang ingin Bella maklumkan, ujarlah agar kanda bisa mendengarnya."
"Saya dah cakap kan tadi, saya nak awak jumpa mama dan papa saya, kenapa awak masih minta saya ulang lagi?"
"Tapi mengapa secara tiba-tiba?"
"Sebab kalau awak taknak isteri awak ini terpaksa curang tanpa kerelaan, maka awak kena jumpa dengan papa mama saya segera. Perjelaskan tentang hubungan kita dan stop cakap tentang penceraian, saya takkan sesekali lepaskan awak, lama saya tunggu awak, mudah-mudah je awak asyik bahas bab penceraian."
"Kanda tidak sebutirpun menyebutnya pada malam ini. Kemarilah isteriku, tenangkan jiwamu yang galau, istighfarlah memohon ketenangan daripada Allah, biar kita bermusyawarah dalam suasana yang lebih tenang. Jangan dibiar hati gundah gulana begitu, terpancul bicara terkeluarnya kata-kata yang berbisa, bakal kau kesali kelak andai kau tidak bisa mengawalnya."
Amanda seakan-akan tercengang apabila mendengar loghat Riyadh yang tiba-tiba berubah daripada bahasa standard moden kepada bahasa klasik sehinggakan emosinya berubah serta-merta, barangkali kerana terpegun akan lenggok bahasa itu. Kenapa begitu dekat sekali bahasa klasik itu dengannya tapi dia langsung tak mampu mengingati memori di mana dirinya selalu mendengar lenggok bahasa itu di alam realiti. Perasaan dekat ini bukan seperti teringat pernah melihat drama tetapi sememangnya dekat kerana pernah merasainya di depan mata. Terasa dejavu.
"Saya..." Amanda terasa hilang kata-kata sejenak. Terasa bersalah kerana telah begitu emosi dan melontarkan amarahnya terhadap Riyadh. Tetapi dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana cara ingin meluahkan perasaannya dengan tekanan yang dihadapinya sekarang.
"Kanda ingin tahu, apakah bebanan yang telah memberatimu pada ketika ini, Bella. Ceritakanlah." ujar Riyadh.
"Papa..." Amanda menyebut apabila mendengar satu nama itu. Dirinya terasa marah dan kecewa apabila mendengar satu nama itu.
"Kalau awak nak tahu, sebelum saya jumpa dengan awak, ada seorang lelaki yang selalu cuba mendekati saya, sampai sekarang. Dan lelaki itu ialah rakan papa saya sebab mereka sedang bekerjasama dalam beberapa projek syarikat. Jadi...jadi papa minta agar saya tetap buka ruang untuk dia ni dekati saya, maksudnya saya kena jawab panggilan telefon dan mesej dia. Terima segala ajakan dia untuk keluar, senang cerita biarkan saja dia dekati saya..."
"Dalam keadaan status saya ini isteri awak. Saya taknak cemarkan maruah diri saya sebagai isteri awak Riyadh, kalau sebelum saya tahu status saya ialah isteri orang pun saya tak selesa dengan dia, inikan pula bila saya dah tahu apa status saya sekarang."
"Perkahwinan ini ternyata begitu mengikat diri Bella." perlahan terluncur dari bibir merah delima milik Riyadh.
Amanda tercengang.
"Maksud awak?"
⚔⚔⚔⚔⚔
"Pak cik, maaf ya, boleh ke pak cik pandu laju sikit, cuba kejar kereta tu? Saya betul-betul kena kejar kereta tu pak cik, sebab ada barang saya yang agak penting dalam kereta majikan saya tu."
Fatimah meramas-ramas tangannya tanda dirinya cemas, bagaimanalah dia boleh tertinggal laporan assignment miliknya di dalam kereta Tuan Ali. Kan sekarang dah cemas dan tergesa-gesa nak dapatkan balik. Sudah berkali-kali dia cuba menelefon lelaki itu tetapi tidak berangkat.
Memori semalam bermain di ingatan semula. Semalam Fatimah terpaksa menumpang kereta lelaki itu untuk pulang ke rumah, kerana enggan duduk di bahagian penumpang di sisi pemandu maka dia duduk di belakang lalu meletakkan beg yang berisi fail tugasan-tugasan penting pengajiannya itu di sebelah tempat duduk yang ia duduki, saat sampai ke rumah, kerana begitu tergesa-gesa untuk keluar dari kereta dek perasaan segan yang menghinggap diri, menyebabkan berlakunya kecuaian sedemikian.
Fatimah berzikir perlahan.
"Rabbi Yassir Wala Tu'assir...Rabbi tammim bil Khair..."
Zikir memohon Allah mempermudahkan urusannya pada ketika itu diulang-ulang.
Dalam beberapa belas minit mengekori kereta Ali, mereka tiba di sebuah rumah agam besar yang sepertinya agak lama. Halaman rumah kelihatan bersih seperti terjaga rapi tapi suasana dari luar agak sunyi. Agaknya memang begini rumah orang-orang kaya, besar sahaja tapi tidak ramai penghuni.
"Kita nak masuk ke dalam ke cik?" ujar pemandu kereta sapu yang dinaiki Fatimah itu.
"Oh kejap pakcik, kalau pakcik tunggu saya di luar tak mengapa ke? Saya masuk dalam kawasan rumah tu kejap."
"Baik dik." balas pak cik pemandu kereta sapu tersebut.
Fatimah memandang pintu pagar yang masih terbuka luas, cuba mengintai-intai jika ada sesiapa di sekitar dalam kawasan halaman rumah agam tersebut. Jika dia ingin melangkah masuk dengan begitu sahaja, itu tidak beradab dan sopan, dikira seperti menceroboh rumah orang, tetapi dia perlu berjumpa dengan Tuan Ali. Kereta lelaki itu pun entah sirna ke mana, barangkali sudah diletakkan di kawasan tempat letak kereta di dalam, luas betul kawasan rumah ini, dia perlu berjalan beberapa minit untuk menuju ke rumah itu.
"Assalammualaikum pak cik." Fatimah memberi salam saat melihat seorang lelaki yang memakai topi mengkuang sambil memangkas daun-daun dan ranting kecil sebatang pokok Bonsai yang besar dan rendang, sejenis tumbuhan yang menjadi hiasan di luar rumah.
"Waalaikumussalam dik." Pak cik itu menghentikan aktivitinya.
"Pak cik ada nampak sebuah kereta BMW warna hitam masuk ke dalam kawasan rumah ni tak? Nombor platnya DV1." soal Fatimah dalam keadaan tergesa-gesa.
"Oh, itu kereta tuan Ali. Dia dah keluar balik dah, tadi dia datang tukar kereta sahaja, ambik Mini Copper miliknya."
Fatimah terdiam seketika. Maksudnya kereta tu ada di rumah ni, dan fail tugasannya juga ada di sini.
"Pak cik, saya tertinggal fail saya di dalam kereta tu, sebab masa Tuan Ali hantar saya balik semalam, saya tertinggal, boleh ke nak minta tolong pak cik tengokkan ada tak fail tu di tempat duduk belakang?"
"Oh ye ke, boleh-boleh. Jom kita ke garaj." Pak cik Wahab meletakkan gunting pemangkas pokok di atas simen pasu bunga besar dan bergerak ke garaj, Fatimah diam mengekori lelaki separuh abad tapi kelihatan begitu cergas dan kuat itu.
Dalam beberapa minit mereka berjalan, akhirnya sampai ke garaj rumah banglo tersebut, garaj yang menempatkan beberapa buah biji kereta diperhatikan, pandangan Fatimah jatuh pada BMW bernombor plat DV1, matanya sekilas memandang kereta di sisi kanan BMW tersebut, kereta Porche, pandangan ditala pula ke kereta di sebelah kiri BMW sebelum berhenti lama di situ dan berfikir.
Kenapa macam pernah tengok Vios Putih ni?
Fatimah menggeleng.
Semua pengguna yang beli kereta macam ini akan ada reka bentuk yang sama. Memang la dejavu. Apa la kau ni Fatimah.
Calar yang ada di bahagian atas pemegang pintu belakang itu mencuri perhatian.
Sayang betul...
Bahagian lain nampak macam bersih putih bercat elok, di situ ada calar pulak. Fatimah tersenyum tawar, orang yang agak mementingkan kekemasan dan kesempurnaan sepertinya memang agak sensitif dan terperinci dalam hal-hal sedemikian sebab itu dia suka jadi tukang cuci dan kemas kediaman.
⚔⚔⚔⚔⚔
"Alhamdulillah dah hantar." ujar Jannah setelah keluar dari bilik pensyarah kos Ekonomi mereka. Satu beban dan komitmen telah selesai. Matanya melirik kepada Fatimah yang hanya tersenyum seulas memberi respons kepada Jannah, kemudian pandangan itu beralih kepada Amanda.
"Babe? Kau kenapa? Muka muram durja je?" soal Jannah yang memerhati wajah Amanda yang tiada senyum serta suram, seperti sedang memendam perasaan dan menanggung kesedihan.
Amanda menggeleng lalu tersenyum tawar, tiada jawapan lisan yang diberikan lalu tubuh itu terus melangkah meninggalkan Jannah dan Fatimah. Jannah hanya mampu memandang rakannya itu dengan pandangan kebingungan dan penuh tanda tanya. Fatimah hanya diam memerhati, dia sudah boleh mengagak apa yang tidak kena dengan wanita itu.
⚔⚔⚔⚔⚔
"Minumlah." Segelas air kosong diletakkan di hadapan Amanda. Amanda memandang wajah Fatimah yang tiba-tiba datang membawa air tanpa dipinta tapi dia menunduk kembali apabila sudah memahami yang gadis itu pasti ingin bercakap soal apa yang sedang mengganggu emosinya pada ketika ini.
"H20 ni kan bagus untuk membekalkan oksigen pada otak kita, kalau Amanda tak nak keluar ambik udara di luar, minumlah segelas air ni."
Gelas di hadapan diambil lalu diteguk sekali, dua kali dan tiga kali.
"Apa yang Ustaz Riyadh cakap dekat awak sehingga awak tak ada semangat macam ini sekali Amanda?"
Air matanya segera bertakung tatkala mendengar satu nama itu. Fatimah menyentuh tangan Amanda.
"Tak apa Amanda. Ambik nafas dan masa seketika, stabilkan emosi Amanda dulu sebelum Amanda nak ceritakan kepada Fatimah. Fatimah boleh tunggu."
Dalam sepuluh minit mereka hanya terdiam sepi di dalam bilik itu dengan Amanda yang masih cuba menenangkan hatinya dan Fatimah yang masih setia menunggu. Kedua-duanya berzikir mengikut amalan kebiasaan masing-masing dengan dua tujuan yang berbeza, satu untuk mengisi masa yang terluang sebelum menanti sesi luahan dimulakan, satu lagi untuk menenangkan hati yang sedang galau.
"Saya tak faham Fatimah..." Amanda mula memecahkan kesunyian antara mereka berdua.
Fatimah hanya memberi respons pandangan mata yang mulai khusyuk menanti butir-butir kata yang ingin dituturkan oleh Amanda kepadanya.
Amanda menatap wajah Fatimah.
"Tak faham kenapa dia tak nak jumpa dengan keluarga saya, mama dan papa saya? Dia betul-betul tak nak masuk dalam keluarga saya ke? Dia memang betul-betul tak nak saya ke Fatimah?"
"...sebab dia dah pernah sebut tentang cerai la, respons dia sendiri pun turun naik la, sekejap macam mencipta jarak, sekejap hangat dengan cinta dan kasih sayang, saya tak faham Fatimah, kenapa dia macam tu? Kenapa Riyadh ni rumit sangat?" Air mata Amanda mulai mengalir deras lagi. Bahunya disentuh dan diusap-usap lembut oleh Fatimah.
"Ada dua kemungkinan kenapa Ustaz Riyadh tak nak jumpa mama dan papa awak." Fatimah berhenti sejenak menanti respons Amanda. Wanita itu mulai menstabilkan emosinya.
"Apa?"
"Ustaz memang betul-betul tak nak meneruskan perkahwinan ni atau sebab mama dan papa awak sendiri memang tak akan pernah menerima beliau."
"Jadi, kalau Ustaz jumpa dengan mama dan papa awak pun, mungkin keadaan akan jadi semakin teruk." sambung Fatimah.
Amanda terdiam. Tiba-tiba satu kenangan menggamit memorinya.
"Ada patut dah tak ada apa-apa hubungan dengan makhluk yang bernama uguwan tu. Kawan tu dah tinggai anak cik lama dah, mak. Patut jatuh talak dah..."
"Hang dapat khabaq kat mana? Setahu aku, dia tak pernah ceraikan Amanda. Hampa pernah ka pi tuntut fasakh?"
"Korbankan apa? Hang taw ka dia terkorban atau dia bahagia? Hang taw ka?"
"Lagu mana dia nak bahagia mak, Ada tu jumpa suami dia pun tak pernah, macam mana anak kami nak rasa bahagia, kenal pun tidak?"
"Hampa taw mana dia tak pernah jumpa?"
"Hampa ingat 2 tahun dia hilang tu saja-saja ka?"
"Jadi makhluk tu ka yang ambik anak kami selama 2 tahun?"
Dialog perbualan antara mak tok, papa dan mamanya pada beberapa bulan yang lalu bermain-main di ingatan Amanda kembali, masih terpancar jelas wajah mama dan papanya yang begitu tidak berpuas hati dalam perbualan itu, seakan mereka langsung tak suka kepada Riyadh, tapi mungkinkah mereka marah kerana Riyadh mengabaikannya?
Mungkin juga dia boleh dapatkan jawapan daripada persoalan ini melalui satu lagi tanda tanya yang begitu besar yang mengganggu dirinya selama ini. Ada seseorang yang dia perlu bertemu. Wanita itu pasti ada sedikit klu tentang kenapa papa dan mamanya bereaksi sedemikian dalam perbualan tersebut.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top