👑Bab 22

"Jangan lupa namaku." 🥀

-Andhika Sadewa-

Fatimah menyusun beberapa buah buku yang berselerak di atas meja. Televisyen yang berjenama Panasonic bersaiz lebih kurang 50 inci itu dipandang. Hanya skrin gelap. Buku yang sudah berbaris tinggi dibawa dan disusun di atas rak di sisi tv. Lelaki ini nampaknya memang suka membaca buku semuanya genre perniagaan dan wang. Sudah sebulan dia bekerja di rumah CEO muda ini, tetapi dia tidak pernah bersua walau sedetik pun, hanya berhubung dengan pembantu peribadinya sahaja.

Bukanlah Fatimah beria-ria ingin berjumpa dengan lelaki itu, cumanya sedikit musykil tetapi bagus juga, sepanjang dia bekerja di sini, lelaki itu tidak pernah ada di rumah, jadi hal yang paling dia risaukan jika terjadinya kejadian khalwat antara dirinya dan lelaki itu dapatlah dielakkan. Fatimah tersenyum bahagia memikirkan hikmah atas kejadian tersebut.

Deretan buku di depan wajah dipandang sejenak. Abang Fathinya pernah berpesan, membaca ni satu amalan yang sangat bagus terutamanya bahan bacaan yang boleh mendidik jiwa, lagipula surah pertama yang diturunkan oleh Allah kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W juga ialah surah Al-'Alaq yakni perintah untuk membaca. Atau lebih tepatnya untuk menuntut ilmu. Paling penting dan pertama sekali ilmu yang perlu ditekankan ialah menuntut ilmu untuk mengenal Allah dan memahami agama-Nya. Sebab Islam kan panduan hidup, kalau tak faham panduan, macam mana nak gunakannya? Kalau guna salah nanti jadi caca-merba la jawabnya, panduan diberi untuk bawa seorang hamba sampai kepada Allah tetapi yang berlaku sebaliknya manusia-manusia ni sampai pula kepada makhluk yang bernama DUNIA. Hurm...

"Iqra' bismi rabbikallażī khalaq..."
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."

Senaskah buku diambil.

"Zero Debt.. The Ultimate Guide to Financial Freedom." desis Fatimah perlahan sambil membaca tajuk buku dengan kulit buku kertas lembut itu. Sebelum sempat dia membuka halaman pertama, kedengaran bunyi pintu rumah kondo itu dibuka dari luar.

Fatimah terpana saat melihat susuk tubuh lelaki yang pernah ditemui lebih sebulan yang lalu. Hanya berbaju kemeja dengan tali leher yang sudah dilonggarkan, baju kot yang tersangkut di tangan diletakkan di atas sofa, mata coklat kehitaman itu memandang sekilas ke arah Fatimah, dengan nada yang agak serak seperti sakit tekak, dia memberi arahan.

"Ambikkan saya segelas air." lantas kakinya menuju ke ruangan peribadi.

Fatimah yang sedari tadi memegang buku Zero Debt itu masih terkedip-kedip matanya, tidak tahu bagaimana ingin mempamerkan riak dalam situasi begini.

Sekarang hanya dia dan lelaki itu di dalam rumah? Berkhalwat?

"Maafkan kak long, abi." laju buku di tangan disusun ke rak kembali. Begnya di atas bar dapur diselongar, telefon bimbit Vivo dicapai lalu panggilan dibuat kepada seseorang.

"Assalammualaikum Puan Mas." tergesa-gesa Fatimah memberikan salam sambil menutup pintu rumah tatkala kaki melangkah keluar.

"Puan Mas, erm... macam mana ya nak bagitahu ni, Tuan Ali tiba-tiba balik ke rumah, tak ada siapa-siapa di rumah ni melainkan saya dan tuan, saya tak boleh nak tunaikan arahan tuan, dia minta segelas air tadi, tapi saya takut nak duduk dalam rumah sebab nanti syaitan ambik kesempatan..." ujar Fatimah dengan begitu lurus tanpa kona-kona.

"Tak boleh Puan, saya takut, saya kena jaga amanah yang abi saya dah pesan, abi pesan saya kena jaga maruah diri saya, jaga batas pergaulan saya, kalau saya masuk ke dalam rumah ni balik, nanti saya langgar amanah dan pesanan umi dan abi saya, yang paling penting saya langgar larangan Allah. Mana boleh berdua-duan dengan bukan mahram tanpa orang soleh sebagai orang yang ketiga." ujar Fatimah mendayu-dayu, cuba meminta pertolongan Puan Maslinda, pembantu peribadi Ali untuk membantunya dalam situasi sedemikian.

"Baik-baik saya tunggu."

Fatimah mematikan sambungan di talian.

"Rabbi yassir wala tu'assir, rabbi tammim bil khair..."

"Rabbi yassir wala tu'assir, rabbi tammim bil khair..." doa ringkas memohon pertolongan Allah untuk mempermudahkan urusannya pada ketika ini diulang-ulang segera sambil jari-jemarinya bermain-main antara satu sama lain. Dalam 5 minit menunggu, dari jauh dia melihat seorang wanita berpakaian warna biru seperti uniform pengasuh datang ke arahnya.

"Neng, apa neng yang namanya Fatimah, tukang cucinya rumah ini?"

"Ya-ya, betul. Saya. Silakan masuk."

"Tadi Mbak Mas bilangnya minta saya ke sini temanin neng."

"A'a betul." ujar Fatimah dalam sedikit kekalutan meletakkan beg galasnya semula di atas bar dapur, kaki bergerak ke dapur untuk mengambil mug dan menadah air di Coway. Air panas dan air pada suhu biasa dicampurkan untuk menjadikan ia sedikit suam seperti yang dipesan oleh Puan Maslinda sebentar tadi. Nampaknya lelaki itu demam, patutlah suaranya kedengaran serak sebentar tadi. Pintu almari kabinet di bahagian atas cuba dibuka walaupun ianya sedikit tinggi bagi Fatimah yang lebih kurang ketinggian Amanda, 157 cm.

Peti pertolongan cemas (First Aid Kit) cuba digapai sedikit payah. Tinggi betul kabinet ni, sesuai la dengan ketinggian tuan empunya rumah pun. Entah Tuan Ali tingginya mungkin 170+ cm. Kotak Panadol ActiFast berwarna merah dibuka, satu papan panadol dikeluar. Laju kakinya melangkah keluar dari dapur setelah PPC disimpan semula.

"Mari ibuk." ajak Fatimah cuba meniru loghat bahasa Indonesia wanita berusia lewat 40-an itu.

Fatimah tercegat di muka pintu bilik Ali. Air dan ubat di tangan disuakan kepada Ibuk Tari.

"Assalammualaikum Tuan, Fatimah ni, boleh saya masuk?" beberapa detik dia menunggu namun tiada jawapan, pintu bilik itu diketuk lagi.

"Tuan?"

Telinga ditekupkan di pintu bilik, tiada sebarang bunyi, permukaan pintu dipandang, kayu pintu ni pun tebal, bukan nipis, dia ketuk pun pedih sendi-sendi belakang jari ni. Tanpa melengahkan masa, lambat-lambat pintu itu dibuka, tak mengapalah, lagipula ada Ibuk Tari yang temankannya pada ketika ini kalau ada situasi yang tak diigini.

"Jom ibuk." Fatimah dan Ibuk Tari berjalan masuk ke dalam ruangan peribadi Ali. Dahinya berkerut, pasti dia di ruangan bilik tidur, tak kan dia duduk di ruang tamu sini. Patut la tiada sahutan, jauh sangat dia ketuk pun. Aduhlah Fatimah si gadis baru sedang belajar.

Dari jauh pintu ruangan tidur itu tidak ditutup, Fatimah melangkah perlahan-lahan sambil terhendap-terhendap, risau-risau jika tersalah hendap. Susuk yang sedang berselimut kelabu hanya menampakkan wajah pucatnya itu menyapa pandangan Fatimah yang masih berhati-hati dalam menalakan arah. Perlahan dia menegur.

"Tuan..." panggil Fatimah.

Ali mencelikkan mata dengan nafas turun naik seperti temengah.

"Neng, kayaknya demamnya Tuan Ali ini berat ibuk lihat." Fatimah memandang sekilas ke arah Ibuk Tari lalu beralih semula kepada Ali.

"Saya bawakan ubat dan air."

"Kenapa lambat?" soal Ali saat dia bangkit duduk dan bersandar pada kepala katil.

Fatimah terdiam lalu menyuakan piring yang berisi ubat dan segelas air. Berhati-hati Fatimah menjaga agar tangannya tidak bersentuhan dengan lelaki itu.

Ali mengerling seketika Ibuk Tari, tahulah ia kenapa gadis itu mengambil masa yang lama untuk menghantarkannya air yang dipinta, pergi mencari orang yang ketiga kerana tidak mahu berkhalwat dengannya. Ubat dimasukkan ke dalam mulut diikuti air diteguk beberapa kali dari dalam gelas. Gelas kosong diletakkan di atas piring.

"Saya demam, bukan saya nak boleh buat apa-apa pun dekat awak." ujar Ali.

'Tuan demam, tapi syaitan tu tak." spontan Fatimah menjawab perlahan.

"Ha? Awak kata apa?"

"Aaa...tak ada apa-apa rehatlah tuan. Tuan tak nak pergi ke hospital ke?"

"Tak payah, saya ada doktor peribadi saya sendiri kalau saya tak tahan sangat. Tapi sekarang ni, cukuplah awak jadi nurse saya sampai saya sembuh. Boleh? Maslinda kata awak pandai masak."

"Allahu rabbi..." Fatimah mendesis perlahan, kegusarannya datang lagi setelah hilang dalam 10 minit tadi saat hadirnya Ibuk Tari.

"Maksudnya ibuk Tari boleh teman sekali ke?" Fatimah cuba bersangka baik.

"Tak, awak sorang je."

"Maaf tuan, tak boleh."

"Saya akan bayar awak lebih la."

"Dalam hal yang melanggar syariat tidak boleh berjual beli dengan harga apapun, nilai dan martabat agama itu terlalu tinggi. Tak boleh sesuka hati dijadikan tawar-menawar." ujar Fatimah laju.

Ali tersengih sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

"Saya tahu...awak ni memang rumit." ujar Ali sambil tersenyum kambing.

Orang yang tahu Tuhanlah yang telah memberikan nyawa dan segala nikmat tapi masih tidak mahu taatlah sebenarnya yang rumit...

"Sudah, jangan mengumpat saya dengan bahasa suara hati awak yang tak kedengaran tu. Awak boleh balik kejap lagi. Call Maslinda bagitahu dia awak balik awal."

⚔⚔⚔⚔⚔

"Allahumma solli solatan kamilatan...
Wasalim sallaman taammaa...a'laa saidina muhammadinil lazi...tanhallubihil u'qadu...watanfariju bihil qurobu....watukdho bihil hawa iju...watunaalu bihirro gha' ibu....wahusnu khawaa timi...wayustasqhol ghomaamu...biwajhihil karim...wa 'ala alihi wasah bihi...fi kulli lamhatim wanafasim...bi' adadi kulli mak'lu mim lakh."

Amanda tersenyum dengan matanya yang masih terpejam rapat sambil mendengar sayup-sayup selawat Tafrijiyah yang dialunkan dari kotak suara lelaki yang dikasihinya ini. Maka nikmat apa lagikah yang ia telah dustakan? Mempunyai suami yang soleh yang boleh memanjakan diri dan mendodoi tidur pada waktu malam dengan alunan selawat yang begitu merdu dan menenangkan ini. Wangian asap bukhoor yang menemani dirinya dan Riyadh menaikkan aura ketenangan dalam rumah ini, asap yang disukai oleh malaikat dan dibenci oleh Jin, wangian Sunnah kesukaan Rasulullah S.A.W.

Hati mana yang lebih tenang melebihi hati yang selalu mengingati Allah dan membesarkan Allah di dalamnya? Hati yang kasih akan Rasulnya, Muhammad Rasulullah...

Ala bidzikrillahi tathmainnul qulub.
Hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang." (Surah Ar-Ra'du: 28)

Tangan yang membelai rambutnya disentuh lalu dibawa ke bibir, dicium lembut. Rindunya akan sentuhan ini, hatinya tiba-tiba menyeruak dengan rasa sebak, dia tak ingat apa-apa tapi adegan ini bagaikan dejavu, naluri dan hatinya berasa begitu dekat sekali dengan keadaan seperti ini.

Kepala di riba itu diangkat, Amanda menatap wajah suaminya dengan penuh hiba dan rindu.

"Saya ada banyak sangat soalan yang saya nak tanya awak." ujar Amanda. Air matanya makin membanjiri tubir mata, kemudian jatuh ke pipi sebutir demi sebutir cecair mutiara jernih itu.

Riyadh hanya tenang menanti Amanda menstabilkan emosinya.

"Kenapa awak nak bercerai?"

Riyadh melarikan pandangan, tubuhnya bangkit menuju ke jendela, waktu sudahpun menginjak ke jam 3 pagi. Tingkap yang tinggi memanjang ke bawah bagi rumah papan itu dibuka.

"Kemarilah wahai dinda yang kanda kasihi." Riyadh menyuakan tangannya kepada Amanda. Amanda tercengang, pipinya terasa panas kerana menahan rasa malu dengan keromantisan itu. Tidak disangka-sangka lelaki ini rupanya pandai bermain kata klasik, dinda? Kanda? Macam zaman dulu-kala pula, Amanda tersenyum lalu bangkit dan menyambut huluran tangan itu.

Mereka saling bertatapan, Amanda yang baru menyuakan tangan ingin memeluk tubuh sang suami bertukar arah apabila dirinya dipusing melihat keluar jendela, dan tubuhnya perlahan-lahan dipeluk dari belakang, terasa kehangatan nafas sang suami di sisi dahi. Suara lelaki itu perlahan-lahan beralun gemersik mengisi malam antara dua jiwa yang sangat mencintai Rabb-Nya.

"Lihatlah bulan itu. Lihatlah kebesaran sang Pencipta kita. Biarkan kita juga menikmati adegan ini, kerana bulan purnama yang begitu bahari itu memang hanya satu tetapi sudah memadai untuk menyatukan kasih jutaan hati makhluknya, termasuk sang pungguk di waktu malam yang turut jua merindukan bulan. Ada hikmahnya Allah menciptakan makhluk seindah alkamar ini hanya untuk dilihat, tetapi bukan untuk disentuh atau digapai, kerana capaiannya bukan di pancaindera tangan kerna pasti menjadi rebutan dan yang lemah pasti tidak bisa merasai tetapi sebaliknya pancainderanya hati... walau jauh tetap jua akan terkoneksi..."

"Hati yang jika terkandung iman, terkandung ilmu dan faham, dia akan mengenal dan mengetahui bahawa yang indah itu bukannya pada si bulan tetapi yang indah itu pada pencipta dan empunya makhluk yang Esa itu." Sisi dahinya terasa satu kehangatan, dikucup dengan penuh kasih.

"Baharinya tidak terletak kepada makhluk tetapi kepada empunya makhluk. Siapakah Dia dinda?"

Air mata Amanda bertakung.

"Allah..."

Satu kucupan singgah pula di sisi rambutnya.

Ada ramai ke lelaki yang mengucup isterinya bukan dengan hawa nafsu tetapi dengan rasa kasih yang terlalu tinggi? Siapakah pemilik sebenar rasa Kasih itu?

Allah...
Ar-Rahman...
Maha Pengasih.

⚔⚔⚔⚔⚔

Fatimah teragak-agak ingin menekan loceng pintu rumah itu, tadi sewaktu dia menelefon Puan Maslinda, katanya Tuan Ali akan masuk ke pejabat hari ini cumanya mungkin lewat sedikit, adakah sebab demamnya belum sepenuhnya baik?

"Wallahua'lam..." desis Fatimah.

Tuannya ini sudah keluar ke pejabat atau belum ya. Risau jika dia masuk, tuan Ali masih ada.

Tekan la loceng apa tunggu lagi, fikir banyak pula aduhai kamu ni Fatimah...

Suis loceng berbentuk empat segi tepat itu ditekan. Dia mengulang sekali lagi apabila tidak ada yang membuka pintu dalam masa 30 saat.

"Sekejap Fatimah." Terdengar satu suara di interkom sebelah pintu. Dalam 10 detik, susuk Ali keluar dengan kot biru gelap di tangan, lengkap berpakaian rapi berkemeja putih, bertali leher kosong merah. Mata lelaki itu tajam merenung Fatimah, gadis itu hanya memandang ke bawah.

Lelaki itu menghampirinya, Fatimah terpempan lalu mendongak melihat wajah lelaki itu.

"Ada apa tuan?"

Ali tersenyum. Ada kaedah untuk memancing perhatian gadis ini rupa-rupanya, yang pasti positif kaedahnya perlu melanggar batas pergaulan jarak antara lelaki dan wanita, pasti gadis ini cepat bertukar mood dari pemalu kepada garang dan tegas.

"Jawab soalan saya."

Wajah Fatimah bertukar bingung tatkala mendengar arahan itu, dia berasa sedikit lega setelah menyamakan kembali jarak yang sepatutnya antara mereka.

"Awak pernah bercinta?"

"Cinta?"

"Ya cinta."

Fatimah menggeleng.

"Awak tak tahu apa itu cinta?"

"Saya tak pernah rasa apa itu cinta." ujar Fatimah.

"Awak ni dah nak masuk 21 tahun kan? Takkan la tak tahu apa itu cinta."

"Saya tak tahu apa itu cinta, tapi saya tahu apa itu kasih."

"Ha? Apa perbezaan antara kedua-duanya."

"Abi saya pernah cakap, cinta itu hanya bersifat dunia, sedangkan kasih itu merentas hingga ke akhirat, contohnya kasih ibu dan ayah. Dan tertinggi serta tiada tandingan sekali ialah kasihnya Allah kerana Allah itu Maha Pengasih."

Ali mengangkat kedua-dua keningnya. Jari menekan bawah cuping telinga kanan cuba menghilangkan suasana kejanggalan.

"Islamik betul awak ni."

"Dah saya Muslim, kalau saya tak Islamik takkan saya nak Kristianik atau Buddhistik pulak kan?" ujar Fatimah tanpa kona-kona.

Serta-merta wajah kacak itu berubah bagaikan orang yang tercekik terung. Lantas tubuh tinggi lampai itu berlalu meninggalkan Fatimah. Fatimah tersenyum sebagai satu kemenangan.

"Apa punya sindiran la Tuan Ali ni. Dia pun Muslim, dia boleh cakap aku Islamik. Eh mengumpat orang, astaghfirullahal'aziim, Ya Allah ampunkan dosa aku, abi, kak long minta maaf tersasul." laju tubuhnya berlari masuk ke dalam rumah Ali.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top