👑Bab 19
"Jangan lupa namaku." 🥀
-Andhika Sadewa-
Kereta Bezza itu memasuki satu perkampungan kecil yang terdiri daripada rumah-rumah pondok. Lampu-lampu di sekeliling jalan tidaklah begitu terang tapi masih boleh menyuluh kenderaan dan para penduduk yang menggunakan jalan tersebut untuk ke destinasi mereka.
Tidak berapa lama, mereka berhenti di perkarangan sebuah rumah kayu.
"Kita dah sampai, dah boleh turun." ujar Fatimah.
Amanda membuka pintu kereta di sebelah kirinya, manakala Fatimah turun di sebelah kanan. Saat pintu pemandu kereta itu keluar dari kereta tersebut, segera Amanda meneliti wajah lelaki tersebut.
"Abang Fathi?" dahinya berkerut.
"Macam mana Fatimah kenal abang Fathi ni?" soal Amanda kepada Fatimah.
"Nanti Fatimah cerita. Sekarang Amanda naik atas dan jumpa dengan..." Fatimah memberi isyarat ke arah rumah tersebut.
"Amanda tahu kan siapa." sambung Fatimah.
"Pintu tak terbuka pun." ujar Amanda.
"Ada naik je atas, tolak je pintu tu." Fathi tiba-tiba bersuara.
Dia meniti beberapa anak tangga rumah dan berhenti di serambi rumah itu, tangan mula menyentuh pemegang pintu sebelum perlahan-lahan dia menolak, kasut dibuka dan Amanda melangkah masuk ke atas.
Cahaya di dalam rumah itu hanya disinari beberapa lampu-lampu minyak tanah di beberapa sudut, matanya terhenti pada satu susuk lelaki berjubah dan berserban putih, di sisi kirinya seperti diselempangkan rida' berwarna hijau, tapi ini hanya sudut pandangan dari arah belakang. Lelaki itu sedang merenung ke luar jendela. Amanda melangkah mendekatinya.
"Assalammualaikum..." salam diucap.
"Waalaikumussalam warahmatullah..." salam itu dijawab. Saat mendengar suara merdu seorang lelaki itu, automatik jantung Amanda bertukar rentak kelajuan, dia jadi sangat berdebar-debar untuk mengetahui siapakah gerangan lelaki ini. Tubuh lelaki itu menoleh. Amanda terpana seketika melihat kemolekan rupanya. Apa yang paling menusuk ke kalbu ialah wajah jernih dan tenang yang terpancar di riak wajah lelaki itu.
"Awak siapa?" Amanda bertanya.
"Sayalah Riyadh, Riyadh Bin Ibrahim Mustafa."
Lidah Amanda menjadi kelu, tiada tutur bicara yang dapat dilontarkan olehnya, lelaki di hadapannya ini begitu sempurna, baru menatap wajahnya seketika, Amanda sudah merasakan hatinya terbelah seribu, tidak dapat menahan perasaan yang bercampur baur di dada, gementar, teruja, kagum, tertawan, curious? Ah, pasti saja.
"Duduklah saudari."
Saudari? Formalnya. Aku kan isteri dia? Tapi biasalah, kami kan baru pertama kali berjumpa, eh tak, dalam ingatan aku je baru pertama kali, hakikatnya mak tok kata aku dah jumpa dia banyak kali dah selama 2 tahun aku hilang di dunia dia tu.
Lambat-lambat Amanda duduk bersila dan menghadap Riyadh, hanya mereka di dalam rumah ini.
"Apa Bella mengingati saya?"
"Bella?" Amanda tersentak apabila namanya yang jarang disebut oleh orang sekeliling itu digunakan oleh Riyadh.
"Awak tak rasa nama tu macam tak ada makna ke?" Amanda menyoal apabila nama yang sering dihalangnya untuk orang lain sebut termasuk mama dan papanya yang dahulu sewaktu dia kecil, sering memanggilnya dengan nama itu, apabila mak tok memberitahu nama itu tidak ada makna dalam bahasa arab dan istilah Islam, maka Amanda enggan lagi nama itu digunakan.
"Nama itu ada makna, dari segi bahasa Itali, nama itu bermaksud 'cantik'."
Amanda tercengang. Seakan-akan dirinya sedang dipuji oleh lelaki ini, Amanda tertunduk malu.
"Dalam Islam, Islam tidak pernah meletakkan syarat nama seorang Muslim itu perlu digunakan hanya dalam bahasa Arab, kerana Islam ini untuk semua bangsa, asalkan setiap nama itu mempunyai maksud yang baik, maka tidak ada masalah untuk digunakan walaupun dari bahasa Barat." ujar Andhika.
Amanda mengerdipkan matanya menahan malu. Baru nak berkenalan tapi terpukul juga dia pada malam ini, tak apa la, dapat ilmu baru.
"Awak tak nak jelaskan kenapa awak tak pernah berusaha nak jumpa saya?" soal Amanda tanpa berbasa basi lagi.
Andhika tersenyum tawar. Isterinya ini tetap sama, samada dia masih ingat akan dirinya ataupun tidak, dia tetap gadis yang cukup berterus terang.
"Bella masih belum menjawab soalan saya."
Terasa rama-rama bermain-main di dalam perutnya, Amanda menahan rasa malunya apabila nama yang cukup tabu bagi dirinya pada sebelum ini akhirnya digunakan juga dengan maksud yang memuji dirinya sendiri bahkan terpancul keluar dri bibir lelaki yang mampu menggetarkan jiwanya pada ketika ini.
"Saya tak ingat siapa awak. Dalam ingatan saya, inilah pertama kali kita berjumpa." ujar Amanda.
Andhika mengangguk.
"Tentang soalan Bella. Maaf, bukan kerana saya tidak pernah berusaha mencari Bella, cumanya pada 3 tahun yang lalu, saya sendiri tidak mengetahui akan kewujudan Bella sebagai isteri saya bahkan menyedari akan gerangan siapakah diri saya sendiri. Maka kemudiannya, kita berjumpa di alam sana dengan kehendak Allah, maka kita mula menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sah namun ada begitu banyak kesalahfahaman yang terjadi." ujar Andhika.
"Kesalahfahaman apa?" Amanda bertanya.
Andhika menggeleng perlahan.
"Cukuplah ianya menjadi rahsia dan masa lalu, tidak ada yang perlu diingati lagi, sekarang marilah kita membincangkan soal masa hadapan Bella."
"Soal masa hadapan saya? Ya apa yang awak nak buat? Daftar perkahwinan kita? Kahwin semula di pejabat agama mengikut undang-undang di dunia manusia?" bertubi-tubi soalan Amanda lontarkan.
"Adakah Amanda masih mahu menjadi isteri saya?"
Soalan itu seakan-akan menyedarkan Amanda sesuatu. Ya Allah, bukankah inilah perkara yang paling dia mahu bahaskan bersama dengan lelaki ini jika dia bertemu dengannya, yakni soal penceraian, menamatkan hubungan ini tetapi kenapa pada ketika ini, dia pula yang takut untuk mengakhiri hubungan ini.
"Tidak mengapalah jika Amanda tidak mahu menjawab kerana saya sudah memutuskan untuk mengakhiri hubungan ini, dan membiarkan Amanda bebas menjalani kehidupan dan membina keluarga dengan laki-laki lain yang lebih layak untuk Amanda, cumanya nasihat saya, lelaki itu bukanlah Nayad Naufal." ujar Andhika.
Perasaan di hati tiba-tiba membuak-buak rasa sebak, dia belum menjawab apa-apa, lelaki ini sudah mengeluarkan kata-kata yang benar-benar membuatkan hatinya hancur berkecai.
"Baiklah kalau awak nak bercerai sangat, bila awak nak lafaz?" ujar Amanda, geram.
"Saya akan lafazkan talak di hadapan mak tok Bella seperti mana saya melafazkan akad dan nikah menerima Bella sebagai isteri saya di hadapan mak tok dan almarhum tok ayah dulu." ujar Andhika.
Amanda menunduk, tidak mampu untuk menjawab lagi. Hatinya meruntun pilu, kenapa lelaki ni beria-ria nak ceraikan dia, segala persoalan masih banyak yang belum terjawab tapi lelaki ini sudah menganggap itu semua tidak penting lalu dia harus bagaimana lagi?
⚔⚔⚔⚔⚔
Air matanya diseka laju. Fathi dan Fatimah hanya mampu memandang Amanda yang sedang menatap laut dengan penuh hiba itu.
"Bakpo jak takdi duk jerik jah? Gapo hok dio kecek nga Ustaz Riyadh tu?Fatimah, acu g tanyo Amanda." ujar Fathi kepada Fatimah, Fatimah mengangguk lalu mendekati Amanda.
"Kenapa ni Amanda? Kongsilah dengan Fatimah, apa yang Amanda bualkan dengan ustaz Riyadh tadi sehingga Amanda menangis macam ini sekali?"
"Dia ajak bercerai Fatimah, dia langsung tak ada usaha nak pertahankan hubungan ni, saya baru rasa nak lebih kenal dia sebab saya nak tahu apa yang terjadi kepada kami selama 2 tahun saya dengan dia tu tapi dia dah tak nak cerita, dia anggap benda tu dah tak penting." air mata Amanda mengalir lagi.
"Amanda tahu tak apa nama Ustaz Riyadh sebelum dia memeluk Islam?" Amanda memandang Fatimah. Dia menggeleng.
"Tadi Fatimah ada tanya Abang Fathi, abang la yang bagitahu. Nama dia ialah..."
"...Andhika Sadewa."
"Ha? Andhika Sadewa?"
Fatimah mengangguk.
"Ternyata lelaki yang Amanda selalu mimpikan dan ingat selama ini ialah orang yang sama menjadi suami Amanda."
Air mata Amanda mengalir deras lagi.
"Dan lelaki yang saya rindukan juga itu nak ceraikan saya sekarang ni."
"Saya nak buat apa ni Fatimah?" Amanda menyeka air matanya.
"Awak cuba berterus terang dengan Ustaz Riyadh yang awak tak nak bercerai."
"Tak naklah, saya malu. Dia dah tak nak saya, takkan saya masih nak terhegeh-hegeh lagi?"
"Saya yakin Ustaz Riyadh bukan dah tak nak Amanda tapi ustaz Riyadh nak lindungi Amanda sebenarnya."
"Apa maksud Fatimah?"
"Amanda tak tertanya-tanya ke macam mana Fatimah boleh kenal ustaz Riyadh."
"Mesti melalui abang Fathi kan? Tapi apa hubungan awak berdua?"
"Abang Fathi tu adik beradik susuan Fatimah, masa abang Fathi dilahirkan, keluarga Fatimah ambik abang Fathi jadi anak angkat dan ibu Fatimah la yang menyusukan abang Fathi sebab umi kandung abang jatuh sakit pada ketika tu."
"Diizinkan oleh Allah, Fatimah ni sekelas dengan Amanda di UiTM Machang, maka abang minta Fatimah rapat dengan Amanda tapi Fatimah bersahabat dengan Amanda bukan semata-mata sebab tu ya, Fatimah ikhlas. Itu hanya asbab awal, tapi persahabatan ini Fatimah niatkan ikhlas kerana Allah." Tangan Amanda disentuh Fatimah.
"Fatimah la yang selalu beritahu abang, bagaimana keadaan Amanda, apa yang terjadi semua, dan abang setiap kali dipanggil oleh Ustaz Riyadh, dia akan menceritakan segala perihal Amanda dekat ustaz..."
"... ustaz memang sentiasa tahu bab awak Amanda, ustaz sentiasa ambik berat bahkan masa awak masuk hospital tu, ustaz ada ziarahi awak. Ustaz yang selamatkan awak daripada dinodai oleh lelaki yang tak dikenali tu, bukan Nayad Naufal tu. Dia tu entah datang dari mana nak tunjuk hero."
Amanda tercengang.
"Sebab tu la Fatimah tak suka Nayad tu?"
Fatimah mengangguk.
"Fatimah memang dapat rasa dia ada niat yang tak baik."
"Siapa pula Ali Bernayad?"
"Ha? Ali Bernayad?"
"Masa saya larikan diri dari rumah mak tok pada malam tu, ada satu entiti yang datang berbisik kepada saya untuk jauhkan diri dari Ali Bernayad, siapa pulak dia? Dan siapa yang berbisik dekat saya tu?"
"Amanda tak cam suara dia?"
"Tak..."
"Adakah tidak sama suara dia dengan Ustaz Riyadh?"
Amanda tersentak.
"Tapi bahasa Melayunya agak baku dan klasik, tapi ustaz Riyadh tidaklah kedengaran klasiknya tadi walaupun agak baku bicaranya."
"Apa yang ustaz bahasakan diri dengan Amanda?"
"Saya, Bella."
"Oh patutlah, memang tidak kedengaran klasik sebab istilah-istilah yang digunakan juga tidak klasik."
"Macam mana dia boleh ada pada waktu tu? Di Perlis?"
"Fatimah maklumkan kepada abang Fathi yang Fatimah ikut Amanda pulang ke Perlis, apa saja aktiviti sepanjang Fatimah berada dengan Amanda, Fatimah akan maklumkan kepada abang supaya jika Ustaz panggil abang berjumpa, abang boleh berkongsi cerita."
"Jadi abang awak tipu saya ke sebelum ni? Punya la saya merayu kepada dia untuk bantu saya temukan saya dengan Ustaz Riyadh tapi dia maklumkan kepada saya seakan-akan sememangnya tidak ada jalan dan cara, betapa rungsingnya saya sebelum ini, bagaimana sekarang awak berdua boleh dengan mudah saja bawa saya berjumpa Riyadh?" ujar Amanda dalam nada sedikit marah.
"Sabar Amanda, abang Fathi memegang amanah, dia tidak boleh mengkhianati janji dan rahsia dengan sebegitu saja. Fatimah yang menelefon abang dan merayunya agar memujuk ustaz agar mahu bertemu dengan Amanda dek tindakan kamu yang sudah lebih terbuka kepada si Nayad itu, Fatimah jadi bimbang."
Amanda terdiam. Dan rancangannya dia berjaya juga, dia yakin dengan bertindak di luar kebiasaan, pasti dia boleh lebih cepat berjumpa dengan suaminya sementelah ada larangan daripada entiti suara lelaki yang tak dikenali pada malam itu, dia tidak tahu siapa Ali Bernayad tapi dia membuat satu teori yang Nayad Naufal mungkin ada kaitan dengan Ali Bernayad.
⚔⚔⚔⚔⚔
Amanda memandang rumah pondok yang terpampang di hadapannya itu, rumah yang baru didatangi olehnya pada beberapa malam yang lalu. Hari ni dia datang ke sini semula untuk bertemu dengan Riyadh.
Tak...
Lebih tepatnya ialah Andhika.
Andhika Sadewa. Nama ini lebih dekat di hatinya. Walaupun ingatan tidak dapat mengingati setiap butir memori antara dia dan lelaki ini tetapi nama ini sudah cukup terkesan di hati, memberikan seribu satu rencah perasaan di hatinya.
"Assalammualaikum..." seorang remaja lelaki berusia dalam belasan tahun datang menegurnya.
"Waalaikumussalam." jawab Amanda.
"Akak ni bini ustaz riyadh ko?" soalnya.
Amanda tercegang seketika apabila ditanya sebegitu.
"Y-ya...ya saya."
"Ho, ustaz ado kat belakei tu. Tadi maso kat pantai, ustaz suruh saya oyak kata Ustaz tunggu akak situ."
"Pantai? Kat belakang sana?" Amanda menunding di sebelah kirinya.
"Yup betul."
"Terima kasih ya dik."
"Samo-samo."
Amanda berjalan ke arah belakang kampung untuk mencari pantai, tidak beberapa minit dia berjalan, matanya sudah menangkap panorama pantai yang begitu cantik dan bersih. Kelihatan kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan sekolah rendah sedang bermain-main di pantai dan sekitarnya, ada juga beberapa orang remaja yang sedang duduk di Gazebo seperti sedang menghafaz, nampak betapa ceria dan tenangnya raut wajah mereka, melihat kepada pakaian-pakaian mereka yang berjubah dan berserban, ada juga yang memakai baju melayu dan kain pelikat, mereka pasti anak-anak tahfiz, Fatimah ada memaklumkan kepadanya bahawa ini merupakan perkampungan tahfiz dan madrasah para alim ulama' di Kota Bharu ini.
Dia berjalan lagi dengan pandangan giat memerhati suasana sekeliling, cuba mencari susuk tubuh Andhika. Matanya jatuh pada susuk seorang lelaki yang sedang memandang ke laut sambil tangan disilangkan ke belakang itu. Laju langkah diatur ke arah lelaki itu.
"Assalammualaikum..." salam diberikan tatkala kaki sudah siap berdiri di samping Andhika.
"Waalaikumussalam..." Andhika menoleh, satu senyuman diukir kepada Amanda.
Tatkala melihat raut wajah lelaki ini, perbualannya dengan Nadia semalam mula terlayar di ingatan.
"Kau dah jumpa dengan lelaki yang bertakhta di hati kau selama ni, kau jangan mudah-mudah biarkan dia lepaskan kau, kau kena usaha sedaya upaya untuk pertahankan hubungan ni."
"Tapi dia dah tak nak aku."
"Buat bagi dia tetap nakkan kau la. Kalau dia ada sebab yang lain pun, tetap kau kena bertahan. Kau tak pernah fight untuk lelaki yang kau suka taw Ada sebab kau tak pernah jatuh cinta, tapi sekarang kau dah ada seorang, dan kau sendiri yakin he's worth, very worth, so fight la. Lagipula kau dan dia halal sebelum ikatan halal tu terputus dan kuasa kau terbatas, sekarang kau buat apa yang patut kau buat sebagai seorang isteri. Kau bukan Amanda yang lembik..."
"Dan first thing first yang kau kena mulakan sekarang ialah, turunkan ego dan keras kepala kau tu dulu." ujar Nadia panjang lebar.
"Ada apa ya awak panggil saya ke sini?" jantung Amanda berdebar. Jangan la sebut tentang bab penceraian tu, dia tak nak dengar.
Andhika memandang Amanda dalam pandangan yang penuh rasa cinta. Namun mungkin gadis ini tidak akan mampu membaca pandangannya itu. Isi perbualan antara dia dan Fathi terlayar kembali di ingatan.
"Saya lihat reaksi Amanda semalam, sepertinya dia tidak bersetuju untuk berpisah dengan ustaz, bagi saya, adalah tidak adil jika Amanda diceraikan tanpa kemahuannya sedangkan ustaz juga masih ada hati terhadap Amanda."
"Mengapa Fathi berkata demikian?"
"Adik saya, Fatimah, dia memberitahu kepada saya, yang Amanda menangis-nangis dek kerana satu kata-kata tentang penceraian daripada ustaz semalam."
"Saya harus bagaimana Fathi, kondisi saya dalam bahaya pada ketika ini, saya tidak mahu isteri saya turut terseret sekali dalam ancaman ini, biar tanggungjawab saya terhadap Langkasakti, saya sendiri yang menanggungnya, jika hubungan saya dan isteri saya masih terikat, maka permasalahan ini akan menjadi lebih rumit." ujar Andhika.
"Saya rasa adalah sebaik-baiknya ustaz bertemu dengan Amanda sendiri dan bercerita dengannya, mungkin bagi ustaz melepaskannya adalah yang terbaik, kerana itu hanya sudut pandangan ustaz tapi bagaimana pula kalau di sudut Amanda, dia tidak rela bahkan akan memberi mudharat kepada dirinya? Jangan ustaz lupa, anak ustaz juga perlu tahu siapa bondanya." hujah Fathi.
"Bella dah makan?" Andhika menyoal.
Amanda terdiam. Dalam hatinya mengucapkan rasa syukur sekali kerana bukan soal penceraian yang diperkatakan oleh Andhika pada soalan pertama ini, moga lelaki itu memang tidak akan membahaskan soal penceraian.
"Dah, saya dah makan dah. Awak dah makan?"
Andhika mengangguk sambil tersenyum.
"Dah..."
Amanda melarikan pandangan ke arah pantai.
"Cantik la pantai di sini. Awak memang selalu datang ke sini ke?"
"Ya, saya memang selalu datang ke sini, lepas mengajar anak-anak tahfiz di kelas, saya akan datang menjamah pemandangan di pantai ni, tiap-tiap petang macam ni lah." jawab Andhika.
"Riyadh...boleh saya tanya awak soalan yang serius?"
"Silakan Bella."
Amanda menunduk bila nama itu disebut. Dia suka benar Andhika memanggil namanya dengan nama itu.
"Siapa Andhika Sadewa?" Amanda merenung Andhika, tidak sabar menanti jawapan. Andhika hanya mampu terdiam seketika tanpa menjawab pertanyaan itu.
"Kau kena berani Ada! Kau ingat ni. Kau isteri dia. Halal dan sah."
Kata-kata Nadia terngiang-ngiang di ingatan. Laju Amanda menyentuh lengan Andhika dan cuba memaksa Andhika untuk memandang wajahnya saat lelaki itu melarikan pandangan tatkala soalan itu diajukan. Andhika memandang ke arah sekeliling, risau jika menjadi fitnah bagi orang-orang di situ yang tidak mengetahui akan status hubungan mereka. Tangan Amanda ditarik. Amanda tersenyum dengan perlakuan itu. Langkahnya membuntuti langkah suaminya.
Mereka berhenti di kawasan persisiran pantai yang lebih tertutup dan tidak menjadi tumpuan orang, hanya ada batu-batu besar yang melindungi kawasan sekeliling dan pemandangan pantai di hadapan. Di sini lebih sesuai untuk berbual soal hal peribadi yang lebih sulit.
Amanda menarik tangan Andhika apabila lelaki itu hanya diam.
"Awak tak nak bagitahu saya siapa Andhika Sadewa?"
"Kenapa Bella nak tahu?"
"Sebab saya mencintai lelaki ini." ujar Amanda laju. Andhika yang tercengang menatap dalam-dalam pandangan Amanda yang mula bertakung dengan cecair mutiara yang bakal mengalir di pipi.
"Saya sentiasa merindukan pemilik kepada nama ini, tetapi saya tak tahu siapakah pemilik sebenar nama ini. Awak tahu siapa dia?"
Andhika melarikan wajah. Pandangan dihala ke pasir di kaki.
"Andhika Sadewa ialah nama saya sebelum saya memeluk Islam." ujarnya.
"Adakah Andhika Sadewa tak pernah mencintai saya?" soal Amanda dengan pandangannya yang sudah kabur. Tangannya menyentuh lengan Andhika.
Tangan Andhika naik menghapus air mata Amanda yang mengalir.
"Tidak...Andhika Sadewa sentiasa mencintai isterinya Bella Amanda."
"Lalu bagaimana pula dengan Riyadh? Adakah setelah Andhika Sadewa menjadi Riyadh Ibrahim Mustafa, dia sudah tidak mencintai isterinya lagi?"
"Mana mungkin hatinya akan berubah hanya kerana namanya yang bertukar, jika pada saat dia kufur kepada Allah pun, dia telah mencintai isterinya yang beriman.... inikan pula setelah dia kembali beriman kepada Allah."
Laju Amanda memeluk tubuh Andhika.
"Maka janganlah lepaskan saya, Andhika...awak tak tahu betapa selama ni saya selalu merasa diri saya tak lengkap tanpa awak, awak... adalah pelengkap kepada separuh agama saya, awak...adalah cinta pertama saya, mana mungkin saya kehilangan awak dengan begitu saja." Amanda menangis teresak-esak di dada suaminya. Pelukan itu dibalas dengan penuh kasih sayang. Air mata lelakinya juga turut mengalir laju.
Lidahnya kelu untuk berkata-kata, apabila isterinya yang sudah tidak ingat apa-apa tentang mereka pun masih tetap enggan berpisah dengannya, inikan pula jika Amanda sudah mengetahui segala-galanya termasuk zuriat mereka yang sudah berusia hampir 2 tahun itu. Bagaimana dia ingin melindungi insan yang dicintainya ini sedangkan situasi di Langkasakti makin meruncing.
⚔BellaDhika⚔
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top