BAB 6
BAB 6
BIBIR mata Nur terasa panas membuatkan dia membuka kelopak matanya dengan perlahan-lahan.
Kabur pandangannya. Nur memejamkan matanya kembali. Cuba selesakan mata sebelum membuka semula. Tidak lama kemudian, dia membuka semula kelopak mata yang terasa pedih. Silau. Nur melindungi pandangan dengan belakang tapak tangan.
Anak mata Nur melirik ke sekeliling setelah menjatuhkan semula tangannya.
Sebuah bilik mewah. Terkebil-kebil Nur merenung ke siling. Namun dengan tidak semena-mena dia terasa tubuhnya sejuk semacam. Anak mata gadis remaja itu dilorotkan ke arah hujung kakinya. Tersengkang luas kelopak matanya apabila mendapati tubuh itu langsung tidak dibaluti seurat benang pun. Nur cuak. Lantas dia terbangun duduk.
Darah? Ada darah yang mengalir pada paha Nur. Nafasnya turun naik. Segera komforter tebal itu ditarik menyelimuti seluruh tubuh. Ada segugus keresahan berbungkal di hati.
Nur baru tersedar bahawa dia masih berada di dalam bilik hotel tadi. Hatinya mula diamuk resah. Bayangan hitam itu kembali berulang tayang di ruangan mata. Gelak tawa mereka menampar halwa telinga membuatkan Nur menjerit sengsara.
"Aku benci kau sebab kau dah hancurkan keluarga aku. Jadi... ni makan dia!" Suara tengkingan Aery bergema di ruangan kamar itu.
Terbayang-bayang saat bajunya dicarik dan dikoyak kasar tanpa belas ihsan oleh lelaki itu membuatkan Nur menggigil meraung di situ.
"Ya Allah! Apa dah jadi ni? Ya Allah! Apa yang diorang dah buat dekat aku? Ya Allah! Ibu!" teriak Nur melampiaskan segala beban yang menghenyak di dadanya.
Saat dia merintih kesakitan yang menghimpit jiwa, bayangan tawa jahat Aery bergentayangan di ruangan mindanya. Beralih pula pada wajah pembuli yang lain satu persatu. Ugutan Fatin. Renungan sinis Arman. Sikap jengkel Ria dan El sungguh menyinggung perasaannya. Nur memeluk lutut. Terasa bagaikan dirinya terhempas ke lurah yang tak berorang.
"Tidak!" jerit Nur sepenuh hati hingga habis dicampak segala yang ada di atas katil itu seraya menghentakkan kepalanya ke kepala katil.
Disaat hatinya dilanda badai sengsara, terasa air mata hangat mengalir sayu membasahi pipinya.
Ktak!
Pada waktu yang sama kedengaran pintu dibuka dari luar membuatkan pandangannya terarah pada pintu bilik hotel itu. Wajah Aery yang terpacul di situ bersama renungan sinis dihadiahkan buat dirinya. Renungan itu bagaikan mencarik tangkai jantung Nur.
Dalam keadaan Nur terhinjut-hinjut menangis, lelaki remaja itu menapak mendekatinya.
Sebungkus plastik hitam dicampak ke muka Nur membuatkan gadis itu tersentak.
"Ni, pakai baju tu. Dan orang aku akan hantar kau balik. And I warn you, jangan berani kau nak bongkarkan apa yang berlaku malam semalam pada keluarga kau kalau tak nak video kau yang tengah sedap tu tersebar," ujar Aery siap memberi amaran keras agar Nur tidak membuka mulut tentang kejahatan mereka.
Nur masih termangu sedih dengan apa yang terjadi terhadap dirinya. Tangisan makin menjadi-jadi bila terkenangkan kejadian semalam.
"Hang kejam Aery! Hang... hang telah mencuri hati aku. Hang buat aku jatuh cinta dekat hang... dan hang yang dah meragut maruah aku. Hang dengan kawan-kawan hang memang betul-betul binatang!" maki Nur melampiaskan amarahnya.
Aery berubah riak tegang dimaki oleh Nur. Lantas laju sahaja dia melangkah mendapatkan gadis remaja itu dan rambutnya dicengkam kuat hingga membuatkan Nur terjerit sakit.
"Sakitlah Aery! Lepaslah!" Nur meraung.
Dua tiga das tamparan dari Aery hinggap ke pipi Nur. Terdiam membisu gadis remaja itu dalam keadaan tubuhnya dibaluti komforter tebal.
"Kau diam boleh tak? Aku nak kau pakai baju ni dan ikut aku balik! Jangan berani kau bukak mulut. Faham!"
Laju Nur mengangguk ketakutan diperas ugut oleh lelaki bengis di hadapannya itu.
"Kena... kenapa hang... benci dan marah sangat dekat aku?" Dalam keadaan tersedu-sedan, Nur mengajukan soalan yang telah lama bermain di benaknya.
Anak mata Aery mencerlung tajam ke arah Nur. Jemarinya masih mencengkam kuat rambut ikal mayang panjang di paras pinggang milik gadis remaja itu.
"Kau sendiri tahu sebabnya. Bagi aku, kau dan keluarga kau penyebab papa aku mati! Kau dan keluarga miskin kau penyebab papa dan mama aku berpisah. Kau dan mak kau pembunuh papa aku! Kau dan keluarga kau pemusnah kebahagiaan keluarga aku! Aku benci kau sampai ke tulang putih, perempuan busuk!" Aery menunjal kepala Nur hingga terteleng kepalanya. Cengkaman pada rambut itu dilepaskan sebelum berlalu ke pintu balkoni luar melepaskan segala rasa bebanan yang menyesakkan dada dan fikirannya.
Kata-kata nista yang dilemparkan Aery terhadap Nur bagaikan pedang menghiris jantungnya dan disiat-siat dengan belati tajam hingga hancur. Hancur hingga tidak mampu untuk dicantumkan semula.
***
KAMPUNG BUKIT SAPI
SEBUAH pacuan empat roda masuk ke halaman rumah milik keluarga Nur dan berhenti betul-betul di hadapan rumah itu.
"Cik Nur, kita dah sampai," beritahu lelaki berusia lebih kurang 30-an.
Nur yang masih menangis kecewa mengenangkan hidupnya yang telah dihancurkan oleh manusia kejam itu memandang ke arah pemandu upahan Aery dengan pandangan sayu. Lingkaran matanya membengkak akibat terlalu banyak menangis.
"Cik Nur? Boleh turun. Kita dah sampai," kejut lelaki itu cuba sedarkan Nur sepenuhnya kerana tika itu dilihatnya gadis itu seakan berkhayal di dalam dunianya sendiri.
"Ha?" Nur blur.
"Kita dah sampai depan rumah cik." Sekali lagi lelaki itu memberitahu Nur.
Nur mengangguk lemah tanda faham dan dengan perlahan dia membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk belakang. Nur turun dan melangkah longlai menuju ke pintu rumahnya tanpa sepatah kata. Fikirannya kosong sekosong hatinya. Akalnya telah retak sejuta seretak hatinya angkara perbuatan mereka yang maha kejam.
Pacuan empat roda tadi meluncur pergi dari situ.
Nur mahu mengetuk pintu. Namun belum sempat tangannya dinaikkan untuk mengetuk, pintu kayu usang itu telah terkuak dari dalam terlebih dahulu membuatkan gadis remaja itu sedikit terperanjat dalam keadaan tubuhnya yang seakan lembik seperti agar-agar.
Pandangannya berputar laju membuatkan Nur pening dan jatuh terjelepok di hadapan pintu tidak sedarkan diri.
"Nur!" Nama itu dijerit kuat dan sepi. Deria pendengaran Nur sudah mati.
🐺🐺🐺
STG IPOH OLDTOWN
FATIN dan rakan-rakan rancak berborak perihal kejadian malam itu. Hanya Aery yang melamun sendiri. Entah apa yang telah mengganggu fikirannya tika itu. Apa yang pasti ayat luahan yang dilontarkan oleh Nur dalam tangisan sendu pagi tadi asyik berulang-ulang gemaannya menampar halwa telinga lelaki remaja itu.
Bahkan suara itu turut mengganggu emosinya sejak pagi hingga ke saat ini. Runsing sungguh.
"Hang kejam Aery! Hang... hang telah mencuri hati aku. Hang buat aku jatuh cinta dekat hang... dan hang yang dah meragut maruah aku. Hang dengan kawan-kawan hang memang betul-betul binatang!"
Tangisan Nur bermain di ruangan matanya. Pejam mata nampak dia. Celik mata terdengar suara rayuan dan raungan Nur meminta pertolongan dari dia.
'Tapi bukan aku yang meragut maruah kau perempuan! Bukan aku! Sentuh kau pun jijik! Ish!' Aery berdebat dengan perasaannya sendiri.
"Tolonglah lepaskan aku... aku merayu..." Suara rayuan Nur kembali lagi mengganggu ketenteramannya.
"Ish! Pergilah jauh-jauh! Jangan ganggu aku!" Tanpa sedar Aery terjerit mengusir suara itu pergi dari mengganggunya membuatkan Fatin dan rakan-rakan tergemap.
Kini semua mata tertumpu ke arahnya.
"Wei, kenapa dengan kau?" tanya Arman, kehairanan.
Aery baru tersedar setelah mendengar suara teguran Arman bahawa dirinya terjerit sendiri tadi. Lantas dia mengawal perasaannya dari terus terlihat oleh mereka.
"Tak... tak ada apa-apa," balas Aery mengendurkan intonasi nada suaranya.
"Entah apa-apalah dia ni. Beranganlah tu. Hahah!" seloroh El sambil tertawa kecil.
Tawa itu langsung tidak dibalas oleh Aery. Malah dia meminta diri untuk beredar kerana mahu menenangkan fikirannya.
Belum sempat mereka menahan Aery dari pergi, lelaki remaja itu telahpun mengorak langkah dan pergi dari situ. Ketika dia sampai ke jalan keluar dari kafe itu, cuping telinganya sempat menangkap perbualan antara Fatin dan El.
"Wei, korang. Korang tahu tak semalam jugak aku dah sebarkan video tu guna editor upahan aku. Aku gerenti berita ni mesti gempak punya!" Dengan bangganya El memberitahu rakan-rakan kerja gilanya.
"Hang buat kerja seorang. Tak ajak kitorang. Adeh!" Fatin menyampuk.
"Alah benda kecik macam ni tak perlu diajak buat bersama. Nanti duit masuk aku share dengan korang. Aku yakin memang akan jadi gempak video tu. Sekaligus akan buat perempuan tu dibuang sekolah hahaha!" Gelak tawa jahat El dan yang lain terburai membuatkan Aery panas telinga mendengarnya.
Rahangnya bergerak-gerak dan berpatah kembali ke arah mereka berempat.
Pang!
Meja ditepuk kuat telah memeranjatkan mereka berempat. Lantas mereka memanggung kepala memandang si penyerang mengejut tersebut.
"Aery? Kenapa dengan hang ni? Tiba-tiba tepuk meja. Apa hal?" soal Fatin tidak puas hati dengan tindakan mengejut Aery.
"Kita dah buat perjanjian kan, takkan sebarkan video tu selagi budak busuk tak bongkarkan apa yang terjadi semalam dekat orang luar. Kenapa korang mungkir janji?" marah Aery.
"Rilek la wei! Yang kau nak naik angin apa hal? Bukan kau ke benci sangat dengan minah busuk tu? Jangan cakap yang kau dah jatuh cinta dekat dia pulak," bidas Arman.
Aery merengus kasàr mendengar bidasan Arman.
"Memang taklah aku nak jatuh cinta dengan minah tu. Masalahnya sekarang perjanjian! P.E.R.J.A.N.J.I.A.N kita. Aku paling pantang orang yang mungkir janji! Aku nak korang delete balik video tu sebelum tersebar meluas. Sekarang!" Aery sudah mula menyinga di situ membuatkan mereka mengecutc kerana mereka sudah masak dengan sikap baran Aery.
"El yang sebarkan," beritahu Ria.
El tertunduk meneguk air liur.
"Ya aku dah terlanggar janji kita. Sorry..." Pengakuan El menambahkan bara di hati Aery.
"Kau ni memang tak boleh harap. Aku dah tak percayakan kau dan korang semua! Mulai hari ni aku tak nak terlibat dengan aktiviti dan perancangan setan korang tu lagi. Aku quit from this group. Okay chiao!" Aery melangkah pergi meninggalkan mereka terkejut dengan keputusan yang telah dibuat. Itu diri Aery yang sebenar. Tetap pendirian dan berpegang pada janji.
Tergamam mereka di situ.
Aery pergi tanpa pedulikan perasaan mereka lagi. Entah mengapa dia rasa marah bila mereka mungkir janji dan dengan sewenang-wenangnya mahu menyebarkan video itu.
Dalam tengah sibuk berdebat dengan perasaan sendiri, dengan tidak semena-mena dia berasa sungguh aneh dengan perasaannya sendiri.
"Haisy, yang aku nak emo terlebih ni apahal? Bukan ini ke yang aku nak? Musnahkan hidup minah busuk tu adalah tujuan utama aku. Dan impian aku dah tercapai. So? Nak fikir apa lagi? Ah lantak dialah! Malas aku melayan," monolog Aery dengan dirinya sendiri. Cuba membuang perasaan amarahnya tadi.
🐺🐺🐺
KAMPUNG BUKIT SAPI
"KAK NUR, bangun!" kejut seseorang.
Sepi. Tubuh itu masih kaku tidak berkutik. Dia masih tidak sedar.
"Nur?" Sekali lagi nama itu diseru membuatkan Nur tersedar.
Dengan perlahan Nur mencelikkan matanya dan merenung ke sekelilingnya. Renungan terakhir mendarat ke wajah ibu dan adik-adiknya.
Mereka tersenyum syukur kerana Nur telah sedar.
"Nur... syukur hang dah sedar," ucap Puan Siti sambil membelai rambut Nur.
Nur terkaku sejenak. Perasaan sedih bergejolak di jiwanya. Namun ugutan demi ugutan dari Aery dan rakan-rakan membuatkan gadis remaja itu gentar. Sungguh dia khuatir jika benar video yang telah mereka merakamkannya itu, tersebar. Malu. Malu kerana ia melibatkan maruahnya.
Demi tidak mahu ibunya terbaca apa yang sedang mengganggu fikirannya, dia berpura tersenyum. Kesedihannya disembunyikan rapi ke lubuk hati yang paling dalam.
"Ibu? Tia? Adam? Macam mana Nur boleh ada di sini?" tanya Nur berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
"Nur... malam semalam Aery ada hubungi ibu. Katanya Nur tumpang tidur rumah kawan perempuan. Kawan sekolah. Itu yang ibu tak risau sangat. Tapi bila Nur balik pagi ni dalam keadaan lembik macam ni, buat ibu risau. Kenapa dengan hang ni? Jujur dengan ibu," jelas Puan Siti tentang pertanyaan Nur membuatkan rahang gadis remaja itu terjatuh mendengar nama Aery yang dipetik, dan pembohongan lelaki itu amat menyakitkan hatinya.
"Ha'ah, Kak Nur. Nasib baik Mak Bedah tu dengan Pak Leman datang tolong angkat Kak Nur tadi bawak masuk ke dalam rumah. Kalau tidak, memang tersadai dekat luar rumah tu. Kak Nur pengsan," celah Fathia seraya memberitahu aa yang telah terjadi.
"Pengsan?" Nur terbangun duduk.
"Kenapa Kak Nur pengsan?" soal Adam pula seakan tidak memahami situasi sebenar.
Nur terdiam lama sebelum menjawab persoalan mereka. Alasan yang bernas perlu diutarakan agar sebuah pembohongan tidak terlalu nampak ketara pada penglihatan ibunya.
"Oh ya, semalam lepas majlis tu Kak Nur terkena selesema. Mungkin tak biasa ke majlis besar macam tu. Kawan Kak Nur yang perempuan tu bagi ubat selesema. Lepas tu Kak Nur terasa mengantuk sangat sampai tak boleh nak ke mana. Itu yang kawan Kak Nur suruh tumpang tidur dekat rumah dia. Esok pagi driver dia hantarkan Kak Nur balik. Itu yang mengantuk sangat tadi sampai tertumbang di depan rumah tu." Akhirnya, Nur berjaya mencipta alasan.
"Oh jadi betullah apa yang Aery bagitahu. Lega hati ibu. Ni masa dekat sana Aery jaga hang tak?" tanya Puan Siti.
Lambat-lambat Nur mengangguk, terpaksa berbohong lagi. Sedangkan lelaki itu sendiri yang telah memusnahkan hidupnya semalam.
"Baguslah budak Aery tu. Baguslah dia betul-betul dah berubah. Hm, hang mesti lapar kan? Tadi Mak Bedah ada hantarkan nasi dengan lauk-pauk untuk kita sekeluarga. Baik betul diorang tu. Ha, hang nak makan? Nanti ibu suruh Tia bawakkan untuk hang. Nak tak?" Cecehan berjela Puan Siti hanya dijawab gelengan oleh Nur, tanda perutnya masih tiada selera untuk makan.
Walhal, sejak semalam dia tidak menjamah apa satu pun. Yang ada hanyalah air kencing iblis itu yang dituang ke mulutnya oleh manusia kejam.
Nafas Puan Siti dihela seketika sebelum bersuara.
"Tak apalah. Nanti kalau lapar bagitahu ibu atau Tia. Adam pun boleh," pesan Puan Siti.
"Baik, bu..." Meleret nada balasan dari Nur membuatkan Puan Siti tersenyum nipis.
Tidak lama kemudian Puan Siti meminta diri untuk keluar dari bilik itu kerana masih ada kerja rumah yang tergendala menggunakan kerusi rodanya itu.
Tinggal Fathia dengan Adam menemani kakaknya.
Adam memanjat katil dan melabuhkan duduknya di sisi Nur. Bahu Nur dipicit-picit. Tersengih Nur dengan keletah adiknya yang bongsu itu.
"Kak Nur... bila Abang Aery nak datang lagi macam selalu?" soal Adam membuatkan senyuman Nur termati serta-merta.
Nama itu lagi disebut. Sepenggal nama Aery yang telah meragut seluruh kebahagiaannya bahkan maruahnya juga telah dicarik-carik bagaikan mencarik kain hingga rabak dan dicampak buang. Itu yang Nur rasai kini. Namun rasa itu hanya tersemat di hati. Tidak pula terluah oleh perkataan.
"Er... Kak Nur nak mandi dulu. Nak makan. Lapar. Korang tunggu dekat ruang tamu okey. Nanti Kak Nur sertai korang." Nur mengubah topik perbualan mereka.
"Okey Kak Nur!" balas kedua-dua beradik itu dan menurut arahan kakak mereka.
Nur hanya menghantar pemergian mereka dengan lirikan matanya sahaja sebelum memeluk lutut melepaskan kesakitan yang membelenggu jiwanya di situ sendirian.
🐺🐺🐺
SMK DATO'AHMAD.
SEPANJANG hari itu Nur dipandang serong oleh sesetengah pelajar membuatkan dirinya kehairanan.
"Ish perempuan jijik! Tak malu datang sekolah."
"Ha'ah. Dahlah busuk lepas tu rupa pun tak ada. Tapi perangai mengalahkan iblis. Dasar jalang!" Mereka bersosek-sosek mengutuk seseorang.
Tetapi Nur tahu mereka tujukan pada dirinya hinggalah dia dipanggil oleh pengetua sekolah.
Dalam keadaan tertanya-tanya, Nur naik ke bilik pengetua yang terletak di tingkat dua bangunan sekolah yang di blok tengah.
Kini Nur berdiri di hadapan Pengetua Hamdan dalam keadaan tertunduk.
"Nur, sila duduk," jemput lelaki itu membuatkan Nur akur dengan arahannya.
Nur melabuhkan duduknya di hadapan pengetua.
"Ada apa cikgu panggil saya?" tanya Nur tidak sabar ingin tahu mengapa dirinya dipanggil ke situ.
"Apa dah jadi dengan kamu ni Nur? Lepas satu, satu! Hari tu kes buli. Dah settle. Eh ni kes lain pulak timbul. Tapi kali ini kamu sendiri yang dah membusukkan nama sekolah ni, Nur. Saya tak boleh biarkan! Saya malu bila semua pihak hubungi saya bertanyakan perihal kamu. Apa ni, Nur?" bahas Pengetua Hamdan membuatkan Nur terpinga-pinga tidak mengerti apa maksud lelaki itu.
"Apa yang cikgu maksudkan? Sa... saya tak faham. Apa yang saya dah buat sampai membusukkan nama sekolah?" soal Nur mula rasa gelisah.
Pengetua Hamdan meluahkan sebuah keluhan berat.
"Tak usahlah kamu nak menegakkan benang yang basah, Nur. Kamu tahu tak apa yang kamu buat tu jauh lebih besar dosanya dari membuli? Haram hukumnya Nur. Di mana letaknya maruah kamu? Video lucah kamu tersebar meluas. Habis satu sekolah dah tahu. Bahkan orang luar jugak dah tahu. Kalau tidak, masakan mereka menghubungi saya hanya kerana saya pengetua sekolah ni. Perbuatan kamu tu dah menjatuhkan nama baik sekolah ni, Nur. Kamu tak kasihankan ibu kamu ke?" Penerangan Pengetua Hamdan telah mengejutkan Nur bagaikan halilintar membelah bumi. Perkataan ibu yang ditekankan oleh pengetua itu benar-benar membuatkan Nur lemah.
"A... apa? Video... lu... lucah?" Tergagap-gagap Nur hendak bersuara dek kerana terkejut dengan berita itu.
Respons Nur membuatkan pengetua itu pelik.
"Haih, takkan kamu tak tahu yang video kamu dah tersebar? Oh ya, saya lupa. Kamu tak ada telefon. Tapi walau bagaimana sekalipun, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak boleh terima pelajar bermasalah seperti kamu di dalam sekolah ni lagi. Sedangkan pelajar terpintar di sekolah ni pun saya boleh buang hanya kerana kes buli. Inikan pula kes berat macam ni. Video lucah tersebar. Dan orang di dalam video tu pulak terang-terang muka kamu dengan beberapa orang lelaki. Ya Allah. Astaghfirullahal-a'zim. Rosak... rosak..." Tergeleng kepala Pengetua Hamdan dibuatnya. Runsing dengan permasalahan pelajar-pelajarnya.
Bergetar bibir Nur sebak campur malu dengan apa yang terjadi. Terasa bagaikan maruahnya dihenyak-henyak.
"Ya Allah. Cikgu, apa yang jadi tu tak seperti apa yang cikgu fikirkan." Nur cuba menjelaskan perkara sebenar.
"Dah terlambat Nur. Perkara dah pun terjadi. Ini surat rasmi dari pihak sekolah. Kamu dibuang sekolah mulai hari ni. Kamu fikirkanlah cara macam mana untuk hapuskan video tu dan selesaikan segera. Kasihan ibu kamu tu," kata Pengetua Hamdan tidak mahu mendengar penerangan dari Nur. Video itu sudah cukup menceritakan segalanya.
"Cikgu... tolonglah percayakan saya. Semua ni telah dirancang sejak awal. Saya tak bersalah. Tolonglah jangan buang saya. Ini demi masa depan saya," pujuk Nur berharap pengetua itu sudi memberi peluang sekali lagi untuk dirinya.
Pengetua Hamdan langsung tidak memandang wajah Nur kerana malu. Malu apabila memiliki seorang pelajar yang gila seks pada pemikirannya.
Nur yang menyedari bahawa tiada lagi peluang untuk dirinya menjelaskan perkara sebenar mula tertunduk lemah. Dalam keadaan sayu menghimpit sanubarinya, Nur bingkas keluar dari situ dalam keadaan menangis malu.
Patutlah semua orang pandang serong padanya tadi. Ketika dia masuk ke kelas, semua pelajar menjeling dengan riak jijik terhadap diri gadis remaja itu. Begitu kerdil dan hina Nur pada pandangan mereka. Sedih sungguh terluka.
"Hish, geli aku bila ada pelajar kelas menjual maruah diri dekat luar. Pergh! Memalukan kaum je. Tsk tsk tsk!" sindiran mereka telah menambahkan lagi kekecewaan di hati Nur.
Tanpa menunggu lama, Nur mencapai beg sekolahnya dan dibawa keluar dari situ dengan segera.
Ketika dia berjalan di lorong belakang sekolah dalam keadaan tersedu-sedan menangis, ada suara-suara datang menyinggah di telinganya membuatkan Nur tercari-cari arah suara itu.
Kelihatan Fatin dan rakan-rakan sedang mengekorinya dari belakang.
"Hai busuk!" sapa Fatin sambil tersengih jahat.
Nur mencebik geram. Geram kerana mereka telah menganiaya dirinya hingga menjatuhkan maruah gadis remaja itu.
"Mika semua binatang! Mika dah hancurkan hidup aku. Puas hati!" herdik Nur tiada lagi rasa gentar. Yang ada hanya rasa amarah yang meluap-luap.
"Wo! Wo! Kau herdik kitorang, minah busuk ni. How dare you devil?" Tubuh Nur ditolak kasàr oleh Ria hingga jatuh terhenyak ke atas tanah.
"Apa ni?" Nur marah lantas ingin bangkit semula. Namun mereka lebih pantas menghalang.
Tubuh Nur disepak terajang oleh mereka hingga lembik di situ.
"Hei bodoh! Kau tu bukan lawan kamilah. Jadi jangan nak berlagak jadi hero sangat. Kau tu dah rosak. Memang patut pun si busuk bodoh dan lembab macam kau ni kena tipu. Sekarang adil, kan? Satu sama. Kitorang dibuang sekolah disebabkan kau! And now, kau dibuang sekolah disebabkan kami. Fair, kan?" seranah Arman tanpa riak simpati.
Hati Nur diruntun kepiluan yang begitu menekan mendengarkan sumpah-seranah dari lelaki itu.
Fatin bertinggung menghadap Nur. Kedua-dua rahang gadis remaja yang berkedudukan dalam keadaan terlentang di atas jalan tanah itu, dicengkam kasar.
"Lain kali beringat, jangan nak cari pasal dengan aku atau kawan-kawan aku. Inilah padahnya. Dan sekarang aku dah puas sebab dah hancurkan hidup hang betina busuk! Dan aku puas sebab Aery tinggalkan hang macam tu je. Untuk pengetahuan hang, Aery tu tunang aku. Keluarga dia dengan keluarga aku dah satukan kami secara rahsia. Dan lepas habis belajar mereka rancang nak kahwinkan kami berdua!" Fatin berjeda seketika.
"Tapi, hang! Hang dah hancurkan masa depan kami. Hang penyebab kami dibuang sekolah! Hang memang layak dilayan macam sampah. Sekarang ni diri hang ni tak ubah ibarat sampah masyarakat. Pergi ke sini orang menjuih. Pergi ke sana orang benci dan hang pergilah ke pelosok dunia mana sekalipun, tak ada siapa yang akan pedulikan hang lagi. Puas hati aku hahaha!" Ketawa Fatin dan disambut rakan-rakannya itu bagaikan belati menghujam jantung Nur.
"Hoi, dah dahlah tu. Jom blah. Kang orang nampak, habislah kita." Ria yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati mula bersuara mengajak mengajak mereka beredar sebelum terlihat orang.
Ptuih!
Sempat mereka meludah pada muka Nur sebelum beredar meninggalkan gadis remaja itu tersadai lemah di situ seorang diri.
Namun dalam keadaan pandangan yang kabur dan lemah, anak matanya dapat menangkap bayangan seseorang sedang perhatikannya dari jauh. Seseorang yang sangat dia kenali. Siapa?
Tidak lama begitu akhirnya pandangan Nur menjadi kelam.
🐺🐺🐺
DAM!
Dentuman guruh bergema di langit telah mengejutkan Nur dari pitamnya.
Kelopak matanya dibuka dan mula meliar ke sekeliling. Nur spontan terbangun duduk apabila menyedari keberadaannya kini.
"Er... adeh!" Nur menyeringai sakit apabila terasa menyengat pada tubuhnya kesan disepak terajang oleh Fatin dan rakan-rakan si pembuli tadi.
Dam!
Berdegar-degar tagar berlawanan di langit menggegarkan alam hingga mampu meluruhkan jantung penduduk bumi yang mendengarnya termasuklah diri Nur sendiri yang kini sudah tersadai di atas jalan tanah setelah tersedar dari pitamnya tadi.
Kilat yang tidak lelah menyambar bumi membuatkan Nur segera bangkit dalam keadaan menggigil lemah berniat mahu segera pergi sebelum hujan turun.
Perlahan-lahan dia berjalan pulang sendirian ke stesen bas.
🐺🐺🐺
KAMPUNG BUKIT SAPI
SETIBANYA Nur di rumah, Nur mendapati habis pakaiannya dicampak buang keluar rumah dalam hujan lebat.
Nur menghentikan langkah berhadapan dengan pakaian yang berselerakan di atas jalan tanah itu.
Tubuhnya dibongkokkan sedikit dan mengutip beberapa helai pakaian sendiri yang terdampar di atas jalan.
Setelah habis semua dikutip, Nur melangkah ke muka pintu dan diketuk berkali-kali. Di dalam hatinya sudah dapat mengagak. Tentu ibunya telah mendapat perkhabaran tentang video yang menular itu.
"Ibu! Bukak pintu ni. Nur sejuk. Ibu!" jerit Nur tanpa jemu. Dia terpaksa menjerit kerana mahu melawan arus hujan yang kuat dan mampu menenggelamkan suaranya itu.
Tika itu tubuh Nur lencun disirami air hujan yang bagaikan tidak mahu berhenti.
"Ibu! Bukak pintu. Ibu! Nur nak masuk ibu. Nur sejuk." Nur tidak berputus asa apabila mendapati jeritannya tiada sahutan dari ibu atau adik-adiknya.
"Berhambus! Aku tak nak tengok muka hang lagi. Hang dah mencalit arang dekat muka aku, Nur. Aku malu orang kampung sindir-sindir aku pasal video lucah hang yang viral tu. Hang tipu aku selama ni Nur. Rupanya anak aku pergi menjual maruah diri dalam diam. Malu! Aku malu bila aku jadi bahan tohmahan orang. Pergi dari rumah ni. Pergi!" Kedengaran suara Puan Siti mengusir Nur dari dalam rumah membuatkan gadis remaja itu terkedu hingga jatuh terduduk.
Lemah lutut Nur mendengar kata-kata ibunya tadi. Sungguh dia tak menyangka ini yang terjadi.
"Ibu... Nur tak salah. Video tu... video tu tak seperti apa yang ibu tengok. Semua tu fitnah ibu. Nur teraniaya..." Dalam sendu, Nur menjelaskan juga perkara sebenar. Berharap wanita itu mempercayai dirinya.
Sepi. Tiada lagi suara ibunya dari dalam.
"Ibu... buka pintu. Mana Nur nak pergi malam-malam begini? Ibu..." rayu Nur. Kedengaran tangis halus diselang-seli dengan bunyi desiran hujan menyimbah bumi. Sungguh sayu detik itu seakan memahami perasaan Nur.
Nur mengetuk pintu berkali-kali mahu meraih kepercayaan ibunya. Malangnya pintu itu langsung tidak dibuka. Secarik harapan duka telah menjerat dirinya.
Lama menangis teresak di situ dan akhirnya dengan lemah Nur melangkah pergi membawa hati yang lara.
Dalam kesejukan Nur meredah hujan. Dia tiada hala tuju hingga dia tidak sedar keberadaan dirinya tika itu.
Perjalanan Nur yang sungguh tidak bermaya itu membuatkan tubuh itu sekejap-sekejap terjatuh ke tanah dan bangkit semula. Kemudian jatuh lagi dan bangkit lagi hinggalah akhirnya Nur jatuh terlentang di tengah hutan.
Dalam keadaan lemah dan terkhayal sendiri bersama hati yang membungkam, dengan tidak semena-mena Nur terasa tubuhnya seakan terapung dan melayang-layang ke udara serta dibawa ke suatu tempat.
Sejurus kemudian, tubuh genit itu terasa mendarat dengan perlahan di atas sesuatu yang begitu sejuk. Tika itu Nur separuh sedar.
Dalam keadaan mamai, Nur dapat merasakan ada sesuatu yang sedang memerhatikannya dari dekat. Renungan tajam itu memiliki anak mata merah bersilau.
Pada waktu yang sama, terasa ada sesuatu berbulu tebal berwarna putih menjilat pipi Nur lama hingga dia tersedar sepenuhnya.
Kelopak matanya terbuka luas. Sebuah bilik berdindingkan daun pokok nipah. Nur bangun duduk. Cemas. Tertanya-tanya keberadaannya. Takut. Resah menggigil menjadi satu rasa. Makhluk berbulu putih bermata merah bersilau itu juga sudah lesap. Bayangannya juga tidak kelihatan.
"A... ku aku kat mana ni?" Terketar-ketar nada Nur disaat itu dek kerana gerun dengan tempat yang begitu asing baginya.
"Hang dekat rumah tok!" jawab seseorang memeranjatkan Nur hingga terkesot tubuhnya ke penjuru dinding daun nipah tercari-cari kelibat tuan empunya suara.
"Siapa hang?" tanya Nur takut-takut berani. Bebola matanya meliar ke serata sudut. Tiada seorang pun yang muncul.
"Aku Tok Batin. Aku yang selamatkan hang tadi dari pengsan dekat tengah hutan tu," maklum suara itu lalu memunculkan diri membuatkan Nur terkaku. Siapakah?
sayang_manja78
annecayunk
RohanahDandai
Junejin-07
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top