BAB 6

BUNYI adzan berkumandang dari luar rumah menerpa telinga. Aku terpisat-pisat membuka mata. Jam di dinding, aku lirik sekilas. Sudah maghrib rupanya. Tak sangka lama juga aku tidur. Pulang sahaja dari pejabat tadi, aku terus masuk bilik, bersihkan diri dan tidur. Malas fikir apa-apa dah. Menyerabutkan otak aje. Lebih baik aku masuk ke alam mimpi. Tenang sikit.

"Oi anak dara! Kau nak membuta sampai bila? Bangun lah. Dah maghrib!"

Aku mengeluh kuat. Kalau dah jenis tekak melalak macam tu siapa lagi kalau bukan abang aku. Si Zarul tu memang anak tekak dia terkoyak. Jahit pun tak jadi jugak. Memekak aje kerjanya.

"Bising la bang. Orang dah bangun la." Aku membalas geram.

"Dah bangun tu, keluar la. Kejap lagi abang nak masuk kerja. Syif malam. Nanti kau simpan sikit rumah ni. Jangan bersepah dan jangan jadi pemalas. Faham?"

"Iya, iya. Yaya tahu lah. Bising aje kerjanya." Aku pandang ke arah pintu yang tertutup itu buat seketika.

Suara si Zarul tu walaupun kat luar bilik, tetap aku rasa macam suara gergasi tau. Sakit telinga.

Malas nak fikir, aku angkat kaki turun dari katil. Tuala dan sepersalinan pakaian aku ambil bersama. Sejurus itu, aku terus meluru ke arah pintu bilik.

Pulas sahaja tombol, memang pedih mata aku dibuatnya. Apa lagi puncanya kalau bukan muka buruk Zarul yang tengah pandang aku dengan muka acah garangnya itu. Eleh, cekak pinggang konon. Karang aku terajang baru tahu.

"Tepi lah, orang nak mandi ni." Aku tolak bahu Zarul ke tepi. Namun tubuhnya yang sasa itu memang tak izinkan dia berganjak. Haish susah dapat abang yang tak reti bagi kerjasama ni.

"Sebelum kau mandi, abang nak kau cakap abang handsome." Zarul berwajah serius. Tapi ayat tu mintak penumbuk.

Jujur, sekarang ni aku rasa nak gelak besar. Abang aku macam tiber ni asal? Tertelan pil sawan ke pil mental? Nak cakap dia handsome? Memang tak lah. Muka tempurung kelapa macam ni siapa je nak puji melainkan orang buta?

"Abang mabuk ke?"

Pak!

Baru sahaja aku bertanya, kepalaku terasa bagai nak pecah. Zarul ni memang main kasar. Dia ingat ini kepala patung ke nak main hempuk-hempuk. Kalau perlahan tu tak apa, tapi ni dia hempuk betul-betul.

"Sakit la bang. Ingat orang ni kepala besi ke?" Aku gosok kepala yang terasa sedikit sengal.

"Dah kau tak pandai jaga mulut, itu lah makan dia. Aku ni masih ada iman. Tak adanya nak mabuk ke apa."

"Abang tu yang buang tabiat. Tiba-tiba je nak suruh orang puji. Asal?" Aku kuatkan sedikit suara. Geram.

Zarul yang mendengar suaraku, sudah berubah muka. Merah padam macam udang terbakar. Maghoh ler tu! Tunjuk bekeng hekhek!

"Oh kau ingat abang tak tahu. Kau kutuk abang dalam hati kau kan? Tak muka hodoh, kau cakap muka aku ni buruk. Kan?"

Aik! Luas mana lubang telinga abang aku ni. Takkan lah aku kutuk dia dalam hati pun dia boleh dengar? Fuh! Aku gerenti dia ni pernah berguru dengan nujum Pak Belalang.

"Dah kau tak payah nak buat muka terherot sana terherot sini macam tu. Abang kenal kau bukan sehari dua tau, Yaya." Mak Aih dia sambung lagi. Sumpah bingit telinga aku. Kalau setakat sambung cakap tak apa tapi ni siap kasi sekali dengan pakej...

Buk!

"Auch sakit la bang!"

Haa dengan pakej penumbuk kat bahu aku. Nasib baik tak kuat. Kalau tak, boleh patah tulang bahu aku ni.

"Dah pergi mandi. Busuk. Bau kambing!" kutuk Zarul berdas-das.

"Iyalah nak pergi la ni. Heh! Badan busuk tak apa, jangan hati yang busuk sudah. Macam abang."

Pak!

Serentak itu, aku terus hadiahkan satu sepakan di pinggang Zarul. Kemudian aku terus berlari ke bilik air. Sempat aku dengar Zarul berteriak menjerit nama aku. Sekali gus marahkan aku. Tapi aku buat dek je. Padan muka dia.









"ABANG? Tak gerak lagi ke?"

Aku keluar dari bilik air dengan muka yang berkerut saat melihat Zarul sedang menghidang makanan di atas meja. Rambut yang basah, aku lap dengan tuala. Baju kotor, aku masukkan ke dalam bakul di tepi washing machine.

Sememangnya, aku sudah siap berpakaian. Memang beginilah aku dididik oleh arwah Tok Mat dan abang sedari kecil. Mereka melarang aku berkemban usai mandi. Aku masih ingat pesan arwah Tok Mat. Katanya, aku perempuan. Tak elok berkemban. Tambahan lagi rumah ini hanya ada satu bilik air sahaja. Dan aku juga tinggal bersama dengan seorang abang. Usu lusa, kita tak tahu apa yang akan jadi.

"Belum. Abang gerak kejap lagi. Kawan abang datang ambil. Malas nak drive." Zarul membalas tenang. Fokusnya masih ke arah makanan.

Aku yang melihat semua itu, mula terasa berselera. Siakap tiga rasa. Fuh sedap bhai. Perut pun dah mula berkeroncong dah ni. Memang kena isi lah. Kalau tak, rugi.

"Wah, sedapnya abang masak." Aku mula membuat muka manis, berhati-hati mendekati Zarul.

Perlahan-lahan, aku menjinjing tumit. Bahu Zarul aku urut. Dan memang jelas, wajah abang aku tu dah berubah menyampah. Tak sampai sesaat, tangan aku ditepis kasar.

"Bukan untuk kau sebenarnya, tapi untuk aku. Dah alang-alang dia bagi lauk lebih, abang hidanglah untuk kau sekali."

Eh? Aku dengar sesuatu tadi? Dia? Haa siapa 'dia'?  Sekali dengar macam orang istimewa je untuk abang. Tapi dua kali dengar, macam terlebih istimewa pulak ni. Oh yes, aku tahu siapa, aku tahu siapa!

"Kak Janna ek bagi? Amboi, dia tak nak abang lapar la tu," usikku.

Zarul nampak macam malu-malu kucing. Tapi dia pandai cover. Bahananya, kepala aku hampir dilukunya. Nasib baik aku sempat mengelak.

"Jangan nak mengarut. Tadi dia masak lebih sebab family dia datang. Dia kongsi la sikit untuk kita. Hidup berjiran, kan. Memang ini adabnya."

Amboi backup awek. Tapi betul la apa Zarul cakap tu. Sedikit sebanyak, boleh diambil ajaran. Zarul memang selalu begitu. Dia sentiasa menasihati aku dalam bicaranya. Cuma yang sedar tak sedar tu, diri aku sendiri.

"Untung la abang. Ada buah hati pandai masak. Anak orang kaya, rajin, pandai berdikari, cantik, sopan, ayu. Wah memang cukup pakej la ni nak jadi kakak ipar." Aku tersenyum nakal. Mataku terkenyit-kenyit pandang Zarul yang dah mula buat muka menyampah.

"Amboi, cakap orang. Kau dengan Raif macam mana? Masih nak diam, pura-pura berkawan sedangkan dalam hati masing-masing ada taman."

Kalau tadi aku yang galak mengusik, kini giliran Zarul pula memberi paku buah keras. Namun ternyata, gurauan itu tidak membuahkan tawa di bibir aku. Bahananya, kesakitan di jiwa yang aku harus tanggung.

"Abang... kita dah stop dalam kereta tadi, kan? Sudah lah bang. Yaya tak suka kalau kita bercakap pasal hal ni lagi. Berapa kali Yaya nak ulang. Yaya dengan Raif, hanya kawan. Tak lebih dari itu," tegasku.

'Kalau pun ada cinta, biar Yaya seorang je yang bertepuk sebelah tangan,' sambungku di dalam hati.

Biarlah ia tersimpan di situ. Biar ia tidak terluah. Aku tidak mahu menambah luka di sanubariku lagi.

"Yaya... abang minta maaf. Abang tak sengaja nak mulakan pasal tu." Zarul nampak gelisah dengan perubahan aku. Serba salah dia dibuatnya. Namun apakan daya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak bicara buruk padahnya.

Aku tersenyum kelat. "Tak apa. Yaya dah kalis. Dah lali dengan semuanya. Persahabatan kami memang terlalu akrab sampai Yaya dah tak hairan kalau ada yang salah anggap tentang kami. I'm ready to it. Always." Nadaku semakin layu. Pahit senyuman tergambar di bibir.

"Tak Yaya. Abang..."

Pin! Pin! Pin!

Tak sempat Zarul mahu bersuara lanjut, bunyi hon kereta kedengaran dari luar rumah. Tak perlu diteka, dah tahu siapa. Tentu kawan abang Zarul yang datang ambil dia ke tempat kerja.

"Abang kena gerak sekarang. Jaga diri elok-elok kat rumah. Apa-apa hal call abang terus." Zarul nampak agak kalut sedikit.

Aku angguk kepala dan cuba bantu Zarul merapikan dirinya. Beg lusuh Zarul yang berada di atas kerusi, aku ambil lalu aku sangkutkan pada bahunya.

"Abang tak sempat makan ke ni? Yaya tolong bungkuskan ya?"

Kegusaran mula bertamu tiba. Bimbang juga aku dengan Zarul. Kasihan dia. Penat-penat hidang, tak sempat makan pula. Selalu aje dia berkorban untuk aku.

"No need. Abang dah makan dah. Ni abang abang hidang untuk kau. Makan kenyang-kenyang. Kasi gemuk. Abang tak nak adik abang kurus macam lidi."

Zarul hulur tangannya untuk aku salami. Dan aku menurut perintah.

"Abang pergi dulu. Jangan lupa kunci pintu kejap lagi."

"Ya, bang. Hati-hati kerja."

Zarul angguk sekilas sebelum dia angkat kaki keluar dari dapur. Aku hanya hantar langkahnya dengan pandangan. Abang, abang... tanpanya bagaimana lah aku nak teruskan hidup.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top