BAB 2

ZARUL memberhentikan kereta di hadapan Gallery milik Raif. Dia memandang wajahku dengan senyuman yang sukar untuk aku tafsir. Topi sudu di atas kepalaku, Zarul betulkan sedikit. Aku tersengih menampakkan gigi saat dimanjakan oleh si abang sebegitu rupa.

Dalam nakalnya Zarul, dia tetap sahaja berpegang pada tanggungjawabnya sebagai seorang abang. Usikannya untuk aku selama ini juga adalah salah satu cara yang digunakannya untuk menunjukkan kasih sayang seorang abang terhadap adiknya ini.

"Kerja elok-elok. Kalau ada orang buat hal dengan kau, bagitahu abang. Abang tibai dia cukup-cukup."

Tiap-tiap pagi. Haa memang itulah pesanan yang aku dengar daripada Zarul. Sejak zaman sekolah lagi, ayat tu memang dah cukup sebati dengan diri aku setiap kali nak keluar kereta atau rumah.

"Alright, abang. I keep your words." Aku menabik tangan. Tersenyum lebar memandang Zarul yang sedang mencebik bibir.

"Amboi nak speaking bagai pulak dia. Duit dah ada?" Zarul tanya terus. Tiada dalih-dalih lagi.

Aku senyum bersama anggukan, aku beri makna 'ya'. Walaupun hakikatnya duit yang aku ada sekarang ini memang tidak cukup makan, tapi aku tetap anggukkan kepala. Aku tak nak menyusahkan abang pada hari pertama aku mula bekerja. Kerana aku tahu, abang rela berkorban segala-galanya untuk aku.

"Betul ke ni? Mana kau dapat duit?" Zarul bertanya ala-ala abang polis tengah buat soal siasat gitew.

"Ada la. Duit yang abang kasi Yaya sebelum ni, Yaya simpan sikit-sikit. Sampai waktu, Yaya guna."

"Tipu, Yaya."

Aku mengerutkan kening. Abang aku ni dah macam ahli nujum. Semua benda dia tahu. Tetapi, aku tetap tak nak mengaku. Zarul dah banyak berhabis duit untuk aku.

"Betul, bang. Yaya dah ada duit."

"Abang tak pernah ajar kau menipu."

"Yaya tak tipu. Yaya cakap betul."

"Enough Yaya, enough!"

Serentak itu, tote bag kelabu yang berada di atas pehaku, Zarul rampas serta-merta. Isi di dalam tote bag itu digeledahnya sebelum tangan kekar Zarul mengeluarkan purse lusuh aku. Tidak tunggu lagi, dia terus melihat isi di dalamnya. Zahir pada stigmaku, rahang Zarul kelihatan bergerak-gerak dari dalam mulutnya.

"Dua ringgit?" Sinis Zarul menyoal, memberi maksud terhadap duit yang ada di dalam purse aku sekarang.

Aku senyap tanpa kata. Sengihan kerang busuk mula menghiasi bibir.

"Tak cukup, dik," sambung Zarul lagi. Nadanya lembut tetapi suaranya keras dan serius. Ya, itu memang jenis Zarul. Kalau dia panggil aku adik, maknanya dia betul-betul memaksudkan kata-katanya. Itu type abang aku.

"Ni ambik ni." Zarul menyeluk poket. Wallet hitam dikeluarkan daripada poket seluarnya.

Sewaktu Zarul membuka wallet itu, aku sempat melihat isi di dalamnya. Ada not 10 satu, not 5 dua. Bermakna Zarul hanya ada 20 ringgit sahaja. Ini mesti sebab dia berhabis duit beli barang-barang kerja aku termasuklah sandal dan tote bag yang aku guna sekarang ni. Demikian itu, mata aku terbuntang luas saat Zarul pindahkan RM 15 ke dalam purse aku. Sebelum meletakkan kembali purse itu ke dalam tote bag dan dihulurkan kepadaku.

"Abang.... apa ni? Habis abang... nak makan apa?" Tergagap-gagap aku bertanya. Huluran tote bag dari Zarul aku pandang dengan mata yang membulat besar. Tidak percaya!

"Tak payah fikir pasal aku. Pandai la aku cari makan nanti. Lagipun aku kerja kat kedai makan. Banyak makanan kat situ."

"Abang, Yaya tahu... nak makan kat situ pun kena bayar jugak. Mana abang nak cekau duit?"

Zarul tidak menjawab. Sebaliknya, Zarul pegang telapak tangan aku dia letakkan tote bag aku di atas tangan. Tali beg sandang itu tersangkut kemas di antara celahan ibu jariku.

"Kau dah lewat, Yaya. Salam." Zarul hulur tangan dia.

Nak tak nak, aku terpaksa akur. Tangan Zarul, aku salam dengan penuh hormat. Aku cium kekura tangannya dan juga kedua-dua belah pipi Zarul.

Zarul juga turut melakukan hal yang sama. Pipi aku, dia cium dengan penuh kasih. Kepalaku yang ditutupi topi sudu, dia usap beberapa kali. Aku hanya tersenyum senang saat dimanjakan seperti itu.

"Kerja elok-elok. Take care, dik," pesan Zarul.

"Abang jugak. Assalamualaikum," balasku sebelum melangkah keluar dari perut kereta. Sempat aku dengar, Zarul menjawab salamku perlahan.

Sungguh, aku sangat beruntung mempunyai seorang abang seperti Zarul. Aku sentiasa ingat semua pengorbanan besarnya. Dahulu, kami tinggal bersama seorang Pak Cik tua yang aku gelar dia sebagai Tok Mat di rumah yang aku tinggal sekarang ini.

Tetapi, selepas Tok Mat meninggal, aku hanya tinggal berdua dengan Zarul. Zarul rela berhenti sekolah demi menjaga aku. Dari usia 15 tahun lagi, dia sudah melakukan pelbagai kerja demi menyara hidupku. Nasib baik jugalah, Tok Mat sempat wasiatkan rumah yang kami tinggal sekarang ini kepada Zarul sebelum Tok Mat pergi mengahadap ilahi.

Sungguh, aku tidak akan lupa walau sesaat pun detik getir itu. Zarul rela berkorban segala kudrat dan tenaga demi membesarkan aku. Pernah aku terfikir, di manakah ibu bapaku? Kenapa arwah Tok Mat yang jaga kami? Dan aku juga tahu, arwah Tok Mat, langsung tiada sebarang pertalian darah dengan kami.

Sehingga kini, aku sentiasa tertanya-tanya, kenapa begitu sukar untuk aku mengetahui tentang silam keluarga kami? Kenapa begitu sukar untuk aku melihat wajah sebenar ibu bapaku walau hanya di dalam sekeping gambar? Dan kenapa setiap kali aku bertanya, abang Zarul akan menengking aku? Seolah-olah, dia begitu membenci ibu dan ayah kandung kami. Kenapa?

Namun, kendatipun begitu... aku tahu pasti kisah silam keluarga kami, berakhir dengan perkara yang tidak indah. Pasti ada pahit, ada perit dan ada kaca yang abang tidak mahu aku rasa. Ya Tuhan, kau maha adil. Kau beri kami ujian, namun kau tetap juga beri kami pelita untuk menyuluh jalan hidup kami. Dan yang membuatkan aku berterima kasih sangat... kau beri aku seorang abang yang begitu penyayang.

Abang... Yaya nak abang tahu yang Yaya sangat sayangkan abang. Abang ibu Yaya, abang ayah Yaya.

Terima kasih untuk segalanya, abang.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top