BAB 6

AliYa
-----------------
"Satu Iris, Dua Pengguna"
.
.
.

"WOAH!" Ali mengurut dada apabila berjaya menstabilkan diri setelah hampir terjatuh tadi. Sudahlah mahu lambat ke sekolah, sempat pula mahu rebah tadi.

   Nasib tiada orang melihat, kalau tidak... buat malu sahaja. Huhuhu...

   "Alamak. Alamak. Alamak. Alamak. Alamaaak." Ali mengulang katanya dengan laju. Seiring dengan kelajuan kakinya membelok ke lorong koridor yang merupakan jalan pintas ke sekolah.

   "Meow..." Kalut Comot mengejar Ali daripada belakang. Itulah... orang sudah kejut, tidak mahu bangun.

   "Kenapa kau tak kejut aku, Comot?" Ali bertanya kepada kucingnya sambil sibuk berlari.

   Comot menayangkan muka menoya. Kau tengok itu, sempat lagi salahkan dia.

   Sedang Ali cemas berlari, dia langsung tidak tersedar seekor anjing berwarna coklat keorenan sedang meniarap tidur di situ. Ali sudah kalut teramat, tiada masa untuk menoleh ke kanan mahupun ke kiri. Sedar-sedar sahaja, dia terasa tertekan sesuatu menggunakan skuternya.

   "Auuu!" Ali tersentak apabila terdengar gongongan anjing yang kuat dari belakangnya. Takut-takut Ali memaling ke belakang. "Alamak..."

   Anjing itu bangun dengan wajah yang garang ditayangkan. Macam ah long tepi jalan pun ada, cuma ini versi haiwan. Anjing itu mengeluarkan kukunya, bersedia untuk mengejar Ali.

   Ali tidak menunggu terlalu lama. Tidak mungkin mahu menunggu segala isi dagingnya diratah anjing disebut. Mestilah dia lari! Tidak mungkin mahu menari inang pula.

   "Meow!" Comot mengejar acara lumba lari antara anjing itu dengan Ali. Semasa membuka langkah, Comot sempat menghalimunankan dirinya.

   Berasa anjing itu semakin dekat dengannya, Ali cepat-cepat memanjat ke atas bekas besi sampah. Bukan lompat ala superhero tetapi naik pun terkial-kial. Dengan sekali skuter bawa ke atas.

   "Maaflah sebab terlenyekkan ekor kau... tapi aku kena pergi sekolah ini. Kau tak kesian dekat aku ke? Lagipun penat berlari awal pagi ini!" Ali membebel panjang pada anjing tersebut. Macamlah anjing itu memahami.

   Anjing itu tidak mempedulikan bicara Ali, sebaliknya pergi melompat ke arah bekas sampah yang besar itu. Terus panik Ali lompat ke bawah bersama skuternya. Mahu terjatuh pun.

   "Eh, eh!" Ali menepis seekor lipas yang kebetulan melekat di seluar menggunakan roda skuternya. Orang tengah kena kejar anjing, sempat dia lagi duduk dekat kaki orang.

   "Ah!" Ali memecut ke hadapan tatkala anjing itu melompat ke arahnya. Malang buat anjing itu, tidak fasal-fasal tercium dinding.

   "Woof! Woof!" Anjing itu merenung Ali dengan garang, tidak sabar mahu membela nasib ekornya yang dipijak tadi. Anjing itu bergerak laju ke arah Ali yang sudah naik ke atas kotak yang disusun di tepi dinding koridor.

   "Haaa... apa anjing ini nak?" Ali sudah merengek kecil melihat anjing itu langsung tidak memutus mengejarnya. Terpijak ekor dia sahaja kot. Tidak mungkin sampai hendak mengejarnya macam The Flash.

   Anjing itu berundur ke belakang sebelum merempuh kotak yang dinaiki Ali dengan kuat. Ali kelam-kabut menstabilkan tubuhnya daripada terjatuh. Terkena bulu anjing itu, tidak fasal-fasal kena samak tubuh pula.

   Anjing itu melangkah beberapa langkah ke belakang. Belum sempat dia menyondol kotak itu lagi, Comot mematikan mod penyamarannya. Dari sebelah kotak yang Ali naiki, Comot melompat ke arah anjing itu.

   "Auuu!" Anjing itu mula menjerit kesakitan apabila tengkuknya digigit oleh Comot. Anjing itu meronta tidak tentu arah sehingga Comot tercampak kuat ke dinding.

   Ali membuntangkan matanya melihat Comot jatuh ke bawah dengan riak muka yang sakit teramat. "Comot!"

   Kotak-kotak yang dinaiki Ali jatuh ke bawah, sekaligus menghalang anjing itu menghampiri mereka. Ali mengendong kucingnya, cepat-cepat dia menuju ke sekolah menggunakan skuternya.

   Anjing itu baru sahaja ingin merempuh kotak itu, terhenti tatkala mendengar suara garau memanggilnya. Kolarnya mengeluarkan satu suara. "Berhenti Rai."

   "Woof!" Anjing itu seperti kehairanan.

   "Kita sudah dapat... apa yang kita nak." Seiring dengan suara itu, anjing itu menoleh ke tepinya. Skrin tablet Ali bersinar-sinar dengan sedikit pantulan cahaya matahari.

...

   Cikgu Munerah memandang tabletnya sebelum berkata. "Buka mukasurat..."

   "Eh?" Tumpuan Viktor beralih ke arah kapal terbang kertas yang mengenai kepalanya. Haih... ini mesti Ali ini, tidak perlu buka isi kertas ini pun, dia sudah tahu.

   Viktor menoleh perlahan ke arah kanannya. Ha, kan betul katanya. Kelihatan Ali di sebalik tingkap memberi isyarat kepada Viktor untuk mengalihkan perhatian guru.

   Viktor mengangkat tangannya seraya berkata. "Erm, cikgu! Mukasurat berapa, en? Telinga saya rasa tersumbatlah tadi!"

   "Tersumbat? Kenapa? Lupa cari pam telinga ke?" Bicara cikgu Munerah mendapat sambutan tawa pelajar Tingkatan 1 Mandevilla.

   'Macam manalah dengan Comot kat bilik sakit tu...' Ali menggumam di dalam hati. Tubuhnya masih berhati-hati merangkak ke tempat duduknya. Rasa macam hantu Ju-on pula.

  "Ehem!"

   Ali perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Dia tersengih melihat Cikgu Munerah berdiri di tempat duduknya. Patutlah rasa terlindung dengan bayang-bayang! Huhuhu, baru mahu duduk.

   "Dah naik tingkatan satu pun, masih lambat lagi?" Tegang nada suara Puan Munerah bertanya.

   Alicia yang duduk di hadapan sekali hanya memutarkan bola matanya. Buat malu sahaja ada rakan ejen sebegini.

   "Err, saya kena kejar dengan anjing tadi." Ali memberikan alasan dengan sebuah sengihan. Dia terus melabuhkan punggungnya di tempat duduknya.

   "Hmph. Banyaklah anjing kamu!" Puan Munerah terus berjalan menuju ke papan putih. "Sudah, buka mukasurat 55. Hari ini kita sambung balik topik kita iaitu pemfaktoran."

   Ali menghela nafas lega. Nasib baik Puan Munerah tidak setegas Puan Munah. Kalau dahulu, mesti kena pukul. Rindu pula dengan Puan Munah. Huhuhu...

   "Eh?" Ali mulai rasa berdebar melihat begnya langsung berzip separuh sahaja. Terus dia menarik zip ke tepi. Dicari tablet miliknya. Namun, langsung tiada! "Mana ini?"

   Wajah anjing yang mengejarnya tadi terbayang di hadapan mata. Ah, janganlah kata tablet miliknya tertinggal di sana! Ha, rasa sedihlah begini.

   Ali meraup mukanya. "Alamak. Habislah aku..."

   Viktor yang perasan wajah berkedut Ali itu, menyapa Ali. "Kenapa?"

   "Tablet aku tertinggal dekat lorong itu. Sudahlah dekat lorong itu ada anjing. Malangnya..." Ali mulai merintih sendirian. Kalaulah dia sambung tidur sahaja pagi tadi...

   "Ali? Mana pergi tablet kamu?" tegur Puan Munerah tatkala perasan Ali langsung tidak mempunyai gajetnya.

  Ali mengangkat tangannya ke atas, meminta keizinan. "Cikgu, boleh tak saya pergi dekat lorong itu balik? Saya rasa tablet saya tertinggal dekat sana."

   "Tertinggal? Kamu hendak ponteng kelas, ya?" Cikgu Munerah memandang Ali dengan penuh curiga.

   "Tak... saya tak tipu. Saya akan balik dalam masa lim... tak, sepuluh minit." Ali menunjukkan kedua tapak tangannya.

   Viktor pun turut bersuara. "Saya ikut sekali."

   Cikgu Munerah terdiam sejenak sebelum menyambung katanya. "Baiklah... sepuluh minit. Tapi Alicia kena ikut kamu."

   Ali berpaling laju ke arah Alicia. "Ha?"

   Alicia mengeluh, sinis. Tidak fasal-fasal dia perlu ikut sekali! "Marilah."

...

   "Mana tablet kau ini?" tanya Alicia, garang. Rambutnya yang terjuntai ke hadapan, dialihkan sedikit ke belakang.

   "Manalah aku tahu..." Ali bersuara sambil mengalihkan kotak ke tepi. Yang jadi tukang susun kotak itu ialah Viktorlah, siapa lagi?

   'Tak mungkin... tadi aku letak dekat sini tadi.' Ali tergamam melihat ruang simen yang kosong itu. Anjing itu pun sudah tiada. Tidak mungkin anjing itu bawa lari tabletnya! Tidak logik! Anjing itu hendak bermain permainan video ke?

   "Ah, tadi dekat sini!" teriak Ali. Tangannya menunjukkan di hadapannya beberapa kali.

  Alicia mulai bengang. "Sini itu mana!"

   "Kau tanya aku, macam aku tahu!" Ali berpusing ke kanan dan ke kiri, mencari tabletnya. Namun, sia-sia sahaja usahanya. Tabletnya sudah hilang.

   "Habislah. Habislah... ayah mesti marah!" Ali mengusutkan rambutnya. Gelabah habis!

   Viktor memandang mereka berdua dengan muka menoya. Asyik berbalah sahaja mereka berdua! Kahwinkan baru tahu!

   "Aku dah tengok tepi kotak-kotak itu. Memang tak ada. Maaf, Ali," ujar Viktor. Kata-kata Viktor itu bukan menenangkan Ali bahkan makin meresahkan hati anak Ghazali dan Aliya itu.

   Ali bergerak menuju ke dinding. Mukanya bertemu dengan dinding berbatu-bata itu. "Matilah aku..."

   "Ali..." Panggilan Viktor terhenti apabila kedengaran bunyi jam daripada jam milik Alicia. Sudah cukup sembilan minit!

   "Sudah. Mari balik." Alicia tidak mempedulikan drama 'Ali'. Terus dia menggerakkan kakinya menuju ke sekolah. Baik dia pergi dahulu.

   Viktor cuba memujuk Ali. "Ala, tak apa, maa. Kau kongsi sahaja tablet dengan aku."

   "Yalah..." Ali hanya pasrah sahaja.

   Petang itu, selepas sekolah, dua sahabat itu terus kembali ke lokasi kejadian. Ali ini memang spesies tidak berputus asa dalam usaha mencari tabletnya! Atau... mungkin tidak mahu dimarahi ayahnya.

   "Ah, memang tak ada!" Ali sudah jatuh terduduk. Rasa macam dalam drama sahaja. Seperti seorang hero berputus asa selepas tidak mendapat kembali heroin. Tetapi heroin sekarang ialah tabletnya!

   Viktor mengalihkan pandangannya ke arah Ali. Kesian pula dengan rakannya ini. "Nampaknya... nak tak nak, kau kena beritahu bapa kaulah."

   "Itulah fasal." Ali bangun daripada duduk melutut. "Habislah... taik telinga aku mesti cair dengan bapa aku marah nanti. Takut pula aku rasa nak balik."

   Viktor tiba-tiba mengujarkan kata. "Bila kehidupan membuatkan kau rasa takut... itu bermaksud, kau sedang diberi peluang untuk menjadi berani."

   Ali terkedu mendengarnya. Dia serta-merta memandang Viktor. "Vi..."

   "Kata-kata dari Lupytha Marmin. Haih... siapa letakkan poster di sini, ma? Janganlah buang merata-rata." Viktor membebel sendiri. Poster bersaiz A4 itu direnyukkan dan dimasukkan ke dalam poket sekolahnya.

   "Ceh." Ali menayangkan riak menyampah melihatnya. Sepatutnya dia boleh agak daripada tadi.

   "Sudahlah. Kita kena balik. Nanti terlambat pula untuk aktiviti kokurikulum." Viktor mengajak Ali untuk kembali ke sekolah semula.

   "Okey." Ali mengikuti jejak langkah Viktor dengan penuh lemah-longlai. Rasa tidak bersemangat mahu jalankan 'aktiviti kokurikulum' selepas ini.

...

   R.O seronok berjalan sekeliling medan latihan. Mungkin dalam mikro robot itu berfikir bahawa di sedang berlari di taman. Sedang dia sibuk bergerak, dia disergah oleh satu suara.

   "BAA!" Hologram Moon muncul di hadapan robot R.O itu. Terus robot R.O itu jatuh secara terbalik kerana terlalu terkejut.

   "Moon..." Khai menjeling ke arah Moon yang sudah ketawa terbahak-bahak. Nakal tidak bertempat betullah Moon ini! Khai terus membetulkan kedudukan robotnya.

  Moon menepis air matanya yang tertumpah akibat terlalu banyak ketawa. "Hehehe, sorry."

  Bunyi pintu gelongsor dibuka dari belakang ejen-ejen muda. Keluar Alicia dan Ali dari pintu itu. Alicia berjalan dengan biasa manakala Ali pula melangkah menunduk macam orang sudah tiada harapan untuk hidup.

   "Ha, sampai pun kau orang. Kenapa lambat? Sekejap lagi misi mahu bermula." Bertalu-talu Mika melemparkan soalan kepada mereka.

   "Ada hal," jawab Alicia, ringkas.

   Chris yang melihat Ali asyik tertunduk lantas menyoal. "Bakpo dengen Ali itu? (Kenapa dengan Ali itu?)"

   Ali mengangkat wajahnya. Dengan muka macam tidak bersemangat, terhinjut bahu semua orang melihat. Ali memandang mereka semua dna menjawab. "Tablet aku hilang."

   Senyap ketika antara ejen-ejen muda itu sehinggalah Bulat bersuara. "Apa? Tablet kau hilang!"

   Bulat memegang bahu Ali. "Aku ucap... selamat berjaya. Hari itu, telefon aku hilang, hampir sejam aku dibebel mak dan ayah aku. Aku harap... kau bersedia untuk hadapinya."

   Ali mula rasa takut mendengarnya. "Kau ini... janganlah takutkan aku."

   "Semoga berjaya, Ali." Bulat mengundurkan diri ke belakang sambil matanya tidak lepas memandang Ali. Sampai dia hampir terlanggar Rudy di belakangnya! Rudy pun redha sahajalah. Bazir tenaga sahaja kalau marah-marah.

   "Hei, hei, ejen Geetha sampai." Roza cepat-cepat menyampaikan kepada mereka setelah melihat ejen Geetha memasuki medan latihan.

   Semua ejen muda berpaling ke arah ejen Geetha. Terus senyap dan bersedia semuanya. Ejen Geetha melahirkan senyuman melihat para ejen muda di hadapannya.

   "Selamat sejahtera, ejen semua. Macam biasa, hari ini kita akan mulakan latihan baru yang agak mencabar. Tetapi sebelum itu..." Ejen Geetha sengaja memberhentikan ayatnya. Wajah Ali ditolehnya. "Ali... misi ini kamu tak boleh sertai."

   Ali ternganga. "Eh, kenapa pula? Saya ada buat salah ke?"

   Ejen Geetha tertawa kecil lalu menggeleng. "Tidak. Ini kerana kamu ada misi lebih penting dengan Aliya."

   Ali segera memandang ke arah tingkat atas, di mana Aliya melihat mereka semua dari bawah. Satu senyuman Aliya ukirkan buat anaknya.



Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top