BAB 5

AliYa
-----------------
"Satu Iris, Dua Pengguna"
.
.
.

"MAMA kamu mengandung."

    "Ha?" Ali berpaling ke arah ejen Dayang. Riak wajahnya terkejut amat. "Mama saya mengandung... maksudnya, mengandungkan saya?"

    "Nampaknya begitulah." Ejen Dayang menyembunyikan keluhannya. Wajah Ali dipandang tegas. "Kami sudah beritahu yang kamu anak Aliya. Tetapi... kamu jangan cerita apa - apa tentang kematian Aliya."

   Ali meneguk air liur apabila direnung begitu. "Ba... baik."

   "Meow..." Ngiauan Comot menarik perhatian Ali.  Comot sedang menggesel di sebelah kaki kanannya.

  Ali menghalau Comot senyap-senyap. "Comot, pergi. Tak boleh ikut."

   "Ali? Kamu dengar tak apa yang saya katakan tadi?" Ejen Dayang menegur Ali apabila Ali kelihatan seperti tidak menumpukan perhatiannya.

   Ali segera menjawab. "Err, maaf ejen Dayang. Saya dengar."

   Kini, pintu di hadapannya dibuka melalui akses kata laluan. Aliya yang sibuk memerhati keadaan sekeliling terhenti apabila pintu dibuka. Aliya tersenyum ke arahnya. "Sampai pun kamu, Ali."

   Ali tersentak melihat senyuman itu. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah Aliya. Rasa seperti mimpi pula. Lagi kekok tatkala mengetahui dirinya lagi satu masih berada di dalam kandungan Aliya.

   Kakinya terhinjut melangkah ke sebelah Aliya. Sebenarnya kakinya tercedera semasa kepalanya ditolak oleh si profesor tadi. Huhuhu, sakit woi!

   "Saya keluar dulu." Dayang meminta diri. Mungkin ingin memberi ruang kepada dua beranak itu. Pintu gelongsor itu ditutup secara automatik lalu terkunci sendiri.

   "Nama kamu, Ali, kan?" tanya Aliya, meminta kepastian. "Ejen Dayang kata... kamu anak saya."

   Ali mengangguk.  Bersungguh-sungguh dia mengujarkan kata. "Betullah tu. Sayalah anak mama."

   Aliya melahirkan senyum mendengarnya. "Tarik sut kaki kamu sekejap. Nak sapu ubat."

   Ali tercengang seketika. "Ha?"

   "Saya tahu kaki Ali luka. Sebab itulah saya... mama nak rawat," beritahu Aliya sambil memegang minyak gamat. Nama panggilan juga turut bertukar.

   "Oh..." Ali hanya menuruti arahan Aliya. Sut kakinya diheret ke atas sedikit. Memang benar, ada satu garisan luka lama terukir di lututnya. Kurang asam punya profesor.

   Aliya menitikkan sedikit cecair minyak gamat ke atas tangannya. Lutut anaknya yang terluka itu disapu sedikit. Ali hanya melihat sahaja gerak tangan Aliya menyentuh kulitnya.

   Sambil menyapu lutut Ali, Aliya bertanya. "Macam mana Ali masuk M.A.T.A?"

   "Nasi lemak tempoyak udang." Ali menjawab secara ringkas.

   Aliya mengerutkan dahi. "Apa? Nasi lemak?"

   Ali menggeleng beberapa kali. "Eh, maksud saya...  saya pernah 'order' nasi lemak tempoyak undang. Nak makan waktu rehat nanti. Tak tahu pula ada I.R.I.S dalam tu."

   "Sekejap." Aliya memulas penutup botol itu dengan cepat. "Apa maksud Ali... I.R.I.S?"

   Ali sudah berpeluh. 'Alamak...'

   "Err... macam ini. Dahulu ada orang nama Dos curi I.R.I.S di M.A.T.A. Entah macam mana ada dalam bekal nasi saya." Ali memandang teruja ke arah Aliya. "Tetapi kan mama, Ali lawan seorang diri, tau, orang-orang U... jahat yang nak curi I.R.I.S itu. Pakai I.R.I.S."

   "Dipendekkan cerita, Ali pun masuk ke dalam akademi M.A.T.A. Tetapi Ejen Zinn dan Ejen Djin... meninggal kerana satu pertarungan." Ali menerang dengan panjang lebar. Hebat betul Ali. Boleh ceritakan semuanya dalam masa beberapa minit sahaja.

   "Owh..." Aliya mengangguk, perlahan. Dia sebenarnya faham sedikit sahaja. Kalau tidak faham itu, dia buat-buat faham sahajalah.

   "Meow!" Comot mengiau kuat apabila Labu melompat ke atasnya.

   Labu pula terundur ke belakang melihat makhluk asing di hadapan matanya. Terkejut benar dia. Berkerut-kerut muka kucing itu.

   "Comot... bila kau masuk?" Ali menoleh ke arah kucingnya. Seingat dia, sudah dihalau si Comot ini. Pasti dia menggunakan kuasa halimunan no jutsu untuk masuk sekali ke dalam.

   "Meow... meow..."  Labu menyentuh-nyentuh muka  Comot menggunakan sebelah tapak kakinya. Comot terus menjauhkan dirinya beberapa tapak ke belakang. Haih... comel betul!

   "Ali... mama nak tanya. Kalau kamu pakai I.R.I.S, maknanya... I.R.I.S dengan kamulah?" Berhati-hati Aliya menyoal setelah puas menghadam cerita Ali.

   Ali menjatuhkan kepalanya, perlahan. "Ya, kenapa mama?"

   "Mana I.R.I.S itu sekarang?" Terkedu Ali mendengar pertanyaan Aliya. Ali beralih pandangan dari memandang Aliya.

   Ali ragu-ragu ingin menceritakan kepada Aliya. "Erm... mama kenal Niki, kan?"

   Aliya mendengar nama itu serta-merta mengetap bibir. "Ali jumpa dengan Niki ke? Dia ada apa-apakan Ali ke?"

   Ali tersengih. "Tak adalah. Ali okey sahaja. Waktu tu... ejen Dayang ada cipta I.R.I.S Neo, buatkan saya rasa macam... tak bermakna."

   "Sampai saya khianati M.A.T.A dan bantu Niki. Sedar tak sedar, rupanya Niki tu cuma pergunakan saya untuk balas dendam pada Dato' Othman." Ali memeluk lututnya sendiri.

   "I.R.I.S saya ditarik semula sebagai hukuman. Ejen Dayang kata... dia nak serahkan I.R.I.S itu kepada pengguna yang lebih layak.  Tapi... I.R.I.S Neo dah tak digunakan lagi selepas peristiwa itu sebab Niki boleh kawal otak orang yang pakai I.R.I.S Neo itu."

  "Saya rasa... mesti mama pun kecewa dengan saya, kan?"

   Aliya merasa sayu mendengarnya. Kepala Ali diusap perlahan-lahan. "Mama tak pernah kecewa dengan anaknya. Ali kan dah belajar dari kesilapan Ali, jadi kenapa mama nak kecewa?"

   Ali memandang wajah Aliya, seakan tidak percaya. Rasa tenang dan sebak bercampur-baur. "Oh... terima kasih, mama."

   Nada suara Ali bertukar teruja. "Tetapi, kan... mama ada di sini... maksudnya, mama boleh guna overidelah! Wah, mesti terbaiklah!"

   "Overide?" Aliya menayangkan riak pelik. I.R.I.S dibuka oleh Aliya. "I.R.I.S mama tak ada overide."

   Ali membuntangkan matanya. Wajah penuh terkejut ditayang. "Apa!"

   Pintu gelongsor itu dibuka. Terpapar wajah ejen Dayang memandang ke arahnya. "Ali, boleh kamu keluar sekejap? Saya mahu cakap dengan ejen Aliya sebentar."

   "Mama pula?" tanya Ali.

   "Aliya akan dijaga oleh pihak M.A.T.A. Memandangkan dia dari masa lampau, kami terpaksa menjaga keselamatan Aliya dengan ketat. Tambahan pula, Aliya tengah mengandung," jelas ejen Dayang.

   "Oh, okey." Ali beralih ke arah Comot yang bergurau dengan Labu. "Comot, jom balik."

   Comot bijak tidak menghiraukan Ali. Sibuk bermain dengan si kucing Labu. Ali tergelak kecil melihatnya. Dia mengangkat Comot yang sibuk bergurau.

   "Dah, nanti esok boleh datang lagi." Ali menggosok geram kepala Comot yang gebu itu.

   Comot pula memandang sedih Labu. Sedih betul dia tidak dapat jumpa kawan.

   "Mama, Ali keluar dulu, ya?" Ali keluar selesai memohon izin kepada Aliya.

   Aliya hanya menggerakkan kepalanya ke bawah, memberi keizinan kepada Ali untuk keluar. Ejen Dayang sudah gigit bibir bawah melihat anak-beranak ini mula membina ikatan di antara  mereka.

   Sesuatu yang baik... atau lebih kepada yang lebih buruk? Rasa risau pula dengan sikap Ali.

   Aliya menanyakan tujuan ejen Dayang ke sini. "Kenapa ejen Dayang hendak berjumpa saya?"

   "Saya hendak minta tolong kamu sesuatu." Air muka Aliya berubah bingung mendengar permintaan ejen Dayang.

   "Tolong... apa?"

...

   Ali bersusah-payah memanjat tingkap bilik. Comot hanya menggeleng melihat keletah tuannya. Itulah... kalut sangat pergi ke misi sampai lupa mahu membawa kunci rumah. Terpaksa panjat ikut tingkap.

   "Huh... huh..." Ali menyandar ke dinding. "Nasib baik aku tak kunci tingkap tadi."

   Ali menghampiri katilnya. Badannya mula diurut oleh tilam katil itu. Ah, selesanya! Namun, peristiwa Aliya itu membuatkan dia tidak percaya! Betul ke apa yang terjadi sebentar tadi?

   Ali sempat mencubit isi lengannya menyebabkan dia mengaduh seketika. Sakit...  maknanya ini bukan mimpi!

   "I.R.I.S mama tak ada overide."

  "Tetapi I.R.I.S mama tak ada overide. Sudahlah profesor jahat itu masih lagi berkeliaran di luar sana." Ali menggumam sendiri. Comot yang naik ke atas perutnya dibiarkan.

  Bunyi kereta memasuki halaman rumah mengejutkan Ali, sekaligus menghentikan perbuatannya yang bersenang lenang. Apa lagi? Terus bangunlah Ali itu. Kesian Comot... tidak fasal-fasal terjatuh.

   "Alamak..." Ali menghampiri tingkap. "Ayah dah balik." Jam pula dikerlih. Nasib dia sudah solat di akademi tadi. Jadi, tidak perlu kalut lagi.

   "Alamak..." Ali memusing ke belakang. Biliknya bersepah tidak terkata! Haih... tikus pun tidak berani hendak masuk. Terus pindah keluar!

   Ali cemas menyimpan setiap penjuru biliknya. Memang betul-betul ekstrem! Yalah, nanti ayahnya ingat, dia tidak buat kerja pula di rumah nanti. Comot pula hanya memerhati sahaja tuannya kalut mengemas bilik.

   Itulah... kemas awal-awal tidak mahu. Sekarang sudah macam berlari olahraga semasa mengemas.

   Sementara itu, Ghazali memanjat anak tangga untuk memeriksa bilik Ali. Manalah tahu, anaknya tengah bermain permainan video sahaja. Pintu bilik anaknya diketuk. "Ali?"

   "Huh... huh... sekejap!" Ali menyahut dalam nada termengah-mengah.

   Dahi Ghazali berkerut mendengar nada suara Ali seperti penat sangat. Buat senamrobikkah di dalam bilik?

  Pintu bilik dibuka. Ali menjenguk ke luar bilik. "Oh, ayah. Bila ayah balik?"

   "Baru saja tadi. Mak Yah kata kamu ada hal mustahak." Ghazali menolak sedikit pintu bilik Ali. "Wah, kemasnya bilik kamu ini."

  Ali mengelap peluh melihat muka Ghazali yang tersenyum bangga. Wajah Comot dipandang, seolah memberi amaran untuk menyimpan rahsia tersebut. Comot malas mahu melayan, sambung menjilat setiap inci tubuhnya sahaja.

   "Hal... mustahak. Ya, hal mustahak. Yalah, lupa siapkan kerja sekolah. Nanti cikgu marah, susah nanti. Ha, kemas rumah pun penting juga." Berbakul-bakul alasan Ali berikan. Memang patut disarungkan mahkota... raja segala alasan.

   "Bagus anak ayah ini. Dah bertanggungjawab." Ghazali memuji Ali yang mengukir sengih.

   Hek ek leh, berlakon sahaja si Ali itu. Padahal sudah berpeluh di dalam hati.

   "Ayah hendak solat dahulu. Ali dah solat?" soal Ghazali sambil menuju ke biliknya.

   Ali yang ingin menuju ke dapur, menjawab. "Dah."

   "Oh, baguslah. Pergilah makan. Ayah nak solat sekejap." Tali lehernya dibuka Ghazali. Tangannya berhenti sejenak menutup pintu apabila terpandang kalendar di belakang pintunya.

   Tarikh yang dibulat menggunakan pen marker hitam itu dipandang sayu. Perlahan-lahan bibir Ghazali menuturkan satu nama. "Aliya."

  

  

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top