Akhir Cerita Cinta - Bab 4
"ALI... kenapa nama kau Ali eh?"
"Kau tak ada soalan yang cerdik sikit ke nak tanya
aku?"
"Rupa kau boleh tahan kut. Tapi nama kampung."
"Kejap, aku sekeh dahi jendul kau ni."
"Adoi, sakitlah! Kayu tu. Aku tanya je kut!" Peah
gosok dahi yang diketuk dengan batang kayu yang sudah
dibelah. Tak adalah sakit mana pun sebenarnya, cuma dia
terjerit sebab terkejut.
"Apasal kau cakap nama Ali tu tak padan dengan
aku?" tanya Ali tak puas hati.
"Kan aku dah cakap, kau tu ada rupa."
"Habis tu kau ingat artis-artis yang lawa tu
lahir-lahir je nama terus gempak dan moden? Kau tahu tak,
kadang-kadang nama sebenar diaorang lari jauh daripada
nama pentas diaorang tu?"
"Err..." Peah tergagap membalas.
"Ali tu nama salah seorang daripada Khulafa
ar-Rasyidin, nama yang mulia."
"Err..."
"Tanya seribu kali pun, aku tetap akan pilih nama Ali.
Nama yang arwah ayah aku beri pada aku. Kau timbulkan lagi
pasal ni, aku betul-betul buat perangai lanun nanti. Faham?"
"Okey."
Ali kembali menyambung membelah kayu.
"Ali?"
"Apa lagi?"
"Masa kau selamatkan aku tu kan, apa yang kau fikir
eh?"
"Entah," jawab Ali selamba.
"Entah?" Peah sedikit terkejut dengan jawapan Ali.
"Hmm."
"Entah?" Direnung anak teruna Mak Cik Siha yang
sedang tekun membelah kayu. Kapak di tangan itu agak-agak
kalau melayang sepoi-sepoi bahasa boleh putus leher tak?
"Takkan tak fikir apa-apa?" Dia mencuba lagi.
"Tak ada."
"Yalah tu! Ke kau..."
"Kau jangan nak perasan walaupun sikit. Kau tu
dahlah biul, senget, otak senteng. Tak ada maknanya aku nak
suka kat kau. Daripada kau, baik aku berkasih sayang dengan
itik belakang reban tu."
"Sampai hati..."
"Kau jangan berani-berani nak melalak kat depan
laman ni. Banjir macam mana pun, tak adanya aku nak cakap
kau tu cantik."
"Aku bukannya sedih atau nak nangis. Aku cuma
nak cakap, sampai hati kau nak musnahkan hidup itik yang
tak berdosa tu. Lagi satu, itik tu tinggal dalam reban, bukan
belakang reban."
"Peah!!!"
Peah sudah cabut dulu. Ali Lanun kalau sudah
mengamuk, cicak atas siling pun boleh terjatuh ke lantai.
Baik dia selamatkan diri sebelum kapak yang tajam berkilat
itu memberi salam perkenalan.
"MACAM MANA?"
"Mak cik tanya macam mana? Takkan mak cik tak
nampak saya mencicit lari tadi?"
Mak Cik Siha ketawa.
"Ni mesti kakak kenakan Ali, kan?"
"Mana ada saya kenakan dia. Saya cuma bawa dia
kembali ke pangkal jalan dan betulkan statement dia yang ke
laut dalam tu. Ada ke patut dia nak berkasih sayang dengan
itik dalam reban tu? Dahlah cakap itik tu tinggal belakang
reban. Apa, dia ingat reban tu buat tugu perhiasan sampai itik
kena duduk kat belakang dan bukan kat dalam?"
Tawa Mak Cik Siha pecah untuk kesekian kali.
"Saya rasa Ali tu ada penyakitlah, mak cik."
"Penyakit apa?"
"Penyakit kayu-kayan macam kayu yang dia belah tu.
Keras semacam."
Mak Cik Siha bantai gelak semula.
"Kakak boleh tolong mak cik tak?" soalnya di hujung
tawa.
"Mak cik nak saya buat apa?"
"Esok kakak kacau Ali lagi."
"Alah..."
"ALI, MAK kau mana?"
"Kat dapurlah, tengah memasak. Bukan macam kau,
pemalas!"
"Aku bukannya malas. Tapi nanti kalau aku masuk
dapur, ada yang terbakar satu dapur tu. Tak naklah aku jadi
orang suruhan kau gara-gara nak kena bayar kerugian dapur
yang terbakar tu."
"Cakap jelah kau tak reti masak. Budak-budak
perempuan zaman sekarang, bangun tidur je buka FB, buka
IG. Bukannya bangun tidur tu nak ke dapur buat sarapan."
"Aku tak macam itulah. Tengoklah aku ni, handphone
pun tak ada."
Ali kerling sekilas.
"Buktikan."
"Buktikan apa?"
"Kat laman tu banyak pokok aku tanam. Kau pergi
ambil lengkuas dan halia bawa depan aku ni. Kalau kau dapat
bezakan mana lengkuas, mana halia, baru aku percaya kau
tak macam perempuan-perempuan lain tu."
"Err... err..."
"Susah? Okey, aku bagi yang senang sikit. Kau pergi
cari daun kesum dengan daun kari. Kalau tu pun kau tak
lepas..."
"ALI, AKU jumpa ni je. Daun kari."
"Daun kesumnya mana?"
"Hidung aku dapat kesan bau daun kari je. Bau daun
kesum dia fail."
"Ke kau memang tak kenal rupa daun kesum tu?"
"Genius pun kau."
"Tu, dalam tayar tu."
"Apa?"
"Daun kesum itulah! Kau ambil secekak, kau cium
puas-puas biar otak kau ingat sampai bila-bila rupa dan bau
dia. Tak pun kau telan je mentah-mentah."
"Eee... menyampahlah aku cakap dengan kau ni!"
"Siapa suruh kau cakap? Dah, pergi cari halia dan
lengkuas."
"Err... tu pun aku tak jumpa. Dah 17 kali aku tawaf
rumah kau ni, tapi tak jumpa. Mak kau pun dah pandang aku
pelik."
"Hmm."
"Ali, mana? Tunjuklah kat aku."
"Membazir masa aku je."
"Tak baik kedekut ilmu tau. Nanti kubur kau penuh
dengan halia dan lengkuas."
"Kau ni kan!" ujar Ali geram. Ada sahaja jawapan
yang keluar daripada mulut si Peah ni.
"Tunjuklah kat aku. Please please please?"
"Ni, kat sini." Tubuh dibawa ke rumpun pokok
lengkuas dan halia. Tanah dikorek lalu isinya dikeluarkan.
"Laa... patutlah aku tak jumpa. Sampai hati kau
pergi sorokkan halia dan lengkuas ni dalam tanah."
"Peah!!!" Sungguhlah si Peah ni selalu menguji
kesabarannya!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top