BAB 9

PUPIL matanya ditumpukan ke arah lingkaran papan panah yang bertentangan. Mata anak panah ditumpukan ke arah sasaran. Tali busur ditarik dan beberapa saat kemudian, anak panahnya tepat terkena ke sasarannya. Senyuman sinis terukir di bibir wanita berambut sanggul itu.

"Jadi betullah... kematian budak tu kematian yang dipalsukan?" soal wanita berpakaian t-shirt polo berwarna merah jambu. Dengan langkah penuh elegan, wanita itu menghulurkan busur panahnya kepada pembantu peribadinya.

"You masih tak percaya yang budak tu tak mati lagi ke?" soalan dibalas dengan soalan. Lelaki berparut panjang di pipi kanannya mencicip secangkir kopi panas yang dihidangkan oleh pelayan.

Wanita itu mengeluh berat seraya melabuhkan duduknya. Anak rambutnya yang terjuntai diselit ke belakang telinga. Kaki disilangkan. Tubuhnya statik. Sedia mendengar kenyataan yang sangat mencabar kesabarannya.

"Do I care if he still alive or not?"

Tak semena-mena, si lelaki ketawa terbahak-bahak dengan soalan sinis wanita berwajah tegang itu. Kepalanya digelengkan. Tubuh disandarkan di belakang kerusi empuk.

"Of course you care about him! Dia dah kacau plan you dulu. Did you already forget about it, datin?"

Wanita yang digelar datin terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah bekas rakan niaga suaminya. Langsir ingatan mengimbas detik rancangannya untuk mendapatkan Yayasan Lee hancur. Semuanya disebabkan Aisar Mumtaz. Siapa sangka, malam itu juga dia terpaksa berhadapan dengan sebuah kegagalan.

Malahan, wanita itu masih kaget tatkala Aisar masih dinyatakan hidup. Bukankah Aisar sudah mati dalam letupan di bangunan itu? Hangus terbakar. Itu yang wanita itu fahami. Mustahil Aisar masih hidup dalam kemalangan itu!

"I dah mulakan hidup baru. I tak nak ada kaitan dengan hidup sesiapa lagi," ujar wanita itu seraya bangun dari duduknya.

"Are you sure? You nak kecewakan Abram ke? You nak kematian Abram tu sia-sia? You dah tak cintakan kekasih gelap you tu lagi ke datin?"

Tak semena-mena, langkah wanita itu terbejat dengan soalan bertubi-tubi daripada Andy. Kepalanya dikalih memandang wajah si lelaki yang seakan-akan menyalakan api kemarahan di sukmanya. Dia tercabar!

"Apa yang you nak sebenarnya?"

Andy turut bangun dari duduknya. Selangkah demi selangkah, lelaki berkot putih dengan rantai emas mengelilingi lehernya menghampiri Datin Sri Zurina. Akal mula menyusun aksara demi meracun pemikiran wanita itu.

"I cuma nak tolong... wanita cantik yang sunyi macam you. Oh, you patut berterima kasih dengan I sebab I dah buat suami you nyawa-nyawa ikan dekat ICU," jelas Andy bersama senyuman lebarnya. Menampakkan gusi emasnya di gigi geraham.

Mendengarkan itu, air muka Datin Sri Zurina berubah tegang. Tiada lagi reaksi bosan yang terpampang di wajahnya. Sungguh, dia kaget dengan tindakan Andy mencederakan Datuk Sri Lee. Siapa sebenarnya lelaki merangkap ketua gangster di hadapannya saat ini?

RAUT wajah Inara ditatap sedalamnya. Pandangannya benar-benar tak mampu dilepaskan dari menatap wajah manis pengarang jantungnya. Sesekali, Aisar mengusap lembut kura tangan Inara. Dia benar-benar dihurung dengan rasa bersalah kerana menyakiti hati Inara sebentar tadi.

"Inara panic attack. Dia mesti terkejut sangat dengan apa yang dah jadi. Bahaya kalau kau terus rahsiakan hal yang sebenar daripada dia. Kau jangan lupa, isteri kau tu cancer survivor. Dia masih perlu follow up doctor. Jangan buat dia stres."

Penjelasan Zulfan berkenaan keadaan Inara meluluhkan hati Aisar. Rasa bersalahnya kian menebal. Bukannya dia tidak mahu menjelaskan semua perkara berkaitan kematian palsunya kepada Inara. Tetapi, Aisar masih belum bersedia.

"Aisar..."

Mendengar saja namanya diseru, bahu Aisar terus menegak. Segaris senyuman pahit terukir di bibirnya. Alangkah senangnya hati Aisar tatkala namanyalah nama pertama yang disebut oleh Inara ketika bangun.

"Aisar..."

"Ya, Inara. Aku ada. Kita dah selamat. Sekarang, kita ada dekat hospital," jelas Aisar seraya bangun dari duduknya.

Perlahan-lahan, Inara mencelikkan matanya. Samar-samar, wajah Aisar Mumtaz terpampang di hadapan wanita muda itu. Segaris senyuman lemah terukir di bibir Inara. Kesyukuran dipanjatkan ke atas Ilahi tatkala Allah masih memberikannya peluang untuk menatap wajah suaminya.

"Aku... minta maaf sebab marah..."

"Bukan salah kau. Aku yang patut minta maaf sebab terkasar dengan kau tadi," pintas Aisar seraya menghulurkan segelas air kepada Inara. Perlahan-lahan, Aisar membantu Inara bangun dari pembaringannya.

Inara menyambut huluran Aisar. Anak matanya tunak merenung wajah Aisar yang sembap. Hatinya tercuit melihat mata dan pucuk hidung Aisar yang merah. Timbul sebuah idea di benak fikiran Inara tika itu. Usai membasahkan tekaknya, Inara kembali menghulurkan gelas kepada Aisar.

"Berapa gelen tadi?"

"Gelen? Gelen apa?" Soalan dibalas dengan soalan. Aisar kembali melabuhkan duduknya di kerusi pelawat.

"Gelen air mata Kapten Aisar," usik Inara.

Tak semena-mena, wajah Aisar membahang panas dengan usikan Inara. Anak matanya terus dialihkan. Pucuk hidung yang tak gatal digaru. Malunya dia bila Inara menangkap dia menangis!

Inara terus merapatkan wajahnya ke wajah Aisar. Pipi Aisar terus dicubit bersama tawa kecilnya. "Bekas gangster sekolah merangkap bodyguard kepada datuk ni tak malu ke menangis depan orang? Isteri kau ni hidup lagilah! Janganlah menangis macam hilang bini. Buruk tahu! Luar saja nampak macho. Dalaman macam baby!"

"Memandai kau kutuk aku! Ada bukti ke?" ujar Aisar seraya kembali memandang wajah Inara. Kedua belah tangan Inara digenggam erat.

"Habis tu kenapa muka kau sembap?"

"Baik kau rehat. Kau salah tengok tu. Yelah tadi kan kau tak berapa betul sebab panik. Dah macam ikan sesak nafas di daratan pula aku tengok," usik Aisar bersama sesak nafas yang dibuat-buat. Malulah dia bila Inara tahu dia menangis. Jatuh maruah dan kegagahannya jika Inara tahu. Entah-entah, hingga tujuh keturunan isterinya mengusik!

"Kutuk aku eh!" marah Inara sambil mengacah penumbuknya ke wajah Aisar.

Tak semena-mena, Aisar terus mengenggam tangan Inara seraya dikucup lembut. Mendiamkan terus celoteh Inara sekelip mata. Hanya tatapan pasangan itu saja yang saling bersatu. Tatapan yang membibitkan debunga bahagia di hati keduanya.

Tanpa mereka sedar, seorang figura hanya mampu memerhatikan kebahagiaan di antara Aisara. Keluhan berat terlepas dari bibir doktor muda itu. Ada senyuman pahit terkulum di bibirnya. Cemburu? Sudah pastinya!

"Saya dah agak yang awak akan bahagia dengan dia, Nara. Bukan dengan saya lagi," desis hati Zulfan. Pintu wad privasi kembali ditutup. Niatnya mahu memantau keadaan Inara terus terbejat. Zulfan masih belum bersedia untuk berhadapan dengan pengantin baru itu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top