BAB 7
"INARA! Tunduk!"
Serentak dengan jerkahan Aisar, sedas tembakan dilepaskan ke arah tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Sontak, Aisar terus menarik tubuh Inara yang sudah menggigil ketakutan ke dalam dakapannya.
Mujur, Aisar tangkas mengawal stereng kereta sehingga tembakan musuh tersasar di badan kereta. Tercalarlah lagi badan kereta yang baru saja dibelinya beberapa bulan yang lepas.
Suasana semakin cemas tatkala si penyerang merempuh pula badan kenderaan Aisar. Tanpa berlengah, Aisar terus memijak pedal minyak sekuat hati seraya memotong dua kenderaan yang berada di hadapan sekali gus.
Dalam keadaan mereka berada di atas jalan yang sibuk, Aisar mahu mengelak daripada merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Dia tidak bisa menggunakan senjata bagi melawan serangan yang dilepaskan ke arahnya.
Lebih-lebih lagi, Inara berada di sisinya tika ini!
Kenderaan yang dipandu oleh Aisar semakin menderum laju. Melarikan diri daripada dikejar dengan sebuah kereta Waja berwarna hitam. Sesekali, bunyi hon kedengaran tatkala kenderaan penyerang merempuh kenderaan yang lain.
Dari cermin pandang belakang, Aisar melihat seorang figura berhoodie hitam dan memakai topeng sudah mengeluarkan kepalanya dari tingkap kereta. Glock dihalakan sebelum berdas-das tembakan dilepaskan ke arah mereka.
Jantung Aisar semakin berdegup kencang tatkala perkara yang ingin sekali dielak akhirnya terjadi!
Sebab inilah dia tidak mahu berhadapan dengan realiti! Aisar hanya mahu hidup bebas dan bahagia seperti dahulu. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan tatkala dia masih dikejar oleh bayangan hitam.
Itulah kenyataannya tatkala dia masih menjadi pengawal peribadi Datuk Sri Lee.
"Aisar... siapa... siapa mereka?" soal Inara sambil mengenggam tangan Aisar. Air matanya sudah mengalir ke pipi. Wajah tegang Aisar ditatap dengan tatapan sayu.
Inara trauma!
Aisar hanya diam. Fokusnya hanya tertumpu dengan pemanduannya. Tak semena-mena, jalan raya itu bertukar menjadi litar lumba di antara Aisar dan juga musuh yang muncul dari sarang.
"Aisar..."
"Genggam tangan aku sekuatnya. Percaya cakap aku yang kita akan selamat. Masih banyak yang aku nak jelaskan kepada kau, Nara. Tapi bukan sekarang," pintas Aisar. Sontak, Aisar melanggar sebuah lampu isyarat berwarna merah. Bunyi hon kedengaran serentak dengan decitan tayar kenderaan. Sungguh, Aisar tidak mempunyai pilihan!
Akibatnya, mereka berjaya lolos daripada musuh. Nafas Inara terus turun naik dengan kegilaan Aisar yang melanggar lampu isyarat. Lebih-lebih lagi semuanya berlaku sekelip mata! Dahinya mula berkerut tatkala pernafasannya terasa sempit. Inara merasakan dia kekurangan oksigen tika itu.
"Inara..."
Belum sempat Aisar memujuk isterinya, keadaan Inara yang sudah tercugap-cungap menggusarkan hatinya. Lantas, Aisar menghentikan keretanya di simpang jalan. Tali pinggang keledar ditanggalkan.
"Inara!" laung Aisar tatkala dedaun resah mula gugur di sudut hati. Tali pinggang keledar Inara terus ditanggalkan. Membebaskan Inara dari kesulitan bernafas. Sungguh, Aisar takut jikalau penyakit hepatoma Inara kembali muncul!
"Inara... jangan buat aku takut! Ina..."
Belum sempat Aisar memanggil bagi menyedarkan isterinya, wanita itu terus rebah di dalam dakapan Aisar. Hampir luruh jantung Aisar melihat keadaan Inara. Nadi Inara diperiksa.
Lemah!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top