BAB 6

"KAU tak boleh relaks dulu ke Aisar? Kesian aku tengok menantu aku. Dahlah kau tiba-tiba muncul, gantikan tempat tunang dia. Sekarang, nak bawa Nara balik KL terus," omel Encik Yusof. Kepalanya digeleng-geleng melihat Aisar yang sibuk memasukkan bagasi ke dalam bonet kereta.

"Entah abang ni. Inai di jari Kak Nara tu masih merah kut. Tak sampai seminggu lagi kau orang menikah, abang dah nak bawa Kak Nara balik. Kenapa? Majikan abang tu lagi penting daripada kakak ipar Airis ke?" tutur Airis pula.

Ada nada sinis di sebalik bicara Airis. Sesekali, pandangannya dipusatkan ke wajah Inara yang sedang bersalaman dengan Puan Kirana. Simpati dengan Inara yang belum puas menikmati cutinya.

"Tak apa bapa. Aisar akan uruskan hal kami yang belum selesai baik-baik. Aisar pegang dengan janji Aisar tempoh hari. Eh Airis, cakap elok-elok sikit. Nara ni lagi penting daripada majikan abang tu. Sesedap hati chicken chop anda saja berkata seperti itu ya, Airis," kata Aisar. Anak matanya mencerlung tajam ke arah Airis. Diselitkan dengan ketegasan buat adiknya yang sudah menjelirkan lidah itu.

"Nara jangan stres sangat. Jaga diri baik-baik. Ibu tak nak Nara sakit lagi. Kalau ada apa-apa masalah, terus call abang. Okey? Lagi satu... jangan melawan cakap suami. Belajar hormat suami. Faham?" pesan Puan Kirana sambil mengusap kepala Inara yang berbalut dengan tudung bawal ungu.

"Baik ibu, Nara dengar cakap ibu. Ibu pun jangan risaukan Nara sangat. Mayah jaga nenek baik-baik. Tau?"

Sumayyah yang sudah bermuram durja hanya mengangguk. Bibirnya sudah muncung tatkala maksunya kembali pulang secara mengejut. Dia belum puas mahu menikmati masanya bersama Inara.

"Pak su! Nanti kalau pak su balik kampung, belikanlah Mika mainan. Dah lama Mika nak kereta control. Tapi mama kata, selagi tak dapat nombor satu, selagi tu mama tak akan beli," laung Mikail yang sedang bermain basikal bersama kembarnya di halaman rumah.

"Alif pun nak juga!" kata Alif seraya meluru ke arah Aisar.

Melihat telatah Mikail dan Alif membuatkan Aisar tertawa. Dia terhibur dengan kepetahan pasangan kembar itu. Lantas, rambut Alif yang sedang menyalaminya diusap lembut.

"Baik. Pak su akan belikan kalau pak su dengan mak su balik sini. Apa yang penting, kau orang kena belajar rajin-rajin. Jangan nakal-nakal," pesan Aisar.

"Wow! Impressive. Aisar Mumtaz si samseng sekolah sedang memberikan sepatah dua kata kepada anak-anak buahnya. Saya bangga jadi isteri awak, Kapten Aisar," ujar Inara, sinis.

Tiba-tiba saja kotak memorinya mengimbas kenangan zaman persekolahan mereka. Nasihat yang Aisar berikan buat Mikail dan Alif mencuit hati wanita muda itu. Pandangan dipusatkan ke wajah Aisar bersama bibir terherot sinis.

Mendengarkan itu, Aisar tertawa lagi. Bagaikan tiada masalah yang menimpa berhadapan dengan keluarga kecilnya. Lebih-lebih lagi Inara yang bersikap sarkastik itu.

"Menyindir?"

"Mana ada aku menyindir. Aku memuji..."

"Ish kau orang ni! Dah kahwin pun guna kau aku lagi. Bingitlah telinga mak dengar panggilan sesama kau orang ni. Cuba ubah sikit panggilan tu jadi lembut," pintas Puan Suhaila. Terkocoh-kocoh ibunya Aisar melangkah keluar dengan membawa bekas berisi nasi hujan panas dan lauk buat anak dan menantunya.

"Mak jangan risau. Aisar dah ada panggilan istimewa untuk isteri Aisar. Tapi tak naklah bagi tahu. Nanti tak pasal-pasal kena tolak dalam bendang oleh Doktor Inara. Okeylah. Kita orang pergi dulu. Takut lewat sampai sana," pamit Aisar seraya mencium tangan ibunya. Plastik berisikan nasi dan lauk dicapai.

"Hati-hati, Aisar. Jaga Inara baik-baik. Jangan asyik susahkan dia saja. Nara, kalau anak mak layan Nara kasar... laporkan saja kepada mak," pesan Puan Suhaila. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya. Sungguh, wanita itu senang hati melihat kebahagiaan Aisar dan Inara.

Meskipun semuanya berlaku secara drastik, namun intuisinya menyatakan bahawa pasangan itu sedang menyulam kebahagiaan. Bagaikan tiada masalah yang berlaku tatkala Aisar dan Inara saling mengusik antara satu sama lain.

SESEKALI, Inara mengalihkan pandangannya ke laman wajah Aisar yang sedang memandu. Terserlah ketegangan di roman wajah suaminya. Mahu menegur saja Inara tidak berani. Aisar seakan-akan mempunyai masalah yang besar.

Seakan-akan, kejadian di perkarangan rumah siang tadi bagaikan drama bagi menutup kegelisahan Aisar. Ada apa dengan Datuk Sri Lee sehingga Aisar jadi tegang?

"Bila kau mula kerja?" soal Aisar. Memecahkan kesepian setelah dua jam mereka dalam perjalanan ke destinasi.

"Seminggu lagi."

"Baguslah. Bolehlah aku jadi attention seeker dekat kau sebelum kau sibuk dengan pesakit. Kan... kan?" kata Aisar. Wajah Inara yang duduk di sebelahnya dipandang sekilas.

"Esok aku nak mula kerja. Aku harap kau izinkan," jawab Inara.

"Lah... tadi kata seminggu..."

"Maaf. Aku tak boleh duduk rumah lama-lama. Aku dah terbiasa sibukkan diri aku dekat hospital. Lagi pun... kau lebih pentingkan kerja daripada hal peribadi kau, bukan? Samalah macam aku," pintas Inara. Ada sindiran terselit di bicaranya. Tubuhnya yang kedinginan dengan pendingin hawa dipeluk.

"Kejap, kau ada benda tak puas dengan aku ke? Kalau ada benda kau tak puas dengan aku, cakaplah. Tak payah nak sindir aku!"

Tiba-tiba, suasana menjadi dingin dengan kemarahan Aisar. Wajah Inara serta-merta membahang tatkala Aisar menaikkan julat suaranya. Benar. Intuisi Inara tidak salah. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh Aisar semenjak mendengar berita mengenai Datuk Sri Lee. Buktinya, Aisar tiba-tiba naik angin.

"Kenapa diam? Jawablah bila aku tanya!" tegas Aisar lagi. Fikirannya jadi bercelaru bila mana Inara seakan-akan mencabar emosinya. Manakan tidak, Aisar benar-benar tidak mahu momennya bersama Inara diganggu. Aisar hanya mahu mengabadikan waktu yang dibazirkan selama setahun bersama orang yang dicintai.

Namun, tanggungjawabnya yang satu ini tidak bisa diketepikan. Dia terikat dengan janji. Malahan, dia menjadi tunjang utama dalam melindungi majikannya.

Kemarahan Aisar benar-benar menjentik hati Inara dengan rasa sayu. Bibirnya diketap. Kepalanya terus dikalih ke tingkap. Tak betah mahu berhadapan dengan Aisar. Tubir mata mula terasa hangat tatkala sewenangnya saja Aisar memuntahkan kemarahan kepadanya.

Penting sangatkah Datuk Sri Lee berbanding sebuah penjelasan yang diperlukan oleh Inara?

Dentuman kuat yang merempuh bonet belakang kereta menyentak pasangan yang sedang dibakar dengan kemarahan. Aisar dan Inara terus saling berpandangan sebelum Aisar memandang cermin pandang belakang. Tika itu, detak jantungnya mula berdegup kencang. Intuisi mula menyampaikan informasi bahawa sesuatu yang buruk sedang berlaku kepadanya!

"Inara! Tunduk!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top