BAB 5

SUARA nyaring Sumayyah, Mikail dan Alif yang sedang bermandi-manda di sungai membingitkan suasana. Sesekali, percikan air yang terkena ke pakaian Inara membuatkan wanita itu mengomel sendirian.

Seakan-akan merendam jengkel di sudut hati Inara dengan kenakalan anak-anak buahnya. Sudahlah dia mahu bersendirian tika ini.

Namun, ketenangannya diragut sekelip mata tatkala dia terpaksa menjadi babysitter kepada anak-anak buahnya. Manakan tidak, Insyirah sedang sibuk menjadi juruacara dalam sukan tahunan di sekolah. Abang iparnya pula sudah kembali bertugas di lautan sebagai offshore.

"Lepak tak ajak suami pun. Apa hukum keluar rumah tanpa pengetahuan suami? Dah lupa ke tu wahai Doktor Inara intan payungku sayang?"

Suara menjengkelkan yang tiba-tiba muncul mengagetkan Inara. Kepalanya terus dikalih memandang raut wajah Aisar. Pemuda itu tersenyum lebar hingga menampakkan gusinya. Sekuntum bunga mawar merah yang dipetik di halaman rumah emaknya, Aisar hulurkan kepada Inara.

"Suami? Huh! Suami aku sepatutnya Zulfan Ridhwan. Kita orang pergi kursus kahwin sama-sama. Kita orang..."

"Syh! Jangan cakap pasal Zulfan. Kau tak kesian ke dekat dia? Mesti dia terbatuk-batuk uhuk uhuk masa rawat pesakit. Dari hari pertama kita menikah, kau asyik sebut nama dia saja. Kesian sepupu aku tu," pintas Aisar sambil meletakkan jari telunjuknya di hadapan bibir. Kepalanya digeleng-gelengkan.

Inara diam. Sekuntum bunga mawar merah yang dihulurkan oleh Aisar terus ditarik kasar lalu dicampakkan ke dalam sungai. Ada saja kata-kata Aisar yang menjengkelkan seorang Inara. Bagaikan semuanya kelihatan normal bagi Aisar. Walhal, terlalu banyak persoalan mengenai kematian palsu pemuda itu masih belum terjawab.

"Aku tak nak bercakap dengan kau!" tegas Inara seraya menjelingkan matanya ke atas.

Melihat Inara masih dalam mood berdingin, ketika itu juga semakin membuak-buak idea Aisar ingin mengusik isterinya. Lantas, Aisar berdeham seraya bangun dari duduknya. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Keriangan anak-anak buahnya diperhatikan dengan cermat. Tidak mahu terjadinya kemalangan yang tidak diingini.

"Tak apalah kalau kau tak nak bercakap. Aku nak dendangkan sebuah lagu sempena bunga mawar yang sudah dicampak ke dalam sungai. Dengarkan," tutur Aisar. Sesekali, wajah masam Inara yang sedang berpeluk tubuh dipandang. Alahai, comel benar Inara marah-marah manja.

"Wahai bondaku... bondaku si ikan kaloi... timbullah bonda... ooi timbullah bonda tunjukkan diri..."

"Wah! Pak su buat konsert dekat sinilah. Boleh tak pak su nyanyi lagu Johnny Johnny Yes Papa? Dekat sekolah, cikgu selalu ajak kita orang nyanyi sama-sama," pintas Alif yang sudah menghampiri Aisar. Suara Aisar yang sedang menyanyikan lagu Perigi Biru menarik perhatiannya.

"Ala, pak su mana tahu lagu orang putih. Cuba Alif ajar lepas tu kita nyanyi sama-sama," ujar Aisar seraya kembali melabuhkan duduk di sebelah Inara. Tuala yang terletak di sebelahnya dicapai lalu mengelap rambut Alif yang basah.

Serta-merta, telatah Aisar dan Alif mencuit hati Inara. Bibirnya mengukir senyuman manis tanpa sedar. Tidak dapat dinafikan, Aisar pandai menarik perhatian kanak-kanak. Buktinya, anak-anak buah Inara semuanya selesa berbicara bersama Aisar. Sumayyah yang pendiam itu pun bisa menjadi seorang yang aktif dek layanan baik Aisar.

Inara memalingkan wajahnya memandang Alif yang seronok menyanyikan lagu yang sering diajarkan di sekolah. Kecomelan Alif yang menampakkan lesung pipit di pipi kanannya membuatkan senyuman Inara semakin lebar. Saat pandangannya beralih ke wajah Aisar, saat itu juga Inara merasakan debaran yang maha kuat menggoncang sanubarinya.

"Kenapa kau pandang aku macam tu?"

"Sebab isteri aku cantik sangat. Rasa macam hari-hari jatuh cinta," usik Aisar seraya mengenyitkan matanya.

"Eh! Gatallah kau ni. Kenapalah aku boleh terkahwin..."

"Mudah! Sebab... kita berdua saling mencintai. Bila dua hati saling bersatu, maka ikatan cinta pun boleh terbina. Kalau dulu Aisara hanya setakat persahabatan, tapi kini... Aisara sudah menjadi sebuah percintaan di antara Nur Inara dan Aisar Mumtaz," pintas Aisar. Senyumannya semakin melebar. Membalas senyuman manis Inara. Kenapalah Inara asyik menidakkan bahawa hati mereka saling bersatu?

"Jangan berharap sangat, Aisar. Aku terima kau pun... sebab aku tak nak malukan keluarga aku. Kalau masa tu aku menolak... apa pula orang nak mengata pasal ibu. Kan?"

Jawapan sinis Inara membuatkan Aisar tertawa kecil. Pelipis yang tak gatal digaru. Pandangannya terus dialihkan dari menatap wajah Inara. Inara memang ego.

Tiba-tiba, telefon pintar Aisar bergetar. Tangan terus menggagau poket jeansnya. Tertera nombor telefon Fahad. Intuisi Aisar mula berasa tidak enak tatkala itu. Lantas, dia bangun dari duduk dan berganjak daripada Inara.

"Assalamualaikum, maaf ganggu cuti kapten. Tapi aku terpaksa juga sampaikan hal ini. Ada berita buruk pasal datuk dan Cik Sandra. Boleh kapten ke mari?"

Sebaik saja mendengar omongan Fahad, senyuman Aisar mati. Anak matanya yang redup mula berubah galak. Nampaknya, waktu mencemburuinya. Dia harus kembali ke realiti yang akan menjunamkan dirinya ke dalam marabahaya!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top