BAB 3
"DEMI keselamatan Inara'.
Tiga patah perkataan yang diujarkan oleh Aisar petang tadi, seakan-akan menjadi babak ulang tayang di benak fikiran Inara. Intuisi Inara mengatakan bahawa sesuatu yang dahsyat telah berlaku sehinggakan kematian Aisar dipalsukan.
Bahkan, mayat Aisar tidak pernah ditemui ketika tragedi kebakaran di gudang itu. Patutlah, keluarga Aisar tidak pernah membuat majlis tahlil ketika Aisar disahkan meninggal dunia.
Tapi, kejadian dahsyat apakah yang membuatkan Aisar nekad memalsukan kematiannya? Apa pula kaitan di antara kematian palsu Aisar dengan keselamatan seorang Inara? Oh sungguh, Inara sudah buntu.
Tak semena-mena, Inara mengadu kesakitan saat cerek berisikan air panas yang dituang ke dalam gelas melimpah. Cerek terus diletakkan di atas meja. Tangan yang sudah terkena air panas mula memerah. Buru-buru, Inara menghampiri sinki dan menghidupkan pili air. Membiarkan tangannya yang sudah melepuh disirami dengan air sejuk.
"Airis, pergi balutkan ais untuk Nara. Takut melarat kesan melecur ni nanti," arah Puan Suhaila yang kaget melihat Inara menggelupur terkena air panas. Dia turut membantu menyiram tangan kanan Inara yang melepuh.
"Air panas tu baru saja mendidih tadi. Kena sapu krim nanti. Dah, Nara rehat dulu. Biar Airis yang buatkan air buat Aisar dan bapa," ujar Puan Suhaila. Sesekali, wajah pucat Inara dipandang. Dari tadi menantunya itu seakan-akan tenggelam dengan dunia sendiri saja. Diam seribu bahasa tika mereka bertiga sibuk berkemas di ruang dapur.
"Nara cuai..."
"Tak. Nara bukan cuai. Nara cuma kusut fikir pasal Aisar. Nara tak perlu nak sembunyikan apa-apa daripada mak. Mak kenal Nara dari kecil. Mak tahu kalau ada benda yang tak kena dengan menantu mak," pintas Puan Suhaila. Belakang tubuh Inara diusap lembut.
Mendengarkan itu, Inara hanya mampu tersenyum kelat. Tiada diksi yang mampu diujarkan lagi tatkala Puan Suhaila dapat membaca isi hatinya. Ingin sekali Inara bertanyakan tentang Aisar kepada ibu mertuanya. Namun, mulutnya bagaikan terkunci saja saat ini.
Inara tersentak saat tangannya ditarik oleh seseorang yang baru muncul di sebelahnya. Tangannya terus dibaluti dengan ais. Seketika, Inara mengalihkan pandangannya ke wajah si figura yang sedang mengenggam tangannya. Ada riak resah terpancar di laman wajah Aisar yang sesekali meniup tangan Inara.
"Kita pergi hospital, nak?" soal Aisar.
"Buat apa? Aku bukannya sakit kritikal pun."
"Entah abang tu. Bukannya Kak Nara sakit kritikal pun. Nanti dah sapu krim dan balut luka melecur tu eloklah nanti. Nah, ambil ni," ujar Airis seraya menghulurkan krim dan kain anduh kepada abangnya.
Tanpa berlengah, Aisar terus menyambut huluran Airis seraya menarik Inara memasuki kamar. Melihat tindakan spontan Aisar membuatkan Inara jadi kejang. Malu melihat pandangan Airis yang seakan-akan mengusik. Manakan tidak, tangan Inara hanya melecur. Tapi, kerisauan Aisar seolah-olah Inara menerima luka yang parah saja.
"Tak apa. Aku boleh buat sendiri. Kau pergilah borak dengan bapa. Mesti bapa rindukan anak lelaki dia yang dah balik. Aku okey," kata Inara seraya melabuhkan duduknya di birai katil. Tangannya yang sedang digenggam oleh Aisar ditarik lembut.
Aisar tidak mengendahkan omongan Inara. Anak matanya tunak memandang kura tangan Inara. Krim disapu dengan lembut di kawasan yang tercedera. Sesekali, Aisar meniup tangan Inara. Ada rasa kesal membiarkan Inara tercedera hari ini.
Suasana begitu kekok bagi Inara. Bibirnya diketap. Degupan jantungnya kembali dipalu tatkala tubuh Aisar begitu dekat dengan dirinya. Muncul lagi perasaan aneh yang membuatkan Inara keliru. Pupilnya tunak merenung wajah Aisar yang sedang merawat tangannya. Sungguh, Inara merindui Aisar Mumtaz.
Setahun.
Selama itu, Inara cuba menerima takdir bahawa Aisar sudah pergi buat selamanya. Namun, kini takdir berkata lain. Kerana takdir jugalah, mereka bersatu.
"Mesti kau dah jatuh cinta dengan aku. Sebab tu kau pandang aku tak berkelip. Kan?" usik Aisar sambil membalut tangan Inara. Dia tersengih menampakkan gusinya.
"Ma... mana ada aku pandang kau! Perasanlah kau ni!" tegas Inara. Pandangannya terus dialihkan dari memandang raut wajah Aisar.
"Memanglah aku perasan. Dah lama aku perasan sejak aku terima nikahnya Nur Inara binti Rosham."
Usikan Aisar semakin membuatkan Inara tak keruan. Bagaikan ada isi yang tersirat di sebalik bicara pemuda itu. Jadinya, Inara hanya mampu diam. Hanya kipas yang ligat berputar saja kedengaran. Bersama suara keluarga Aisar yang sayup-sayup kedengaran di ruang tamu.
Perlahan-lahan, Inara menarik tangannya yang sudah siap dibalut oleh Aisar. Tak betah tangannya terus berada dalam genggaman jejaka itu.
"Kau tahu kan... aku tak suka tengok kau sakit. Melecur sikit pun aku tak boleh relaks. Kalau kau cuai lagi... aku ikat tangan dan kaki kau dari buat kerja," tegas Aisar.
Inara tertawa kecil dengan ketegasan suaminya. Dia kembali menatap wajah Aisar. Melihat Aisar paranoid benar-benar mencuit hati Inara. Ya, Inara tahu Aisar tidak suka melihat dia sakit. Buktinya, Aisar jualah yang menjadi penderma hati buat Inara. Memberikan Inara peluang kembali sembuh daripada barah hati.
"Dah lama aku tak tengok kau gelak. Rasa sejuk hati aku tengok bidadari yang Allah kurniakan kepada aku ada depan mata," kata Aisar bersama senyuman manisnya. Tatapan mata Inara yang redup membuatkan Aisar jatuh cinta berkali-kali.
"Aisar... boleh tak aku nak minta tolong?"
"Tolong apa? Nak aku dodoikan kau sambil nyanyi lagu twinkle-twinkle little star? Boleh. Demi kau... aku sanggup buat apa saja," kata Aisar.
"Bukanlah!"
"Okey. Dah tu? Kau nak aku jadi penglipur lara..."
"Aku nak kau jelaskan hal yang sebenar kepada aku. Satu perkara saja pun jadilah. Tolong Aisar. Aku tak nak terus tertanya-tanya. Cukuplah... kau bagi tahu aku kenapa kau gantikan tempat Zulfan. Aku perlukan jawapan," pintas Inara. Menyatakan hal yang tersirat di lubuk hatinya.
Mendengarkan itu, Aisar terus mengalihkan pandangan dari menatap wajah isterinya. Pujukan Inara dengan suara yang sengaja dilunakkan benar-benar menggetarkan hati Aisar.
"Aisar... aku berhak tahu kenapa Zulfan batalkan perkahwinan kami. Kenapa kau yang gantikan tempat dia? Tolonglah nyatakan yang sejujurnya," tambah Inara lagi. Perlahan-lahan, tangannya diangkat. Ingin mengelus wajah Aisar. Meyakinkan dirinya bahawa Aisar memang wujud. Ini bukan bayangannya.
Namun, tangan Inara terbejat. Masih ada rasa kekok tatkala hubungan persahabatan yang dibina selama 23 tahun akhirnya menjadi hubungan suami isteri. Makna Aisara itu sendiri sudah berubah. Bukan lagi mengenai persahabatan di antara dua insan.
"Aku tak nak kau kecewa..."
"Tak! Aku tak akan kecewa. Aku dah bersedia dengan segala penjelasan daripada kau. Tolonglah Aisar. Kalau kau tak nak bagi tahu aku pasal kematian palsu kau, jelaskan kepada aku tentang pernikahan kita," pintas Inara. Suaranya berubah tegas.
Aisar memalingkan kepalanya menghadap semula wajah Inara. Dia sangat mencintai Nur Inara. Aisar tidak tega menyakiti Inara. Namun, melihat pandangan Inara yang penuh dengan pengharapan membuatkan Aisar jadi lemah.
"Okey. Tapi... aku nak kau dengar penjelasan aku ni baik-baik. Jangan letak salah faham dalam diri kau. Tak ada sesiapa yang salah dalam hal ini. Kau, aku mahupun Zulfan. Kita bertiga tak salah. Takdir yang dah menentukan segalanya. Janji dengan aku, kau akan terima apa saja yang dah berlaku," kata Aisar. Ada nada autoriti di sebalik bicaranya. Jari kelingking dihalakan ke arah Inara.
Lambat-lambat, Inara menghalakan jari kelingkingnya ke jari kelingking Aisar. Jari mereka bertaut. Omongan Aisar yang berbaur ketegasan benar-benar membuatkan Inara terkelu.
"Sebenarnya, Zulfan... orang pertama yang tahu aku masih hidup. Itu pun, dia tahu sebulan sebelum tarikh pernikahan kau orang. Dia marah. Dia kecewa sebab aku palsukan kematian aku. Zulfan kata... sejak hati aku ada dalam tubuh kau... hati kau seolah-olah beralih arah," tutur Aisar.
Anak mata Inara terus membuntang dengan kebenaran itu. Fikirannya terus mengimbas detik Zulfan seakan-akan menjauhkan diri daripadanya ketika hari pernikahan mereka menjelang tiba. Inara hanya bersangka baik. Lebih baik tidak bertemu sebelum hari pernikahan. Namun, siapa sangka di sebalik sikap dingin Zulfan, bekas tunangnya itu sedang merancang sesuatu.
"Zulfan kata... kau asyik sebut pasal aku. Setiap perbualan kau orang mesti ada nama aku. Zulfan sendiri tak tahu sama ada kau sedar ataupun tak. Tapi, satu hal yang Zulfan perasan. Kau... harapkan aku wujud dalam hidup kau. Kenapa Nara? Bukankah cinta kau hanya untuk Zulfan?"
Aisar mula memanipulasikan keadaan tatkala penjelasannya berkait dengan perasaan Inara. Segaris senyuman terukir di bibir pemuda itu. Seolah-olah ada jawapan di sebalik roman wajah Inara.
Pandangan isterinya yang mula beralih seakan-akan memberikan jawapan kukuh. Inara tidak mahu menatapnya tika ini. Bahkan, Inara terus berpeluk tubuh. Seakan-akan sedang menutup hal yang sebenar.
"Sebab tu... Zulfan mengalah. Aku pun tak sangka dia buat keputusan mengejut dua jam sebelum kau orang menikah. Mula-mula, aku tak nak terima keputusan dia. Semua ni tak masuk akal. Tapi... aku merasakan bahawa... perasaan kita sama Inara. Hanya kau yang menidakkan apa yang kau rasa saat ini," tambah Aisar lagi.
"Menidakkan? Apa yang kau cakap? Aku..."
"Kau cintakan aku, bukan Zulfan lagi. Kan? Kalau kau tak cintakan aku... kenapa kau terima? Kenapa kau masih layan aku dengan baik? Maaf kalau kau rasa kami berdua permainkan perasaan kau. Tapi... aku cuma mahu kita bersatu. Aku nak kita menua bersama-sama, Nara," luah Aisar seraya bangun dari duduknya. Dia tak betah mahu berhadapan dengan Inara tatkala semuanya sudah terluah. Aisar mahu Inara menghadamkan semua penjelasan itu.
Sepeninggalan Aisar, Inara merasakan dinding hatinya dijentik dengan sebuah kepahitan. Dia mencintai Aisar? Apa benar itu yang sedang dirasakannya saat ini? Semuanya berlaku secara drastik! Manakan tidak, selama ini, Inara hanya mencintai satu nama.
Zulfan Ridhwan!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top