BAB 2

"EH, kau orang dah dengar ke berita hangat dekat kampung kita?" soal Puan Jaslin. Dua tin ikan sardin diletak ke dalam bakul. Sesekali, pandangannya bersatu dengan Puan Rogayah yang turut berbelanja di Kedai Runcit Pak Misai.

"Pasal budak Aisar tu mati hidup semula ke?"

"Ada lagi yang lebih hot selain itu, Gayah oi!" kata Puan Misna pula. Wanita yang ralit mendengar bicara Puan Rogayah dan Puan Jaslin lantas menerpa.

"Dah tu pasal apa pula?" soal Puan Rogayah sambil menggaru rambutnya yang diikat sanggul.

"Ish... kau biar betul tak tahu yang suami Nara sebenarnya orang lain. Sepatutnya... suami dia budak bandar tu hah! Apa entah nama budak tu. Fan? Ufan? Usman? Hah tak tahulah! Apa yang penting... orang kaya tu yang sebenarnya menikah dengan Nara. Tapi entah apa jadi sampai Aisar kena ganti tempat orang kaya tu," jelas Puan Jaslin. Nada suaranya penuh bersemangat. Menjajah cerita mengenai pernikahan Aisar dan Inara semalam.

"Oh... si Aisar tu dah jadi pak sanggup pula ke?" soal Puan Rogayah. Ada riak kaget terpancar di wajahnya.

"Macam tulah yang aku faham. Kesian budak Aisar tu. Sebab kawan baik dia... tak pasal-pasal kena jadi pak sanggup. Dia tak tahu ke nama dia akan dijajah kalau benda ni tersebar?" kata Puan Misna. Kepalanya digeleng-gelengkan dengan nasib malang yang menimpa Aisar.

"Kau macam tak tahu budak tu mabuk kepayang dengan Inara. Dari kecil lagi dia orang rapat. Apa saja si Aisar tu sanggup buat termasuk jadi pak sanggup..."

Tak semena-mena, Puan Rogayah kematian diksi. Anak matanya tertancap ke arah dua figura yang sudah berdiri di belakang Puan Misna. Matanya serta-merta membuntang melihat raut wajah si pemuda yang sudah tersenyum sinis ke arahnya. Kaget!

"Menariknya kau orang mengata suami..."

"Opocot sila meninggal!"

Tak semena-mena, Aisar terbahak-bahak melihat Puan Misna sudah melatah dengan sergahan Inara. Wanita bertudung selendang putih yang menampakkan ubun-ubunnya terus mengetuk kepalanya bertubi-tubi. Puan Misna kalih memandang figura yang menyergahnya. Hampir luruh jantung Puan Misna melihat wajah Aisar.

"Mak cik tu yang sila meninggal! Dah tua pun tak sedar diri. Ni... dah tempah kain kafan tak? Kalau belum, sila bawa bertaubat ya," tegas Inara. Wajah ketiga-tiga penjajah cerita dipandang silih berganti. Sungguh, omongan mereka sebentar tadi mencabar kesabaran wanita muda itu.

"Kau jangan nak biadab..."

"Saya tak akan biadab kalau orang tak kacau saya! Apa agaknya yang mak cik bertiga dapat bila mengumpat? Seronok ke jajah cerita orang? Pak sanggup? Fakta mana mak cik bertiga dapat? Huh?" pintas Inara sambil berpeluk tubuh. Menyesal pula dia ke kedai Pak Misai bagi membeli bahan membuat kuih bingka. Manakan tidak, Kedai Runcit Pak Misai sentiasa menjadi pertemuan persatuan bawang.

"Dah memang jelas dalam kad jemputan tu. Nama pengantin lelaki bukan Aisar Mumtaz. Tapi orang lain. Kenapa? Orang kaya tu lari sebab tak nak kahwin dengan budak kampung macam kau ke? Baguslah tu! Sekurang-kurangnya, dia sedar yang isteri tak jadi dia ni orang kampung saja! Tak setaraf!" cemuh Puan Rogayah.

"Mak cik... jaga sikit mulut tu. Kalau mak cik tak tahu hal yang sebenar, baik mak cik tutup mulut. Mak cik tak berhak nak hina isteri saya. Jangan sampai hormat saya dekat mak cik hilang pula," tegas Aisar. Tanpa berlengah, tangan Inara ditarik keluar dari kedai. Suasana yang semakin hangat itu bisa mencetuskan peperangan bila-bila masa saja.

Namun, Inara tiba-tiba mengeraskan tubuhnya. Gegendang telinganya menangkap lagi suara salah seorang daripada pengumpat. Kepalanya terus dikalih memandang tiga figura yang masih ralit mengumpatnya dan Aisar. Nafas panjang dihela. Segaris senyuman sinis terukir di bibir.

"Memang... dalam kad kahwin tu bukan nama Aisar Mumtaz yang tertulis. Tapi... itu tak menjadikan yang suami saya ni pak sanggup. Saya sendiri yang terima Aisar. Sebab saya cintakan Aisar. Jadi, itu hak saya untuk terima siapa yang layak menjadi suami saya. Mak cik bertiga tak payahlah nak jajah cerita sampah ni ya?" tegas Inara. Dia menonong keluar dari Kedai Runcit Pak Misai. Tak betah berhadapan mereka lagi.

Tika itu, Aisar kejang. Wajahnya seakan-akan ditampar kuat. Hanya langkahnya saja membuntuti Inara yang sedang memakai helmet. Kaget! Itulah pertama kali Inara mengujarkan perkataan cinta buatnya. Sudah tentunya hati Aisar tak keruan. Luahan hati Inara itu benar-benar kedengaran tulus.

"Maaflah, aku terpaksa buat semua tu. Sebelum kau terbuai dengan kepalsuan aku tadi, aku nak kau tahu satu benda. Perasaan aku... hanya untuk Zulfan. Kau pula... jangan buat aku meluat bila kau terus sembunyikan hal yang sebenar. Jangan sampai aku suruh kau ceraikan aku!" tegas Inara seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Aisar.

Tubuhnya dipeluk. Amarah benar-benar menguasai dinding hati Inara sehingga tiada langsung tapisan di sebalik bicaranya.

"Cerai? Kau nak aku ceraikan kau?" soal Aisar. Menguji Inara yang sudah menggores hati kecilnya. Aisar sedar dia salah. Terlalu besar kesalahan yang dilakukan tika ini. Tapi, semakin Inara membandingkannya dengan Zulfan, Aisar tercabar!

"Why not? Aku tak cintakan kau. Jangan paksa..."

Tak semena-mena, Inara kematian diksi tatkala tubuhnya sudah sejengkal dengan Aisar. Dari ekor mata, Inara dapat merasakan Aisar sudah mendekatkan wajah mereka. Wangian maskulin yang menusuk rongga hidung Inara benar-benar membuatkan wajah Inara membahang panas.

"Aku tak akan paksa. Aku tahu aku tak layak untuk kau. Tapi... aku akan buat kau jatuh cinta dengan Aisar Mumtaz. Cepat atau lambat... kau akan lupakan Zulfan dan serahkan cinta kau buat aku. Jadi, aku tak akan ceraikan kau Doktor Inara. Hanya kematian yang boleh pisahkan kita," bisik Aisar tepat di telinga Inara. Ada ketegasan di sebalik bicaranya.

Sontak, Inara terus mengalihkan wajahnya ke hadapan. Saat itu juga, Inara merasakan nafasnya tersekat di rangkungan. Tubuhnya kejang. Wajah Aisar yang hanya sejengkal dengan wajahnya benar-benar membuatkan Inara tak keruan.

Bahkan, omongan Aisar yang menusuk ke relung hati Inara seakan-akan membuatkan wanita itu terpukau. Hilang sudah kemarahan yang dicetuskan oleh persatuan bawang Kampung Sri Wangi sebentar tadi.

KELUHAN berat terlepas dari bibir tatkala panggilannya sengaja diputuskan. Cuaca redup pada petang itu tidak mampu memberikan ketenangan buat Inara. Manakan tidak, Zulfan sentiasa mengelak dari menjawab panggilannya.

Aisar pula masih mahu berteka-teki di sebalik kehilangannya. Bahkan, Inara masih memerlukan penjelasan kukuh berkaitan pernikahannya dan Aisar! Bukannya Inara tidak bertanya. Tapi, Aisar Mumtaz tetap dengan jawapan kukuhnya.

"Tak baik tanya kenapa aku boleh jadi suami kau. Mempersoalkan takdir, kenapa kau tak jadi kahwin dengan Zulfan. Jawapannya dah jelas. Tapi kau menidakkan. Menidakkan yang jodoh kau bukan dengan Zulfan. Jodoh kau dengan Aisar Mumtaz."

Jadi, Inara membuat keputusan untuk berhenti bertanya. Inara tidak mahu menjadi singa yang kelaparan. Mengaum seakan-akan ingin membaham mangsanya. Jawapan Aisar itu benar-benar jawapan yang sangat menyakitkan hati Inara!

Langkah diatur masuk ke dalam rumah. Tak ada gunanya jika Inara terus menyesakkan fikirannya. Inara hanya mahu pulang ke Kuala Lumpur dan kembali meneruskan tugasnya sebagai doktor pediatrik. Mahu menyibukkan dirinya dan melupakan masalah ini buat sejenak.

"Kalau Aisar boleh bagi tahu mak dan bapa hal yang sebenar... kenapa susah nak bagi tahu Nara? Dia berhak tahu pasal Aisar. Kesian mak tengok bini kamu tu. Pengantin baru sepatutnya berseri. Ni... dah tiga hari Nara asyik mengelamun. Jangan buat Nara macam tu, Aisar. Mesti dia tertanya-tanya pasal semua ni."

Tika perihal dirinya menyapa deria pendengaran, langkah Inara terbejat di muka pintu. Akal mengarahkannya untuk statik berdiri dan mendengar saja perbualan anak beranak itu. Sesekali, angin petang yang bertiup kencang menyapa tubuh Inara.

"Ya, mak. Aisar pun tak nak Nara tertekan. Tapi... Aisar sendiri perlukan kekuatan untuk sampaikan hal yang sebenar. Setahun. Dalam jangka masa tu... terlalu banyak benda yang jadi dekat Aisar. Demi keselamatan keluarga kita. Keselamatan Inara."

Saat kebenaran itu dirungkaikan, kaki Inara jadi lembik. Perlahan-lahan, duduk dilabuhkan di atas kerusi yang terletak di beranda rumah Encik Yusof. Terasa kelat liur di rangkungannya. Omongan Aisar benar-benar menusuk tangkai hati Inara. Kaget!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top