BAB 15

"HEY, siapa nama awak?" soal Inara sebaik saja seorang kanak-kanak perempuan melabuhkan duduk di atas kerusi pesakit. Senyuman manis terukir di bibir doktor berbaju kurung biru. Laporan yang dihulurkan oleh jururawat dicapai.

"Maaf doktor, anak saya bisu. Dia tak boleh mendengar dan bercakap," ujar Puan Wati.

Inara sedikit tersentak dengan penjelasan waris pesakit. Kornea matanya yang ligat membaca laporan ditumpukan semula kepada budak perempuan bergaun merah jambu. Rambutnya ditocang. Wajahnya manis dengan senyuman. Membibitkan rasa senang di sudut hati Inara.

Comel!

"Mengikut laporan, anak puan ada masalah pernafasan. Boleh saya tahu, anak puan ada masalah kesihatan seperti asthma ke?" soal Inara seraya mengenakan stetoskop di kedua belah telinganya. Mahu memeriksa tekanan jantung gadis kecil bernama Syifa.

"Anak saya tak ada asthma. Cuma sejak dua menjak ni, saya rasa ada yang tak kena bila dia selalu menangis kesakitan. Sakit dada katanya. Kadang-kadang tu dia semput. Dah dua hari dia demam. Itu yang saya terus bawa dia ke hospital," jelas Puan Wati sambil mengusap lembut rambut anak kecilnya.

Tekanan jantung Syifa yang berdegup laju dan nafas yang seakan-akan sempit, memberikan informasi kepada Inara. Gadis kecil itu mempunyai tanda-tanda keradangan paru-paru. Ditambahkan pula dengan penjelasan daripada Puan Wati. Inara terus mencatat kondisi pesakitnya di atas laporan.

"Memandangkan anak puan tak ada asthma... tapi ada gangguan pernafasan, anak puan perlu mendapatkan x-ray bagi memeriksa keadaan paru-parunya. Sebab, anak puan ada tanda-tanda pneumonia," jelas Inara seraya menyangkut stetoskopnya di leher. Wajah Puan Wati yang mula kelihatan resah dipandang.

"Pneumonia? Anak saya sakit kritikal ke doktor?" soal Puan Wati.

"Ya, pneumonia atau dikenali sebagai keradangan paru-paru. Penyakit ni memang boleh membawa maut jika tidak dirawat. Yalah, penyakit ni melibatkan saluran pernafasan seseorang. Pneumonia boleh terjadi akibat jangkitan paru-paru seperti kuman dan virus. Tak apa, kita buat pemeriksaan x-ray dulu. Puan jangan risau," jelas Inara dengan nada yang lembut. Ada pujukan yang diselitkan di sebalik bicaranya bagi menenangkan Puan Wati.

Lantas, Puan Wati terus berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat kepada anak kecilnya. Sesekali, gadis kecil itu mengangguk-angguk. Wajah Inara turut dipandang bersama dengan kerdipan matanya. Tangan kanan diletakkan di bibir lalu digerakkan ke hadapan. Mengucapkan terima kasih dalam bahasa isyarat.

Dengan sedikit pengetahuan mengenai bahasa isyarat, Inara tersenyum seraya membalas dengan membuat tanda Y pada tangan kanan dan digerakkan ke depan dan belakang. Menandakan ucapan sama-sama.

BERPANDUKAN titik GPS berwarna merah yang berkelip-kelip di skrin telefon pintarnya, Aisar berhenti di sebuah bangunan usang yang dipenuhi dengan rumput-rumput yang tumbuh meliar. Cat juga kelihatan terhakis dengan lumut yang menjalar di segenap dinding.

Aisar menanggalkan helmet seraya melangkah turun dari Ducati. Anak matanya meliar memerhatikan sekeliling. Sebaik mungkin, Aisar dalam posisi berjaga-jaga daripada serangan hendap musuh.

Masalahnya dengan si bajingan yang sudah menganggu ketenteramannya bersama Inara belum selesai. Semalam, Aisar sengaja melepaskan si penjahat selepas melekatkan cip di pakaian si antagonis. Melalui cip tersebut, Aisar berjaya menemui bangunan yang akan menemukannya semula dengan seterunya itu.

Dengan langkah berhati-hati, Aisar memasuki bangunan yang kelihatan sunyi itu. Sayup-sayup, kedengaran suara beberapa orang lelaki sedang bermain daun terup di dalam bangunan. Ada bunyi tawa yang saling bersatu dengan suara makian.

"Nampaknya, dia orang tengah mabuk ganja tu kapten. Aku tak rasa dia orang waras kalau kapten nak hadap pelesit tu semua," kata Halim yang sedang mengawal alat kawalan jauh drone yang turut mengelilingi bangunan tersebut.

"Jadi kita salah timing?" soal Aisar melalui earpiece di telinganya.

"Bukan kita yang salah timing. Dia orang yang salah timing hisap ganja pagi-pagi yang ceria ini. Aku dah call pihak berkuasa. Kalau kapten nak mulakan langkah dulu, ajaklah sekali!" ujar Halim dengan nada penuh autoriti. Risau kalau Aisar membuat tindakan melulu.

Aisar mencebik. Topi yang berada di pegangannya dipakai. Hujung topi ditundukkan sedikit agar figura-figura itu tidak menyedari kehadirannya. Biarlah dia yang berhadapan mereka terlebih dahulu.

Semenjak kes si 'halimunan' tahu kebenaran mengenai kematian palsunya, Aisar sudah tidak mampu berdiam diri. Dia risau jikalau Inara menjadi mangsa. Lantas, langkah kembali diatur bagi mencari bukti daripada musuhnya.

"Aku gerak dulu. Apa-apa, roger and out! Biar aku alihkan perhatian dia orang satu per satu. Macam yang kita dah bincangkan, mesti dia orang ada kunci mengenai serangan ke atas datuk," tegas Aisar seraya melajukan langkahnya. Menyisip di celah-celah dinding bersama stamina yang mula dalam keadaan bersedia.

"Kapten! Tunggulah kejap! Kapten jangan buat apa-apa yang memudaratkan. Kesian Doktor Inara kalau ada benda buruk jadi dekat suami dia."

"Kepala otak kau ugut aku guna bini aku!" tegas Aisar dalam keadaan berbisik. Geram tatkala Halim mengungkit perihal Inara.

Halim terkekek di dalam talian. Seronok mengenakan pengantin baru yang hanya mementingkan pekerjaan. Lantas, melalui skrin alat kawalan yang menjadi petunjuk, Halim mengikut gerak geri Aisar.

"Hutang aku bila kau nak bayar?" jerkah seorang lelaki bertatu ular di bahu kirinya. Matanya yang merah melotot ke arah rakannya yang sedang mengesat hidung dengan belakang tangan. Masih dalam keadaan khayal.

"Hutang? Aku dah bagi adik aku dekat kau... tu pun kau tak puas lagi ke?"

"Hoi sial! Adik kau tu bos dah jual dengan lelaki..."

Melihatkan suasana mula tegang, Aisar terus menghampiri mereka sambil bertepuk tangan. Seakan-akan menyaksikan drama sebabak yang berkisahkan mengenai penagih dadah. Bibirnya terherot sinis. Bebola matanya menatap wajah kelima-lima lelaki yang kelihatan kaget dengan kedatangan Aisar secara mengejut.

"Alamak! Janganlah pandang macam nak terkam! Sambunglah lagi perbincangan eh pergaduhan kau orang. Dah habis, bawa aku kepada ketua kau orang pula," kata Aisar seraya memasukkan tangan kanannya ke dalam kocek seluar. Seolah-olah, tiada bahaya yang menantinya tika itu.

"Kau siapa?" soal salah seorang daripada mereka.

"Aku? Cuba tanya kawan kau yang tengah hisap ganja tu. Mesti dia kenal aku ni siapa," jawab Aisar seraya menghalakan jarinya ke arah seorang lelaki bertubuh keding. Kelihatan lelaki itu sedang ralit dengan khayalannya.

"Kau nak buat apa jumpa ketua aku? Baik kau cakap kau ni siapa?" jerkah si lelaki bertatu ular seraya mencekak kolar baju Aisar.

Aisar mencebik sinis. Bau tengik si penagih dadah menusuk rongga hidung Aisar. Busuk! Sebusuk hati si durjana yang mengucar-ngacirkan hidup Aisar semenjak setahun yang lalu.

"Jawablah!" jerkah si lelaki seraya menghayunkan tumbukannya ke wajah Aisar. Malangnya, Aisar lebih tangkas mengelak dengan mengenggam buku lima yang hampir mencacatkan wajah tampannya.

"Jangan main kasar dengan aku kalau kau tak nak muka kau atas tapak kasut aku! Kau nak sangat tahu aku ni siapa, kan? Aku Aisar Mumtaz. Calon orang kanan tak jadi ketua kau," jawab Aisar dengan suara yang mendatar. Tangan si lelaki lantas dipulas ke belakang sebelum tendangan kuat ditujahkan di belakang si penjahat.

Akibatnya, si penjahat mengerang kesakitan tatkala tangan kanannya yang hampir memukul Aisar dipatahkan. Nampaknya, pemuda asing itu benar-benar mahu mencetuskan sebuah peperangan!

"Jahanam! Serang dia!" jerkah si lelaki bertatu seraya menggagau pisau yang berada di poketnya. Dia bangkit seraya meluru ke arah Aisar. Berani-beraninya pemuda itu mematahkan tangannya sekelip mata! Selama ini, tiada lagi yang berani mencelakainya seperti Aisar.

Nota: Ebook ini hanya akan dimuatnaik sehingga 15 bab sahaja

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top