BAB 14

DERUAN angin pada dini hari menggigit hingga ke tulang hitam. Malahan, suasana tegang yang sedang berlaku menambahkan lagi aura dingin di seluruh persekitaran yang kelihatan sunyi.

Serentak dengan itu, langkah Aisar semakin laju menuruni anak-anak tangga kecemasan. Anak matanya dipusatkan ke arah figura serba hitam yang baru saja melepaskan tembakan ke arahnya sebentar tadi.

Sesekali, si figura melepaskan tembakannya ke arah Aisar. Pemuda yang dapat membaca serangan musuh terus mengelak sehingga peluru tersasar ke arah pemegang tangga. Bunyi besi berdenting bertubi-tubi kedengaran. Efek daripada tembakan musuh dan Aisar silih berganti. Setibanya di tingkat empat, Aisar terus bertindak gila dengan melompat melepasi pemegang tangga seraya menghalang penyerangnya dari melarikan diri.

Sontak, si penyerang kematian langkah. Di sebalik topengnya, matanya sudah membuntang dengan aksi berani mati Aisar itu. Buru-buru, musuh mengacukan senjata ke arah Aisar. Picu ditarik. Namun, belum sempat tembakan dilepaskan, Aisar terlebih dahulu menujahkan tendangan ke lengannya. Sekali lagi, musuh terlepas sasaran.

"Sial!" cemuh si antagonis seraya menghentakkan lututnya ke perut Aisar.

Malangnya, Aisar terlebih dahulu bertindak dengan membentes betis musuh. Mematahkan terus serangan musuh. Malahan, Aisar terus menghayunkan tendangannya ke pinggang seteru sehingga seteru itu tersungkur di belakang dinding.

"Jadi, kau orang dah tahu aku masih hidup? Hah!" marah Aisar seraya meluru ke arah musuh yang sedang membetulkan posisi. Baju seterunya dicekak. Air muka Aisar berubah tegang dengan nafas yang turun naik melepaskan amarah. Sorotan mata Aisar berubah galak.

"Kau... tak boleh lari... daripada bos aku! Bos... tak akan biarkan kau hidup... aman! Bini kau tu... tak akan hidup lama... selagi kau tak ikut... apa yang bos mahukan!" bentak musuh. Dia cuba mengatur nafasnya yang terasa sesak di dada. Penangan Aisar sangat padu sehingga dia merasakan pinggangnya dipatahkan sekelip mata!

Mendengarkan itu, Aisar terus mengetap giginya dengan kuat. Urat-urat hijau mula timbul di dahinya. Rahangnya bergerak-gerak seakan-akan kemarahannya sudah meletus. Ugutan musuh secara terangan benar-benar menyimbah minyak di sudut hati Aisar. Lantas, tangannya yang dikepal erat dilepaskan ke wajah seterunya.

"Jangan. Berani-berani. Cabar. Aku! Jangan. Berani. Sentuh. Isteri. Aku!" tegas Aisar. Satu per satu diksi dilafazkan sebagai penegasan.

Musuh ketawa sinis dengan ugutan Aisar. Darah yang mengalir di hidungnya dikesat dengan belakang tangan.

"Kau buang... tak... kotak yang aku... letak depan rumah... kau tadi?" soal si musuh tiba-tiba. Suaranya seakan-akan tersekat di rangkungan tatkala cengkaman Aisar di bajunya semakin ketat.

Tak semena-mena, jantung Aisar berdebar kencang dengan soalan musuhnya. Anak matanya terus dilarikan dari menatap wajah seteru. Tangannya yang mencekak baju musuh mula longgar. Kotak hitam yang berbau hanyir darah. Apa maksudnya?

"Dalam... kiraan 10, isteri kau... akan jadi kepingan-kepingan daging. Boom! Hancur..."

Aisar terus menghentak kuat kepala musuh dengan glock yang digenggam. Informasi yang disampaikan oleh musuh mula difahami oleh pemuda itu. Tanpa berlengah, Aisar terus meluru ke rumahnya semula. Meninggalkan seteru yang sudah tidak sedarkan diri di tepi tangga kecemasan. Gila! Mereka memang gila mahu menghancurkan kehidupannya!

INARA ke hulu ke hilir sambil terhinggut-hinggut tatkala ketakutan semakin mendominasi fikirannya. Air matanya mengalir deras tika itu. Jatuh tanpa hentinya.

Tubuhnya dipeluk erat. Bunyi tembakan yang dilepaskan sebentar tadi seakan-akan irama muzik yang mengucar-ngacirkan fikiran Inara. Sekejap dia keluar ke balkoni, sekejap Inara masuk dan akhirnya duduk dilabuhkan di atas sofa.

"Aisar..."

"Inara!"

Sontak, Inara bangun tatkala suara jerkahan kedengaran di luar rumah. Jantungnya seakan-akan luruh mendengar suara keras diiringi dengan bunyi ketukan bertalu-talu di luar rumah. Buru-buru, Inara melangkah seraya membuka pintu rumah.

"Kau pergi..."

Belum sempat Inara menoktahkan bicaranya, tubuhnya terus ditarik ke dalam pelukan Aisar. Serta-merta, Inara merasakan kakinya terpasak di atas bumi. Tubuhnya kejang dengan pelukan hangat suaminya. Detak jantung semakin berentak kencang.

Sungguh, Inara kaget dengan tindakan spontan Aisar. Rasa gusarnya hilang hanya dalam beberapa saat sahaja. Bahkan, Inara merasakan nafasnya tersekat di rangkungan. Begitu ketatnya pelukan Aisar sehingga Inara kelemasan.

"Aku rasa... nak mati... bila kau dalam bahaya, Nara," luah Aisar dengan nada yang bergetar. Perlahan-lahan, tubuh Inara ditolak lembut. Nafasnya turun naik dek kelelahan. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi pemuda itu. Wajah Inara ditatap dengan riak keresahan.

"Habis tu aku? Aku ni patung ke? Kau ingat... aku tak ada perasaan bila kau rahsiakan semuanya daripada aku? Kau ingat, aku tak takut ke dengan apa yang dah jadi tadi dan sebelum ni!" marah Inara seraya menumbuk dada bidang Aisar. Melepaskan amarahnya tatkala Aisar bertindak gila. Tatapan matanya terbias dengan kekecewaan.

Aisar terkelu dengan kemarahan Inara terhadapnya. Tatapan mata wanita itu seakan-akan merendam duka di lubuk hati Aisar. Air mata yang mengalir ke pipi Inara seakan-akan penyakit yang membuatkan Aisar kembali lemah.

"Aku ni siapa dalam hidup kau? Kenapa kau nak rahsiakan semuanya daripada aku?" jerkah Inara sekuat hati. Suaranya semakin bergetar sayu. Peristiwa dia kehilangan Aisar mula mejengah kotak memori.

Bukan mudah untuk Inara meredakan hatinya tatkala dia mengetahui Aisar sudah pergi. Meninggalkannya tanpa pamit. Hanya mendermakan hati kepada Inara agar dia kembali sihat. Tika semua orang merasakan seorang Nur Inara sudah bisa meredakan, tika itu juga hanya Inara yang tahu semuanya hanya kepura-puraan! Kerana Inara memerlukan Aisar untuk melengkapkan Aisara!

"Aku ni tak penting ke untuk kau? Sampai..."

"Sebab kau terlalu penting untuk akulah... aku terpaksa palsukan kematian aku, Nara. Sebab aku nak kau terus hidup dan sihat bersama hati yang aku hulurkan kepada kau," pintas Aisar seraya mengesat lembut air mata isterinya. Senyuman pahit terukir di bibir Aisar. Cuba memujuk hati gundah pemilik hatinya.

"Aku akan bagi tahu semuanya kepada kau. Tapi bukan sekarang. Kau perlukan rehat. Aku tak nak kau sakit. Jangan risau pasal tadi. Kita sama-sama tertipu. Dia orang cuma nak lemahkan kita. Tapi... selagi aku hidup, aku tak akan biarkan sesiapa sentuh kau. Walau sehelai rambut sekali pun. Aku janji!" pujuk Aisar. Tangan kanan diangkat tanda berjanji.

Nafas panjang dihela. Lega tatkala melihat Inara masih bisa berdiri. Biarlah Inara menjerkah dan memarahinya. Asalkan, Aisar masih bisa menatap wajah Inara. Hanya itu yang Aisar mahu.

Tatkala itu, Inara hanya kaku. Pujukan Aisar bersama suara yang menenangkan benar-benar memujuk hati gundah Inara. Kepalanya terus tertunduk. Menekur tangan kanannya yang sudah mengenggam tangan Aisar. Ya, Inara perlukan rehat. Inara terlalu lelah memikirkan persoalan yang tiada penamatnya. Dengan harapan, hari esok sinar bahagia masih memancar di antara Aisara.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top