BAB 10

"MACAM mana dengan keadaan datuk? Ada apa-apa perkembangan?"

Figura yang sudah berdiri di hadapan, membuatkan tiga orang pengawal peribadi Datuk Sri Lee terpinga-pinga. Seolah-olah, pemuda berjas hitam berwajah tegang di hadapan mereka hanya ilusi.

Lim sudah melopongkan mulutnya, Halim menenyehkan matanya, Jeremy pula sesekali memandang wajah Fahad yang sedang bersandar di belakang dinding luar unit rawatan rapi.

"Lim! Kau nak aku sumbat mulut kau dengan stoking ke? Halim, kau nak aku tumbuk mata kau baru kau berhenti gosok mata? Jeremy! Jawab soalan aku. Macam mana dengan keadaan datuk?" tegas Aisar. Dahinya berkerunyut. Serta-merta, aura tegasnya mengembalikan ketiga-tiga rakan sejawatnya ke alam realiti.

"Kap... kapten buat apa dekat sini?" soal Jeremy, polos.

"Haah, bukan kapten tengah berbulan madu dengan Doktor Inara ke?" tambah Lim pula. Bersetuju dengan soalan polos rakannya.

Aisar tertawa sinis. Pelipis yang tak gatal digaru. Kepalanya digelengkan dengan kepolosan rakan-rakannya. Berbulan madu? Langsung tiada dalam perancangannya memandangkan perkahwinannya dan Inara berlaku sekelip mata. Apa yang Aisar tahu, marabahaya sedang menanti keluarga kecilnya tika ini.

"Kau orang rasa aku ada masa nak fikir pasal honeymoon lepas apa yang dah jadi dengan datuk?"

"Yalah! Orang dah kahwin patutnya ambil cuti dulu. Biar kita orang settle masalah. Lagi pun... kapten tak kesian ke dekat Doktor Inara? Tak sampai seminggu kahwin, dah kena tinggal suami. Ni... mesti Fahad bagi tahu kapten pasal datuk, kan? Hoi Fahad! Kan aku dah cakap jangan kacau cuti kapten!" kata Halim diselitkan dengan amarah buat Fahad yang hanya diam seribu bahasa.

"Aku hanya buat apa yang kapten suruh. Dia ketua aku. Bukan kau orang," jawab Fahad. Mempertahankan dirinya yang sedang dipersalahkan.

"Haish..."

"Sudah! Aku yang buat keputusan untuk turun. Tak payah salahkan Fahad. Sekarang waktu kerja. Jadi, aku tak nak kau orang campur adukkan hal isteri aku. Tahulah jealous. Jealous sebab single!" pintas Aisar seraya berpeluk tubuh. Sempat lagi Aisar mengusik kasar. Wajah ketiga-tiga orang rakannya dipandang silih berganti sebelum kepalanya dikalih memandang Cassandra yang hanya termenung.

"Gurau kasar ni kapten!" cemuh Halim. Tidak berpuas hati dengan gurauan kasar Aisar.

"Apa-apa pun, keadaan datuk masih kritikal. Sampai ke hari ini kita orang tak jumpa pelaku lagi. Aku rasa... semua ni ada kaitan dengan apa yang dah jadi dululah," kata Jeremy. Tubuhnya dipeluk erat. Tin Nescafe diteguk.

Mendengarkan itu, semua mata-mata mula tertumpu ke arah Jeremy. Bagaikan ada jawapan mengenai penyerang Datuk Sri Lee di riak wajah pemuda berambut blonde itu. Manakan tidak, sebut saja mengenai tragedi setahun yang lalu, sudah tentunya memberikan impak kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi Aisar yang seolah-olah diberikan peluang untuk menghirup udara kurniaan Ilahi.

"Pasal yayasan daddy lagi ke?" soal Cassandra dengan nada yang lirih. Tatapan sayu yang ditumpukan ke arah Jeremy terus beralih ke laman wajah Aisar. Namun, hanya seketika cuma. Hatinya remuk tatkala mengetahui pemuda dambaannya sudah bergelar seorang suami.

"Bukan. Kita sendiri tahu yang Abram dah mati. Cuma... datin masih hilang tanpa jejak dalam kemalangan itu. Maksud aku..."

Jeremy jeda.

Pandangannya beralih ke laman wajah Aisar. Sebagai seorang yang pernah berkecimpung dalam bidang penyiasatan, Jeremy seakan-akan dapat menginterpretasi bahawa kejadian majikannya diserang mempunyai kaitan dengan kematian palsu Aisar. Manakan tidak, semuanya seakan-akan saling bersangkut paut tika ini.

"Kau nak cakap semua ni ada kaitan dengan kematian palsu aku?"

"Bingo! Boleh jadi, musuh datuk dah tahu yang kapten masih hidup. Sebab tu... dia orang serang datuk untuk dijadikan sebagai ugutan. Satu lagi deduksi... dia orang mahu kapten berpihak kepada mereka. Macam yang kita sedia maklum," jawab Jeremy. Itulah dia kenyataan yang paling pahit untuk diterima.

Tak semena-mena, suasana berubah dingin. Hanya perbualan beberapa staf hospital yang lalu-lalang berhampiran mereka saja kedengaran. Bagaikan omongan Jeremy mempunyai butang menutup perbualan mereka serta-merta. Masing-masing mula mencantumkan persoalan mengenai masalah yang sedang membelenggu fikiran.

Aisar menghela nafas berat seraya bersandar di belakang dinding. Dagunya diusap lembut. Sontak, kejadian kelmarin menjadi babak ulang tayang di benak fikiran. Dia dan Inara tiba-tiba saja diserang hendap. Persoalannya, bagaimana penyerang tahu bahawa dia berada di kawasan itu tika hari kejadian berlaku?

Aneh!

Aisar merasakan bahawa seseorang sedang memerhatikannya dalam diam! Mustahil mereka diserang hendap jika tiada yang melaporkan mengenai kepulangannya ke Kuala Lumpur. Siapa lagi yang sedang menjadi musuh dalam selimut tika ini?

"Kenapa... ramai sangat orang nak... bunuh daddy? Apa salah daddy? Jahat sangatkah... daddy dekat dia orang sampai dia orang... nekad nak bunuh orang yang tak bersalah?" luah Cassandra seraya menekup wajahnya dengan kedua belah tangan. Jiwanya dihambat rasa sayu. Bibirnya mula menggeletar menahan tangis.

Aisar menghampiri Cassandra. Rasa simpati buat Cassandra kembali menjelma. Kasihan. Gadis itu hanya memiliki ayahnya saja. Hanya dengan Datuk Sri Lee saja tempat Cassandra mendomba kasih sayang. Perlahan-lahan, Aisar melabuhkan duduknya di sebelah Cassandra yang sedang ditenangkan oleh Raina. Pengurus gadis itu.

"Cik Sandra... saya tahu bukan mudah nak terima ujian ini. Saya tak ada dekat tempat cik. Saya tak tahu apa yang cik rasa. Cuma... banyakkan berdoa supaya datuk selamat. Cik tak boleh tewas selagi tak berjuang demi sebuah kemenangan," pesan Aisar. Memujuk hati walang anak majikannya.

"Musuh akan lebih puas menjatuhkan keluarga Cik Sandra kalau cik terus meratapi nasib. Kami semua ada untuk Cik Sandra. Jangan khuatir. Keluarga cik dipertanggungjawabkan kepada kami. Ini tugas kami sebagai bodyguard keluarga cik," tambah Aisar. Menanam ketenangan di dinding hati Cassandra. Hanya itu yang mampu Aisar lakukan selain melindungi Cassandra.

Mendengar suara tenang Aisar menjentik lagi rasa sayu di sudut hati Cassandra. Bahunya sudah terhinggut-hinggut melepaskan tangis. Esakannya kedengaran di kaki lima unit rawatan rapi. Perlahan-lahan, kepalanya dipanggung. Cassandra menatap wajah tegas Aisar Mumtaz.

Sungguh, nasihat Aisar seakan-akan menyedarkan Cassandra dari terus membiarkan dirinya jatuh. Bagaikan ada sinar untuk dia kembali bangkit. Ya, ini peperangan yang dicetuskan oleh musuh. Hanya dia harapan keluarga tika ini! Kalau itu rentak musuh, Cassandara akan cuba bangkit demi melindungi ayahnya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top