EPISOD AKHIR

SETAHUN KEMUDIAN...

RINTIK-rintik hujan gerimis bagaikan butiran peluru yang jatuh menyembah bumi. Sesekali, bunyi angin bertiup kencang menerpa deria pendengaran. Pepohon turut melambai-lambai mengikut arah angin. Sesekali, kilat memancarkan cahayanya berserta guruh yang berdentum kuat.

Di satu sisi, sebaik saja lampu dewan pembedahan berwarna hijau, sepasang suami isteri terus meluru ke arah pintu dewan pembedahan. Wajah mereka terlakar dengan kesayuan. Degupan jantung semakin kencang tatkala menanti hasil pembedahan anak kecil mereka yang berusia enam tahun.

"Doktor! Macam mana dengan keadaan anak kami? Dia selamat kan doktor? Kami buat keputusan yang baik dengan mendengar saranan doktor melakukan pembedahan kan? Anak kami boleh aktif seperti kanak-kanak lain lagi tak?" bertalu-talu soalan dilontarkan kepada Doktor Inara yang mengetuai pembedahan pada malam itu.

"Alhamdulillah. Anak puan dan encik selamat. Pemindahan hati yang dilakukan pun berjaya walaupun berisiko. Cuma buat masa ini, jangan bagi dia aktif. Pastikan dia betul-betul dah sembuh dan selesa dengan hati yang baru dulu," jelas Inara. Gadis yang masih mengenakan baju pembedahan itu turut menjelaskan prosedur yang perlu dilakukan oleh ibu bapa pesakitnya dalam merawat pesakit di rumah nanti.

Sungguh, Inara senang hati tatkala pembedahannya berjaya. Dia juga dapat menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang menghidap sirosis hati. Wajah senang ibu bapa pesakitnya membuatkan Inara tersenyum lebar.

Pemindahan hati pada hari itu merupakan tugasan terakhir buat Inara sebelum dia pulang ke kampung halaman. Doktor Irfan selaku majikannya memberikan Inara cuti selama dua minggu. Sempena perkahwinan Inara bersama pilihan hati gadis itu.

"Tahniah, doktor! Minggu depan dah jadi Puan Inara."

"Selamat pengantin baru, doktor!"

"Dah fikir ke nak berbulan madu dekat mana nanti?"

"Saya datang majlis resepsi doktor saja tau. Saya tak dapat cuti. Kecewanya hati tak dapat tengok Doktor Inara sah jadi isteri orang!"

Senyuman Inara semakin lebar sehingga menampakkan gusinya, tatkala staf hospital berpusu-pusu menghampiri dan memberikan ucapan ringkas kepadanya. Hadiah perkahwinan yang dihulurkan disambut dengan ucapan 'terima kasih'.

"Senang hati kita orang dapat tengok doktor sihat. Senyum pun makin manis. Seri pengantinlah katakan," usik misi Delina.

"Yalah tu. Sama sajalah dulu, kini dan selamanya. Saya tetap Inara yang kau orang kenal," kata Inara. Pipinya mula bertukar kemerahan. Segan apabila dipuji.

"Kita orang tumpang bahagia dengan doktor. Lama sangat kau orang tundakan perkahwinan. Semoga, perancangan kau orang berjalan dengan lancar kali ini," kata misi Zaskia pula.

"Amin!"

Serentak, mereka mengaminkan doa misi Zaskia. Masing-masing tahu masalah yang dilalui oleh Inara. Apabila masalah sudah selesai, sudah pastinya mereka bersyukur. Inara seorang doktor yang baik dan prihatin. Tidak sombong ketika bergaul meskipun pangkatnya lebih tinggi.

Hal itulah yang menyenangkan staf di wad pediatrik.

"Terima kasih di atas doa kau orang semua. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum," pamit Inara seraya melangkah ke ruangan rehat. Sudah tiba masanya untuk Inara merehatkan diri setelah hampir 24 jam dia bertugas.

Pintu loker dibuka. Kot putih ditanggalkan lalu disangkut di penyangkut almari. Ketika itu juga, sorotan mata bundar Inara tertancap ke arah sekeping gambar yang memaparkan dirinya yang masih berpakaian seragam sekolah bersama sahabatnya. Perlahan-lahan, senyuman manis Inara menjadi tawar.

"Sebab hati kau ada dalam tubuh aku... aku rasa kau juga masih ada di sisi aku. Lengkapkan hari-hari aku dengan Aisara. Sampai hati kau tak datang majlis aku nanti! Kau cakap... kau nak jaga anak-anak aku. Tapi apa? Kau memang suka mungkir janji ke? Dan sekali lagi kau..."

Inara terjeda.

Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Foto Aisar ditatap dengan sedalamnya. Ada rasa sebak yang menghurung sukma. Namun, segaris senyuman tetap mekar di bibir Inara.

"Sekali lagi, kau... tinggalkan aku tanpa ucapan selamat tinggal. Kenapa kau suka tinggalkan aku secara tiba-tiba?" desis hati Inara.

Seakan-akan, Aisar wujud di depannya. Mendengar segala luahan hatinya. Meskipun, perkara itu tidak akan pernah berlaku lagi. Aisar sudah pergi dan tak akan kembali.

Samar-samar, ruang memori Inara mengimbas kejadian setahun yang lalu. Duduknya dilabuhkan di atas bangku. Menenangkan diri yang dihurung hiba. Namun kali ini, Inara tidak mampu menangis lagi. Sejak hati Aisar ada dalam tubuhnya, Inara seakan-akan dapat menghalang air matanya dari tumpah.

Seakan-akan hati itu menghalangnya daripada menitiskan air mata. Walau setitis air mata sekalipun. Hati yang diberikan oleh Aisar kepada Inara juga seakan-akan mengajar Inara untuk menjadi seorang yang kental.

Surat khabar yang memaparkan foto Aisar dan sebuah gudang yang hangus dijilat api membuatkan Inara terhenyak di atas sofa. Tubuhnya menggeletar. Mulutnya ditekup seolah-olah tidak mempercayai dengan apa yang dibaca sebentar tadi. Nafasnya turun naik. Sesak. Dadanya terlalu sesak tika ini.

"Inara! Kenapa ni? Inara sakit ke?" soal Mustaqim yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah ibunya. Dia kaget melihat wajah pucat tak berdarah Inara. Duduk dilabuhkan di sebelah Inara.

"A... Aisar..."

Hanya satu patah perkataan saja yang mampu Inara ucapkan. Seluruh tubuhnya jadi kejang. Berita itu dieluarkan sebulan yang lalu. Namun, baru saat ini Inara tahu bahawa Aisar Mumtaz sudah pergi. Meninggalkannya sekali lagi tanpa ucapan selamat tinggal.

Mustaqim memandang surat khabar yang diletak di atas meja. Terasa kelat liur di rangkungannya saat itu. Nafas panjang ditarik lalu dihela perlahan-lahan. Surat khabar yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan Inara lantas dicapai dan diletak di belakangnya.

"Mana Nara jumpa..."

"Kenapa..."

Inara jeda.

Pandangannya beralih ke laman wajah Mustaqim. Dahinya berkerut. Hatinya sedang merintih pilu. Namun, air matanya tidak mampu mengalir. Aneh sekali keadaan ini. Seakan-akan hati barunya sedang memujuknya agar tidak menangis lagi.

"Kenapa semua orang rahsiakan hal yang sebenar daripada Nara? Kau orang tahu kan... Aisar tu penting dalam hidup Nara! Kau orang tipu Nara! Kau orang kata... Aisar bertugas di luar negeri. Tapi apa? A... Aisar dah..."

Inara jeda. Tidak sanggup menoktahkan bicaranya.

"Abang minta maaf. Kita orang cuma tak nak Nara bersedih. Nara baru saja pulih. Kita orang tak sanggup nak buat Nara sakit dengan berita pasal Aisar," pujuk Mustaqim. Rambut adiknya dielus lembut.

Inara terus menepis kasar tangan abangnya. Langkah diatur masuk ke dalam kamar. Inara mahu tidur. Dengan harapan, semua ini adalah mimpi buruknya saja.

"Nara! Dengar dulu apa yang abang nak jelaskan," tegas Mustaqim seraya menghalang langkah Inara. Air mukanya berubah galak dengan kemarahan Inara.

"Nara penat. Nara nak tidur. Mana tahu bila Nara bangun, Aisar hidup lagi. Abang jangan kacau Nara!" marah Inara. Tubuh abangnya ditolak kasar. Api kemarahannya semakin membuak-buak.

"Aisar Mumtaz dah tak ada Inara! Tapi hati dia, ada dalam tubuh Inara. Tak akan pernah mati melainkan Nara yang pergi!" tegas Mustaqim. Membongkarkan terus sebuah lagi rahsia yang disimpan.

Mendengarkan itu, langkah Inara terbejat di muka pintu. Tangannya yang sudah mengenggam tombol pintu mula menggeletar. Pandangannya dialihkan ke laman wajah Mustaqim. Tubir matanya mula terasa hangat. Lutut Inara seakan-akan lemah untuk menampungnya terus berdiri.

"Apa maksud abang?"

Mustaqim menghela nafas berat. Langkah diatur menghampiri adiknya. Tangan Inara dicapai lalu digenggam erat. Tatapan sayu Inara benar-benar meluluhkan hati Mustaqim. Inara perlu tahu saat ini juga.

"Aisar yang dermakan hati dia untuk Nara. Biarpun dia tahu... Nara..."

"Abang tipu! Aisar tu penakut dengan jarum! Dia kata nak kena bedah..."

"Ya. Betul cakap abang. Aisar yang dermakan hati dia untuk Nara. Dalam tubuh Nara sekarang ini ada hati Aisar. Nara sendiri tahu, Aisar tak suka tengok Nara sakit. Sebab tu... dia buat keputusan untuk dermakan hati dia untuk sahabat dia sendiri. Kita orang tak menipu, Inara," pintas Insyirah.

Tak semena-mena, Inara terduduk. Kepalanya sudah tertunduk. Anak matanya ke kiri dan ke kanan seakan-akan cuba menghadam sebuah lagi kebenaran. Kali ini, setitis demi setitis air mata Inara mengalir jua. Tangannya digenggam erat. Hati Aisar ada dalam tubuhnya. Aisar mencintainya setulus hati.

Ironi.

Itu bermaksud, Aisar seakan-akan memulangkan perasaan cinta itu kepada Inara semula.

"Aisar! Kenapa kau buat macam ni. Kenapa?" ngongoi Inara sebelum esakannya pecah. Wajahnya ditekup dengan kedua belah tangan. Lantas, tubuhnya ditarik ke dalam pelukan Insyirah. Di situlah Inara menangis semahunya dan melepaskan kesedihannya dengan kejutan itu.

Itulah kali terakhir Inara menangis. Inara sedar. Kesedihan yang berpanjangan tidak akan membawa sebarang manfaat. Aisar sudah melakukan sebuah pengorbanan besar dengan mendermakan hati buatnya. Inara mahu sentiasa bahagia dengan hati Aisar yang memberikan sinar baru dalam hidupnya.

Ya, hanya itu.

SUASANA kediaman Puan Kirana kelihatan meriah dengan persiapan majlis perkahwinan Zulfan dan Inara. Di dapur, Puan Kirana, Puan Suhaila dan beberapa orang kaum wanita sedang bergotong-royong menyediakan bahan untuk dijadikan sebagai lauk kenduri.

Di ruang tamu pula, Inara, Insyirah dan Amanda sedang menggubah barang hantaran. Kelihatan juga pelamin bertemakan pastel yang dihias cantik dengan bantuan butik Amanda di ruang itu. Ketiga-tiga orang anak buah Inara turut meriuhkan lagi suasana dengan ulah nakal mereka.

Ada yang melompat di atas pelamin. Ada juga yang mengganggu gubahan bunga yang sudah dihias cantik. Inara hanya tertawa tatkala Insyirah mula mengeluarkan mood garangnya sebagai guru Matematik.

"Mak su, mana pak cik yang ajar kita orang melukis dulu? Alif bosanlah. Pak cik tu selalu ajak kita orang main kalau mama sibuk," tanya Alif. Wajah Inara yang sedang memotong reben dipandang.

"Haahlah mak su. Dah lama kita orang tak nampak pak cik tu. Dia pergi mana?" soal Mikail, polos. Setelah dimarahi oleh ibunya, sepasang kembar itu duduk di hadapan Inara pula.

Inara sedikit terkilan dengan soalan demi soalan mengenai Aisar yang ditujah kepadanya. Memang, ketiadaan Aisar benar-benar membuatkan suasana menjadi sunyi. Inara tidak dapat menafikan hal itu. Aisar pandai mengambil hati orang sekelilingnya.

"Pergilah main dengan pak long dengan abah. Tolong pak long dan abah susun kerusi tetamu dekat luar. Sibuk je nak menyendeng dekat sini," tegas Insyirah. Tidak mahu keadaan yang ceria bertukar sayu dengan soalan anak kembarnya.

"Yelah! Kita orang main dekat luar."

"Kak Mayah! Jom main kerusi muzik. Kita ajak pak long dengan abah sekali," ujar Alif pula. Serentak, ketiga kanak-kanak meluru keluar rumah.

"Bertuah punya budak! Kak Syi suruh tolong kemas kerusi, dia orang boleh nak ajak pak long dengan abah dia orang main. Macam-macam budak ni kan!" omel Insyirah. Mencabar sungguh membesarkan anak kembarnya yang nakal itu.

Inara tertawa lagi dengan omelan kakaknya. Hatinya tercuit lucu. Bunga plastik dicucuk di atas gabus. Sesekali, pandangannya tertancap ke luar rumah. Angin petang yang meluru masuk ke dalam rumah sangat menyenangkan.

"Akak garang sangatlah. Cuba lembut sikit dengan anak-anak akak tu. Mana tahu dia orang dengar kata," ujar Amanda.

"Tak kuasa akak! Cukuplah abah dia orang layan lembut-lembut. Biar kakak pula yang layan dia orang keras sikit. Hah Nara, nanti jadi ibu ikut cara akak tau. Jangan manjakan anak sangat," kata Insyirah diselitkan dengan pesanan ringkas buat Inara.

"Tak nak..."

"Nara, ibu nak minta tolong sikit boleh?"

Inara kematian diksi tatkala Puan Kirana keluar dari dapur. Gadis berselendang hitam bangun dari duduknya. Bekas berisi kuih bingka disambut daripada tangan Puan Kirana.

"Tolong hantarkan kuih ni dekat gerai cendol Mak Jemah. Entah angin apalah agaknya orang tua tu. Tiba-tiba nak makan kuih bingka ibu. Alang-alang Nara dah lama tak balik kan. Hah nanti, bolehlah bagi kad jemputan sekali dekat Mak Jemah," tutur Puan Kirana yang sedang mengenakan apron.

"Elok sangatlah tu ibu. Nara ni pun dah lama sangat tak jenguk asal usul dia. Dahlah jarang balik sini. Kalau..."

"Nara pergi dulu. Bila Kak Syi dah mula nak membebel, sakit pula kepala Nara nak hadam peluru berpandu dia. Bye Kak Syi. Teruskan membebel seorang tau! Manda, layanlah bebelan kakak kesayangan aku," usik Inara sambil tersengih kambing. Langkah terus diatur keluar dari rumah. Suara Insyirah membebel masih kedengaran di telinga Inara.

Sebaik saja Inara menapak keluar, sorotan matanya tertancap ke arah pangkin yang terletak bertentangan dengan sawah padi. Dua orang remaja perempuan yang mengayuh basikal dan melewati depan rumah ibunya, membuatkan Inara tersenyum sendiri.

Nostalgia.

"Abang, mana basikal Nara masa zaman sekolah dulu? Masih elok lagi tak?" soal Inara. Dia menghampiri abangnya yang sedang mengangkat kerusi untuk disusun di meja tetamu.

"Ada dekat stor. Elok lagi cuma bahayalah. Tak payahlah guna. Lama sangat basikal..."

Mustaqim kematian diksi tatkala Inara yang sudah mengeluarkan basikal tua dari stor kelihatan. Baru saja dia mahu menghalang, adik bongsunya sudah mengayuh basikal keluar dari perkarangan rumah.

"Hailah, nak jadi bini orang pun kepala batu tak berubah lagi!" keluh Mustaqim sambil menggelengkan kepalanya. Namun, Mustaqim senang  hati tatkala Inara semakin aktif dan bertenaga. Hati Aisar yang berada dalam tubuh adiknya benar-benar kelihatan sihat.

KAD jemputan berwarna biru yang berada di tangan Mak Jemah membuatkan bibir merahnya menggeletar menahan sebak. Matanya terkebil-kebil melihat kad yang bertuliskan nama Inara dan wajah Inara silih berganti.

"Kenapa Mak Jemah sedih? Nara nak kahwin. Bukan nak berperang."

Tak semena-mena, Mak Jemah meraung seraya memeluk erat tubuh Inara. Gadis itu tersentak. Tubuhnya seolah-olah terasa sempit tatkala dipeluk oleh tubuh gempal Mak Jemah.

"Huwargh! Aku sedih! Aku dah tua tapi tak kahwin-kahwin lagi. Kau yang aku kenal dari zaman hingusan sampai dah jadi cantik ni pula kahwin dulu. Apa. Buruk sangat ke aku ni Nara?"

Tak semena-mena, beberapa orang pelanggan yang menyaksikan drama sebabak Mak Jemah, terkekek dengan keluhan wanita berusia 60 tahun itu. Masing-masing tercuit hati dengan tingkah Mak Jemah yang menghiburkan.

"Apa pula cakap buruk dekat diri sendiri. Sudahlah, Nara tak nak layan loyar buruk Mak Jemah. Nara nak cepat. Malam ni Nara ada malam berinai. Nanti Nara bawa suami Nara ke gerai cendol Mak Jemah," ujar Inara seraya menolak lembut tubuh Mak Jemah.

"Janji, kau bawa suami kau ke sini?"

"Janji!" ujar Inara seraya mengangkat tangan. Langkah diatur menuju ke basikalnya.

"Bagus! Aku bukan apa. Aku nak tengok juga muka budak yang dah kebas kau daripada budak tak semenggah itu. Haih! Budak bertuah tu... patut dia tunggu aku mati dulu baru dia mati. Aku ni dah tua! Dia muda lagi," tutur Mak Jemah.

Terimbas wajah dan ulah Aisar di benak fikirannya. Sungguh, mendengarkan berita mengenai Aisar setahun yang lalu benar-benar meruntun hatinya. Walaupun Aisar nakal, namun Mak Jemah sudah lama menganggap Aisar seperti anaknya sendiri.

Inara hanya tersenyum dengan rungutan Mak Jemah. Tanpa berlengah, Inara pamit seraya mengayuh basikalnya pulang ke rumah. Sungguh, mengayuh basikal sambil ditemani angin sepoi bahasa membibitkan rasa nostalgia dalam diri Inara.

Segala kenangan manis berpusu-pusu berlayar di kotak memori Inara. Sesekali, angin yang menampar lembut wajah Inara memberikan ketenangan di sudut hatinya. Kelihatan ada penduduk yang saling bertegur sapa di tengah jalan. Ada juga sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain layang-layang di bendang.

Tika Inara melalui sebuah jambatan, gadis itu tiba-tiba mengenggam brek. Anak matanya tertancap ke arah sungai yang mengalir tenang di bawah. Ada sebatang pokok yang kelihatan tua masih terpacak kukuh di atas tanah. Tak semena-mena, senyuman di bibir Inara kian melebar sehingga menampakkan gusinya.

"Hoi budak baru! Kau nak lari ke mana?" jerkah seorang budak lelaki berumur lapan tahun seraya menarik beg mangsanya dari belakang.

"Jangan kacau akulah! Aku tak kacau kau pun kan!" herdik budak perempuan yang sebaya dengan budak lelaki itu. Tubuh budak lelaki bertag nama Aisar Mumtaz terus ditolak kasar.

Tak semena-mena, Aisar hampir terduduk. Wajah Inara terus dipandang kecil besar saja. Gadis sombong itu benar-benar mencabarnya. Tangannya sudah menggagau sesuatu di dalam kocek beg sekolah. Hanya dalam beberapa saat, Aisar membaling 'benda' asing tersebut ke arah Inara.

"Apa ni!" teriak Inara tatkala cicak plastik dicampak ke arahnya. Kakinya terkebelakang sebelum Inara terduduk di atas jalan. Tubuhnya terus menggeletar. Ketakutan. Nafas jadi sesak melihat haiwan yang kelihatan jijik di pandangan Inara.

"Padan muka. Lain kali jangan berlagak depan aku!" cemuh Aisar seraya ketawa terbahak-bahak. Seronok mengenakan budak baru yang sering mencabarnya.

Teringat akan memori itu, Inara menghela nafas berat. Di jambatan itulah Inara sering diserang oleh Aisar ketika mereka berada di sekolah rendah. Pada mulanya memang menyakitkan hati. Namun lama kelamaan, kebencian itulah yang membibitkan persahabatan di antara mereka.

"Kau tak payahlah back up aku kalau budak-budak tu kacau aku lagi! Tak fasal-fasal kau yang kena. Ambil ni! Kalau bapa kau nampak kau bertumbuk sampai pipi lebam, mesti kau kena rotan," tegas Inara seraya menghulurkan plaster luka kepada Aisar. Suaranya kedengaran lirih tatkala melihat pipi Aisar yang sudah lebam akibat ditumbuk oleh senior tingkatan lima.

"Lantaklah! Apa yang aku tahu... aku ni bodyguard kau. Siapa nak kacau kau, ke mari. Hadap Aisar Mumtaz dulu," kata Aisar sambil mengikis aksara demi aksara di pokok yang bertentangan dengan sungai. Sesekali, remaja berumur 15 tahun tersenyum senang dengan aksara yang hampir siap.

"Tapi aku tak nak tengok dia orang belasah kau lagi. Mesti sakit..."

"Kau ni cengeng betullah! Aku okey. Sakit macam kena gigit semut je pun! Aku tak lembik macam dia orang! Apa barang tiga lawan satu," tegas Aisar. Plaster ditarik kasar daripada tangan Inara lalu dilekat di pipinya yang lebam. Aisar tidak mahu Inara menangis melihat kesakitannya. Dipukul oleh tiga orang senior sudah tentunya sakit. Tapi, Aisar tidak kesah. Apa yang penting, mereka tidak akan  menganggu sahabatnya lagi.

"Kau lorek apa dekat pokok?" soal Inara tatkala Aisar sudah memarahinya.

"Aisara."

"Aisara? Apa maksud dia?" soal Inara. Bingung dengan perkataan yang ditulis oleh Aisar.

Senyuman lebar terukir di bibir Aisar yang memar. Wajah Inara dipandang sebelum anak matanya tertancap ke arah pokok bertuliskan 'AISARA'. Sungguh, Aisar amat menyayangi persahabatannya bersama Inara.

"Aisar dan Inara bila digabungkan jadilah Aisara. Aku nak persahabatan kita berkekalan sampai bila-bila. Persahabatan atas nama Aisara. Aku nak cipta lebih banyak kenangan manis dengan kau. Aku nak selalu ada di sisi kau tak kira susah mahupun senang. Paling penting... aku nak jadi bayang yang selalu melindungi kau, Inara."

'Aisara... selamanya,' gumam hati Inara. Seakan-akan Aisar Mumtaz berada di sisinya dan turut menuturkan perkataan yang mengikat tali persahabatan mereka.

Inara menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Semuanya hanya tinggal memori yang akan terpahat di atma Nur Inara. Hingga hujung nyawa. Kerana  Aisar ada dalam tubuh Inara. Kerana hati Aisarlah seorang Inara bisa melangkah sekali lagi.

'CONGRATULATIONS on your wedding! 😍 Sorry, I tak dapat datang sebab I kena tolong daddy uruskan yayasan. Daddy tak berapa sihat. Tapi, nanti you balik KL I bagi hadiah' 😉

Inara tersenyum senang tatkala Cassandra menghantar ucapan tahniah melalui WhatsApp kepadanya. Cassandra sudah berubah. Belajar menjadi seorang muslimah yang terbaik dalam hidupnya. Dalam erti kata lain, semenjak kejadiam hitam itu, Cassandra berhijrah.

"Cantiknya kau Nara! Macam bidadari jatuh dari syurga!" puji Amanda sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam kamar Inara. Penampilan Inara yang sedang dipakaikan selendang putih dengan sepersalinan baju kurung pengantin ditatap sedalamnya.

"Kau tak payah nak puji lebih-lebih eh! Aku tahu kau nak aku terima pelawaan kau jadi model tak diiktiraf butik pengantin kau tu kan?"

Amanda tersengih. Wajah Inara yang anggun dengan solekan natural ditatap. Tidak menyangka bahawa sahabatnya akan bergelar isteri dalam beberapa minit saja lagi.

"Bolehlah Nara. Alang-alang kau cuti..."

"No way! Tak nak aku," kata Inara sambil menggoyangkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan.

"Fyi! Aku cuti ni, aku nak habiskan masa terluang dengan keluarga tercinta. Lebih-lebih lagi suami aku. Kau pergi cari orang lainlah gantikan model butik kau tu," tambah Inara. Pandangannya dialihkan ke laman wajah jurusoleknya. Dia berpuas hati didandan bak puteri di hari bahagianya.

"Eleh! Nak habiskan masa..."

Amanda kematian kata tatkala Insyirah melangkah masuk ke dalam kamar Inara. Wajah wanita muda berbaju kurung satin hijau muda itu kelihatan berseri dengan senyuman manisnya. Ada riak bahagia terlakar di roman wajah kakak kepada Doktor Nur Inara itu.

"Pengantin lelaki dah sampai. Adik akak dah sedia nak jadi Puan Nur Inara?" soal Insyirah sambil memegang bahu Inara.

Inara tersenyum lebar. Gadis itu mencapai jambangan bunga babybreath seraya bangun dari duduknya. Tangan kakaknya digenggam erat. Nafas panjang ditarik lalu dihela perlahan.

"Inara dah lama bersedia, Cikgu Insyirah," jawab Inara dengan nada yang ceria.

"Bagus. Sebelum tu... akak nak bagi sesuatu dekat Nara," kata Insyirah seraya menghulurkan sepucuk surat berwarna putih kepada adiknya.

Sebaik saja sampul surat berada di tangan Inara, intuisi Inara mula terasa tidak enak. Jantungnya berdegup kencang. Wajah kakaknya dipandang. Insyirah hanya mengangguk. Menyuruh Inara membuka sampul tersebut.

Lantas, Inara membuka sampul tersebut. Sepucuk surat berwarna biru dibuka perlahan-lahan. Entah mengapa semakin Inara ligat membuka, jantungnya semakin berentak kencang.

"Ada seseorang bagi dekat akak untuk disampaikan kepada Nara," jelas Insyirah tatkala persoalan semakin bermain di raut wajah adiknya.

Assalamualaikum Doktor Nur Inara yang dikasihi,

Selamat pengantin baru 😝

Tak ada ucapan yang mampu diberikan selain AISARA selamanya ♥️

"Inara, kau okey?" soal Amanda tatkala jambangan bunga dan surat terlepas dari tangan Inara. Setitis demi setitis air mata yang mengalir ke pipi Inara membuatkan Amanda kaget. Malahan, gadis itu kelihatan pucat tak berdarah.

"Akak... ma... mana dia?" soal Inara dengan suara yang lirih. Lengan kakaknya digenggam erat. Dinding hatinya terasa dicucuk dengan belati tajam. Terlalu perih. Sungguh, Inara sangat merindukan sahabatnya. 

Insyirah hanya tersenyum sambil mengelus air mata Inara. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Nampaknya, Inara masih menidakkan pemergian Aisar Mumtaz. Tangan Inara lantas dipimpin keluar dari kamar.

"Jangan menangis lagi, Nur Inara," bisik Insyirah. Memujuk adiknya yang masih terkilan selepas membaca sepucuk surat. Kiriman daripada seseorang yang tiba-tiba muncul di muka pintu Puan Kirana.

Sebaik saja Inara melangkah keluar, kakinya seakan-akan terpasak di atas bumi. Masa seakan-akan berhenti berputar buat seketika. Sorotan matanya saling bersatu dengan sorotan mata figura yang duduk bersebelahan Zulfan.

Ada senyuman manis terukir di bibir figura itu. Senyuman yang membuatkan dinding hati Inara bergetar. Memanggil nama yang sangat dirindukan itu.

Adakah ini mimpi atau realiti? Entah. Inara tidak tahu. Apa yang pasti, andai ini sebuah mimpi, Inara tidak mahu bangun dari lenanya. Kerana inilah mimpi indah yang sangat membahagiakan seorang Nur Inara.

TAMAT


Lagu ending AISARA (lirik mengandungi isi hati Aisar Mumtaz)

Lepas habis baca, sila ke akhir kata ye 🤗 ada ucapan istimewa untuk korang

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top