EPISOD 5

MUZIK berirama remix menjadi dentuman kepada suasana melalaikan di sebuah kelab malam. Anak-anak muda kelihatan berpeleseran bersama dengan pasangan dan kawan masing-masing. Menikmati syurga duniawi yang fana ini.

Tak kira juga, golongan tua turut menjadi tetamu sambil dikepit dengan gadis pelayan di pusat hiburan itu. Dengan lampu pusat hiburan yang berwarna-warni, membuatkan manusia-manusia pendosa semakin hanyut dibawa arus kelalaian.

Di sebuah meja utama, lima orang lelaki berbadan sasa sedang mengelilingi seorang lelaki tua berpakaian mewah yang dikepit oleh dua orang gadis pelayan. Sesekali, tawa si tua kedengaran tatkala mendapat belaian lembut gadis yang seusia dengan anaknya.

"Sebab itu aku suka bekerjasama dengan kau. Kerja kau dan orang-orang kau selalu licin. Tak tinggalkan jejak langsung bila hantar barang baru dekat seberang," kata Alex. Memuji rakan sekomplotnya dalam dunia jenayah.

Terherot senyuman sinis di bibir Zamrud tatkala kumpulannya dipuji oleh rakan niaganya. Segelas wain yang dihulurkan oleh si gadis pelayan dicapai lalu diteguk rakus. Membasahkan rongganya dengan air syaitan.

"Kau kena bijak rekrut orang dalam kumpulan kau! Pastikan mereka benar-benar setia untuk menjadi konco-konco kau. Bila ada yang ingkar mahupun khianat, tanamkan saja peluru dekat kepala dia. Biar jadi pengajaran kepada konco-konco yang lain," kata Zamrud dengan angkuh.

Alex tertawa dengan keangkuhan Zamrud. Gelas wain diangkat tinggi. Lantas, dua ketua kongsi gelap saling melagakan gelas mereka. Sama-sama meraikan kemenangan apabila jenayah yang dilakukan oleh mereka berjaya pada malam itu.

"Tapi kau harus berhati-hati. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Jangan dilupakan peristiwa enam tahun yang lalu. Kau percaya sangat dengan orang baharu dalam kumpulan kau. Dia sengaja buat kerja dengan baik. Akhirnya..."

"Ya, ya. Aku ingat. Aku tak nyanyuk lagi bila si jahanam itu belot kumpulan aku. Tapi dia sudah mampus dengan tangan aku sendiri. Apa yang dia sudah buat itu memang bagi pengajaran kepada aku jangan dibodohkan dengan mata-mata," pintas Zamrud. Tidak suka peristiwa enam tahun yang lalu diungkit semula.

Itulah kebodohannya bila mana kumpulannya hampir musnah. Mujur sahaja orang kanannya terlalu setia sehingga sanggup melindunginya sebagai ketua kumpulan Black Eagle. Sanggup menyamar sebagai ketua kumpulan Black Eagle dan mendapatkan hukuman gantung sampai mati. Atas alasan, mengenang jasa.

Di sebalik keangkuhan durjana-durjana itu, tanpa disedari, salah seorang daripada mereka sudah dibakar dengan amarah. Tajam anak mata si pemuda yang menyamar sebagai konco Zamrud memandang wajah lelaki berambut blonde itu. Tangannya digenggam erat sehingga menyucuk tapak tangan.

Kotak memori turut mengimbas detik dia kehilangan insan bergelar ayah. Namun, cepat-cepat pemuda berjas hitam itu beristighfar bagi melawan bisikan syaitan. Mustaqim tidak mahu berdendam. Dendam hanya bisa membuatkan hidupnya musnah.

'Jangan risau abah. Sekarang, mereka boleh bersenang di atas kematian abah. Tapi, Taqi tak akan biarkan semuanya berterusan. Taqi akan hancurkan mereka dengan tangan Taqi sendiri!'

PANDANGAN beberapa orang murid terhadapnya membuatkan Inara tertunduk-tunduk akibat malu. Kasut hitamnya sesekali menguis simen. Bahkan, sesetengah daripada mereka yang lalu-lalang di hadapan kelas 5 Sains kelihatan seakan-akan mengejeknya saja. Mahu saja Inara membaling kasut hitam kepada mata-mata yang ralit memandangnya itu.

"Itulah, aku dah kata ambil saja dulu buku aku. Tapi kau degil. Nak juga mengaku kesalahan. Tak fasal-fasal kena denda dekat luar kelas. Tengok sekarang, kau juga yang malu. Mesti lepas ni kecoh satu sekolah. Nur Inara, ketua pengawas telah didenda akibat tidak membawa buku bahasa Inggeris. Wow! Hot siot tajuk besar perbualan hangat itu," ejek Aisar sambil mengunyah gula-gula getah.

Mendengarkan ejekan Aisar membuatkan Inara dirusuh dengan rasa bengang. Spontan, kakinya menendang betis Aisar dengan kuat. Melepaskan segala rasa yang berkecamuk di sudut hatinya.

"Aduh! Sakitnya kaki aku. Rasa macam baru saja kena langgar kerbau nenek aku si Sally yang bertanduk dan berbadan sasa itu. Ganas!" usik Aisar sambil pura-pura kesakitan. Tangannya mengusap-ngusap betisnya yang baru sahaja menjadi sasaran Inara.

Inara mencebik geram. Tubuhnya disandarkan di belakang dinding luar kelas. Kaki sudah terasa lenguh akibat berdiri terlalu lama. Sesekali, kepalanya tertunduk menekur kertas bersaiz A4 yang bertulis 'Saya berjanji tidak akan meninggalkan buku saya lagi. Jika tertinggal, saya akan menerima hukuman membersihkan tandas sekolah'. Dalam diam, Inara membenarkan omongan Aisar. Pasti dia akan menjadi bualan hangat lagi.

"Tak adil untuk kau. Aku yang tak bawa buku, tapi kau pula yang kena denda. Tak apalah. Bukan selalu kita kena denda sama-sama," kata Inara.

"Aku bukan apa, nama kau perlu dijaga dekat sekolah ini. Kau tu pelajar contoh. Aku tak naklah nama kawan baik aku ni dijajah oleh mak cik bawang junior dekat sekolah," kata Aisar pula.

Buat seketika, dua sahabat itu saling berpandangan antara satu sama lain. Ada senyuman yang terukir di bibir masing-masing. Menikmati masa-masa terakhir mereka bergelar pelajar sekolah sebelum mereka membawa haluan masing-masing.

"Jaga nama aku? Eleh, kau tu suka buat masalah sampai nama aku juga yang disebut sebagai kawan tak reti nak menasihati kawan baik dia sendiri. Nama saja ketua pengawas sekolah."

"Siapa cakap macam tu dekat kau? Perempuan ke lelaki? Kalau lelaki, aku kena set appointment untuk belasah dia. Berani cakap Inara kawan baik kesayangan Aisar Mumtaz macam tu. Kalau perempuan, aku nak kenakan dia kaw kaw kopi kau punya. Baru mereka tahu langit tinggi ke rendah," tegas Aisar sambil menumbuk tapak tangan kanannya dengan buku lima digenggam erat.

Tak semena-mena, Inara tertawa kecil dengan omongan berserta riak muka Aisar yang sedang berkerut-kerut. Hatinya digeletek kelucuan dengan tingkah spontan Aisar. Ada saja omongan mengarut yang meniti di bibir Aisar. Kadangkala kata-katanya menjengkelkan dan kadang-kadang menghiburkan seorang Inara.

Melihat air muka Inara kembali ceria membuatkan Aisar dapat bernafas lega. Terasa tekanan yang membelenggu kotak fikiran hilang buat seketika. Aisar senang hati. Kalau bisa, dia mahu sentiasa menjadi penghibur buat Inara.

Tanpa mereka sedari, tingkah Inara dan Aisar sedang diperhatikan oleh dua orang pelajar perempuan dari tingkat atas. Terpancar kesinisan di sebalik roman wajah seorang gadis bertudung biru.

"Jadi betullah, Nara dengan Aisar tu bercinta? Bukan main mesra lagi aku tengok," kata Maya.

"Aku tak rasa dia orang bercinta. Kita semua dah tahu yang dia orang tu berjiran. Satu sekolah sejak sekolah rendah lagi. Tak mungkinlah!"

Maya kalih memandang wajah rakannya. Senyuman sinis terherot di bibir si gadis berkulit gelap itu. Melihat roman wajah Marissa saja dia sudah tahu isi yang tersirat di sebalik wajah rakannnya.

"Kau... syok dekat si Aisar tu ke? Ada aura-aura cemburu saja aku tengok dekat muka kau," tutur Maya. Ada nada sinis di sebalik omongannya.

Marissa terpempan. Tanpa menjawab soalan Maya, Marissa meneruskan langkahnya menuju ke kelas. Tak betah mahu melihat adegan bergurau senda Aisar dan Inara di luar kelas itu.

"INARA!"

Inara yang baru sahaja melangkah keluar dari bilik yang dijadikan tempat mesyuarat para pengawas terbejat. Dia kalih memandang si empunya diri yang memanggil. Tergaris senyuman di bibir Inara tatkala si figura memberikan senyuman kepadanya.

"Ya Rissa, ada apa-apa yang aku boleh tolong?" soal Inara. Mereka kembali melangkah keluar dari sekolah memandangkan waktu persekolahan pada hari itu telah tamat.

Marissa menggelengkan kepalanya. Buku teks yang berada di tangan dipeluk erat. Ada aksara yang bermain di mindanya namun tak mampu diungkapkan melalui verbal. Dinding hatinya mula bergelojak ingin memuntahkan aksara-aksara itu. Namun, masih ada sisi malunya dalam diri Marissa.

Melihat Marissa seakan-akan kaku membuatkan Inara tersenyum lebar sehingga menampakkan gusinya. Apa sajalah yang difikirkan oleh junior tingkatan empat itu.

"Jauh sangat kau mengelamun. Kenapa? Kau ada nak bincang apa-apa ke dengan aku?"

"A... ada. Aku nak tanya kau sikit boleh?"  soal Marissa. Ada getaran di sebalik nada suaranya. Menyembunyikan getaran yang menggegar sanubari.

"Silakan. Apa dia?"

"Kau... kau dengan... err maksud aku, kau balik dengan siapa hari ini?"

Tak semena-mena, Inara tertawa kecil dengan soalan Marissa. Hatinya digeletek kelucuan dengan air muka Marissa yang kelihatan kelat itu. Aneh. Setahu Inara, Marissa salah seorang pengawas yang lancang dalam berkata-kata. Inara yakin, pasti ada yang tidak kena kali ini.

"Aku balik seorang. Kenapa? Kau nak temankan aku ke?"

"Bukan kau selalu balik dengan Aisar dan adik dia ke?" Soalan dibalas dengan soalan. Ada kehampaan di sudut hati Marissa tatkala dia tidak dapat membuat helah untuk pulang bersama Aisar.

"Aku tak naklah biar dia orang tunggu lama-lama. Kita meeting pun dekat dua jam. Dari dia orang buang masa tunggu aku, baik dia orang balik saja kan buat apa yang patut," jawab Inara.

Marissa terangguk-angguk. Mengiakan omongan si ketua pengawas. Nafas panjang ditarik lalu dihela perlahan-lahan. Membuak-buak rasa ingin tahunya sudah tidak dapat dikawal lagi. Lantas, wajah Inara yang manis dengan senyumam dipandang sebelum langkah Inara dihalang.

"Eh, kau ni! Tiba-tiba berhenti..."

"Sebenarnya, aku nak tanya pasal hubungan kau dengan Aisar. Kau orang... ada apa-apa hubungan ke?"

Tatkala soalan itu diajukan kepadanya, saat itu juga Inara pegun. Sebaik mungkin dia cuba menahan tawanya. Soalan itu sangat menghiburkan Inara yang sememangnya seorang yang mudah terhibur.

"Kau tak tahu ke pasal kita orang? Bukan ke satu sekolah dah tahu pasal hubungan ketua pengawas dengan budak setan dalam sekolah ni?"

"Jadi... kau dengan Aisar... sedang bercintalah kan? Kau..."

Tak semena-mena, Inara ketawa lagi dengan tuduhan melulu Marissa. Air muka Marissa yang berubah mendung cukup memberikan klu kepada Inara bahawa gadis di hadapannya ini menaruh perasaan buat sahabatnya.

"Aku dengan Aisar? Huh! Memang taklah aku dengan dia. Kita orang cuma kawan baik yang saling memerlukan antara satu sama lain. Lagi pun, buang masa aku saja nak layan cintan ini bagai. Fokus sajalah kejar cita-cita sendiri. Kenapa kau tanya aku macam tu? Kau crush dekat Aisar eh?" jelas Inara disusuli dengan usikan. Pandangan penuh curiga sengaja diberikan kepada Marissa.

Barulah Marissa dapat bernafas lega bila mana jawapan Inara membuatkan dia berpuas hati. Namun, soalan cepumas Inara membibitkan semula getaran di lubuk hati gadis berwajah bujur sirih itu. Sudah tentunya dia malu bila ditebak dengan soalan sedemikian rupa.

"Err... soalan apa yang kau tanya ini. Aku cuma tertanya saja hubungan kau dengan Aisar," kata Marissa. Pandangannya terus dialih dari menatap raut wajah Inara. Bahang mula menutupi wajah gadis itu sehingga kulit putihnya bertukar kemerahan.

"Come on, Rissa. Air muka kau yang dah macam udang terbakar itu pun dah jelaskan kepada aku yang kau... sukakan Aisar. Kan? So, dah berapa lama kau crush dekat mamat sewel itu?" usik Inara lagi sambil memaut lengan Marissa. Kening kirinya dijongketkan. Setia menanti jawapan Marissa.

"Mana ada..."

"Siapa suka aku? Kau eh Nara? Wah, gembira betul hati aku setelah mendengar khabar baik itu. Tak apa Nara. Lepas tamat SPM, aku kerja dulu. Lepas tu bila duit dah cukup, barulah aku boleh naik meminang anak pak cik Rosham."

Serentak, Inara dan Marissa kalih ke belakang tatkala suara Aisar menusuk telinga mereka. Terpampang wajah Aisar yang sedang tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kanannya. Tanda peace diberikan kepada dua gadis tanda menyapa.

"Eh, kau merepek apa! Bukan aku..."

"Hai, Aisar! Dah lama kan kita tak jumpa lepas jawatan pengerusi kelab fotografer diturunkan kepada Yazid. Awak sihat?" pintas Marissa sambil menaikkan tangannya kepada Aisar. Menyapa pemuda yang sudah setahun disukai namun hanya mampu dipendam di dasar hati saja.

"Sudah tentunya sihat walafiat Alhamdulillah wasyukurillah padaNya aku diberikan kesihatan yang baik. Kau? Sihat? Kelab fotografer macam mana sekarang? Mesti bosankan memandangkan aku dah tak ada," kata Aisar.

"Yazid kan masih baru. Tapi ya, saya akui yang kelab itu tegang sikit memandangkan pengerusi baru ni... garang orangnya. Tak macam awak yang jenis masuk air."

Jawapan daripada Marissa membuatkan Aisar makin bangga diri. Pandangannya yang sudah bersatu dengan Inara membuatkan Aisar hampir tertawa. Comel saja pandangan menjengkelkan yang diberikan oleh Inara kepadanya.

"Ini Aisar Mumtazlah! Aku tahu semua orang sukakan dengan sikap aku yang lawak. Dahlah kacak lagikan bergaya..."

"Sudahlah tu Aisar. Aku dah muak dengar semua kata-kata poyo kau itu. Okaylah, aku nak balik. Aku lapar! Rissa, aku minta diri dulu ya. Kau pula Aisar, baik kau temankan Rissa balik. Aku malas nak hadap muka kau!" pintas Inara. Langkah kembali diatur menuju ke tempat letak basikal.

Aisar sudah terpinga-pinga apabila ditinggalkan bersama Marissa. Pemuda itu hanya tersengih kelat di hadapan Marissa. Sungguhlah, Aisar tidak mahu mendengar  arahan mandatori daripada Inara itu.

"Awak kalau nak temankan Inara, awak temankanlah dia. Lagi pun kau orang satu jalan. Saya boleh balik sendiri," kata Marissa. Sengaja jual mahal bagi mendapatkan perhatian Aisar Mumtaz.

"Tak apa kan kalau aku balik dengan Nara? Kau hati-hati. Jangan sampai terlanggar lembu dan kambing liar dekat depan gerai Pak Misai itu," ujar Aisar. Langkah lantas diatur mendapatkan Inara yang sudah menuntun basikalnya.

"Nara! Kau nak makan apa? Kau nak makan cendol ke rojak? Ke kau nak makan char kuetiau dekat belakang rumah Seman? Aku belanja kau hari ini tau memandangkan kau dah masakkan aku semalam," kata Aisar sambil memakai topi keledar.

"Tak sekarang ini, aku pelik. Kau datang sekolah balik ni buat apa? Kan aku dah kata, tak payah tunggu aku balik. Petang ini, kau kena tolong bapa kau susun stor dekat kedai runci dia.  Lupa eh? Ke kau sengaja buat hal lagi? Sengaja nak bagi bapa kau dapat darah tinggi?" bebel Inara. Seakan-akan keretapi laju saja bibirnya memuntahkan aksara.

Aisar tersengih lagi. Dia menghidupkan enjin motosikalnya sebelum menunggu Inara mengayuh basikal keluar dari sekolah. Inara ini sukar benar mahu memahami isi hatinya.

"Aku kan bodyguard kau. Aku tak boleh biar kau gerak seorang. Susah hati aku memikirkan kalau si tiga malaun itu datang kacau kau lagi. Sudahlah, baik kau diam. Tak penat ke membebel 24 jam? Aku kena fikirkan cara supaya kau tak membebel lagi. Risau aku tengok mulut kau macam popcorn yang baru masak," jawab Aisar. Diselit dengan usikan kasar. Tawa jahat terletus di bibirnya. Puas hati mengenakan Nur Inara.

Dalam masa yang sama, melihat keprihatinan Aisar terhadap Inara benar-benar membibitkan rasa iri di sudut hati Marissa. Seakan-akan mendidih kepanasan saja jiwa Marissa dengan kemesraan dua sahabat itu. Memang Inara tidak ada apa-apa perasaan istimewa buat Aisar.

Tetapi, intuisi Marissa seakan-akan mengatakan bahawa Aisar sedang memendam sebuah rasa buat Inara. Hanya saja, Inara tidak perasan akan hal itu.

Marissa yakin!

Bersambung...

Thanks kalian sudi baca karya syaf 💕

Seperti yang syaf katakan, karya ini tak seberat KABD tapi mungkin bosan sebab slow pace dia tahap gaban 🤭

Dan maaf juga kalau genre komedi dalam karya i lni cringe 😂 I told yah komedi is not my genre. Ini hanyalah trial semata 🤭 yalah asyik buat reader stres dan sedih je 🤭 kali ni rasa nak buat happening saja

Sedutan episod 6...

"Kenapa ibu nak rahsiakan pekerjaan abang Taqi daripada Nara? Ibu risau ya kalau kematian sebenar abah diketahui oleh Nara?"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top