EPISOD 34
SEPANJANG perjalanan ke Kampung Dusun, selama itu jugalah Zulfan selaku doktor sukarelawan yang mengetuai projek kerjasama dengan Datuk Sri Lee, memberikan peringatan kepada anak-anak buahnya yang lain mengenai tugasan mereka di sana.
Seramai tujuh orang doktor pakar dari setiap unit, dipilih untuk mewakili Hospital Bima Sakti. Projek tiga hari dua malam itu, sudah tentunya bertujuan untuk memberikan pendedahan kesihatan kepada penduduk Kampung Dusun yang ketinggalan jauh dari arus kemodenan.
"Dah makan ubat?" soal Zulfan sebaik saja taklimat ringkasnya tamat.
"Dah. Sebelum ke sini lagi saya dah makan ubat. Jangan risaulah. InsyaAllah, saya akan okey," ujar Inara. Segaris senyuman manis terukir di bibirnya.
"Kalau awak tak nak buat saya risau, tolong jangan degil. Kalau awak rasa penat, cepat-cepat laporkan kepada saya," kata Zulfan. Resah berhadapan dengan sifat degil Inara. Sudah berkali-kali dilarang untuk menyertai projek tersebut. Tapi, Inara tetap bertegas agar dirinya dapat menjadi sebahagiam daripada doktor sukarelawan.
"Yalah. Saya dengar cakap awak. Tapi janganlah risau sangat. Saya dah bawa bekalan ubat untuk diri saya secukupnya. Bagilah saya peluang menjadi sebahagian daripada projek ni. Mana tahu ini yang terakhir kali..."
Inara terjeda.
Sedar bahawa dirinya tersasul bicara. Perlahan-lahan, diari pelannya ditutup. Wajah Zulfan yang duduk bersebelahan dipandang. Jelas, terpancar kesayuan di kornea mata tunangnya itu.
"Maaf... saya tak berniat nak buat awak sedih," ujar Inara serba salah.
"Jangan cakap benda yang bukan-bukan lagi. Kan saya dah cakap... selagi ada jalan selagi tu awak akan sembuh. Saya tak akan biarkan bakal isteri saya terus sakit. Buat apa saya sebagai doktor hanya berdiam diri di saat tunang saya sakit?" tegas Zulfan. Mahu saja dia mengenggam tangan Inara untuk menyalurkan kekuatan. Malangnya, mereka belum halal untuk saling bersentuhan.
Mendengarkan itu, Inara terus mengetap bibirnya. Ada rasa sebak bertamu di dinding hati tatkala Zulfan tak putus-putus memberikan semangat kepadanya. Sungguh, Inara sangat menyayangi Zulfan Ridhwan. Dia mahu bina kisah cinta mereka hingga ke anak cucu.
"Finally! We are arrive. Tak sabarnya nak jumpa orang-orang kampung. Macam manalah ya agaknya kehidupan dia orang dekat sini?" suara Doktor Alisa yang kedengaran ceria menamatkan terus perbualan Zulfan dan Inara.
Kawasan sekeliling mula menjadi tumpuan para doktor. Kelihatan rumah-rumah kampung dibina secara sebelah-menyebelah dan dipusatkan hanya dalam satu kawasan. Malahan, kedaifannya juga jelas kelihatan bila mana rumah diperbuat dari kayu dan atap rumbia.
Sungguh, penempatan itu benar-benar penempatan yang jauh dari kemodenan. Ada juga beberapa orang penduduk yang sedang bercucuk tanam di sebuah kawasan yang lapang. Pakaian yang dipakai oleh mereka juga kelihatan lusuh.
Tanpa berlengah, para doktor terus melangkah keluar dari van. Mereka sudah disambut oleh penghulu kampung yang kelihatan dalam lingkungan pertengahan 60 an. Pakaiannya kelihatan kemas dengan pagoda putih dan seluar slack. Wakil daripada pihak Datuk Sri Lee juga turut kelihatan menyambut Zulfan dan pasukannya.
"Selamat datang ke Kampung Dusun. Saya Pak Reman, penghulu Kampung Dusun. Kami amat berbesar hati dengan kedatangan para doktor dan wakil daripada Datuk Sri Lee. Ini, ada cenderamata daripada penduduk kampung," ujar Pak Reman. Seketika, dua orang kanak-kanak perempuan menghulurkan topi yang diperbuat daripada rotan kepada para sukarelawan.
Melihatkan itu, Inara tersenyum sendiri. Hatinya tercuit dengan kekreatifan para penduduk. Ada juga pujian daripada rakan sejawatnya dan ucapan terima kasih. Tatkala Inara memanggung kepalanya, anak matanya sudah membuntang melihat keberadaan Aisar Mumtaz yang sedang asyik merenungnya. Sempat lagi pemuda bertopi hitam itu mengusik dengan mengenyitkan matanya bersama senyuman nakal.
Hailah takdir apakah yang telah mempertemukan mereka kali ini?
"Saya Doktor Zulfan. Doktor yang mengetuai projek ke Kampung Dusun. Seperti yang telah kami rancangkan, seramai tujuh orang doktor yang akan memantau dan memberikan pendedahan mengenai kesihatan. Terima kasih, di atas persetujuan Pak Reman menerima kedatangan kami," kata Zulfan seraya berjabat tangan dengan penghulu kampung. Seketika, pandangannnya tertancap ke laman wajah sepupunya yang seakan-akan ligat mengusik Inara.
Dalam keadaan formal seperti ini, Aisar masih bisa mengeluarkan sifat tak matangnya? Oh sungguh, kenapa sajalah projek mereka kali ini harus berkaitan dengan Aisar?
"Team you lambat sangatlah Doktor Zulfan. Bukan sepatutnya tentatif kita kena sampai sebelum tengah hari ke? Ke you ni tak tahu nak manage masa?" suara Cassandra mula kedengaran. Ada nada angkuh di bait bicara gadis berambut perang itu. Mimik mukanya masam tanpa senyuman.
"Maaf cik..."
"Just call me Sandra! I wakil daripada daddy I. So, what next? Boleh cepat sikit tak susun apa yang patut? I dah lapar sangatni. Maklumlah dah kebulur tunggu tetamu kehormat daddy."
Sungguh, omongan sinis Cassandra menegangkan suasana buat seketika. Sorotan mata redup Zulfan mula berubah tegang. Hanya senyuman ramahnya saja yang masih menghiasi bibir. Gadis di hadapannya ini benar-bensr cari fasal. Lidahnya tajam seperti mata pedang. Tiada langsung kesopanan dalam diri gadis itu.
"Maaf kalau kami dah buang masa Cik Sandra. Ada urusan penting yang kami tak dapat atasi. Saya harap, kita dapat bekerjasama dengan baik selama tiga hari dua malam. Kalau ada apa-apa yang Cik Sandra tak puas hati, boleh rujuk kepada saya terus."
Usai berkata, Zulfan terus mengarahkan doktor yang terlibat mengeluarkan barangan dari van. Dengan dibantu oleh penduduk kampung dan pengawal peribadi Datuk Sri Lee, pekerjaan mereka menjadi lebih cekap dan tangkas.
Baru saja Inara mahu mencapai sebuah kotak berisi ubat-ubatan, satu tangan kekar terlebih dahulu mencapai. Inara terus memalingkan wajahnya ke arah si figura. Automatik, cebikan terletus di bibir si gadis berselendang biru.
"Kau tak rasa ke yang kita ni berjodohan? Yelah mula-mula, kita ditakdirkan berjiran. Hari ini, kita jadi satu pasukan yang sama pula. Makin semangat pula aku nak kerja bila ada Doktor Inara depan mata," usik Aisar bersama sengihan kambingnya.
"Aku nak tanya kau sikit boleh?" soal Inara. Usikan Aisar seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja bagi Inara. Sudah lali dengan karutan sahabatnya.
"Semua boleh untuk sahabat aku," jawab Aisar dengan nada yang ceria. Mereka sudah beriringan ke sebuah khemah yang akan menjadi tempat Inara bertugas.
"Kau ada masalah ke? Kalau ada, aku boleh suggest dekat mana-mana pakar. Sebab aku risau tengok keadaan otak kau yang dah terputus fius! Waktu serius pun nak main-main kan macam tadi."
Tak semena-mena, Aisar tertawa dengan rungutan Inara. Barang diletak di atas meja kayu. Wajah Inara terus ditatapnya. Belum puas mahu mengusik gadis yang akan menjadi isteri sepupunya dalam masa sebulan saja lagi.
Menyedari dirinya diperhatikan oleh Aisar, Inara terus menghempuk tubuh Aisar menggunakan buku yang berada di tangannya. Geram! Serentak dengan itu, tawa Aisar semakin kuat.
"Boleh tak jangan pandang aku macam tu? Aku tak nak ada orang buruk sangka..."
"Aisar. Aku nak jumpa kau sekejap boleh?" pintas suara yang datang dari belakang. Serentak, Inara dan Aisar memusatkan pandangan ke arah figura berwajah tegang. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala Inara melihat sorotan mata Zulfan yang tajam.
Ada aura cemburu terbias di sebalik anak mata pemuda itu.
"AKU minta maaf sebab usik tunang kau lebih-lebih. Aku terbawa-bawa dengan sikap dari zaman budak-budak kita orang dulu. Jangan salah sangka. Aku tak akan ambil hak milik orang. Inara dah pilih kau untuk jadi suami dia. Jangan risaulah!" kata Aisar. Bahu Zulfan ditepuk tanda penegasan.
"Bukan itu tujuan aku nak jumpa kau."
"Dah tu? Oh, ni mesti pasal Cik Sandra. Kan? Kau abaikan sajalah..."
"Bukan pasal majikan kesayangan kau tu juga. Aku dah lali hadap manusia bongkak macam tu. Tak apa, dia bagi lagi team aku kata-kata menyakitkan... tahulah aku nak ajar dia. Ini Zulfan Ridhwanlah. Dia tak akan sesekali biarkan orang hina dia dan orang sekeliling sesuka hati," tegas Zulfan. Pertemuan pertamanya bersama Cassandra Lee benar-benar memberikan perspektif yang buruk tentang gadis itu.
Aisar tertawa kecil dengan rungutan Zulfan. Dia juga tiada diksi untuk dituturkan jika berkaitan dengan Cassandra. Aisar memasukkan tangan kanannya ke dalam kocek seluar. Pandangannya terus dipusatkan ke arah sungai yang mengalir tenang. Dedaun pokok seakan-akan melambai ke arahnya. Cuaca benar-benar redup tika itu.
"Aku nak cakap pasal Inara."
Serta-merta, Aisar berpaling memandang wajah sepupunya tatkala nama Inara disebut. Sekilas, Aisar memandang khemah yang ditempatkan oleh Inara. Gadis itu kelihatan ramah ketika berbual bersama kanak-kanak. Pasti sudah mula melaksanakan tugasnya sebagai doktor pediatrik.
"Kenapa dengan Nara?"
Sebaik saja soalan itu meluncur dari bibir Aisar, debaran mula mengetuk dinding hati Zulfan. Sorotan matanya yang tajam menikam wajah Aisar yang sudah kelihatan tegang. Sungguh, Zulfan tidak mahu menyembunyikan kebenaran mengenai Inara lagi.
Lantas, nafas ditarik panjang lalu dihela perlahan-lahan. Zulfan melangkah ke arah sungai dan berdiri membelakangi Aisar. Keadaan Inara yang sakit mula berlayar di kotak memori Zulfan.
"Apahal kau diam? Kenapa dengan Nara?" tegas Aisar. Dahinya berkerunyut tatkala Zulfan tiba-tiba berdiam diri. Sudah tentunya Aisar dihurung resah.
"Inara dengan kau memang rapat sejak kecil. Aku tahu dan aku mula faham erti persahabatan kau orang. Aku akui, aku selalu cemburu tengok dia rapat dengan kau. Tapi lama kelamaan, aku sedar bahawa tiada gunanya kalau aku nak terus cemburu. Sebab tu... aku..."
Zulfan jeda.
Keluhan berat terlepas lagi. Lantas, kepala dikalih memandang semula laman wajah Aisar. Seperti yang diduga, Aisar sudah kembali dalam mood amarah jika berkaitan dengan Inara.
"Aku berikan keizinan kepada kau untuk jaga Nara. Aku risau kalau ada mata-mata musuh memerhatikan dia. Kita tak akan tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang. Jadi, sama seperti abang Taqim, aku harap kau boleh tengok-tengokkan Nara sepanjang projek ini berlangsung."
Oh sungguh! Sebaik saja menuturkan kata-kata itu, Zulfan sedar bahawa dia masih tidak sanggup membocorkan rahasia Inara. Dia tidak sanggup mengecewakan Inara jika amanah gadis itu tidak dipegang dengan rapi.
Hampir saja Aisar melopong tatkala Zulfan menoktahkan bicaranya. Tanpa sedar, wajah Aisar kembali berseri dengan senyuman meniti di bibirnya. Aisar senang hati tatkala Zulfan memahami hubungannya dan Inara.
"Lah, tu je? Mati-mati aku ingatkan apalah sampai kau bawa aku berbincang jauh daripada Nara. Kalau pasal tu... kau tak minta tolong aku pun aku dah lama buat. Apa apa pun, terima kasih sebab faham situasi kita orang. Aku faham siapa diri aku dalam hidup Nara," ujar Aisar.
"Baguslah kalau kau faham kedudukan kau dalam hidup dan hati Nara. Aku nak sambung kerja aku. Kau pergilah tolong Nara sebelum aku tarik balik keizinan aku," kata Zulfan seraya melangkah ke khemah. Kalau ini akan menyenangkan Inara, Zulfan mengalah. Dia tidak akan melayan cemburu butanya lagi demi kesihatan Inara.
Sepeninggalan Zulfan, Aisar terus menerpa Inara yang sedang duduk di sebuah kerusi dan memeriksa keadaan kanak-kanak. Aisar tidak tahu apa yang sedang disuntik oleh Inara ke tubuh seorang kanak-kanak berkulit hitam manis. Kelihatan, budak lelaki itu menahan tangis. Mujur, Inara bijak memujuk.
"Ada apa-apa yang aku boleh tolong?"
Inara memanggung kepalanya tatlala Aisar bertanya. Muncul satu idea nakal di benak fikiran gadis berbaju t-shirt lengan panjang dengan logo Hospital Bima Sakti. Sudah lama Inara tidak mengenakan Aisar. Ini sajalah waktunya untuk Inara mengenakan sahabatnya.
"Kau nampak tak budak-budak yang duduk dekat belakang tu?" soal Inara. Kapas dilekap di bahu pesakitnya.
"Kenapa?"
"Aku nak kau tolong aku ajar dia orang melukis. Kesian aku tengok dia orang tu. Tercongak duduk sambil tunggu vaksin. Sekurang..."
"Wo cop! Kau suruh aku ajar dia orang melukis? Hey... kau pedajal aku ya Doktor Inara?" pintas Aisar. Dia sudah mencekak pinggang kanan sambil menggaru pelipis.
"Apa pula pedajal! Nampak ni aku busy? Tadi kau juga yang nak tolong aku. Tak apalah. Kau pergilah dekat majikan kau. Nampak dia macam kekok saja dekat sini," ujar Inara. Sebaik mungkin, Inara cuba menahan tawanya melihat wajah Aisar sudah kelat masam.
"Cik Sandra tu dah ada yang jaga. Sekarang ni ceritanya aku nak tolong kau. Tapi, kenapa kena ajar dia orang melukis? Kau sendiri tahu aku lemah dalam seni," keluh Aisar.
"Oh ya tak ya juga kan. Kau kan tahu bertumbuk saja masa sekolah. Kalau macam tu..."
"Apa kata aku ajar dia orang seni mempertahankan diri. Dapat juga dia orang didedahkan cara pertahanan. Bernas tak idea aku?" pintas Aisar. Keningnya dijongketkan bersama sengihan kelat. Sesungguhnya, seorang Aisar Mumtaz hanya tahu aktiviti yang memerlukan sukan lasak saja. Bukan melukis!
"Tak boleh! Kalau kau tak boleh buat, tak payahlah tolong aku. Baik kau tolong kawan-kawan kau baiki rumah penduduk kampung."
Mendengarkan itu, Aisar terus menghampiri sekumpulan kanak-kanak yang sedang menanti vaksin sambil bermain. Aisar tepuk tangan untuk menarik perhatian. Inara memang sedang mengusiknya dengan kasar. Pakej dengan cabaran!
"Okey budak-budak! Mari dekat sini dengan abang. Hari ini, abang nak main permainan teka lukisan dengan kau orang. Siapa dapat teka, dapat hadiah!"
Melihatkan Aisar mula mengambil tempat, membuatkan senyuman Inara semakin melebar. Entah mengapa dia melihat Aisar begitu comel menyahut cabarannya. Dalam diam, Inara mendoakan agar Aisar dapat melupakannya dan ditemukan dengan orang yang lebih baik.
Inara juga mahu melihat Kapten Aisar Mumtaz mempunyai pasangan hidup. Kerana kebahagiaan Aisar merupakan kesenangan Inara.
HARI sudah melabuhkan tirainya. Malam itu, mereka diraikan dengan makanan sederhana yang dihidangkan oleh penduduk kampung. Hanya menggunakan hasil tanaman dan ternakan. Ada juga yang dibawa oleh para sukarelawan. Baru saja sehari mereka menjadi sukarelawan, para penduduk sudah semakin selesa bergaul bersama mereka.
Zulfan selaku ketua amat berbangga dengan penerimaan penduduk kampung mengenai kesihatan. Mereka memang bersifat terbuka. Namun, rasa senangnya hanya seketika tatkala figura Inara sudah berlalu pergi. Makanan yang dijamah juga hanya sedikit.
Lantas, Zulfan mencari kelibat Inara di tepi sungai. Seperti yang dijangkakan, gadis itu seakan-akan menanggung sakit tatkala Inara sudah tersandar lemah di belakang pokok sambil memegang abdomen kanannya. Wajahnya juga kelihatan pucat.
"Nara, saya call van untuk hantar awak balik KL. Risau saya tengok awak sakit," tegas Zulfan tanpa mukadimah.
"Sakit sikit je. Jangan risaulah! Maaflah saya buat awak risau. Kejap lagi saya nak masuk rehat. Awak pergilah layan penghulu kampung," kata Inara. Perlahan-lahan, gadis itu kembali melangkah ke pondok yang sudah disediakan untuknya.
"Sayang... please dengar cakap saya? Cukuplah hari ini saja awak dah letih. Tenaga awak dah lemah..."
Tak semena-mena, Inara kematian langkah tatkala omongan Zulfan membangkitkan emosi marah Inara. Dia tidak suka Zulfan terlalu memanjakannya. Inara mahu jadi kuat tanpa bantuan orang lain!
"Awak tu yang letak mindset saya ni lemah! Ya, saya memang lemah. Tenaga dan kudrat saya dah diragut sebab kanser. Tapi tolonglah Zulfan... faham saya. Saya tak nak terus hadap kelemahan saya lagi. Terima kasih... sebab risau dan prihatin dekat saya. Jangan risau, okay?" tegas Inara. Senyuman pahit diberikan kepada Zulfan. Inara pamit untuk berehat.
Zulfan terus meraup wajahnya dengan kasar. Zulfan tertekan! Sungguh, kedegilan Inara benar-benar mencabar kesabaran Zulfan. Bukannya dia mahu menganggap Inara lemah. Namun, Zulfan takut jika dia kehilangan Inara.
"DOKTOR! Tolong saya. Anak saya..."
Belum sempat Inara melangkah masuk ke dalam pondok yang disediakan buatnya, seorang lelaki berjambang meluru ke arah Inara. Terpancar riak cemas di laman wajah lelaki berbaju lusuh itu.
"Kenapa dengan anak encik?"
"Tak tahu! Badan dia tiba-tiba bergegar lepas dapatkan suntikan petang tadi. Tolong doktor. Saya takut!"
Tanpa berfikir panjang, Inara terus meluru masuk ke dalam terataknya. Wajah sembap Cassandra yang seolah-olah baru selesai menangis dipandang sekilas. Inara mahu bertanya. Namun, nyawa pesakitnya lebih penting saat ini! Beg galas berisi ubat-ubatan lantas dicapai.
"Ayuh! Mana rumah encik?" soal Inara lagi. Sakit yang menyerang tubuhnya diabaikan serta-merta. Ini tanggungjawabnya jika pesakit mendapatkan kesan sampingan akibat suntikan vaksin!
Si lelaki berjambang terus berlari diikuti dengan Inara. Mereka memasuki kawasan yang mula sepi. Hanya lampu kalimantang di luar rumah penduduk saja memancar jalan yang dilalui. Bunyi cengkerik yang saling sahut-menyahut turut kedengaran. Sesekali, Inara terbatuk-batuk akibat lelah.
Tiba di sebuah jalan penghujung yang semakin gelap, larian si lelaki tiba-tiba terhenti. Intuisi Inara mula terasa tidak enak tatkala pandangannya mula menerawang memandang sekeliling. Tiada sudah perumahan penduduk kampung. Apa yang tinggal hanyalah hutan belantara!
Sontak, Inara berundur beberapa tapak ke belakang. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Kotak memori terus memaparkan kejadian dia diserang.
"Kau tipu aku? Hah!" jerkah Inara. Anak matanya mula terpancar dengan ketakutan. Tambahan pula, wajah cemas si lelaki terus bertukar bengis.
Lantas, Inara membawa langkah seribu. Malangnya, dua figura sudah keluar dari semak samun. Tanpa mempedulikan musuh yang muncul, Inara meneruskan saja lariannya. Nafasnya mula tercungap-cungap.
Namun, nasib tidak menyebelahi Inara tatkala tubuhnya dirangkul dari belakang. Belum sempat Inara melawan, mulutnya sudah ditekup dengan kain. Entah apa yang diletakkan di kain tersebut pun Inara tidak tahu. Apa yang pasti, pandangan Inara mula kabur sebelum dia rebah.
"Selamat datang ke neraka Black Eagle, sweetie," bisik Ray seraya mendukung tubuh Inara. Beg galas milik gadis itu terus dibaling ke arah konco Kadir. Pasti ada kegunaannya di kemudian hari.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌹
Kalau sukakan karya ini lepas dah habis baca, jangan lupa tekan vote ya ⭐
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top