EPISOD 31

"JAHANAM! Kenapa kau bijak sangat suruh dua malaun pergi culik budak tu? Aku tak sangka, sedungu-dungu dua orang tu pun... kau lagi dungu rupanya! Sepatutnya, kau suruh orang yang lebih bijak buat kerja tu! Sekarang apa? Hancur! Tak fasal-fasal, markas utama kita dah hancur dengan kebodohan kau!"

"Ma... maaf bos. Aku... cuma... nak ajar budak-budak tu... buat kerja. Tak sangka pula... dia orang ga... gagal dan bocor... kan rahsia... tentang keberadaan... markas kita!" tegas Ray. Pandangannya tunak merenung anak mata Kadir yang galak. Bagaikan ada api yang sedang berkobar-kobar di kornea mata ketuanya. Malahan, cekikan Kadir benar-benar membuatkan Ray hampir kehabisan oksigen.

Nafasnya terasa sesak di dada!

"Maaf? Itu saja yang kau mampu lakukan lepas markas utama aku hancur? Klien pun dah tak percayakan aku lagi lepas apa yang dah jadi! Kau memang nak mati agaknya!" bentak Kadir. Suaranya semakin bergema di gudang barunya itu. Buku lima terus dihayunkan ke wajah Ray. Melepaskan amarah yang membara di sudut hati.

Sontak, Ray tersungkur akibat tumbukan padu Kadir. Pemuda berhoodie hitam itu terus terbatuk-batuk dan mencari oksigennya semula. Wajah Ray juga serta-merta merah dengan cekikan ketuanya.

Namun, sesaat kemudian, rambut Ray dijambak ke belakang oleh salah seorang konco Kadir. Wajahnya beku tanpa sebarang emosi. Tangan kanannya yang bebas terus mencengkam rahang Ray agar mulutnya terbuka luas.

"Kau harus bayar kerugian aku! Kau betul-betul dah kecewakan kumpulan kita! Sekarang... aku dah tak perlukan kau lagi," tambah Kadir seraya duduk mencangkung di hadapan Ray. Pelayar yang berada di genggamannya ditayangkan di hadapan orang kanannya.

Melihatkan itu, jantung Ray terus berdebar kencang. Sebaik mungkin, Ray cuba meloloskan dirinya daripada cengkaman konco Kadir. Apabila berjaya melepaskan diri, dua orang lagi mara dan menahan Ray dari bergerak. Masing-masing mengugut dengan menghalakan muncung senjata ke arah Ray.

"Bos! Aku akan tebus kesalahan aku. Tapi tolong... jangan seksa aku! Aku janji... aku akan heret perempuan tu berhadapan dengan bos! Dengan tangan aku sendiri!" tegas Ray. Sesekali, matanya tertancap ke arah pelayar. Bila-bila masa saja Kadir akan bertindak gila dengan menyeksanya menggunakan pelayar.

Kadir tertawa sinis dengan ketakutan yang terpancar di wajah Ray. Selangkah demi selangkah, lelaki itu mara menghampiri orang kanannya. Pelayar dipusing-pusing ke udara sebelum ditujahkan ke dada Ray. Melihatkan Ray tersentak ke belakang, membuatkan tawa Kadir semakin bergema.

"Kalau gagal, kau sedia untuk korbankan nyawa kau?" soal Kadir. Sekotak rokok di saku seluar dikeluarkan. Mahu merelakskan dirinya dengan menghisap tembakau.

"Aku tak akan gagal kali ini! Aku akan hapuskan siapa saja yang menghalang aku untuk dapatkan perempuan tu," tekad Ray. Meskipun ada ketakutan mendominasinya, namun Ray tetap akan berusaha untuk melakukan perintah ketuanya.

"Kalau begitu, kau kena pastikan budak hingusan tu mampus dulu! Dia penghalang terbesar kita untuk dapatkan Doktor Inara. Selagi budak tu hidup, selagi tu kau akan terus menemui kegagalan!"

Mendengarkan itu, air muka Ray drastik berubah bengis. Wajah Aisar Mumtaz mula berlegar di kotak fikirannya. Ya, itulah pemuda yang membuatkan nyawa Ray hampir melayang di tangan Kadir saat ini. Masih terimbas di kotak fikiran, tatkala Aisar berjaya menumpaskan konco Black Eagle sehingga membuatkan markas utama mereka diberkas.

"Baik bos. Demi Black Eagle dan dendam kesumat bos kepada mereka... aku akan tunaikan permintaan bos! Itu janji setia aku lepas bos selamatkan aku daripada kematian dulu!" tegas Ray. Sumpah setianya kembali ditanam di sudut hati.

Meskipun Kadir kejam, namun Kadir jugalah yang telah menyelamatkan Ray daripada dibunuh oleh taikun dadah. Hanya mata kirinya yang ditutup dengan eye patch saja yang meninggalkan kesan hingga ke hari ini.

JAM berjenama Casio yang terlilit kemas di pergelangan tangan dikerling. Sesekali, kepalanya menjengul ke pintu butik pengantin. Mengharapkan sang pujaan hati sampai pada waktunya. Melihat keadaan negatif, Inara terus mengeluh berat.

Nampaknya, Zulfan Ridhwan sedang membakar amarah di dalam diri Nur Inara.

"Tak baik tau bakal pengantin buat muka monyok. Nanti hilang seri macam mana?" usik Kamilah, pembantu Munirah yang sedang mengeluarkan busana pengantin Inara dan Zulfan dari almari.

"Dah dua jam saya tercongak dekat sini. Dengan call tak angkat. WhatsApp tak balas. Saya jenis tak suka orang bazir masa saya!" tegas Inara sambil mengenggam telefon pintarnya.

Kamilah pula yang terkelu bila kemarahan menyerlah di roman wajah Inara. Gadis itu kematian diksi. Takut kalau-kalau Inara semakin beremosi jika dia mengusik. Lantas, sehelai busana pengantin berwarna putih dihulurkan kepada Inara.

"Apa kata cik cuba dulu baju ni sambil tunggu tunang cik datang. Kita pun tak pasti dia jadi datang ke tak... kan? Sekurang-kurangnya, dapat juga jimat masa cik nanti," cadang Kamilah. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Mengharapkan Inara bisa sejuk seperti sedia kala.

Lambat-lambat, Inara menyambut busana yang dihulurkan oleh Kamilah. Tanpa sebarang kata, gadis berselendang krim itu melangkah masuk ke ruangan yang disediakan untuk mencuba pakaian. Inara setuju dengan cadangan Kamilah.

Serentak dengan sepeninggalan Inara, bunyi loceng butik kedengaran. Kamilah terus menyambut kehadiran pelanggannya. Ada rasa aneh menyelubungi diri Kamilah tika itu. Manakan tidak, pelangannya yang berkot hitam dipadankan dengan kemeja putih kelihatan kelelahan. Seolah-olah dalam keadaan yang kelam kabut.

"Selamat datang. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

"Saya nak tanya. Tadi..."

"Nampaknya baju ni tak ada masalah untuk saya. Ukuran dan rekaannya memang bertepatan dengan yang saya tempah dulu," pintas Inara. Busana yang tersarung di tubuhnya dibelek-belek sebelum pandangannya tertancap ke arah dua figura yang sudah memandangnya.

Saat itu juga, senyuman Inara mula mengendur. Dahinya berkerut melihat figura Aisar yang tiba-tiba muncul. Matanya melilau mencari keberadaan Zulfan pula. Namun semuanya hampa.

"Cantik," desis hati Aisar tanpa sengaja. Sungguh, Aisar benar-benar terpesona melihat penampilan Inara yang serba putih. Dengan baju kurung lace bersama taburan manik di bahagian pergelangan tangan.

"Jadi inilah tunang Cik Inara ye? Patutlah nampak kelam kabut tadi. Nah, ini baju encik," kata Kamilah tatkala Aisar sudah kelihatan kejung di sebelahnya.

"Ta..."

"Betul tu! Baik kau pergi cuba baju tu sebelum aku meletup dekat sini," pintas Inara lagi. Ada arahan mandatori yang membuatkan Aisar tergamam.

"Nara... aku datang ni sebab Zulfan suruh aku temankan kau. Kebetulan..."

Tak semena-mena, Inara menyepak tulang betis Aisar. Anak mata Inara yang kelihatan galak membuatkan Aisar semakin terkelu. Nampaknya, Doktor Nur Inara sudah mengamuk. Tiada langsung peluang untuk Aisar bersuara.

"Err... saya ke kaunter dulu ya. Kau orang bincanglah dulu apa yang patut. Kalau ada yang tak kena, bagi tahu saya," ujar Kamilah. Rasa kekok mula menyelubungi dirinya dengan ketegangan Inara.

"Cepatlah pergi cuba baju Zulfan! Saiz kau dengan dia sama saja kan. Aku sibuk kalau dia nak aku datang sini semata-mata nak temankan dia nanti!" tegas Inara. Dia semakin mendesak bila Aisar kelihatan bingung.

"Aku tak nak Zulfan cemburu..."

"Lantak dialah nak cemburu ke apa! Dia yang nak kahwin sekarang ni. Bukan kau! Aku bengang betullah. Dia yang tentukan tarikh tapi dia pula yang tak dapat datang," keluh Inara. Dalam keadaan Inara kelaparan, sudah tentunya emosinya semakin tidak stabil.

Melihat Inara semakin mengamuk, Aisar terus mencerna fikirannya untuk memujuk. Alahai, tak fasal-fasal dia menjadi orang tengah. Apalah nasib.

"Janganlah marah-marah. Bulan depan kau dah nak kahwin dah pun. Zulfan tiba-tiba dapat on call. Emergency. Phone dia pula low battery sebab tu kau call dia tak angkat. Aku pula kena excort majikan aku ke majlis pelancaran dewan. Sebab tu aku lambat. Okaylah! Aku try baju ni. Asalkan sahabat kesayangan akuni senyum semula," ujar Aisar. Hatinya sedikit tercuit melihat Inara cemberut. Permintaan Inara terus diturutkan.

Sebaik saja mendengar penjelasan Aisar, barulah kemarahan Inara beransur redah. Dia mengerti. Pekerjaan mereka sebagai doktor sememangnya perlu bersedia setiap waktu.

Inara kembali melabuhkan duduknya sambil menunggu Aisar. Entah mengapa tubuh Inara tiba-tiba jadi longlai. Serentak dengan itu, Inara merasakan abdomen di bahagian kanannya seakan-akan menyucuk. Sontak, tangan memegang pinggang. Dahi licin Inara kembali dilapisi dengan kerutan.

Aneh bila dirinya sering diserang kesakitan. Malahan, Inara yang sentiasa aktif mula menyedari dirinya sering lelah. Kadangkala, sakit kepala  juga bisa menyerang Inara secara mendadak.

Ada apa dengan perubahan dirinya tatkala ini?

"Kau tak sihat ke?" soal Aisar. Aneh melihat Inara yang sudah tertunduk menahan sakit.

Inara terus memanggung kepalanya. Senyuman kembali terukir di bibir gadis itu. Senang hati bila Aisar menurut arahannya. Penampilan Aisar yang sudah berbaju Melayu putih dipadankan dengan samping dipandang dari atas ke bawah.

"Handsome juga eh kau ni walaupun kepala kau dah tak center," puji Inara. Kesakitan di abdomennya terus diabaikan.

Aisar terus ketawa dengan pujian dicampurkan dengan kutukan sahabatnya. Wajahnya sedikit membahang dengan omongan Inara. Kekok bila mana Inara memuji.

"Seriuslah kau puji aku?"

"Ada orang lain ke selain kau dekat sini?" Soalan dibalas dengan soalan. Inara menjongketkan kening kirinya tanda sarkastik.

"Dari umur kita lapan tahun sampai dah 31 tahun, kau tak pernah puji aku. Apa yang kau tahu cuma mengutuk. Memanglah aku tak percaya. Kejap... ke kau tiba-tiba puji aku sebab kau nak aku yang kahwin dengan kau? Huh? Boleh! Tak ada masalah," ujar Aisar sambil tersengih menampakkan sebaris giginya.

Inara mencebik. Mulalah seorang Aisar Mumtaz mengeluarkan omongan yang mengarut. Bahaya benar jika dibiarkan lama-lama. Tak fasal-fasal, Inara makin sakit.

"So, sesuai tak saiz tu..."

Tak semena-mena, Inara kematian diksi. Telinganya tiba-tiba saja berdengung. Kepalanya semakin berpinar-pinar. Pandangannya seakan-akan kabur. Kesakitan di bahagian abdomen pula semakin berdenyut sehingga membuatkan Inara kembali terduduk.

"Inara! Kau tak sihat ni. Muka kau pucat sangat. Aku hantar kau balik. Okay? Pasal pakaian Zulfan, jangan risau. Semuanya dah okay. Apa yang penting sekarang, kesihatan kau!" tegas Aisar. Ketenangannya diragut sekelip mata tatkala melihat Inara kesakitan.

Tiada lagi diksi yang mampu Inara tuturkan tatkala kesakitan mendominasi tubuhnya. Dua minggu dia mengalami situasi yang sama. Inara sendiri tidak tahu puncanya. Namun, intuisi Inara seakan-akan tidak enak dengan keadaan dirinya yang sering diserang sakit.

Manakan tidak, meskipun Inara sentiasa sibuk, dia tidak pernah sesekali mengabaikan pemakanannya. Pada waktu terluang juga Inara sentiasa aktif beriadah bagi menyegarkan mindanya.

Sungguh, semuanya aneh!

MALAM itu, Inara diserang demam panas. Gadis itu hanya mampu terbaring lemah di atas katil. Mujur, Inara cuti dan di kesempatan itulah Inara bisa merehatkan tubuhnya. Namun, Inara tidak bisa tenang selagi dia tidak menemui jawapan mengenai kesihatan tubuhnya yang seakan-akan merosot.

Inara mencapai telefon pintarnya. Akal mula mengarahkan Inara untuk mencari nombor kenalannya. Saat itu juga, Inara berharap agar panggilannya dijawab.

"Assalamualaikum. Ya Doktor Inara. Ada apa call saya malam-malam ni?"

Mendengarkan itu, Inara dapat bernafas dengan lega. Perlahan-lahan, Inara bangun dari duduknya. Tangan kiri terus memicit dahi. Nyeri di kepalanya semakin menyucuk malam itu. Kesan Paracetamol yang sudah ditelan  sudah habis.

"Waalaikumsalam. Maaf doktor. Saya kacau masa doktor malam-malam ni. Begini, sejak dua minggu ni saya asyik sakit abdomen kanan, sakit kepala dan tak ada selera makan. Pernah sekali tu saya muntah darah lepas makan. Lagi satu, saya cepat letih. Saya ingat... saya nak jumpa doktor untuk pemeriksaan," jelas Inara tanpa berselindung.

Doktor Iftina yang berada di dalam talian tergamam buat seketika. Tanda-tanda yang dijelaskan oleh Inara membuatkan hatinya diserang gundah. Keputusan X-Ray hati pesakit yang baru diterima dipandang dengan hati yang walang.

"Sebelum tu... saya nak tanya sesuatu boleh?" soal Doktor Iftina. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi. Dia memerlukan kepastian daripada Inara.

"Ya?"

"Ada tak ahli keluarga doktor yang menghidap kanser?"

Air muka Inara terus berubah keruh dengan soalan mengejut rakan sejawatnya. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Akan tetapi, Inara terus mengusir anasir negatif yang berbisik di halwa telinga.

"Doktor?"

"Arwah kakak ipar saya penghidap kanser paru-paru. Kenapa ya doktor?" ujar Inara diselit dengan tanda tanya. Gebar yang menutup tubuhnya digenggam erat. Jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh semakin kencang.

"Maaf kalau saya tanya soalan yang buat doktor risau. Saya cuma nak tahu sejarah kesihatan keluarga doktor. Baiklah. Esok petang, doktor boleh jumpa saya. Pukul dua petang," tutur Doktor Iftina. Tidak mahu menggusarkan hati Inara, maka Doktor Iftina tidak memberitakan bahawa Inara mempunyai tanda-tanda pesakit kanser hati.

Sama seperti pemilik X-Ray hati yang pernah mengadu perkara yang sama. Tambahan pula, tiada lagi bukti yang menyatakan bahawa Inara sakit. Barangkali, Inara hanya keletihan.

Inara bersetuju. Usai saja talian ditamatkan, Inara mengeluh berat. Sebaik mungkin, Inara cuba memujuk hatinya yang gundah. Perlahan-lahan, Inara kembali merebahkan tubuhnya. Esok, semuanya akan menemui titik jawapan.

Namun, belum sempat Inara melelapkan matanya, bunyi pintu bilik ditendang dari luar membangkitkan Inara semula. Serta-merta, intuisi Inara mula menerima mesej bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku.

Buru-buru, Inara mencapai telefon pintarnya dan menghidupkan suis lampu meja. Glock yang pernah diberikan oleh abangnya dicapai dari laci meja. Serentak dengan itu juga, seorang lelaki serba hitam yang memakai eye patch di mata kiri berjaya merempuh pintu bilik Inara!

"Hi sweety. Let's play a game!"

Kata-kata si penceroboh benar-benar membuatkan adrenalin Inara bergerak pantas. Meskipun penceroboh itu bertangan kosong, namun Inara masih diserang ketakutan. Dalam keadaan dirinya diserang demam panas, Inara tidak yakin dia bisa melawan si durjana!

Bersambung...

Thanks korang sudi menunggu dan baca karya syaf 🌹

Sorry tau syaf lambat update dan tak best 😭  Syaf ada hal peribadi yang tak dapat dielakkan... nak2 lagi asyik tak ada idea😥

Kalau sukakan karya ini, jangan lupa vote ⭐


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top