EPISOD 28
"INARA?"
"Ya, aku Inara! Bukan hantu kum kum yang ketuk pintu rumah kau pagi-pagi buta. Kau kena tolong aku! Aku tak nak tidur luar disebabkan keadaan rumah aku yang dah macam rumah hantu itu!" jawab Inara dengan nada yang cemas.
Hampir saja Aisar menghamburkan tawanya dengan omongan Inara. Penampilan Inara dipandang dari atas hingga ke bawah. Dengan telekung yang menutupi aurat gadis itu, ditambahkan pula dengan masker berwarna hijau, Inara sememangnya kelihatan menghiburkan. Hilang sudah rasa tidak enak yang membelenggu diri Aisar beberapa saat yang lalu.
Aisar berani jamin, penampilan Inara pagi-pagi buta di khadapan khalayak seperti itu bisa membuatkan orang terkena serangan jantung.
"Lah muka kau pun dah macam ibu toyol, mestilah kau rasa rumah kau tu macam dah berhantu. Aku rasa... kau dah boleh buat part time. Kerja dekat rumah hantu jadi ibu toyol berkain putih," usik Aisar. Dia berpeluk tubuh sambil mengamati wajah Inara yang sudah berubah cemberut.
"Aku tak main-main, Kapten Aisar Mumtaz! Pergilah tengok rumah aku tu dulu. Aku tak tahu kenapa tiba-tiba boleh black out. Lepas tu..."
"Oh, nampak gayanya kau masih takut dengan kegelapan. Dah tua pun takut gelap lagi rupanya. Habis tu, sepanjang kau dekat Ireland dulu, macam mana kau boleh survive kalau black out?"
Inara mencebik geram bila Aisar sudah dalam mood bergurau. Dia memerlukan rehat dan bisa pula dia berhadapan dengan Aisar versi yang menyebalkan itu. Mahu saja dilayangkan penumbuk bila Aisar sudah tersenyum mengejek.
"Okaylah. Kau tunggu sini kejap. Aku pergi check apa yang tak kena dengan elektrik rumah kau. Karang kita kena tangkap khalwat, kau juga yang susah. Kalau aku... aku okey saja. Bolehlah kahwin free dengan Doktor Inara," tambah Aisar diselit dengan jenaka. Matanya dikenyitkan kepada Inara yang semakin tegang itu. Suka betul Aisar melihat ekspresi wajah Inara yang kelihatan sebal.
Comel!
"Miang!" cemuh Inara. Aisar memang tidak pernah berubah. Dalam keadaan mereka sudah berbaik, Inara masih dapat melihat sisi Aisar Mumtaz yang sama seperti zaman remaja mereka dahulu.
Inara tidak akan meminta bantuan Aisar jika dia tidak mendengar sesuatu yang aneh di ruang tamu rumahnya. Dia juga ada sifat malu meskipun Aisar itu sahabatnya. Manakan tidak, intuisi Inara seakan-akan memberikan amaran bahawa bahaya berada di depan mata. Sudah tentunya Inara gerun. Ditambahkan pula dia merupakan seorang yang fobia dengan gelap.
"Selesai. Fius elektrik rumah kau buat hal sebab tu tiba-tiba black out," ujar Aisar yang kembali keluar dari rumah Inara.
Namun, Inara masih statik berpeluk tubuh dengan dahi yang berkerut seribu. Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran Inara mengenai bunyi aneh yang muncul dari rumahnya sebelum elektrik terputus. Dalam keadaan keluarganya diancam bahaya, sudah tentunya membibitkan syak wasangka dalam diri Inara.
"Ehem! Kau nak berdiri jadi tugu negara sampai pukul berapa? Nak aku temankan ke? Boleh... tak ada masalah!" seloroh Aisar dengan tawa kecilnya.
"Aku rasa ada yang tak kenalah dengan rumah aku sebelum black out tadi. Macam ada orang pecah masuk rumah aku. Kuat sangat bunyi tapak kaki dari luar bilik aku tadi," kata Inara tanpa melayan usikan Aisar. Pandangannya dialihkan ke rumahnya yang sedang terbuka luas.
Tika itu, air muka Aisar drastik berubah tegang dengan aduan daripada Inara. Lantas, langkah kembali diatur ingin memeriksa keadaan rumah gadis itu. Seluruh ruang diperiksa dengan teliti termasuk balkoni.
Tatkala melihat balkoni terbuka luas, jawapan kepada persoalan Inara sudah terjawab. Aisar yakin, intuisi Inara betul. Manakan tidak, Inara itu seorang yang sentiasa berjaga-jaga. Inara tidak akan sesekali membiarkan pintu rumahnya tidak berkunci. Lantas, wajah Inara yang sedang menanti di muka pintu terus dipandang. Demi mengukuhkan lagi keyakinannya, Aisar memeriksa keadaan pintu rumah pula.
Jelas, terdapat bekas cungkilan pada pintu! Nampaknya, musuh sudah menyelinap masuk secara senyap. Mereka beraksi bagaikan halimunan tanpa petunjuk.
"Jumpa apa-apa yang pelik tak?" soal Inara. Roman wajah Aisar yang sudah tegang membuatkan Inara kecut perut.
"Aku kena pasang CCTV dekat rumah kau dan sambungkan dengan peranti aku. Aku tak selalunya ada dekat rumah tapi aku boleh awasi keadaan rumah kau dari jauh," jawab Aisar. Tiada lagi jenaka yang meniti di bibirnya. Sungguh, Aisar risau dengan keadaan Inara tika ini.
Mendengar saja penjelasan Aisar membuatkan Inara tergamam. Hanya sorotan matanya saja yang saling bersabung dengan anak mata Aisar. Tiada lagi diksi yang meniti di bibir Inara tatkala intuisinya mengatakan hal yang sebenar.
"Memang ada orang pecah masuk rumah kau dan keluar dari balkoni. Aku tak tahu bagaimana caranya dia larikan diri. Tapi, aku pasti sebaik saja kau keluar, dia dah terlebih dahulu melarikan diri dari balkoni," tambah Aisar lagi.
"Keluar dari balkoni? Tapi apa sebenarnya yang dia mahukan?" desis hati Inara. Aneh bila si pelaku lebih memilih untuk melarikan diri berbanding menyerang.
"Kau rehatlah dulu. Aku berjaga dari luar. Jangan risau, selagi aku dekat dengan kau... selagi tu aku akan cuba untuk lindungi kau dari marababaya," pujuk Aisar bila Inara kelihatan kelu tanpa bicara. Barangkali, inilah takdir dia berjiran dengan Inara. Aisar dapat menebus kesalahannya dengan menjadi pelindung buat Inara sekali lagi.
MESYUARAT bersama pengarah Hospital Bima Sakti sudah sampai ke penghujungnya. Namun, fikiran Inara masih menerawang memikirkan masalah yang baru saja menimpanya semalam. Masih ada seribu tanda tanya di benak fikiran Inara.
Adakah si penceroboh mempunyai kaitan dengan keluarganya? Atau sekadar ingin memecah masuk rumah bagi tujuan merompak? Satu hal lagi yang tidak dapat diterima dek akal. Kenapa si penceroboh melarikan diri bila Inara menonjolkan dirinya?
Aneh.
"Doktor Inara."
Inara tersentak tatkala namanya dipanggil. Gadis itu terus memandang wajah bakal bapa mertuanya yang duduk di kerusi utama bilik mesyuarat. Wajah cuba dimaniskan bagi menyembunyikan gundah gulananya.
"Kamu dengar kan apa yang saya cakap?" soal Doktor Irfan. Buku nota Inara yang kosong dipandang sekilas sebelum pandangannya bersatu dengan Zulfan. Meminta kepastian adakah Inara baik-baik saja atau sebaliknya?
Manakan tidak, Inara itu seorang yang petah dalam mengemukakan pendapat setiap kali mereka bermesyuarat. Namun kali ini, Inara hanya diam tanpa bicara. Sudah tentunya Doktor Irfan berasa pelik.
"Dengar, doktor. Saya setuju saja dengan cadangan doktor berkaitan projek ke Kampung Dusun. Sekurang-kurangnya, kita dapat dedahkan kepada mereka berkaitan kesihatan. Lagi pula, seperti yang diketahui, Kampung Dusun merupakan sebuah kampung yang terlalu daif. Kesihatan para penduduk tidak begitu terjaga," ujar Inara. Pen yang berada di pegangan digenggam erat.
Melihat keadaan Inara yang janggal turut memberikan tanda tanya dalam diri Zulfan. Tunangnya ini sering saja menyimpan masalah tanpa berkongsi. Hal itulah yang membuatkan ada kelompongan dalam hubungan mereka.
Usai bersurai, Zulfan terus mencengkam kot putih Inara yang berlapik lalu mereka keluar dari hospital. Berkerut dahi Inara dengan keadaan Zulfan yang seakan-akan tegang tanpa senyuman. Apa lagi yang mahu digaduhkan kali ini?
"Lepas..."
"Kenapa dengan awak?" soal Zulfan seraya melepaskan Inara. Dia berpeluk tubuh sambil berdiri bertentangan dengan Inara. Anak matanya tunak merenung anak mata Inara yang galak.
"Apa yang kenapa?"
"Awak ada masalah ke sampai tak fokus dengan mesyuarat tadi? Ini kali pertama saya tengok awak diam. Kongsilah dengan saya kalau awak ada masalah. Saya tak nak kalau kita dah kahwin nanti... awak masih jadi pemendam orangnya," jawab Zulfan. Ada autoriti di sebalik nada suaranya. Mengharapkan agar Inara mengerti keresahannya.
Inara tersenyum tenang. Nafas panjang dihela. Pandangannya menerawang memerhatikan perkarangan hospital yang kelihatan sibuk. Ada pesakit yang sedang menanti giliran, ada juga para staf yang sedang masuk dan keluar hospital silih berganti.
"Saya ingatkan awak nak marah saya lagi."
Zulfan turut tersenyum dengan jenaka Inara. Mendalam sungguh usikan tunangnya itu. Entah dari mana Inara belajar pun Zulfan tidak tahu. Inara suka berahsia dengannya. Atas alasan, Inara tidak mahu membebankan Zulfan.
"Saya okay. Awak janganlah risaukan saya. Biasalah tu otak saya penat sampai saya rasa beku. Apa kata sekarang, awak temankan saya minum kopi kegemaran kita. Americano latte. Dah lama kita tak dating sambil minum kopi," ujar Inara seraya melangkah ke kafe yang berhampiran. Sungguh, Inara tidak mahu Zulfan tahu mengenai marabahaya yang sedang menimpanya. Inara risau kalau Zulfan turut menjadi sasaran musuh keluarganya.
"Pandai awak ubah topik ya. Nara, tolonglah jangan pendam semuanya sendiri. Kita dah..."
"Kita dah nak menikah. Tugas awak sebagai suami nak buat saya senang dan bahagia. Ya, Zulfan. Awak dah banyak kali ingatkan saya pasal benda ni. Sebab itu saya tak pernah menyesal terima awak untuk jadi bakal suami saya. Awak selalu utamakan saya dalam hidup awak," pintas Inara. Wajah Zulfan yang beriringan dengannya dipandang sekilas. Inara bahagia.
"Baguslah kalau awak dah faham. Kalau..."
Belum sempat Zulfan menokhtahkan bicaranya, bunyi siren ambulans kedengaran. Langkah pasangan itu serta-merta terbejat. Hanya sorotan mata mereka saja yang saling bersatu sebelum Inara menghalakan jari telunjuknya ke arah staf yang sedang mengeluarkan seorang mangsa kemalangan dari ambulans.
"Kerja awak dah memanggil. Itu paling utama saat ini. Dah, pergi selamatkan pesakit. Lain kali kita minum Americano Latte sama-sama," arah Inara.
Zulfan hanya mengangguk. Ada sedikit kekecewaan menyentuh hatinya bila mana tidak dapat berehat buat sejenak bersama Inara. Namun, tugasnya sebagai doktor di bahagian kecemasan harus diutamakan. Tidak dapat tidak, keinginan untuk mengetahui masalah Inara harus dilupakan buat seketika.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Harap korang sukakan karya ini dan maaf kalau tak menepati cita rasa korang ehek 🙈
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top