EPISOD 27
"KAKAK... Nina nak jumpa mak. Kenapa... mak tak datang... lagi? Nina dah... penat nak tunggu... mak."
Langkah Inara keluar dari hospital semakin longlai, tatkala permintaan terakhir Nina terngiang-ngiang di kotak memori. Angin malam yang mencengkam tubuh dengan kedinginan, seolah-olah merobek hati Inara. Pandangannya semakin kabur. Tubir mata terasa hangat tatkala perjalanan Nina sebagai seorang insan berakhir pada hari itu.
Perlahan-lahan, Inara menghenyakkan duduknya di atas bangku. Anak matanya tunak memandang persekitaran taman hiasan hospital yang kelihatan lenggang. Waktu melawat sudah tamat. Hanya tinggal staf dan pesakit yang menghuni Hospital Bima Sakti. Secara tidak langsung, membibitkan kesunyian di kawasan itu.
Inara hanya mahu menenangkan dirinya setelah Nina pergi di atas pangkuannya. Gadis bertudung selendang hijau itu memerlukan udara malam. Tika itu, wajah sayu Nina seakan-akan sumpahan yang membuatkan Inara dihempap rasa bersalah. Gadis kecil itu hanya mahukan ibunya saja.
Namun...
"Maaf Nara. Berita yang aku nak sampaikan tentang mak Nina sudah tentunya berat untuk diterima. Tapi... aku kena bagi tahu juga. Mak dia... dah meninggal dunia akibat ketagihan yang melampau. Aku harap... kau kuat untuk sampaikan semuanya kepada Nina. Dia berhak tahu pasal mak dia."
Ya.
Ibu kandung Nina sudah pergi buat selamanya tanpa memberikan kasih sayang buat Nina. Tiga hari sebelum Nina meninggal dunia, khabar duka yang disampaikan oleh Aisar sudah sampai kepada Inara. Melihat keadaan Nina yang semakin lemah akibat HIV, membuatkan Inara tidak tega menyampaikan khabar duka itu.
Semakin jiwanya dihurung dengan kesedihan, jiwa Inara semakin terasa sesak. Seolah-olah nafas yang dihembus tidak terasa lagi. Seluruh tubuh Inara seakan-akan menggeletar dengan kesedihan yang melampau. Akhirnya, setitis demi setitis air mata Inara turun jua. Kepalanya terus tertunduk menekur tangan yang sudah digenggam erat.
"Maafkan kakak... Nina. Maafkan kakak sebab tak mampu... nak... tunaikan permintaan... Nina," ujar Inara sebelum esakannya mula pecah. Entah mengapa kes Nina benar-benar menusuk hati Inara dengan dalam. Seakan-akan ada luka yang akan meninggalkan parut.
Saat itu juga, angin malam semakin kencang. Sesekali, guruh berdentum kuat. Awan yang berarak mula menutupi bulan. Rintik-rintik hujan gerimis yang bagaikan mutiara akhirnya turun. Seakan-akan menjadi dendangan lagu kesedihan buat Inara.
Inara kaku di atas bangku. Badannya seakan-akan lumpuh untuk bergerak. Mencari tempat perlindungan dari kehujanan. Inara benar-benar terhukum dengan pemergian Nina. Gadis kecil yang hanya sempat dirawat selama seminggu.
"Doktor Inara..."
Mendengar saja namanya diseru, Inara terus memanggung kepalanya. Kaget tatkala seseorang sedang melindunginya dengan payung. Terpampang wajah seorang pemuda bermata galak yang memegang payung dan menghulurkan sehelai sapu tangan kepada Inara.
"Menangislah kalau itu boleh ringankan beban yang kau pikul. Menangislah kalau kau rasa lelah. Menangis tak bererti yang kau lemah. Cuma satu... kau tak bersalah dalam hal ini. Allah ambil Nina sebab Allah nak hentikan kesakitan Nina. Ini takdir yang sudah ditulis oleh Allah, Doktor Inara," ujar Aisar. Ada ketegasan di sebalik nada suara pemuda berjas hitam itu.
Sungguh, omongan Aisar benar-benar meruntun hati Inara. Mulutnya terus ditekup menahan esak. Perlahan-lahan, Inara menundukkan pandangannya semula. Tidak mampu memandang tatapan Aisar yang begitu tajam. Sudah terlalu lama Inara tidak melepaskan kesedihannya di hadapan orang lain.
Tangisan seorang Inara benar-benar meruntun hati Aisar. Sahabatnya tidak pernah berubah. Inara tetap Inara. Sering saja menyembunyikan kesedihannya di hadapan khalayak. Hanya di hadapan Aisar saja Inara akan melepaskan segalanya. Hal itulah yang membuatkan Aisar sentiasa ingin menjadi bayang yang melindungi Inara.
"Kalau aku... bagi tahu Nina pasal... mak dia... mesti dia tak akan... menunggu lagi. Kalau aku..."
"Tak ada istilah kalau, jika takdir sudah ditentukan oleh Allah. Kau tak boleh nak terus salahkan diri kau macam ni. Kau dah cuba sedaya upaya untuk rawat Nina. Kau cuba bagi kekuatan untuk dia, supaya dia boleh terima yang ibu dia dah tak ada. Doktor bukan Tuhan, Inara," pintas Aisar tatkala Inara semakin menidakkan takdir yang sudah ditentukan. Sapu tangan diletak di atas riba Inara. Payung diletakkan sepenuhnya di atas kepala Inara. Membiarkan dirinya kebasahan tatkala hujan semakin lebat.
Mendengarkan butir bicara Aisar membuatkan Inara tersentak. Benar. Doktor bukan Tuhan. Inara hanya mampu berusaha menyelamatkan Nina. Sapu tangan pemberian Aisar digenggam erat. Bibir diketap. Wajah Aisar kembali menjadi tatapan seorang Inara.
"Terima kasih sebab muncul depan aku lagi," ucap Inara seraya mengesat air matanya. Bahunya sudah terhinggut-hinggut melepaskan tangis yang masih tersisa.
Aisar tersenyum melihat tingkah Inara. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Sudah terlalu lama Aisar tidak melihat sisi Inara yang cengeng. Sudah terlalu lama Aisar tidak mengusik bila Inara menangis. Usikan yang sudah tentunya bertujuan untuk menghiburkan Inara semula.
"Aku akan selalu ada untuk kau. Kita kan sahabat. Walau apapun yang terjadi, aku tak akan sia-siakan Aisara macam dulu. Aku akan gunakan peluang yang kau bagi dengan sebaiknya," ujar Aisar. Cuba memujuk Inara yang sudah kembali terkawal.
Sekali lagi, tubir mata Inara kembali hangat dengan pujukan Aisar. Inara amat merindui momen Aisar yang sentiasa menjadi pendengar setianya. 13 tahun merupakan masa yang terlalu lama untuk Inara memendam segalanya sendirian.
"Kau saja... nak buat aku... menangis lagi ke?"
Tak semena-mena, Aisar ketawa sambil menggaru pelipis yang tak gatal. Kepalanya digelengkan. Menidakkan tuduhan Inara. Nampaknya, pujukannya membuatkan Inara sensitif.
"Come on, janganlah terharu sangat dengan apa yang aku cakap. Aku pun tak tahu kenapa mulut aku laju saja nak ungkit pasal peluang kedua. Okaylah kita cakap pasal... macam mana kau boleh jadi doktor?"
"Kenapa kau tanya aku macam tu? Kau ingat senang ke aku nak jadi doktor pediatrik?" Soalan dibalas dengan soalan.
"Sebab... selama 31 tahun aku hidup, aku tak pernah jumpa doktor yang cengeng macam Doktor Inara. Tu yang aku pelik macam mana kau lulus jadi doktor? Aku dapat bayangkan... kalau MO senior marah kau, mesti kau menangis. Yelah kau kan sensitif. Hati..."
Tak semena-mena, Aisar kematian kata tatkala pandangan sayu Inara drastik berubah galak. Ada riak tak puas hati terbias di sebalik wajah gadis itu. Lantas, lutut Aisar disepak oleh Inara. Melepaskan geram dengan kutukan Aisar terhadapnya.
Sebaik saja menerima sepakan padu Inara, Aisar terus tertunduk sambil mengacah mengusap kakinya. Sengaja mahu membuatkan Inara sebal.
"Aduh! Nampaknya, sepakan Doktor Inara semakin menyakitkan. Doktor, boleh tak doktor rawat kaki..."
"Tu hadiah untuk orang yang dah kutuk aku depan-depan. Aku pun tak tahulah macam mana kau boleh jadi tentera dan bodyguard Cassandra. Dengan perangai tak serius kau dan sifat kau yang menyebalkan itu! Huh!" pintas Inara seraya bangun dari duduknya. Payung terus dirampas daripada Aisar. Biar Aisar kehujanan. Tanpa pamit, Inara kembali melangkah masuk ke dalam hospital. Meninggalkan Aisar yang sudah tersenyum lebar.
Nafas panjang dihela. Aisar menghantar Inara dengan hanya melalui pandangan saja. Ingin memastikan gadis itu masuk dengan selamat. Melihat Inara kembali bangkit benar-benar menyenangkan pemuda itu.
Aisar hanya mahu melihat Inara tersenyum bahagia. Ya. Hanya itu keinginan utama seorang Aisar Mumtaz.
SESI soal siasat di ruangan itu semakin hangat, tatkala suspek yang bertindik di kening kiri sekadar menatap wajah Mustaqim yang bengis. Bagaikan tiada sifat gerun di sudut hatinya tatkala berbalas pandangan dengan pegawai polis itu.
"Aku tak ada masa nak bermain dengan kau. Jawab pertanyaan aku! Apa kaitan kau dengan Black Eagle!" bentak Mustaqim seraya menghentakkan kedua belah tangannya di atas meja. Amarahnya semakin membuak-buak tatkala suspek seakan-akan mempermainkan situasi.
"Aku tak ada kaitan dengan Black Eagle! Berapa kali aku nak ulang..."
Tak semena-mena, suspek yang duduk bertentangan dengan Mustaqim terkelu. Matanya sudah membuntang melihat skrin telefon pintar milik Mustaqim. Terasa kelat liur yang ditelan saat bukti terpampang di depan mata. Video yang sudah cukup menjelaskan mengenai dirinya dan Black Eagle.
"Kau ingat kami bodoh? Sudah jelas mata-mata kami berikan bukti yang kukuh bahawa kau salah seorang daripada ahli Black Eagle! Ugutan yang aku terima selama ini pun kau yang hantar! Kau saja nak kucar-kacirkan hidup aku. Tapi... pengakhirannya apa? Huh!" marah Mustaqim. Jika berkaitan dengan keluarganya, sudah tentunya Mustaqim tidak bisa tenang.
Setiap saat dia memikirkan mengenai Inara. Ditambahkan pula dengan bebanan pekerjaannya dalam memberkas waris Black Eagle, membejatkan lagi tugasannya sebagai seorang pelindung buat adiknya sendiri. Mujur, Aisar kembali muncul dalam hidup Inara. Kepada Aisar jugalah Mustaqim meminta bantuan untuk melindungi Inara dalam diam. Tugasan yang sama turut diberikan kepada Sarjan Azrina.
Hanya saja, Inara tidak mengetahui hal itu. Mustaqim tahu jika hal ini sampai ke pengetahuan Inara, adiknya pasti akan menolak untuk diberikan perlindungan. Sudah menjadi sifat semulajadi Inara yang tidak mahu membebankan orang lain.
"Buat apa lagi kau nak setia dengan ketua kau? Apa kau ingat dia akan keluarkan kau lepas kau diberkas? Dalam mimpi sajalah! Kalau kau tak nak bekerjasama dengan aku... semua itu urusan kau! Cuma satu... hidup kau akan selamanya terkurung dalam penjara!" tambah Mustaqim seraya melangkah keluar dari bilik siasatan. Tak betah mahu berhadapan dengan suspek yang sudah mengancam nyawa adiknya itu.
"Adik kau tak akan selamatlah! Ketua aku tak akan teragak-agak hancurkan hidup adik kau lepas apa yang kau dah buat kepada abang ketua aku! Darah harus dibayar..."
"Langkah mayat aku dulu! Selagi aku bernyawa, aku tak akan biarkan kau orang menang!" pintas Mustaqim. Sungguh, jiwanya benar-benar diamuk. Suspek itu masih mampu memprovokasinya meskipun sudah menerima hukuman di atas jenayah yang telah dilakukan.
Saat itu juga, dua orang pegawai yang berada di luar bilik siasatan tergamam, sebaik saja melihat keadaan Mustaqim yang tegang. Manakan tidak, orang atasan mereka seorang yang tenang dalam menghadapi penjenayah. Namun, berbeza pula pada kali ini.
"Masukkan dia dalam sel yang sama dengan Benjy. Tahulah Benjy nak ajar dia macam mana," arah Mustaqim. Nada suaranya yang mendatar membuatkan para pegawai semakin terkelu.
"Tapi tuan, Benjy kan tak boleh kongsi..."
Mustaqim menepuk bahu Izudin. Tergaris senyuman sinis di bibir pemuda itu. Hanya dengan pandangan mata yang tajam saja, Izudin mengerti bahawa keputusan Mustaqim muktamad.
Siapa saja tidak mengenali Benjy si penjenayah yang sering membuat keganasan kepada banduan baharu? Para pegawai di penjara tidak akan sesekali memasukkan banduan baharu ke dalam sel yang sama bersama Benjy. Jika tidak, pertumpahan darah pasti akan berlaku.
"Dia tak akan mati di tangan Benjy. Aku cuma nak dia mengalah dan berpihak kepada kita. Sama macam yang aku dah pernah buat dengan suspek yang buat Inara kemalangan dahulu," jelas Mustaqim. Mengatakan niatnya yang mahu memberikan pengajaran kepada Black Eagle.
"Arahan diterima, tuan!" tabik Izudin seraya membawa suspek keluar dari bilik siasatan.
Mustaqim kembali memandang skrin telefon pintarnya. Pesanan daripada Aisar lantas dibaca. Sebaris demi sebaris, Mustaqim membaca dengan penuh teliti. Kemudian, nafas dihela panjang. Lega.
Aisara: Inara selamat. Abang jangan risaulah pasal dia. Aku kan dah janji dengan Pak cik Rosham yang aku akan selalu jaga Inara 😍 By the way, nanti pesan dengan Nara jangan cengeng sangat 😥 dia dah nak jadi isteri orang ☺ aku tak boleh nak pujuk dia lagi lepas ni 😭
Sebaik saja membaca pesanan ringkas itu, Mustaqim tersenyum pahit. Aisar masih saja dengan sifat tak semenggahnya. Sama saja seperti dahulu. Dari cara Aisar saja, Mustaqim mengerti isi yang tersirat di lubuk hati sahabat adiknya itu.
Terima kasih sebab selamatkan keadaan. Tapi... Zulfan akan ambil tempat kau selepas ini... move on Aisar. Aku tahu kau boleh dapat yang lebih baik daripada adik aku
Sebaik saja menerima pesanan daripada Mustaqim, Aisar yang sedang menghangatkan tubuhnya dengan teh panas sekadar tersenyum pahit. Teh dihirup. Nyaman saja udara pada malam itu. Lampu-lampu dari bangunan pencakar langit di kota raya, seakan-akan sebuah lukisan yang terpapar di kornea mata Aisar.
Ya, Zulfan akan menggantikan tempatnya hanya dalam beberapa bulan saja lagi. Itu sebuah kenyataan yang pahit namun ada manisnya juga buat Aisar. Kerana, kebahagiaan Inara merupakan kebahagiaan seorang Aisar Mumtaz.
Tiba-tiba, lamunan Aisar terhenti bila loceng rumahnya ditekan bertubi-tubi. Intuisi Aisar mula terasa tidak enak. Jam di skrin telefon lantas dipandang. Sudah pukul 1 pagi. Siapa pula yang menganggu privasinya?
Tanpa berlengah, Aisar terus masuk ke dalam rumah. Pintu gelongsor beranda ditutup. Cawan berisi teh diletak di atas meja. Glock di dalam laci terus dicapai. Sebagai tanda berjaga-jaga.
Tak cukup dengan loceng, pintu rumah Aisar turut diketuk bertalu-talu. Bagaikan mahu runtuh saja bangunan dengan keganasan si figura. Saat itu juga, Aisar semakin mengaktifkan mood bersiap siaga.
Lantas, pintu rumah dibuka. Melihat saja figura yang berada di hadapan, membuatkan anak mata pemuda itu membuntang serta-merta. Kaget dengan tetamu tak diundang pada pukul 1 pagi.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya saya 🌷
Maaf korang kalau syaf lama tak update 😔
Thanks yang sudi menanti dan harap korang enjoy 🌷
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top