EPISOD 20
INARA hanya mampu tersandar lemah di belakang kerusi penumpang sambil menanti Zulfan yang tiba-tiba saja keluar dari kenderaan. Matanya tunak memerhatikan perkarangan rumah Doktor Irfan yang masih kelihatan meriah.
Tika itu, Inara tak henti memikirkan pertemuannya semula bersama Aisar. Fikiran Inara benar-benar sesak. Jantungnya juga dipalu dengan debaran yang maha kuat. Manakan tidak, semuanya berlaku secara mendadak. Inara masih tidak dapat menerima kenyataa hubungan Aisar dan Zulfan.
Sudah tentunya Inara kaget. Sudah 13 tahun dia dan Aisar terpisah. Selama itu juga, Inara tidak pernah tahu perkembangan pemuda yang pernah menjadi sahabatnya suatu ketika dahulu. Entah, wujudkah lagi Aisara dalam diri Aisar atau sebaliknya. Inara benar-benar ditujah dengan persoalan.
"Nara, awak okay? Kenapa awak nampak pucat semacam ni?"
Suara Zulfan yang sedang bertanya menghapuskan terus lamunan panjang Inara. Senyuman palsu terukir di bibir gadis itu. Mencuba mengusir segala hal yang berkaitan dengan Aisar. Pandangannya terus dikalih memandang laman wajah tunangnya yang sudah berdiri di sisi kereta.
"Saya okay. Saya penat sikit kut. Siapa yang call?"
"Eloklah kalau awak balik dulu. Risau saya tengok kalau awak sakit lagi. Oh, ni doktor Saiful call saya. Dia minta saya ganti dia on call sekarang. Jadi saya... nak minta maaf sangat-sangat sebab saya tak dapat nak hantar awak balik," kata Zulfan. Pemuda berkemeja hitam itu tersenyum hambar. Ada riak bersalah di sebalik wajahnya.
"Tak apa. Saya faham. Lagi pun jarak dari rumah saya ke hospital ambil masa setengah jam. Kesian juga dekat awak kalau nak terkejar-kejar. Saya boleh balik sendiri naik grab. Awak tak payahlah risau sangat pasal saya," ujar Inara. Memberikan keyakinan kepada Zulfan bahawa dia dalam keadaan yang baik-baik saja.
Namun, belum sempat Inara membuka pintu kereta, Zulfan terlebih dahulu menahan. Pemuda itu menggelengkan kepalanya. Menegah Inara dari keluar. Serta-merta, dahi Inara mula dilapisi dengan kerutan. Dah kenapa Zulfan tak nak dia keluar?
"Lepas apa yang dah jadi tempoh hari, saya masih tak nak awak balik seorang. Saya dah minta tolong sepupu saya hantarkan..."
Tanpa berlengah, Inara terus membuka pintu kereta tanpa mendengar penjelasan Zulfan. Tangannya digenggam erat tatkala intuisinya mula terasa tidak enak. Sungguh, Inara tidak mampu berhadapan dengan Aisar saat ini.
"Tak payahlah susahkan sepupu awak! Saya boleh balik sendiri. 12 tahun saya dekat Ireland, selama itu juga saya selalu dalam keadaan selamat. Awak jangan overprotective boleh tak?" tegas Inara. Wajah Zulfan yang kelihatan resah dipandangnya dengan tatapan yang tajam. Emosi marah mula membakar dinding hati Inara.
Melihat wajah tegang Inara membuatkan Zulfan dihurung dengan rasa aneh. Sesekali, wajah Aisar yang sudah berdiri di sisi pintu pemandu dipandang. Wajah Aisar juga sama seperti Inara. Tegang tanpa senyuman.
Ada apa sebenarnya di antara dua insan ini?
"Kenapa awak pelik sangat lepas jumpa Aisar? Kenapa awak macam nak mengelak daripada dia? Ini bukan Inara yang saya kenal. Inara yang saya kenal tu bersifat terbuka. Ikut saja apa yang saya mahukan demi keselamatan diri dia sendiri," tegas Zulfan. Meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Inara. Intuisi Zulfan mula berasa aneh tatkala ini. Seakan-akan ada sesuatu di antara Aisar dan Inara.
"Aku tak ada masa nak tengok babak gaduh kau orang berdua. Kalau dia tak nak aku hantar, tak payah paksa. Tunang kau tu, kalau itu yang dia mahukan maka ikut sajalah apa yang dia nak. Jangan nak halang dia."
Serentak, Inara dan Zulfan memandang raut wajah sinis Aisar tatkala lelaki itu mula bersuara. Ada senyuman sinis terukir di bibirnya. Seakan-akan mengejek ketegangan yang sedang berlaku di antara dua pasangan tersebut.
"Kau... kenal ke siapa Inara? Kenapa cara kau cakap macam kau dah lama kenal tunang aku?" bertubi-tubi soalan diajukan kepada Aisar.
"Kenal? Aku..."
"Fine! Saya ikut apa yang awak nak. Saya malas nak bertekak dengan awak, Zulfan!" tegas Inara seraya kembali masuk ke dalam kereta. Keluhan berat terlepas dari bibir gadis itu.
Dugaan apakah yang dia sedang hadapi saat ini? Inara tidak mahu Zulfan tahu siapa dia dalam hidup Aisar. Inara risau kalau Zulfan buruk sangka.
Bagi Inara, belum tiba masanya untuk Zulfan tahu siapa seorang Aisar Mumtaz dalam hidup Inara.
SESEKALI, Aisar kalih memandang figura Inara yang ralit memandang deretan bangunan pencakar langit melalui tingkap. Kedinginan malam benar-benar menghuni suasana. Hanya lagu yang berkumandang di corong radio saja yang kedengaran. Suasana benar-benar kekok tika itu.
Lantas, Aisar berdeham. Pelipis yang tak gatal digaru. Menghilangkan rasa janggal yang bermukim di sudut hati. Inilah kesempatannya untuk berbicara bersama Inara setelah 13 tahun mereka membawa haluan masing-masing.
"Kau... apa khabar? Macam mana 12 tahun hidup di Ireland?" soal Aisar. Stereng kereta digenggam erat bagi melawan rasa gemuruhnya. Aneh sekali rasa ini. Kalau dulu, lancar saja mulut Aisar mengusik Inara.
Inara kalih memandang raut wajah Aisar. Itulah kata-kata pertama yang diujarkan oleh Aisar setelah berbelas tahun mereka terpisah. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala figura Aisar benar-benar terpampang di depan mata. Penampilan Aisar sudah kelihatan matang.
Pemuda itu kelihatan lebih maskulin berbanding 13 tahun yang lalu. Bahu yang lebar dan dada yang bidang cukup menjelaskan kepada Inara bahawa Aisar sudah menjalani latihan yang berat demi bergelar seorang tentera.
"Baik. Hidup dekat Ireland memang membahagiakan aku. Selain aku dapat capai cita-cita aku... aku juga ditemukan dengan seseorang yang membahagiakan dan menyelamatkan aku dari kesedihan," jawab Inara acuh tak acuh. Terselit omongan sinis untuk menyakiti Aisar.
Seketika, mereka saling berpandangan. Ada kerinduan yang terpancar di sebalik anak mata dua insan. Hanya saja, masing-masing ego untuk menyatakan rasa rindu itu. Aisar dengan rasa tercabarnya manakala Inara yang sudah tersakiti dengan pemergian Aisar.
"Aku tak tahu pun kau dah bertunang dengan sepupu aku. Aku... betul-betul tak sangka..."
"Tak penting pun untuk kau tahu pasal aku. Aku bukan siapa-siapa lagi dalam hidup kau lepas kau tinggalkan aku. Aku tak bermakna lagi dalam hidup kau," pintas Inara seraya kalih ke tingkap. Tak betah memandang raut wajah Aisar. Tubuhnya lantas dipeluk erat.
"Kau fikir macam tu ke selama berbelas tahun ini? Kau fikir yang aku dah lupakan Aisara lepas aku tinggalkan kau? Negatif sungguh pemikiran kau, doktor Inara. Kau menuduh tanpa tahu apa yang aku rasa!" tegas Aisar. Nada suaranya sedikit meninggi tatkala bicara Inara seakan-akan mencabarnya.
Inara hanya diam. Bibirnya diketap menahan sebak yang mula bertamu di sudut hati. Inara tidak mahu menangis. Dia sudah berjanji bahawa tak akan ada air mata disebabkan Aisar Mumtaz lagi.
"Kenapa kau diam? Jawablah soalan aku! Kau fikir yang aku dah lupakan Aisara ke?" bentak Aisar. Jiwanya mula tidak tenteram tatkala Inara berburuk sangka terhadap dirinya. Walhal, dia sangat merindui Inara separuh nyawa!
Terhinggut bahu Inara tatkala Aisar membentaknya. Segaris senyuman sinis terukir di bibir gadis itu. Nafas panjang ditarik lalu dihela perlahan-lahan. Sebaik mungkin Inara menahan hatinya dari memecahkan empangan kesedihan.
"Aku kecewa dengan kau, Kapten Aisar Mumtaz. Sangat kecewa sampai aku susah nak terima kenyataan yang kau pergi tanpa pengetahuan aku. Kau mungkiri perjanjian kita. Kau... hancurkan perasaan aku bila kau pergi. Kau tahu aku sayangkan kau. Aku sayangkan persahabatan kita. Tapi... kau tetap tinggalkan aku," ujar Inara. Wajahnya mula membahang menahan perih di sudut hati.
Aisar terkesima dengan luahan hati Inara. Wajah muram Inara dipandang sekilas. Kemarahannya beransur hilang. Digantikan pula dengan tsunami kesedihan yang menghancurkan hatinya. Aisar dapat merasakan kesakitan Inara tika ini. Aisar kesal membentak Inara demi mengikut emosinya.
"Malahan, kau..."
Inara jeda.
Kesakitan yang dialami benar-benar melemahkan Inara. Nafasnya terasa sesak di dada. Pandangannya semakin kabur tatkala kornea matanya berkaca-kaca. Tubir mata semakin terasa hangat.
"Kau langsung tak bagi aku peluang untuk tahu perkembangan kau. Aku terseksa, Aisar. Aku terseksa rindukan kau separuh nyawa. Aku rindu semua tentang kau. Aku rasa sebahagian daripada diri aku hilang. Aku sampai salahkan diri aku sendiri. Adakah pemergian kau tanpa ucapan selamat tinggal... disebabkan aku tolak cinta kau? Tapi... a... aku tak boleh buat apa-apa untuk hilangkan kesemua kesedihan itu," tambah Inara lagi. Meluahkan kesemua yang terpendam sebelum Zulfan muncul dalam hidupnya.
"Enam tahun... aku tunggu kau muncul. Enam tahun... aku sentiasa mengharapkan kau tanya perkembangan aku. Kadang-kadang, aku harap yang kau masih jadi pelindung aku. Macam dulu. Selama itu juga aku sedar yang aku..."
Inara jeda lagi.
Kepalanya terus tertunduk menekur kedua belah tangan yang sudah digenggam erat. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Kini, Inara benar-benar merasakan hatinya ditikam dengan berjuta belati. Sakit.
Aisar benar-benar kematian diksi. Tubir matanya mula terasa hangat dengan setiap luahan bicara Inara. Seribu penyesalan mula ditujah di benak fikirannya. Bahunya seakan-akan jatuh dengan omongan Inara. Jahat. Kejam. Itulah yang Aisar mampu tafsirkan buat dirinya.
"Aku sedar yang aku... dah jatuh cinta dengan sahabat aku sendiri. Aku tak tahu macam mana perasaan tu boleh hadir. Apa yang aku tahu... aku terlalu rindukan kau," luah Inara seraya memandang raut wajah pemuda yang pernah menjentik tangkai hatinya.
Aisar terkesima dengan luahan Inara. Sungguh, Aisar kaget bila mana Inara pernah merasakan perasaan yang sama dengannya. Aisar benar-benar kejang. Hanya akalnya yang mengarahkan untuk memandu. Namun, hatinya sudah terlalu rapuh tika ini.
"Aku menyesal sangat sebab perasaan tu hadir bila kau pergi. Tapi suatu hari aku sedar. Genap enam tahun kau pergi... sampai bila aku nak terus tunggu kau? Entahkan perasaan kau buat aku dah hilang. Entahkan kau dah bahagia dengan orang lain. Aku rasa tergantung, Aisar."
"Sampailah bila aku dah merelakan... Zulfan muncul dalam hidup aku. Saat itulah aku tekad yang aku kena move on. Aku dah tak nak hidup dalam kesedihan lagi. Aku kena bagi peluang dekat diri aku untuk bahagia," ujar Inara. Nada suaranya semakin lirih. Malahan, setitis air mata mula mengalir ke pipinya.
Inara lelah. Dia tewas menahan kesedihan yang ditahan malam itu.
"Aku... minta maaf..."
"Aku hanya perlukan penjelasan. Kenapa kau pergi macam tu? Walhal kau tahu yang aku akan selalu ada untuk kau. Tak kesahlah dengan apa yang dah jadi dulu. Kenapa kau tak nak... bagi aku peluang untuk mencintai kau?" pintas Inara.
Seketika, Aisar dan Inara saling berpandangan sekali lagi. Terbias kesedihan di sebalik kornea mata masing-masing. Aisar memijak pedal brek sebaik saja mereka sampai ke destinasi. Namun, Aisar tidak mampu melepaskan tatapannya saat ini.
Hatinya membuak-buak ingin menyatakan sesuatu kepada Inara. Aisar hanya mahu Inara tahu kekesalannya akibat meninggalkan Inara.
"Kita dah sampai," ujar Aisar seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Inara. Lain yang mahu diungkapkan, lain pula yang meniti di bibir Aisar.
Inara kalih memandang sebuah kondominium. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Inara mengangguk. Aisar masih mahu mengelak. Inara mengerti.
"Terima kasih sebab hantarkan aku balik. Sebelum aku keluar, aku nak kau tahu yang aku tak marahkan kau. Aku cuba faham, tak semua benda kau boleh jelaskan kepada aku. Aku cuma kecewa dengan apa yang dah jadi. Aku pergi dulu. Jaga diri kau baik-baik," pamit Inara seraya melangkah keluar dari kereta.
Aisar hanya mampu menatap pemergian Inara dengan hati yang walang. Setitis air mata mengalir ke pipinya. Aisar juga tewas. Sungguh, kejamnya dia menyakiti gadis yang bertakhta di hatinya.
Ingin sekali Aisar memberikan penjelasannya. Namun, luahan Inara sebentar tadi benar-benar memberikan impak yang besar dalam diri Aisar. Emosinya bercampur baur.
"FIR, dalam lima minit lagi kau sediakan kereta. Pastikan sampai dekat lobi tepat pada waktunya. Arahkan Reza dan Halim standby dekat lobi. Kalau ada apa-apa yang mencurigakan, laporkan kepada aku," arah Aisar kepada rakan sekerjanya melalui earbud.
Pandangannya fokus memerhatikan Datuk Sri Lee yang sedang dikerumuni oleh para wartawan sempena majlis perasmian Yayasan Ikhlas. Sesekali, Aisar turut memerhatikan lautan manusia yang menghadiri acara tersebut. Berjaga-jaga jikalau ancaman berada di dewan itu.
"Apahal lama sangat datuk temu ramah? Dia dah lupa ke dia kena keluar dari dewan sebelum jam 3 petang. Mahunya musuh keluar dari sangkar, satu masalah pula bagi kita. Agaklah kalau nak menunjuk sekali pun," keluh Kasyaf. Kecil besar saja diperhatikan bosnya yang masih ralit ditemu ramah.
"Itulah pasal. Karang kalau aku suruh bersurai kena sembur pula. Aku pun tak tahulah apa yang dia nak jelaskan lagi selain program perasmian ini. Agaknya, dia nak ajak ramai orang iri hati dengan kekayaan dia kut," ujar Jeremy pula. Pelat cinanya begitu jelas kedengaran. Ada riak tidak puas hati terpancar di wajah pengawal peribadi itu.
Aisar mencebik dengan omongan Jeremy dan Kasyaf. Dua rakan sekerjanya itu seakan-akan tidak fokus dengan tugasan di depan mata. Sudah berkali-kali ditegur, masih saja mereka melakukan perkara yang sama. Berbual dan tidak fokus.
"Wahai makhluk Tuhan yang tak lekang dari berbuat dosa, daripada kau orang komplen sipi-sipi pasal datuk sri, apa kata kau orang bubarkan wartawan tu semua. Rebel sikit kalau datuk lalai. Bukannya mengata. Dah! Aku, Lukman dengan Ramesh bawa datuk keluar dari dewan," tegas Aisar. Serentak bahu Jeremy dan Kasyaf ditepuk kuat. Mendorong mereka untuk bergerak.
"Datuk, masa kita hampir tamat. Kita kena keluar dari sini tanpa pengetahuan musuh. Kalau datuk lupa, saya ingatkan semula. Semalam, datuk terima sepucuk lagi surat ugutan yang melibatkan nyawa datuk. Kalau kita keluar awal, musuh tak akan tahu bahawa majlis datuk sudah tamat," ujar Lukman. Terselit ketegasan di sebalik nada suara pemuda bermisai nipis itu.
Serta-merta, wajah Datuk Sri Lee bertukar tawar dengan peringatan pengawal peribadinya. Dinding hatinya yang berbunga riang dengan pujian yang diterima drastik berubah menjadi sebuah amarah. Dia baru saja mahu mengalu-alukan para wartawan untuk membuat liputan mengenai dirinya yang akan menderma di kawasan setinggan.
"Maaf semua. Saya ada hal mustahak yang saya kena siapkan. Terima kasih sudi menemuramah saya. Lain hari kita berjumpa lagi," ujar Datuk Sri Lee. Senyuman pahit terukir di bibirnya sebagai tanda mesra.
Buru-buru, para wartawan ingin menyerbu Datuk Sri Lee. Tidak berpuas hati lagi mahu mendapatkan isi daripada usahawan tersebut. Malangnya, Jeremy dan Reza terlebih dahulu menahan langkah mereka. Tugasan yang diarahkan oleh Aisar lantas dilaksanakan.
"Kenapa kau orang dengan pihak polis tu lembab sangat hah nak tangkap pelaku! Aku bayar kau orang mahal-mahal tapi buat kerja macam nak merugikan duit aku saja. Rimas dibuatnya!" bentak Datuk Sri Lee. Wajahnya sudah membahang panas tatkala api kemarahan semakin mendominasinya.
"Kita orang masih usaha siasat siapa pelakunya. Mohon bersabar datuk. Orang yang bermusuh dengan datuk bukan calang-calang orangnya. Mereka datang dan hilang tanpa ada petunjuk. Hanya ugutan saja yang mereka hantar. Itu pun ada kalanya betul ada kalanya sebagai bermain saja," ujar Ramesh. Cuba memujuk Datuk Sri Lee yang sudah mencemuh tugasan mereka.
Datuk Sri Lee mendengus marah. Pandangannya dikalih ke laman wajah Aisar yang sedang mengapitnya. Senyuman sinis terukir di bibir usahawan ternama itu. Seakan-akan mengejek kredibiliti Aisar.
"Tak gunalah kalau jadi tentera berbelas tahun kalau susah sangat nak jejak keberadaan musuh! Nama saja ada pangkat, tapi tak ada akal..."
"Luk! Berhenti," arah Aisar tak semena-mena. Dahinya dilapisi dengan kerutan tatkala telinganya menangkap bunyi tapak kasut yang muncul dari tangga kecemasan. Anak matanya tertancap pada pintu tangga kecemasan dewan. Intuisi Aisar mula terasa tidak enak tika itu.
"Kenapa?" soal Lukman yang berada di hadapan Datuk Sri Lee. Roman wajah Aisar yang keruh turut membuatkan intuisinya jadi tidak tenteram.
"Ada sesuatu yang tak kena. Setahu aku, pintu tangga kecemasan tingkat dua dan tiga dekat lorong A ini dikunci. Mustahil ada orang dekat dalam. Nak kata ada penyelengaraan pun mustahil. Aku dah tanya dekat staff dewan ni sebelum majlis dimulakan. Mereka kata, tak ada penyelengaraan dilakukan hari ini," jelas Aisar. Tubuh Datuk Sri Lee semakin dirapati. Tangannya sudah mencapai glock di pinggang.
"Ramai ke?" soal Ramesh. Dia turut merapati tubuhnya ke Datuk Sri Lee. Melindungi kliennya.
Aisar cuba memfokuskan pendengarannya. Kepalanya tertunduk memandang lubang yang terdapat di bawah pintu. Benar! Ada beberapa tapak kaki yang sudah menghampiri pintu tangga kecemasan tempat mereka berada.
"Ada lima! Kau orang bawa datuk pergi dari sini. Fir, Reza dan Halim dah tunggu dekat lobi. Aku alihkan perhatian mereka!" tegas Aisar. Kakinya mula bergerak perlahan-lahan ke belakang. Mengawasi gerak geri Datuk Sri Lee.
Lantas, sebaik saja Aisar mengarahkan Ramesh dan Lukman membawa Datuk Sri Lee pergi, pintu dibuka dari dalam. Terpampang lima orang lelaki asing berwajah bengis yang sudah meluru masuk ke lorong tersebut.
Nampaknya, zon merah kembali mendatangi seorang Aisar Mumtaz sekali lagi!
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 🌷
Jangan lupa tekan vote ⭐ jika sukakan karya ini
Jangan kecam Inara gais 🤭 dia dah penat tunggu Aisar tu 😭
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top